Di Malaysia, semua penganugerahan dibelakangi dengan dana. Institusi dan persatuan seperti DBP, ITBM, PBN, PENA, GAPENA dan kadang-kala badan pendidikan tinggi, UTM dan kemudian penerbitan swasta, Utusan, selalunya dibelakangi kesedaran Kementerian atau Bank mahupun korperat antarabangsa (ESSO) memenuhi tanggungjawab sosial dalam menambah nilai "kemanusiaan" dan "budi murni" sosio masyarakatnya dengan menyalurkan "bantuan kewangan" menjayakan sayembara.
Sayembara di Malaysia seperti suatu acara yang diangkat sebagai penanda aras sebenar suatu karya yang boleh ditahan uji sifat pengisian intelektual dan nilai murninya (nilai murni ini subjektif, mengikut pemahaman sang penganjur). Tetapi bagi manusia bernama penulis, selain berkobar-kobar menunggu teks mereka di"pendidikan" menjadi bahan buku sekolah, menunggu keuntungan laba "hadiah" sayembara (yang bagi saya, nilai wangnya terlalu kecil sebenarnya, tidak memadai, kadang-kadang, dengan tumpah darah kajian, pengalaman, dan kesakitan fizikal, mental dan rohani si penulis curahkan) yang sedikit banyak "menambah rezeki". Itu sahajalah "pulangan utama" dunia penulisan, khusus mereka yang bergelumang dalam dunia kesusasteraan tulen.
Di Malaysia, tidak adanya suatu penganugerahan yang "pukul rata", sepertimana kita dapat lihat wujud dalam Pullitzer, ataupun Whitebread, ataupun Hugo, ataupun Nobel (yang sudah tentu, punya agenda subjektif ahlinya masing-masing) yang boleh diperuji sebagai "menyeluruh". Ya, kita mendengar tentang Hadiah Perdana Sastera Malaysia, yang masih dipersoal cara pemilihan karyanya (sang penganjur menunggu karya untuk sampai ke riba, bukan melakukan usaha perolehan secara keseluruhan buat setiap penerbitan) baru-baru ini, kemudian "dengar tak dengar" kaedah pemilihan Anugerah Buku Negara (contoh memberi kemenangan Tokoh Buku Negara kepada beberapa nama pemimpin politik yang tidak pernah pun menghasilkan karya yang boleh diperuji kekuatan sarwanilainya ataupun kerelevannya, kecuali Tun Mahathir baru-baru ini). Kemudian, dunia "sastera yang luas" ini hanya tertakluk kepada dunia kesusasteraan secara umum, novel fiksyen spekulatif, bergenre, mahupun popular (yang diraikan Kedai Popular sekarang) amat jarang diraikan.
Ini mungkin juga boleh dipersoalkan dalam kegiatan usaha ampuh golongan genre itu untuk menghasilkan karya-karya yang banyak dan bermutu, sepertimana yang berlaku di Amerika/UK dengan pelbagai anugerah genre yang sudah sampai ke tahap "keduniaan" sepertimana Nebula, Hugo, Bram Stoker dan BFSA.
DBP, contohnya, hanya akan melakukan "sayembara" yang selalunya "sejarah" ataupun "fiksyen sains" mengikut musim-musim tertentu, atas "permintaan ramai" dan tiada usaha melakukannya secara berterusan setiap tahun. Alasannya mungkin, "ketiadaan sambutan".
Sebenarnya, sudah wujud buku bergenre yang boleh dimuatkan dalam satu pakej pemilihan. Kini, banyak novel "fantasi" sedang berlambak diusahakan, mengikut tahun. Penerbitan buku saga Artakusiad terbaru Ahmad Patria Abdullah, contohnya, pada tahun ini, Cabaran Lodra, merupakan antara novel fantasi yang ditunggu-tunggu serta mewarnakan lagi kehebatan prestij alur dunia sastera fantasi Malaysia. Kalau dunia "jenayah-ngeri", mungkin susah sedikit, walaupun FiXi kini cuba melawan himpunan novel Alaf21 yang masih terikat dengan dua tiga nama penulis "jenayah" dan "ngeri" (kedua-dua genre ini sahaja pun berlainan dalam banyak unsur). Suatu lagi genre yang sedang mendadak naik adalah "seram", dan setakat ini, penulisannya boleh dikatakan sudah mahu bergerak ke tahap "sederhana tinggi".
