Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Wednesday, January 16, 2013

id: interdimensi


Tajuk: id
Oleh: Amer Hmzah L. Kadir
Terbitan: Utusan Publications
Tahun: 2012

Sinopsis:
Reboot ... interdimensi!

Eva menemui seorang "penyimpan arkib" yang misterius. Misteri tidak terjawab ini dibuka dengan beberapa misteri lain, dengan hentaman berapi, UFO dan kemunculan manusia yang berada di sebuah tempat secara tiba-tiba. Eva dan rakannya Azril tidak tahu, dunia mereka sedang ditakluki, bukan sesuatu yang mereka "takkan kenal" tetapi sesuatu yang lebih dekat, sedekat jantung mereka sendiri. 

Rasa:

Novel terakhir yang saya baca dalam siri ini. Saya sudah habiskan lama tetapi tidak sempat menulis kerana sibuk menangani majalah (anak buah saya kini menangani dua buah majalah, kami tidak cukup tangan).

Novel sai-fai kedua Amer ini lebih baik daripada yang pertama, membuah beberapa hal yang walapun kelihatan tipikal "siri sai-fai picisan" yang kita temui dalam sastera fiksyen sains pada era 50-an, kita menggapai beberapa situasi yang unik dalam dunia fiksyen sains.

Keseluruhan pemahaman tema novel ini ialah bagaimana manusia boleh menghindari paradoks. Sifat kebiasaan, yakni "menahan diri daripada terjerumus" merupakan mainan didaktiknya. Berlaku beberapa misteri yang agak menyesatkan tetapi diterangkan akhirnya, memberi maksud "absurd" terhadap beberapa watak pelik yang dihadirkan. Semuanya berlingkar dalam persoalan lompatan "interdimensi" yakni keupayaan untuk "melompat masa dan ruang", suatu teknologi yang dijumpai oleh kumpulan "manusia" tersebut.

Saya menyukai cara Amer "menipu" saya, mula-mula dengan menyoal persoalan amalan budaya pihak "dunia asing" tersebut yang menyamai sifat kemanusiaan. Lantas humonoid mereka bukan, tetapi kumpulan manusia terpilih zaman depan yang, mengejutkan, sepertimana Equlilibria, ditugaskan mencari kaedah penyelesaian masalah yang dihadapi oleh manusia era itu, sedikit sebanyak mengambil maksud "Bahtera Nuh" yang turut ditampilkan oleh Ruhayu yang buat saya lebih teliti dan indah.

Yang menarik ialah hal-hal kecil seperti sikap Phia yang menolak teknologinya tetapi menggilai sejarah dan teknologi manusia zaman lampau (zaman kita), menampilkan sifat nostalgis dan idealis Amer terhadap hal-hal "Sebelum" yang belum tercemar, juga bersifat anti-teknologi (teknologi hanya menyusahkan). Juga terhadap Uzo yang menyerupai The Man Who Fell On Earth sebagai simbol materialisme dan segala yang bersangkutan dengannya.

Sekali lagi, Amer memberi dialog dan pengucapan yang pelik, menolak rasional perwatakan dan psikologi. Terdapat teks yang tidak dapat dikunyah hanya kerana ia tidak dapat difahami:

"Pisahkan indigo dan kristal. Itu adalah detik pertama. Kemudian dominasi megalania dengan segala kisah maya yang berjaya membangkitkan rasa benci sama sendiri. Ini bukan kerja Tuba!" (hlm. 227)

Secara struktur, saya masih mempunyai masalah dengan gaya penceritaan Amer. Kita terasa "keras" dan kaku dalam pembacaan yang selalunya tidak lancar kerana kontradiksi yang dilakukan oleh Amer dari segi bahasa dan gaya "fiksyen sains"nya. Saya agak tersesat dalam beberapa perenggan. Seperti Nurul Izwazi, Amer juga suka melandaskan beberapa istilah dengan salutan gerak cerita yang membingungkan. Tetapi kali ini, ia lebih mudah dibaca dan membawa sebuah cerita yang menarik. 

1 comment:

srirahayumohdyusop said...

Fad,

"Lebih teliti dan indah" ye hehe. Terima kasih sekali lagi kerana meneliti novel-novel musim kedua.