Dua hari ini saya cuba-cuba menyelitkan diri menghadiri Bengkel Kajian Novel Popular di Malaysia. Almaklum, dah berada di DBP (yang agak mengekang masa saya untuk menulis untuk diri saya, banyak masa dihabiskan menulis untuk DBP dan kerjanya).
Ya, novel popular, hingga nama Faisal Tehrani (dengan mengambil contoh novel 1515 sebagai novel popular? Kelakar betul! Kalau Cinta Hari-hari Rusuhan saya fahamlah) dan Ramlee Awang Mursheed dikatakan berjaya mengeluarkan novel-novel popular yang 'serius' (cerita hari itu tentang popular lawan serius, komersial lawan intelektual, estetika tinggi lawan murahan, bahasa sastera lawan bahasa percakapan biasa).
Sebenarnya, saya faham, dua penulis itu tentu terlonjak sedikit, kerana mereka kalau boleh, mahu dikenali sebagai pencipta novel-novel sastera, tetapi mempunyai strategi pemasaran komersial dan popular, itu sebenarnya yang mereka mahu. Maka bengkel itu menjadi seakan sarkas yang teratur apabila kedengaran dengusan dan riak apabila pembentang memberi kupasan positif atau negatif terhadap satu-satu karya. Maka itu, saya faham kenapa beberapa penulis kenalan saya 'balik awal' dan tidak mahu lagi menyertai, mendengar perkara-perkara yang dibincangkan, kerana perkara-perkara itu sudah maklum tahu.
Yang tampak, ada satu senario, lebih-lebih lagi daripada kumpulan penulis novel 'popular' dan peminat mereka, memberi satu slogan perjuangan, "Berhenti mengstigma novel-novel popular sebagai tidak berfaedah terhadap masyarakat", satu persoalan biasa yang datang daripada sebuah komuniti didaktik. Tetapi, apa yang memelikkan adalah khalayak pendengarnya, atau lebih terperinci, pemaklum di akhir sesi sebuah perbicaraan karya. Rata-rata mereka mengatakan mereka 'tidak dapat' atau masih keliru apa itu novel sastera dan novel popular, seakan-akan memperkecilkan para pembentang (yang memang, rata-rata tidak buat kerja rumah dan tidak menganalisa satu-satu karya itu dengan mendalam. Hanya ada dua atau tiga pada hemat saya, di mana kertas kerja mereka agak berguna iaitu pembentang Bagaikan Puteri, Original, dan Bukan Puteri Lindungan Bulan).
Memang mungkin ada yang akan kata, mahu analisa apa bila karya itu memang bobrok? Tetapi beberapa pembentang, bagi pendapat saya, sudah dapat merumuskan apa itu novel popular dan novel sastera (lebih-lebih lagi kertas kerja Mohammad Saleeh Rahamad untuk Bagaikan Puteri) malah telah menemukakan pemasalahan novel popular dengan baik, malah Prof. Ruzy memberi kupasan yang sangat efektif apabila mengatakan: "Untuk mengkaji komuniti dan budaya komuniti sekarang, perlu lihat pada produk budayanya, maka novel-novel popular ini adalah satu contoh kontemporari yang boleh diguna pakai menganalisa strata, jenis, corak masyarakat semasa di Malaysia kini kerana faktor kecepatan isunya tersiar kepada khalayak". Itu kiranya sudah cukup baik. Jadi saya kadang-kadang mempersoalkan pendengar-pendengar pada pagi itu, apa mereka 'betul-betul' dengar kupasannya atau mereka hanya 'mahu dengar' perkara yang menyedapkan telinga (maknanya, mereka mahu dengar, sebenarnya bengkel itu tidak perlu kerana karya popular tidak boleh dibawa kemana-mana. Malah, saya berasa malu untuk mengadukan soalan, takut-takut soalan yang saya nanti kemukakan terlalu 'bernas' dan tidak dapat difahami).