Yang lebih penting daripada itu, adalah genre fiksyen sains. Genre ini, saban tahun mendapat sambutan baik, lebih-lebih lagi usaha penulisan. Jika diperhatikan, banyak penulis, walaupun mereka tidak di dalam "latar" penulisan ini, CUBA menulis dalam genre ini. Hal ini pun, sudah lama digerakkan, sejak era Othman Puteh lagi! Malah kebanyakan penerbitan swasta, selalu sahaja akan menerbitkan genre ini, walaupun mereka tahu mereka menghadapi risiko lambakan buku yang mungkin tidak terjual (sebenarnya boleh, pemerhati atau pembaca sebenarnya mahukan kelainan, dan tidak mahu satu penceritaan yang biasa dan klise, mahupun mereka tidak tahu kewujudan judul. Contohnya, novel Invasi Raja Faisal bawah terbitan FiXi mendapat sambutan hangat kerana kehebatan strategi promosi penerbitnya, jika dibandingkan dengan kehebatan Manuklon atau Hikayat Neogenesis terbitan DBP yang kita tidak dengar pun).
Saya amat menunggu, sebenarnya Malaysia mempunyai anugerah seumpama Nebula ataupun Hugo. Tetapi saya bersyukur, UTM-Utusan sekurang-kurangnya, memberi laluan sayembara (di Malaysia, sayembara adalah suatu usaha menambahkan judul buku kerana kononnya kita kekurangan pengeluar buku [sudah tiba masanya wujud agen penerbit yang betul-betul boleh menggerakkan pemasaran dan perolehan penerbit bagi penulis, bukan seperti nyawa-nyawa ikan satu dua agen yang kita tidak dengar proaktifnya, mungkin juga kerana kelemahan penerbit sendiri dalam berkerjasama dengan mereka], sekali gus penghargaan genre/karya, berbeza dengan penganugerahan yang wujud di Amerika yang mempunyai badan bebas yang memilih pelbagai buku dari penerbit berbeza tanpa perlu menghantar manuskrip baharu yang belum terbit) yang sudah dua tahun diusahakan (sebenarnya, mereka sudah bermula sejak kemenangan novel Wira Pesona Avatari, walaupun pembukaannya khusus kepada kategori remaja). Saya menyatakan dengan jujur, bukan semua judul yang diperolehi kemudian dinilai dan diperuji bagus dalam erti kata sarwanilai fiksyen sainsnya, tetapi ada beberapa yang sememangnya boleh diraikan sebagai suatu hasil karya tempatan yang boleh dibanggakan, sekurang-kurangnya dalam lingkar sempadan tempatan.
Jika sayembara "perolehan judul" seperti ini tidak diteruskan, habislah, usah bercakap fasal pengkayaan imaginasi dan usaha menangkap minat masyarakat terhadap pemikiran sofistikated dan kesivilan. Percayalah, perlu Kementerian sekurang-kurangnya, dengan usaha (melawan kekurangan perbelanjaan) Perpustakaan Negara Malaysia dan mungkin badan-badan tertentu untuk menyebar-luaskan buku-buku tersebut ke setiap ceruk perpustakaan sekolah, baik kebangsaan, SJK, mahupun "antarabangsa". Bayangkan, jika ada sahaja judul cereka fiksyen sains yang masuk ke meja editorial Dewan Kosmik saban bulan, bukankah itu petanda perekayasaan yang lebih baik terhadap fiksyen sains perlu dipertingkatkan?
Atas sebab itu, saya melihat, Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Utusan, yang sudah masuk ke penggal kedua (dan masih menunggu yang ketiga) harus diraikan oleh mana-mana pembaca yang mahu mengenali dunia fiksyen sains tempatan. Sebenarnya publisitinya wujud (ada rakan-rakan pembaca fiksyen sains Inggeris yang selalu bertanya kepada saya, novel sai-fai Melayu apa yang terbaik pada tahun itu yang sempat saya baca), hanya perlu penyebarluasan yang lebih bersikap "kebangsaan". Bagaimana? Mahu tidak mahu, penyebaran publisitinya tidak haruslah terikat dengan akhbar "cenderung kerajaan" Utusan dan Berita Harian sahaja, perlulau ia disiarkan oleh akhbar Inggeris (yang tak habis-habis hanya menyiarkan dunia sastera luar yang entah puak elit mana sahaja yang membacanya), akhbar Mandarin dan akhbar Tamil, mahupun akhbar Nepal dan akhbar Bangladesh yangf mula wujud sekarang (jangan terkejut, ada juga yang membaca bahan tempatan berbahasa Melayu!). Itulah yang sebenarnya memungkinkan 1Malaysia yang meraikan kepelbagaian, mahu tidak mahu, jika acara pemberian paket beli buku, kedai rakyat, subsidi buat si miskin boleh disalurkan secara menyeluruh, bukankah apa-apa acara sastera (khusus seperti ini) yang dapat meningkatkan nilai pemikiran dan pengetahuan manusianya menangkap alam yang lebih sofistikated sepatutnya diraikan semua, tanpa batasan apa-apa lagi?
No comments:
Post a Comment