Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Monday, January 7, 2013

Southeast Asian Independent Cinema


Tajuk: Southeast Asian Independent Cinema
Oleh: Tilman Baumgartel (editor), John Lent, Alfian Sa'at, Ben Slater, Natalie Bohler, Intan Paramaditha, dll.
Terbitan: NUS Press
Tahun: 2012

Sinopsis:
Buku akademik yang membincangkan perkembangan dan penerusan riwayat pembikinan filem bebas di Asia Tenggara berserta para penyelidik terkemuka, pencetus dan perintisnya, serta beberapa wawancara bernilai beberapa tokoh pembikin terkemuka setiap negara berkenaan pengalaman dan isi hati tentang sinema dan pembikinan sinema. 

Rasa:

Saya tahu Amir Muhammad mungkin kurang suka dengan buku-buku sebegini yang buatnya "dry" bilamana lihatlah kumpulan buku filem yang beliau hasilkan, amat menarik sebagai dokumentasi bikin dan fakta wayang kita. Tetapi saya menganggap pembacaan buku sebegini perlu dan sememangnya penting, malah buku ini antara yang terpenting kerana berjaya membawa satu kesatuan: (1) mengumpul cetusan sulung pembikinan filem bebas di negara Asia Tenggara masing-masing, khusus dua negara, yakni Filipina dan Indonesia yang bergerak dengan falsafah kredo dan manifesto mereka terhadap "revolusi pembikinan"; (2) beberapa analisa dan penghujahan latar belakang dan sejarah pergerakan para pembikin filem bebas setiap negara Asia Tenggara, khususnya yang aktif sehingga sekarang; serta (3) wawancara dan testimonial beberapa tokoh pengarah Asia Tenggara yang sudah menempa nama mereka di tata dunia perfileman.

Kebanyakan analisa dan penyelidikan berkenaan beberapa filem serata Asia Tenggara ini menarik, khusus negara paling aktif (atau paling senang didekati oleh dunia), yakni Indonesia, Singapura, Thailand, Malaysia, dan Filipina. Hanya kita tidak ketemu dengan Vietnam, Cambodia, Myanmar, Laos, Timor Leste dan Brunei (jika mereka ada pendekatan ini) dan sedikit latar tentangnya. Ianya selamat untuk dikatakan, sekurang-kurangnya, dengan negara yang dipilih agak menyeluruh sudah ditelurusi, walaupun ada yang tidak dinamakan, berkemungkinan kerana pengumpulan bahan berlaku sebelum beberapa nama penting lagi yang mula keluar dan menyerlah, khusus dari Indonesia dan Malaysia.

Terdapat beberapa juga keperluan meneliti "budaya penontonan" yang saya kira penting. Hal ini adalah disentuh sedikit sebanyak sekurang-kurangnya dalam wawancara bersama para pengarah. Di Malaysia, Allahyarham Yasmin Ahmad dan Amir Muhammad mendapat tempat (saya menunggu sesiapa mewawancara James Lee yang mula melihat ada perubahan) manakala Khairil M. Bahar memberikan testimoni sendiri bagaimana dia bergerak membikin filem sulungnya, Ciplak, yang pernah diiktiraf oleh pengkritik terkemuka, Hassan Muthalib. 

Saya menyukai penyelidikan yang amat teliti oleh Alfian Sa'at (walaupun terdapat kesalahan fakta berkenaan Ranjau Sepanjang Jalan, filem itu tidak mendapat pecah panggung waktu ditayangkan) dengan membanding dan mendekonstuksi dunia wayang Malaysia dan khusus dunia wayang Singapura, khususnya dalam mewacana filem-filem Eric Khoo. Bagi saya, kajian ini amat menarik dan kritis, lebih-lebih lagi dalam hal memahami "jati diri" dan "kampung halaman".

Buku ini perlu buat mana-mana penyelidik ingin mengenal secara sepintas lalu berkenaan dunia pembikinan filem bebas, khususnya melihat bagaimana dalam konteks Asia, perkara itu bukanlah senang untuk didefinisikan, apatah lagi di"aplikasi"kan dalam rencah dan kepelbagaian budaya penduduk rantaunya.

No comments: