Saya terlupa untuk membawa balik telefon bimbit saya dari pejabat. Saya solat asar dan saya mencaj telefon itu di atas meja. Bila selesai solat, saya kemas barang, saya terlupa akan telefon saya.
Saya sudah 5,000 meter jauh dari ofis, ingat nak pergi ambil balik. Tapi tak, saya tak jadi. saya teruskan jalan.
Saya tidak mahu membelenggu diri saya terhadap alatan itu. Saya tidak mahu menjadi hambanya.
Dan jelas, dalam 30 minit selepas itu, saya terasa semacam ringan yang amat, yang saya kira, dirasakan oleh orang dewasa zaman 80-an bila telefon bimbit tidak lagi popular. Pada saat itu saya rasa merdeka, ruang dan mata saya jadi luas dan jauh, sejauh yang saya mahu. Saya dapat bernafas lega, dan tidak pernah terasa sebegini. Tidak perlu terasa nyaring dan debar menunggu panggilan atau deringan SMS atau ibu, isteri, awek, kawan memanggil, hal-hal leceh dan remeh dan kata-kata yang sedia peribadi yang sesuai sahaja diceritakan dalam kelambu tetapi dalam dunia FB, semuanya mahu ditutur di ruang awam sambil mata-mata asing memandang kamu, Kamu merupakan sang exhibitionist paling sofistikated. Yang sebenarnya membina tembok penjara sosial kamu sendiri.
Mungkin, saya patut jadikan setiap hari Rabu, hari padam telefon bimbit. Kuranglah pengkhidmat talian buat duit dan dunia sedikit nyaman tanpa perbualan di tengah-tengah awam.
Jangan salah sangka, saya sememangnya anak jati bandar. Tetapi saya merasakan, setelah ciptaan telefon bimbit, dunia menjadi terlalu terpenjara dengan pertalian, komunikasi, kecepatan dan hamba teknologi. Kamu tidak ada lagi masa untuk diri kamu sendiri, menenang diri kamu sendiri dan menghela nafas kosong. Setiap hal seakan ada sebab akibat, dinding pantulan. Bila lagi kamu hendak bernafas tanpa dinding menahan hembusan nafasmu?
Lagi-lagi jika kamu tinggal di bandar yang sekeliling kamu memang penuh dengan pacak dinding.
Malah, saya mempunyai cerita peribadi yang tidak begitu elok tentang telefon bimbit. Malah, alatan itulah, yang mula-mula mengajar saya tentang maksiat itu murah dan cepat. Memanglah, ustaz dan ahli hukum akan menyatakan rasionalisasi "akal" dan segala yang berkaitan tentangnya. Tetapi itu merupakan pengalaman saya dan ianya yang membina saya melihat telefon ini sebagai sesuatu yang mencurigakan.
Dan hal yang lebih menarik daripada telefon bimbit itu ialah, saya tidak lagi dikacau apabila saya membaca, yang mana, seperti perlawanan kepada telefon, buku merupakan elemen yang dapat meluaskan diri, memerdekakan akal secara harfiah, sebebas-bebasnya yang kamu mahu. Dan pada masa ini juga, saya sedang membaca sebuah buku yang begitu mengancam, ia membawa saya ke alam-alam jauh yang saya tidak mahu gopoh darat ke bumi kembali.
Saya menjumpai buku itu, di atas meja Sinaganaga, dan terus, saya membayar harga buku itu, walaupun beliau bising buku itu belum dipasarkan lagi! Ya, buku itu sepenting itu buat saya, malah saya menjadi bangga lagi apabila mendapat tahu, saya menjadi pembeli pertama buku tersebut. Ya, begitulah saya begitu taksub dan minat terhadap buku itu serta penulisnya.
Saya sudah berjanji kepada Naga bahawa saya tidak akan mendedahkan buku serta penulisnya, tetapi jiwa saya tak tertahan, saya perlu nyatakan juga, semacam prebiu mungkin, bahawa setakat yang saya baca, dan seperti yang saya kenal penulisnya, ianya satu kata-kata lumat yang indah untuk dikunyah.
