Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Monday, April 8, 2013

Salahkan Pembaca?


Ah, detik ini bermulah detik tuding-menuding dan salah-menyalah. 

Bukan desakan PRU, tetapi tadi, saya bersama-sama dengan seorang penulis mapan lalu duduk berbincang masalah ringgit dan sen yang masih tidak-tidak selesai tentang harga, penjualan dan pengedaran.

Banyak hal diperkatakan, daripada reka bentuk, isi, tujuan "popular", dan pengedaran/pemasaran.

Yang paling disebut, dan masih tidak dijawab oleh penulis mapan itu: bagaimanakah kita mahu membuat masyarakat kita membaca.

Dalam perjalanan balik, saya melakukan "tinjauan" mudah terhadap seorang lagi kawan yang tidaklah gemarkan buku. Saya menunjukkannya sebuah buku (yang tidak cantik kulitnya, ya, kini zaman peribahasa Inggeris, "Jangan hakimi sebuah buku dek kulitnya" tidak dapat lagi dipakai), lalu bertanya kepadanya:

"Kau sanggup beli dan baca buku ni, harganya RM25.00"

"Tak." Dia menjawab pendek dan jelas.

"Kalau buku ni, RM2.00. Kau beli?"

"Ah, mungkin ..."

Mungkin.

Beli dan jual. Edar dan cipta. Pakai dan buang.

Kita, mahu tidak mahu, hidup dalam dunia materialistik, seperti yang selalu dan klise diperkatakan, yang mana beli dan guna bersangkut-paut dengan hal-hal asas dahulu untuk dipenuhi individu sebelum hal-hal "sekunder" yang diinginkan dipenuhi.

Buku, masih dan akan selalu menjadi bahan sekunder dalam dunia kita jika harganya masih lebih mahal daripada sepinggan nasi kandar ataupun setiket wayang.

Mengapakah hal ini berlaku?

Di dunia Barat, khususnya Amerika dan UK, pembukuan merupakan suatu industri. 

Baru-baru ini saya terima sebuah novel sastera oleh seorang penulis terkenal dalam kulit lembut berharga 8 pound. Ya, 8 pound itu menyamai RM40 jika kita tukarkan. Namun lihat realitinya di UK, 8 pound kita boleh dapat sepinggan makan malam yang sedap, Fish n' Chips mungkin sebagai contoh makanan ruji orang Inggeris. 8 pound juga boleh membeli tiket wayang. Mahu tidak mahu, 8 pound juga kita boleh dapatkan sebuah novel sastera yang baik. Orang puteh kata, "Worth every penny".

Kejap. Macam mana di UK, dengan kos hidup mereka yang tinggi mereka boleh dapatkan harga yang "rendah" untuk sesebuah buku (buku kajian dan buku mewah ya, ada yang mahal, tetapi mereka selalu adakan jualan murah dan kedai buku terpakai belambak di sana), ini bukan buku terpakai tetapi "segar dari kilang" ya. 

Ini adalah kerana di UK, sebuah buku boleh dicetak 100 ribu sekali cetakan, mungkin lebih, dan ada sampai berjuta dan beratus juta (rujuk senarai laku keras dalam Wikipedia) sekali cetakan.

Kita? Selalunya, dan rata-ratanya, sebuah buku sulung hanya boleh dicetak dalam 3 ribu, itu pun jika "bernasib baik". Kadang-kadang jika "tidak tahu anggaran pasaran", buku itu dicetak 1 500 atau 1 ribu. Paling selekeh (selalunya tak) 500 naskhah. Pernah dengar buku kita dicetak sampai 100 ribu, 300 ribu, sejuta?

Hal itu tidak akan berlaku kerana kesangsian pemasar memasar buku dan tidak laku. Mereka tidak yakin dengan masyarakat kita membaca. Mereka tidak yakin masyarakat kita senang-senang hendak mengambil sebuah dan membayar.

Kita seakan-akan dalam jerat harga-pemasaran-keinginan. Pemasar-penulis-penerbit-pengguna, masing-masing terjerat dalam suatu sifat ketidakyakin dan waswas terhadap keinginan-keuntungan-mutu. Si penjual takut dengan buku yang tidak laku. Si penerbit takut untuk menjual murah. Si pengguna takut untuk keluarkan duit yang mungkin suatu pengalaman pembacaan yang tidak berbaloi. Hal ini yang mencurigakan.

UK dan Amerika mempunyai pasaran yang amat besar (sampai boleh menurunkan harga buku pada taraf kompetetif, murah dengan jumlah yang amat tinggi) kerana "bahasa". Sejarah penjajahan dan kolonial yang panjang sudah menyebabkan hal ini, malah penerusan penjajahan masih lagi berlaku dari segi budaya.

Indonesia dan Korea Selatan merupakan contoh menarik, negara yang mempunyai industri pembukuan yang sedang bergerak pantas dan terus membangun. Siapakah penggunanya? Masyarakatnya sendiri. Mengapa harga bukunya rendah?  Mengapakah hal ini boleh berlaku?

Mahu tidak mahu, kita terpaksa kembali pada bahasa dan pelestariannya.

Keyakinan masyarakat terhadap bahasanya dipaparkan dengan "penggunaan". Memang dari segi penyairan di televisyen, dapat diperlihatkan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan menjadi antara "pilihan utama". Jika dalam bentuk media dan digital, bahasa Melayu (walaupun rosak) agak dicakna dan diperluaskan penggunaannya, mengapa tidak dalam bentuk pembukuan? Harga masih menjadi persoalan terbesar.

Jika masyarakat sudah bersedia untuk membeli buku bahasa kebangsaan, pihak penerbit sudah bersediakah menurunkan harga pasaran?

3 comments:

Mohd Affandi Hassan said...

Apakah penjelasan yang boleh kita berikan terhadap buku-buku cinta-cintaan yang amat popular sekarang, yang laku dan besar jumlah yang terjual, ratusan ribu, mengayakan penerbit dan menyenangkan penulis. Jika ini satu indikator, apakah tafsiran yang boleh berikan? Dalam bahasa saya senang saja: inilah akibat budaya pandirisme. Adakah penulis/sasterawan besar Malaysia sudah bebas daripada budaya pandirisme ini? Rasanya lebih baik kita bincang aspek ini daripada menyesali buku-buku kita mahal dan tak laku. Bagi saya pandirisme sudah menjadi penyakit budaya yang serius, yang sudah menular di kalangan sasterawan besar kita sendiri. Saya harap tak seorang pun bersetuju dengan pandangan saya ini untuk membuktikan pandirisme itu tidak wujud dan tak pernah wujud. Yang ada hanya Pak Pandir. Dan sekarang orang ini sangat ramai, kita boleh jumpa di mana-mana saja ...

fadz said...

maksud tuan, SNlah yang melahirkan "modul" pandirisme ini lalu penulis lain mengikut, bukan?

Mohd Affandi Hassan said...

Sdr. Fadz.

Janganlah terlalu simplistic. Fahami dulu maksud saya, kemudian cuba kasi pandangan kritis. Kita perlukan pandangan kritis ini. Tentang apa saja. Terima kasih.