Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Sunday, March 31, 2013

Reaksi ZA terhadap "Siapakah Penulis Bagi Kalian?"

Nota: Salam, reaksi yang begitu panjang ini disampaikan oleh penulisnya, ZA kepada saya melalui e-mel. Reaksi ini berikutan luahan pendapat saya berkenaan tulisan Meor yang terpaut dalam entri yang terdahulu. Dipersilakan membaca luahan ZA pula:

Sdr. Fadli dan rakan-rakan terhormat,

1. Setiap orang (paling tidak) secara fitrahnya akan ada kecenderungan mencari satu sosok teladan yang paling hampir kepada pemikiran/bidang/gaya hidup masing-masing.

2. Dalam entri ini, yang terkait daripada entri Sdr Meor, saya kira sejauhmana kedudukan soal/isu masyarakat di mata hati seseorang penulis itu, akan kembali merujuk kepada niat si penulis tatkala menulis. Baik beliau itu seorang penulis suka-suka ataupun seorang Sasterawan Negara.

3. Dalam sastera, sebagai peminat mahupun pembaca, dengan kecenderungan masing-masing, setiap satu "dengan asyik" akan mengangkat atau membela sosok teladan mereka. Saat itu, kadang-kala kita mungkin terpanggil untuk membanding-bandingkan kecenderungan kita itu dengan orang lain pula.

4. Perkara ini tidak menjadi satu masalah, malah dapat dirujuk sebagai kepelbagaian pendapat daripada citarasa yang berbeza.

5. Persoalan yang timbul(?) dalam kotak fikir saya daripada entri ini:

i. Adakah setiap SN itu perlu merakyat (turun hidup bersama-sama kelompok marhaen) barulah ia dapat dianggap seniman/sasterawan sejati?

ii. Sejauhmana sesuatu karya (sastera, terutamanya) dan penulis itu dapat dianggap sebagai mewakili jiwa rakyat/masyarakat dan layak diberi gelar karya yang baik?

(Komentar saya tentang ini mungkin ada dalam baris-baris seterusnya...)

6. Pertanyaaan “Untuk apakah itu Sasterawan Negara”? Maka perlu kita tanyakan juga untuk apakah gelar-gelar dalam pelbagai bidang yang lainnya?

7. Pada perhitungan saya, menjadi Sasterawan Negara bukanlah bermaksud ia yang terbaik, tetapi pada saat ini, gagasan fikiran dan hati nurani yang dibawakan sosok tersebut dalam karya-karyanya sedikit lebih baik daripada yang lain dengan ciri-ciri autentik sasterawan tersebut. Fikiran dan perasaanya di dalam karya-karya itu dapat dijadikan rujukan/panduan untuk orang lain/pembaca (walaupun bukan semua. Ya, siapakah yang dapat memuaskan hati semua pihak dalam satu masa?). Kita juga harus ingat, di tahun mendatang, lain pula sosok dunia persuratan yang akan membawa gelaran Sasterawan Negara pada diri dan karya-karyanya. Saat itu (tahun hadapan?), Sasterawan Negara yang baharu itulah pula yang dianggap mempunyai karya-karya yang sedikit lebih baik daripada pengarang lainnya. Akan ada pula perbandingan-perbandingan terhadap Sasterawan Negara baharu itu dengan macam-mcam perkara lain dengan alasan-alasan lainnya.  

8. Tentang justifikasi gelaran Sasterawan Negara, kita balik sahaja kepada gelaran-gelaran lain yang baik-baik bunyinya,  "Ibu Mithali" atau "Tokoh Guru Kebangsaan" misalnya. Dengan gelar tersebut, tidaklah bermaksud ibu kita sendiri kurang baik sifat dan peribadinya dibandingkan dengan sosok penerima gelar "Ibu Mithali". Atau  "Mak Cik Mengaji yang tinggal di belakang rumah Mak Long" sejak kita kecil diajarkan kita “alif ba ta” itu jauh kurang bagus peribadinya daripada “Tokoh Guru Kebangsaan” pada satu-satu masa. Atau paling mudah, adakah penyanyi balada paling popular negara saat ini punya suara yang lebih baik daripada lemak merdu suara Rafeah Buang saat mengalunkan “Gurindam Jiwanya”?

9. Sudah tentu penilaian yang dilakukan dalam memberi gelaran-gelaran itu boleh bersifat objektif, subjektif mahupun relatif dalam penentuan keputusannya. Dan kita dalam  menerima (atau tidak menerima) keputusan itu juga berada dalam sisi objektif, subjektif atau relatif yang sama tatkala menjatuhkan hukum justifikasi kita.