Saya mengaku, saya mempunyai perasaan plutonik yang pelik terhadap beberapa penulis, termasuk penulis lelaki (ya, saya ada perasaan dan rasa cinta yang pelik, dan saya kira ini sesuatu yang baik untuk dunia literasi?) lagi-lagi jika hasil karya mereka menyentuh jauh ke dalam lubuk hati saya. Dan boleh saya katakan, penulis sebegitu tidak ramai yang memaut jiwa saya. Penulis ini, yang saya sedang baca bukunya adalah antaranya. Saya mengaku, saya mencintainya dan sanggup berbelanja untuk apa-apa tulisannya. Kalau dia di depan saya, saya sanggup nyatakan, I'm your no. 1 fan! (baca: Misery).
Tidak ramai penulis Malaysia yang dapat memaut jiwa saya sepertinya. Maaf kata, saya hidup dan dibesarkan dalam dunia serba urban dan budaya suburbia yang kamu boleh tonton berlaku dalam mana-mana filem arahan atau terbitan Steven Spielberg yang awal (tonton: E.T., Goonies, Poltergeist). Jadi, walaupun abang atau ayah saya menunjukkan Orang Tua Di Kaki Bukit, atau Ranjau Sepanjang Jalan sebagai sastera terbaik, pada masa itu, saya tidak boleh membacanya, kerana saya bukan sahaja tidak mampu menyelam alam desa yang membosankan (padi-ikan-pokok-lembah-dusun-padi-ikan-sungai-lembah-dusun), dengan sikap orang tua dan orang kampung yang menderita bukan-bukan (anak tak nak balik, tanaman tak menjadi, pokok tumbang), I just dont give a damn to them. Kejahilan saya waktu itu agak naif dan menyerlah saya mengaku (ok, waktu ni saya masih darjah lima!) Saya juga menyampah membaca cerpen remaja yang asyik-asyik cerita berkenaan hal drama yang berlaku di dalam kelas dan sekolah. Serius, saya mengalami kebencian dan kebosanan terhadap dunia sekolah yang amat melarat. Oleh sebab itu saya lebih rela membelek berkali-kali Budak Kampung Lat, kerana Lat memahami dunia kanak-kanak hanya berlaku dan betul-betul hidup bila ianya di "luar", dan bukan bila terkongkong dalam kelas dan sekolah.
Sang penulis yang saya katakan, dengan hasil kerjanya itu mempunyai jiwa-jiwa yang ingin saya penuhi. Saya tahu, penulis tersebut juga merupakan anak desa yang sempat pandai dan belajar luar negara (mengalahkan saya), tetapi ceritanya tidak terikat dengan hanya fasal desa, kerbau dan segala klise yang anda boleh jumpa bila orang jerit "sastera Melayu moden". Malah ceritanya paling fantastik, dan paling dekat dengan dunia imaginasi yang teperuk surealis kadang-kadang, fiksyen sains mengada-ngada kadang-kadang, yang saya dapat bersemuka, tipikal seorang remaja seperti saya yang cukup seronok (dan kadang-kadang tidak minta pun) berimaginasi tentang dunia luar. Memang, sekarang, saya lebih matang untuk memahami seluang, sauh, sawah dan semai. Tetapi, kerana penulis seperti inilah, saya meminati sastera Melayu dan mengenalinya, bahawa ianya bukan tentang kerbau di tengah sawah, peluh menunggu padi menguning dan anak tidak mengenang budi sahaja.
Ianya tentang pengalaman dan bagaimana salah, lemah, kecewa atau gila, kita masih manusia yang hanya meniti pengalaman. Saya sempat menjelajah pelbagai benua bersamanya. Dan itu sudah cukup mengisi masa saya hingga ke malam.
ps: saya akan mengulas dengan lebih objektif berkenaan buku tersebut. Tulisan ini lebih bersifat peribadi yang mutlak terhadap penulis ini, yang sememangnya merupakan idola saya.
4 comments:
Menanti ulasan dan identiti penulis buku itu.
tahniah kerana tidak menjadi hamba telefon bimbit;>
hadirnya hanya satu keperluan bukan jadi tuhan.
errrr.....kalo x salah saya "seorang tua di kaki GUNUNG" adalah judul yg betul, bukan BUKIT......
haha, hilmi, mmg disengajakan..
Post a Comment