Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Wednesday, December 26, 2012

Di Sebalik Dinara



Tajuk: Di Sebalik Dinara
Oleh: Dayang Noor
Terbitan: Penerbit UTM & Utusan Publications
Tahun: 2012


Sinopsis:
Farisha dimohon oleh pihak Soft Lab untuk menggodam sistem pangkalan rangkaian komputer mereka untuk menguatkan khidmat keselamatannya. Pada masa yang sama, Shida rakan serumahnya diminta menyediakan dokumen untuk Soft Lab. Perancangan seorang ketua, Dr. Maxi sebenarnya mempunyai rahsia tersendiri yang dilindungi bersama-sama Karl tentang penglibatan Farisha dan Shida, membuka kisah-kisah lama yang gelap dan menakutkan. 

Rasa:

Dayang Noor merupakan penulis yang tiba-tiba muncul dalam persada penulisan fiksyen spekulatif. Bermula dengan FiXi dua tahun lepas (?), penulis ini mula mendapat "tempat" dan kelibat, mempunyai kecenderungan sikap "noir" atau asasi gothik dalam pengolahan tulisan ngerinya (dapat diteliti beliau cukup seronok dengan ngeri tekni/techno thriller), memberi kisah-kisah ceritanya suatu konflik dan penyeleraian yang hitam dan sekali gus tidak mudah mencapai "hidup dalam bahagia selama-lamanya", memberi ruang paranoia dan wasangka dalam perspektif amatan persekitaran, seperti mana yang diminta dalam mana-mana garapan noir mahupun ngeri.

Kisah dalam novel ini sendiri mempunya pendirian itu, dan menariknya, ada dua tiga lapisan menarik yang menyoal beberapa "hal-hal tersirat" yang saya sedari merupakan kritis Dayang terhadap masyarakat sekarang (sebenarnya, walaupun kelihatan novel ini ditulis dalam kesedaran masa depan yang dekat atau near future), yang jelas merupakan sifat kosmopolitan masyarakatnya yang "hilang" identiti asal (persoalan, siapa kita sebenarnya banyak dicanangkan secara tersirat) dalam perhubungan yang kononnya 1Malaysia. Hal ini juga bersangkutan dengan psikologi Jung dan ilmu dramaturgi berkenaan "topeng" yang dipakai manusia (siapa sebenarnya di sebalik topeng). Hal ini menjadikan sifat manusia itu sendiri samar, seperti watak-watak dalam novel ini yang mana susah bagi kita menjustifikasikannya sebagai hitam/putih atas dasar pilihan dan tindakan yang mereka lakukan (khususnya Karl dan Medina/Marilyn).

Kegilaan dan kelam-kabut inilah yang menyebabkan kecelaruan identiti berlaku, tampil dengan curiga akan pegangan agama (!; Terdapat kritis secara lalu Dayang terhadap sifat manusia sekarang yang pluralis tetapi berpura-pura, kita tidak kenal lagi siapa kawan kita), mungkin politik, tetapi setentunya niat kewujudan kita sendiri. 

Hal-hal ini tampak hebat jika novel ini diolah dan digarap dengan teliti, yang tampak Dayang semacam "secepat mungkin" hendak menghabiskan novel ini, dengan suntikan beberapa unsur melodrama yang membosankan. Kuasa bahasa Dayang (bukan bermakna nahunya tetapi gayanya) tampak pincang dengan suara yang begitu mendatar, sederhana dalam menggerakkan pembaca. Novel fiksyen sains ngeri yang baik selalunya ditulis dengan sifat menggerak yang memberi keterujaan, unsur-unsur sebab-akibat dan kejutan dramatik yang membawa pembaca "sesak nafas". Hal ini tidak berlaku kerana sikap Dayang yang "damai" (pacifist) di tahap yang mengejutkan, dengan mainan klise biasa dalam novel-novel popular dan remaja.

Berlaku beberapa diksi, ayat dan frasa yang menjengkelkan, menolak kekuatan "debar" dan paranoia yang sepatutnya ditampilkan. Ayat seperti "Memang sah dia gila!" (hlm. 173) seperti tidak menjadi atau "stating the obvious". Gila bagaimana? Hal itu satu lagi. Pancaran watak-watak terlalu pulpa, terlalu bersikap picisan, kadbod-kadbod yang bercakap-cakap kerana penulis/pengarahnya menyuruh bercakap, maka kadang-kadang plot dan cerita yang "bijak" kelihatan kekok kerana dialog-dialog tersebut. Rujuk sahajalah bagaimana dengan "sepintas lalu" Farisha bercakap tentang ibunya "datang bercakap-cakap" walaupun pada awal "mimpi"nya dia tidak kenal pun wanita itu (wanita itu memperkenalkan dia ibu Farisha, dan Farisha terus percaya?) (hlm. 177) Hal-hal remeh sebegini melemahkan novel ini, dengan perkara "kecil" untuk difikirkan, sepertimana dialog bersambung berkenaan "pembedahan plastik" dan cantik/kacak seorang lelaki, dan pelbagai lagi selain pembicaraan hal yang lebih implisit dan diperlukan.

Terdapat percubaan Dayang untuk menguak dunia realiti maya William Gibson dengan satu penambahbaikan berkenaan "pertukaran identiti" yang segar, tetapi dunia penggodam (hackers) itu sendiri tampak superfisial dan dibuat-buat, tanpa memberi genggaman budaya-gaya hidup yang benar-benar hidup untuk menghidupkan watak Farisha. Kita tidak rasa dunia penggodam ini bahaya, malah dalam dunia novel ini, mereka merupakan pekerja macam orang lain, malah dicari-cari (sought after). Mengapa hal ini berlaku, Dayang langsung tidak menyatakannya, walaupun terdapat satu konvensyen buat mereka di awal cerita.

Maka bahaya itu jugalah yang "hilang" dan sepatutnya wujud pada pergerakan Dayang untuk membawa klimaks cerita dan penyeleraian. Ah, penyeleraian Dayang ini, walaupun mungkin menarik, kerana seperti sebuah opera TV Latin, pelbagai "peristiwa" berlaku dalam satu masa yang memeranjatkan, tetapi HANYA berlaku dalam dunia drama opera (adakah ini sindiran Dayang terhadap opera angkasa dalam dunia sai fai?) untuk kita yakini kisah ini sah dalam dunia fiksyen sains. Saya tidaklah tidak membenarkannya (sebagai pemerhati FS kita) tetapi "plot twist" ini agak mengada-ngada untuk "melebihi" penyeleraian "pernah dan selalu dibuat" Empire Strikes Back yang mana saya sudahpun agak dari awal. Lantas melodrama mengikat dirinya dengan gothik dan ngeri. Peyton Place bertemu Neuromancer sesiapa?

Sebuah novel yang mencuba dan boleh pergi jauh jika penulisnya memberi lebih banyak ruang untuk penambahbaikan dan suara yang benar-benar faham dalam menggerak dunia teknologi genggaman manusia, dan kegelapan yang menyelubunginya kerana gila "kuasa".

1 comment:

srirahayumohdyusop said...

Fadz,

Pujian kerana memberikan ulasan yang kritis dan bermaklumat. Kini seperti bergantung denganmu!