Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Sunday, May 15, 2011

Matinya Seorang Blogger

Saya ingatkan beliau bermain-main apabila menyatakan dalam entri terakhir beliau (yang akhir-akhir setahun dua ini penuh dengan poskad pelangi dunia Parsi dan polemik Syiah belaka) bahawa beliau akan berhenti dan itu merupakan entri terakhir beliau.

Rupa-rupanya, beliau betul-betul pergi.

Saya tidak tahu, tetapi saya ada rasa kekosongan. Saya merupakan antara peminatnya (sasteranya), juga pengikut blognya.

Semalam, sewaktu balik dari ofis (kini saya bekerja Sabtu Ahad, kerana kerja di Buku Sekolah, tempat yang sepatutnya tidak digalakkan bagi para penulis), saya melihat sesuatu yang indah. Pada masa sekarang, orang Iran sudah ramai yang bermastautin di Malaysia, khusus Kuala Lumpur.

Bas yang saya naiki melalui jalan ke Chow Kit, berdekatan panggung Federal. Ada sebuah kedai makanan "beriyani" baharu, kelihatan milik seorang wanita Iran. Ruang dalamnya kosong, tak ada pelanggan. Waktu itu senja maka isi dalam restoran itu terang dengan meja bersalut alas merah putih terang, kerusi kayu ala restoran Yunani dengan papan tanda yang sudah bercahaya merah garang. Si wanita Iran itu berapron merah, tidak bertudung, rambutnya ikal gerbang diikat rapi seakan seorang wanita Mediterrenean. Di dalam tangannya ada sebatang rokok, lantas dia menghirup nakotina itu dalam-dalam lantas melemparkan balik tebal asapnya kepada udara kotor kota Kuala Lumpur. Dia melihat sayu kereta mundar-mandir yang tidak mempedulikan kedainya (mungkin baharu mungkin), juga perasaan reda dan geliat sekali gus. Tetapi lutut dan matanya lebih menawan, dia bercerita bagaimana bebasnya dia, di tepi kaki lima yang selalu terisi pondan dan pelacur bahawa dia boleh berdiri, sendiri, di hadapan kedainya, tanpa seorang lelaki.

Melihat imej itu, saya rasa seperti mahu menangis. Saya teringat akan Faisal Tehrani.

2 comments:

Rizqi Mukhriz said...

saya merinduinya...

Anonymous said...

blog itu tidak pernah ditutup secara relahati, sebenarnya berlaku sekatan yang tidak disedari ramai, kebetulan terjadi sejurus selepas entri terakhir.. hanya sahabat terdekat yang mengerti kenapa.. moga lapangan lain yang diterokainya bakal memancarkan sinar dari sudut yang lain pula..

-si pemantau-