10. Kepada mereka yang mengatakan bahawa gelaran Sasterawan Negara itu tidak relevan dalam kedudukan masyarakat kita hari ini,  dan membariskan nilai gelaran tersebut sama dengan gelaran-gelaran komersil  (dan penuh nilai material) lainnya, maka dengan sendiri kitalah yang menghumban nilai gelaran Sasterawan Negara itu ke daerah yang lebih rendah  kedudukannya.

11. Menjadi elit dan marhaen itu apa sebenarnya? Definisi asal golongan elit/elitis itu sebenarnya merujuk kepada golongan dengan pemikiran yang tinggi (superior intellectual), mereka yang berilmu dan mempunyai kefahaman-kefahaman dan penguasaan ilmu. Oleh kerana masyarakat kita ini cepat benar merasa rendah diri dan tidak berani/yakin untuk bersaing, maka kita pun dengan mudah memberi gelar elit kepada satu-satu kelompok tertentu yang berkuasa (bukan atas dasar pengetahuan/nilai intelektual) supaya kita ini terlihat sebagai orang bawahan yang baik-baik sahaja.

12. Siapa pula yang memberi  garis jelas kelas marhaen kepada gerombolan tertentu? Berapakah tangga gaji untuk berada dalam kategori marhaen itu? Adakah dengan naik teksi, lrt atau mempunyai pas naik turun bas kota menjadikan kita lebih marhaen daripada orang lainnya?

13. Dengan meletakkan diri dalam kelas atau kelompok berikut, kita dengan lekasnya cenderung membuat perbandingan-perbandingan yang tidak terlihat memihak kepada kita, yang akhirnya tidak lain akan menimbulkan segala konflik dan rasa tidak puas hati di hati kita sendiri.

14. Jika saya bukan di kelompok elitis mahupun marhaen, kalau saya bukan penulis atau pembaca, maka saya ini di kelas yang apa/mana? Atau, kerana saya ini bukan seorang penulis, maka saya tidak perlu berada dalam kelompok apa-apa/mana-mana. Ya, saya ini memang  tidak ada di mana-mana dan di (si)apa-(si)apa.

15. Apakah “Pak Utih” Pak Usman Awang lebih meruntun jiwa daripada “Padamu Jua”nya Amir Hamzah? Atau adakah novel Salina Pak Samad itu lebih dominan  watak utamanya daripada karektor perempuan dalam novel Chingiz Aitmatov berjudul Djamila? Apa beza bagus tidaknya antara “Mana Setangginya” Cikgu Nordin Hassan dengan “Kereta Kencana”nya Mas Rendra?  Atau sedalam mana kegilaan manusia-manusia Srengenge Cikgu Shahnon dibanding kewarasan orang kampung Lu Xun dalam Kampung Halamannya? 
  
16. Bagaimanakah nilai sesuatu karya atau pengarang yang baik itu di mata kita? Secara peribadi kepada saya, jika kisah-kisah yang dipaparkan seseorang pengarang itu dapat membangkitkan hati saya jadi terharu dan ingin bermuhasabah, atau satu perenggan ayat membuatkan saya membaca berulang kali dan berusaha mahu menghafalnya, atau satu sajak terjemahan dapat membuatkan jiwa dan rohani menggelitik tiap urat sarafnya, atau satu pantun kecil mampu membikin darah panas meruap naik ke muka, atau apa sahaja baris kalimat yang berkuasa menguntumkan rasa dan kata “wah!”, maka itulah yang saya anggap sebagai karya yang bagus. Baik karya-karya itu datang daripada seorang penulis handalan, mahupun dari mulut anak kecil yang melontarkan kalimat-kalimat spontan.

17. Kembali ke persoalan utama: Untuk apa orang menulis? Macam-macam sebab. Untuk apa/Kenapa jadi penulis? Macam-macam sebab.

Mungkin juga ada contoh sebab yang sedikit trajik nadanya, "Jika saya tidak menulis, saya boleh menjadi gila". Atau menurut sebab yang lebih popular, “Jadi penulis boleh cepat kaya!”

Ya! Semua yang menulis itu ada macam-macam sebabnya. Jangan lupa juga, ada orang menulis kerana itulah yang harus dilakukannya. Menulis.

Dan saya menulis reaksi ini kerana setelah membaca catatan Sdr Fadli dan Sdr. Meor, ada sesuatu yang ingin saya nyatakan. Saya boleh saja meluahkan komentar ini ke dinding, atau pada jendela yang terbuka, atau pada rakan di sebelah meja. Tetapi pada hitungan lain, adalah lebih baik fikiran dan perasaan saya itu ditaruh di sini saja. Dan kenapa saya menulis entri ini, sepanjang ini? Saya juga tidak tahu kenapa jadi begini panjang catatannya. Entahlah. Atau memang. Memang mungkin orang menulisa ada macam-macam sebab- musababnya.

Salam hormat dan terima kasih kepada Sdr. Fadli untuk ruang ini.

Wassalam,
ZA  

No comments: