Tajuk: Cerita Malam Pertama (Kumpulan Cerpen)
Rasa:
Sememangnya Lutfi mengikat pembaca, bukan daripada sensasi watak, atau cengkaman bahasa. Saya menyenangi Lutfi kerana bahasanya telus dan senang. Yang utama adalah ceritanya yang mengalir laju dan "senang", dan beberapa yang mungkin, dibaca semacam sebuah hikayat pendek. Tetapi setiap ceritanya mempunyai suatu permintaan, ia memohon kita menafsir sesuatu, dalam diri kita, tentang kebaikan yang dicari, yang saya panggil "kesempurnaan", dan saya sedar, amat kuat ditekan secara sublimisasi oleh Lutfi sebagai "pencarian ke arah Insan Kamil", sesuatu yang jelas merujuk kepada pencarian yang terbaik dalam mengenali Islam, atau bagaimana hubungannya manusia yang terbaik dengan alam, dan sudah tentu akhirnya, mencari Tuhannya.
Tetapi yang menariknya, sifat Lutfi mengarah "kesempurnaan" ini bukan dengan ucapan didaktik yang jelas, tetapi sublimisasi cerita, yang disulam dengan watak-watak biasa dan kadang-kala kita dapat baca, jelas semangat sufistiknya. Membacanya pun bukanlah memerlukan intelektual yang tinggi untuk "terhibur". Kita diberikan dengan pelbagai cerita, atau pengalaman seseorang tentang sesuatu konflik, atau adegan yang "menjerut", dan kita akan lihat "naratif" si protagonis "melalui" detik pengalaman itu. Kita menyedari, akhirnya, mungkin resolusi yang dicapai "tragis", atau tidak menyebelahi "protagonis", tetapi ia mencapai suatu detik "tafakur". Di sinilah permintaan untuk mengisi pemahaman kita berkenaan "insan kamil" tersebut terserlah.
Ini dapat dilihat, dengan gaya penceritaan Lutfi yang banyak membawa penceritaan cerita dalam cerita, di mana, selalunya, si pencerita (selalunya protagonis) akan menceritakan "pengalamannya". Di sinilah "detik tafakur" itu berlaku, sang suami bercerita kepada isterinya, si yang berpengalaman bercerita kepada pendengar, atau si tua bercerita kepada si muda. Kaedah naratif ini senang sekali dikenali sebagai "penyampai erti" kepada "pembaca", seperti seorang guru menyampaikan ilmunya kepada murid, yang biasa dalam cerita-cerita sufi. Kemudian, dari situ, kita akan lihat bagaimana si pendengar itu akan bereaksi (atau tidak), tetapi kisah-kisah inilah (yang diceritakan) menunjangi "tema besar" atau naratif agung sesebuah cerpen Lutfi, menggalaskan kenapa "ia perlu diceritakan", di sinilah "manfaat" itu disampaikan dan "perlu" ditafakurkan untuk pembaca menelaah "kebaikan"nya.
Kadangkala, penceritaan itu tetap membawa kecundang terhadap pendengar/pencerita/sebuah kampung, selalunya kerana "perhitungan" yang tidak bijak menelaah "penyampai erti", kadangkala ianya memang takdir, tetapi selalunya, ia membawa emosi yang tidak ternampak tetapi melintas serasa menyentuh.
"Pencarian" Lutfi atau "gambaran" Lutfi terhadap "Insan Kamil", atau mereka yang cukup sempurna dalam pengertian akal fikiran, adab tingkah dan percakapan, serta pembawaannya, dan pegangannya boleh lagi dibanding dengan penggambaran Lutfi yang "sengaja" terhadap watak-watak yang sengaja simbol "haiwan". Haiwan ini secara taraf "di bawah" kemanusiaan, di bawah "kesempurnaan" ciptaan sempurna manusia. Walaupun selicik "musang" seperti judul cerpen tersebut, ianya bukan "sifat" atau "moral" terpuji buat Lutfi, dan ini yang diperjelaskan (tanpa mengajar, hanya menayangkan) wujud dalam kalangan manusiawi, tetapi menjauhi kenapa manusia itu dicipta asalnya.
Ada sebuah cerpen yang amat baik oleh Lutfi, dan buat saya merupakan adikaryanya setakat ini, berjudul "Biawak", tetapi mengecewakan, cerpen yang sangat baik itu tidak dimasukkan dalam kumpulan cerpen ini. Terdapat juga beberapa cerpen yang tidak pernah tersiar, dan juga beberapa cerpen "urban" yang kelihatan "cuba-cubaan" Lutfi, yang kiranya boleh diperlihatkan jejak kematangan penulis muda ini mengembara dalam dunia penulisan cerpennya.
Saya mengambil masa yang tidak panjang menghabiskan buku ini (ya, ia agak nipis juga), menunjukkan bagaimana kisah dan bahasa Lutfi amat "ramah pembaca", tetapi tetap menyentap akal dan rasa.
4 comments:
betul fadz!
Kata Syeikh Said al-Kharraz, apabila orang memujimu, maka ucapkanlah alhamdulillah kerana Allah telah menyembunyikan keaiban diri dari pandangan manusia lain. Terima kasih atas ulasan dan kritikan. Moga ada kebajikan di dalamnya.
kat mana boleh dapatkan buku ni Fadz?
cuba tanya penulis dia, Lutfi, kalau x pun, cari di MPH Mid Valley atau beli secara talian di:
http://shop.ameenbooks.com.my/index.php?p=245
Post a Comment