Orang biasa selalu terfikir bahawa Sasterawan Negara merupakan kalangan penulis berumur kaca mata tebal sok intelektual dengan melayarkan burung berkicau, langit biru dan awan berkepul-kepul menutup mentari.
Silap besarlah.
Mungkin hari ini, kerana keberadaan A. Samad Said (novel besarnya [yang dibenci oleh Mohd. Affandi Hassan, jangan marah tuan :D ], Salina kini dijual RM18 terbitan Popular di Kedai Buku Popular), orang juga terfikirkan Sasterawan Negara berambut panjang putih, berkumis berjanggut, memegang pen seperti tongkat sakti mewarna kata-kata daripada udara.
Dekat-dekat, tapi salah juga.
Sahabat dekat saya pernah berkata, "Suara sebenar kita, susastera kebangsaan kita, mahu tidak mahu, diwakili oleh Shahnon Ahmad. Suaranya jelas paling kuat, sampai sekarang." (Sahabat ini seorang penulis indie)
Saya sedang cuba menghabiskan memoir Shahnon, Detik-detik Diri di Daerah Daif (DBP, 2005). Jelas, Shahnon bukan burung biru dan kepulan awan putih. Shahnon berlumpur dan berdarah dalam melakarkan bentuk telanjang seorang manusia. Shahnon mendekati "seram", malah dunianya ganas dan sadis. Shahnon unik. Jika tidak ada penulis tempatan yang belum lagi membaca Shahnon, bagi saya mereka bacul dan duduk dalam kotaknya sendiri.
Di sini saya perturunkan beberapa tulisannya dalam memoir tersebut, jamin kening terangkat:
"Tapi Lubalang moyok semoyok-moyoknya. Bapa terkam keluar dan terus mencekak Lubalang teguh-teguh dengan genggaman yang rapat. Terkiak-kiak bunyi Lubalang dalam genggaman itu. Mengapa! Mengapa! Mengapa! Aku masih ingat lagi waktu itu kerana kami berdua pun terloncat keluar juga. Bapa sudah mula mencabut bulu Lubalang lepas seurat seurat. Dia mula mencabut bulu ekor, bulu kepak, bulu di bawah perut sehingga denyutan nadi di tembolok Lubalang jelas kelihatan. Kemudian bapa mencabut sebelah kaki Lubalang, dicabut sebelah lagi, dicabut sebelah sayapnya dan akhirnya dicabut lagi sayap yang tinggal. Lubalang masih hidup tapi berlumuran darah. Matanya kedua-dua belah masih berkedip-kedip dan aku masih ingat aku melihat Lubalang masih berdenyut. Mata yang berkedip dan nafas masih berdenyut itu sampai sekarang tak dapat dikikis daripada ingatanku kerana Lubalang benar-benar meminta belas kasihan waktu itu.
Tiba-tiba bapa mencabut golok di pinggang dan dengan hujung golok yang putih berkilat itu, bapa cucuk tembolok Lubalang. Dan tercurahlah sisa-sisa makanan yang maish kejap terpalit pada dinding-dinding tembolok itu. Beras, padi dan cebisan cabai melaka tersembur keluar. Mata Lubalang menjadi malam, kelopaknya kendur dan menutup biji mata yang hitam di tengah-tengah.
Aku kurang pasti sama ada nadinya masih berdenyut atau tidak kerana begitu cepat bapa melepaskan geramnya kepada Lubalang. Dihampuknya tubuh bogel Lubalang itu ke tanah bagaikan seketul batu dan tubuh itu terhenyak sedikit masuk ke dalam bumi. Bapa memijaknya dengan tumit kanan dan mengisar-ngisar tumit itu sehingga daging dan tulang Lubalang berkecai dan bergaul dengan bumi. Abang Noh dan aku tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Kami hanya pandang-memandang saja. Sangkar buah labu yang masih berada dalam semak, dicincangnya sampai lumat. Puntung-puntung buluh terpelanting dan manik-manik yang berbagai warna bertaburan." (Shahnon, 2005: 49-50)
Macam menonton filem seram bukan? Hal ini berkenaan bapa Shahnon yang tiba-tiba mengamuk kerana denaknya tidak mau mengikut katanya. Semangat amuk itu dapat saya rasa, dalam dan sesak. Memang, jika kita baca Shahnon, kebanyakan karya kebelakangannya (walaupun awal pun ada), sikap kematian dan kehancuran (yakni ke arah kekiamatan) makin lama makin jelas. Saya mempunyai pendirian, bukan sahaja Shahnon melihat wajah mati tetapi Shahnon seakan-akan mengupas dirinya, sedikit demi sedikit, terhadap lumpur, darah, dan bangkai yang selalu disalutinya. Memoir ini pun merencanakna itu, memori yang jelas memberinya pengaruh namun menyatakan latar alam itu (Banggul Derdap) terus menerusi kehancuran, yakni memori yang akan hancur, yang akan ditinggalkan. Lepas.
Mengakhiri pengenalan ini, saya titipkan tulisan Shahnon dalam memoir ini pada halaman 11:
"Bapa sememangnya anak bangsat. Bapa sendiri yang mengakuinya."
2 comments:
Saya ternanti-nantikan entri anda yang garing tetapi tidak terlalu panas.
Sesuatu yang... eerrr macam popcorn baru masak.
Ok tak Fadz?
Salam.
Saya membaca blog ini sudah lama juga, tp kali ini tergerak untuk berkongsi sedikit.
Saya dulu2nya menyangka dan memahami bahawa perkataan "bangsat" itu sekadar bermakna celaka dan makian.
Namun, bersembang-sembang dgn org tua membawa satu pengetahuan baru bahawa rupa2nya bangsat/membangsat di dalam istilah mereka (org tua2 Kedah) ertinya merantau (biasanya merujuk kepada org2 drp Jawa, Minang, Acheh dsb yg datang ke Tanah Melayu).
Makanya "anak bangsat" pada kata bapa Shahnon itu bermaksud anak rantau dan tidaklah membawa kepada maksud yang negatif yang mungkin menerjah ke ruang minda pada lintasan yang pertama.
Post a Comment