Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Sunday, July 17, 2016

Filsuf untuk Noob


Tajuk: Filsuf untuk Noob
Oleh: Dayang Sifar
Terbitan: Thukul Cetak
Tahun: 2016


Sinopsis:
Suatu pengenalan dengan bahasa yang mudah, sosok dan deretan laluan perjalanan falsafah, tokoh pemikirnya dan perkembangannya, dan mengapa falsafah itu penting dalam hidup kita. 

Rasa:

Bagi saya, kehadiran terbitan buku ini, walaupun mungkin tidak sesempurna yang dikehendaki, menjadi suatu percubaan dan hasil yang amat murni, baik dari pihak penerbitnya mahupun pengarangnya. Dayang Sifar orang baharu dalam penulisan, namun semangatnya dipuji (dia bergerak dengan idea menghasilkan buku ini pun daripada perbincangan bersama-sama Dr. Lim Kim Hui dan ZF Zamir). Tujuan asal dan utamanya tersampai. Buku ini seronok (fun) kerana Dayang menggunakan bahasa mudah jalanan bercampur bentuk perbualan untuk mengutarakan hujah dan keterangan. Paling buruk pun, seorang pembaca sekolah menengah sudah boleh menghadamnya, malah seorang pembaca peringkat sekolah rendah yang baik sudah boleh menelusurinya. 

Dayang mempunyai tujuan ikhlas yang saya tunggu-tunggu, yakni mencipta buku siri For Beginners (yang itu termasuk lakaran komik) yang memerihalkan idea dan penjelasan pemikiran besar dunia, dan bagi seorang bocah yang masih di universiti (kalau terbitan perdana Inggeris, kumpulan penulisnya memang kalangan pakar bertaraf Phd), percubaan Dayang ini bolehlah dikatakan impresif apabila kita boleh terikut-ikut terbawa masuk ke dalam zaman Yunani, Pertengahan Kristian Rum, hingga Islam, kepada era Pencerahan kemudian Moden Eropah, dengam sumber-sumber utama dan kedua yang autorotif, menyelam masuk kadangkala dalam isu dan hal remeh tokohnya, dengan memberikan sebutan sesuai Melayunya (Deh-Kart untuk Descartes atau Ni-ce untuk Nietzsche - inilah pedoman yang saya tunggu-tunggu disampaikan dalam lidah bonda kita), mengalami sendiri perkembangan dan penciptaan idea-idea itu, dengan beberapa komentar kecil (perbezaan ringkas Dayang berkenaan penemuan Manusia Terapung Ibn Sina dengan Descartes, contohnya) yang mencuit tetapi perlu. 

Kita tidak tersesat, malah kita mempercayai tangan pimpinan Dayang, khususnya apabila ingin memasuki dunia "filsuf" atau falsafah. Hal ini ditambah dengan sikap anak muda Dayang yang kadangkala mencuit budaya popular, seperti filem dan lagu pop, sebagai ruang untuk melakukan perbandingan terhadap beberapa penjelasan falsafah yang rumit. Perbandingan ini menjadi lebih menarik apabila Dayang sendiri, dengan mengambil pengalaman dirinya, apa yang telah dilihatnya, membuat beberapa analogi, malah kritikan terhadap keadaan kontemporari masyarakatnya, dengan penemuan dan fenomena falsafah, meletakkan lagi kerelevan falsafah itu mencakupi hidup dan kefahaman masyarakat yang jahil akannya.

Walaupun kita boleh tidak bersetuju dengan ejekean dan sekali imbas Dayang ini, kita tentu akan tercuit dengan "celoteh"nya, seperti pengenalan Dayang terhadap Nietzsche, yang menyebabkan pada awalnya, dia tidak mahu mengenali sosok besar falsafah pencipta "adimanusia" itu kerana jelek dengan peminatnya (yang sememangnya ramai ala-ala rock star). Hal ini merupakan rencah dan rempah yang membuat buku ini buat pemula dan "baru nak tahu" (atau noob, istilah yang saya tak faham tapi saya bayangkan sebagai newbie, bebal atau blur) tenang dan seronok mengikut perjalanan Dayang.

Oleh sebab itu, mungkin, bagi yang sekurang-kurangnya mahir dan kenal akan hal falsafah, mungkin mempunyai beberapa rungutan (kerana mereka mahu lebih dari itu). Sepertinya, pada awal bab "sejarah" yang baik, kita diberikan senario bagaimana orang Yunani pada era dahulu berfikir. Di sini, kita diberikan suatu imejan yang impresif terhadap permulaan falsafah, namun essence atau inti pati falsafah itu, yakni kepentingan pengalaman "berfikir" itu sendiri (yang panjang dan mengambil masa) untuk mencapai kearifan makna hidup (wisdom) tidak dinyatakan, hanya di"hint"kan secara lalu dalam teks. Kemudian, dengan pelik, Dayang dengan sengaja, secara lalu, memperkenalkan lalu berlari laju meninggalkan Ibn Rusyd, sosok besar dalam falsafah Islam (walaupun menyatakan kehadirannya penting dalam sejarah) lantas tidak diperincikan lagi. Saya tertunggu juga cara menarik yang ingin Dayang sampaikan antara tesis-antitesis Ghazali-Rusyd yang tentu menarik untuk diteliti, lebih-lebih lagi dalam sikap keterbukaan tetapi rasional era Islam dahulu membahas akan ilmu dan pandangan alam. 

Malah, terdapat satu keterangan, lebih-lebih lagi dalam Dayang menjadi apologetik tentang menterjemah istilah "spirit" dalam pandangan alam Jerman/Eropah. Tampak, di sini, Dayang sedikit terperangkap dalam terjemahan. Hal ini perlu jelas dan difahami (dengan tidak mengambil dasar terjemahan literal secara penuh, tetapi memahami sejarah dan punca asas istilah atau asal usul istilah) akan maksud spirit/ruh yang berubah dalam sejarah Eropah, yang amat berbeza dengan kefahaman utuh Islam akan roh, jasad, akal dan nafsu. Namun, kesedaran dan kefahaman Dayang akan perbezaan Islam-Barat masih impresif, lebih-lebih lagi dalam memahamkan isu-istilah mana pada isu-istilah mana bagi tidak berlaku kecelaruan.

Satu lagi rungutan saya ialah harga buku ini. Ia nipis tetapi bagi saya mahal: RM25, jika dibandingkan dengan sikap buku ini (untuk golongan muda/budak-budak mengenal dengan mudah), yang jika dilihat dalam siri buku sebegini, boleh didapatkan dalam belas ringgit di Kinokuniya, bukanlah sampai RM25. Jika hal ini boleh difikirkan oleh penerbit, lebih cun, lagi-lagi atas niat murni buku ini untuk memandaikan anak mudanya.

Kerana bagi saya, buku ini, walaupun masih melangkah kecil, antara buku yang wajib dibaca oleh mana-mana pelajar yang baru mula hendak menulis, atau sekurang-kurangnya hendak bercakap tentang isu/idea, agar terdapat "konsep" dan "konteks" yang terbina dahulu. Sah, di tangan kecil, gelap dan cantik Dayang Sifar, anda mempunyai peluang untuk menemui keindahan pemikiran akal manusia, cara menggunakannya, dan cuba membaiki dunia ini dengan fikiran anda pula, yang mungkin mengambil masa lama, payah, tetapi insya-Allah, menghasilkan sesuatu yang lumayan untuk dunia.

1 comment:

Dewi Aja said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)