Kesalahan terbesar sebenarnya datang daripada pembentang-pembentang sendiri. Memang amat memalukan segelintir daripada mereka, kupasan-kupasan mereka sangat nipis, sangat "on the surface", saya malu ia dibuat di dalam Dewan Seminar DBP, malah malu mereka berani tampil dengan kertas-kertas kerja yang memang 'separuh masak' (perkara ini pernah saya lihat sendiri berlaku pada KL Literary Festival di mana pembentang dari UM diberi nasihat untuk memberi 'teknik-teknik membikin kertas kerja' dengan lebih baik daripada pensyarah/pengkritik luar negara). Malah, ada seorang pembentang ini bernama A. Rahim Abdullah dengan sewenang-wenangnya, membaca perkataan demi perkataan kertas kerjanya di depan khalayak! Kalau ambil isi situ sini tidak apa lah. Saya bayangkan, kalau saya masih lagi seorang pensyarah dan saya menilai hasil persembahan ini, saya terus suruh 'murid' saya ini duduk sahaja dan beri penilaian 'D'! (F kalau tidak ada langsung).
Paling kelakar (yang sebenarnya sudah dibikin oleh Faisal Tehrani dan dicuba-cuba oleh A. Samad Said, mereka tak sedar ke?) adalah, mereka menyatakan, kalaulah penulis novel popular ini boleh pada suatu hari menulis novel serius, kenapa tidak penulis novel serius menulis novel popular. Saya nak tergelak. Saya nak saja pergi ke mikrofon, mahu beri beberapa nama (zaman awal Creative, beberapa buku sasterawan dan penulis yang baik seperti Abdul Talib Hassan, Azizi Hj. Abdullah, A. Samad Ismail, Pak Sako, Ujang-Jibam, Meor Shariman, Hishamuddin Md. Isa) untuk menunjukkan perkara itu sudahpun berlaku. Kelakar lagi apabila mereka mengajak (dan berpolemik) untuk DBP mengeluarkan novel-novel popular (hari itu, saya tidak tahu jika kita benar-benar ada satu khalayak sastera atau tidak. Rasa pesimis melihat gelagat mereka. Walaupun ada yang mengutuk kerosakan sastera Indonesia sekarang yang penuh nilai-nilai hanyir yang dipanggil avant garde, tetapi cara mereka bercakap hari ini, usah cerita avant garde, fasal karya dan penulis kita sendiri pun tidak kenal karya mereka, tak payah lah nak kecoh kalau tahu hanya beberapa "well known" sasterawan). Untuk pengetahuan khalayak, tidak semua novel-novel yang DBP keluarkan mempunyai mutu estetika yang tinggi, lebih-lebih lagi pada pertengahan 90-an apabila novel-novel remaja dicetak dengan banyaknya. Di antara novel-novel itu, sudah tentu ada yang mutiara dan ada yang kerikil, malah idealisme dan tahap estetikanya sama dengan novel-novel popular yang berleluasa sekarang. Maka persoalan DBP boleh/tidak boleh keluarkan novel-novel sebegini terletak kepada editor-editornya, yang paling penting adalah usaha Dawama untuk menandingi gaya dan strategi pemasaran bergaya yang dilakukan oleh Creative, Roket Kertas dan sudah tentu Alaf21 (dan kini sedang menaik, PTS).
Mukhsen-X sendiri mengimpikan ini, dengan selamba memberitahu saya pada akhir saya bertemu beliau: "Saya mahu lihat, pada suatu masa nanti, kedai-kedai majalah mamak juga turut membariskan novel-novel DBP yang bermutu di sebelah buku-buku popular itu, baru senang orang seperti saya mahu membeli." Mungkin sudah tiba novel-novel DBP tidak saja duduk di dalam stor atau kedai berhawa dingin, tetapi disalut dengan plastik murah menghindar rosak dan dipapar di depan kedai-kedai di stesen bas. Kita lihat apa akan berlaku kalau Dawama sanggup berbuat begitu.
Kerja kita sekarang, sebagai khalayak-khalayak sastera, mungkin, adalah kupas dan analisa, buat intepretasi mutakhir tentang novel-novel yang ada dalam pasaran, baik yang mana-mana penerbitan tanpa prejudis. Janganlah 'recycle' novel-novel sasterawan saja dikupas. Malah, saya masih menunggu, adanya pengupas/pengkritik novel-novel fantasi dan SF, yang sampai kini, masih belum saya lihat kewujudan mereka untuk mengupas hasil kerja Ahmad Patria Abdullah, Rahmat Haroun, Azmah Norrdin, Hizairi Othman dan lain-lain penulis sci-fi (fiksyen sains dan fantasi) mengikut disiplin dan teori fiskyen sains dan fantasi (kutuk Indonesia sangat, mereka dah mula buat ni!) dan bukan sastera, estetika, functionalisme, bahasa yang sudah terlalu biasa dalam kritikan kita.
No comments:
Post a Comment