Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, October 19, 2010

Sasterawati

baru-baru ini saya ke PENA untuk Dialog Orang Muda. Panel dan tema hari itu tentang penulis wanita muda. Saya bertanyakan soalan (kerana isu Anugerah Sasterawan Negara masih belum dimiliki para wanita), setakat ini apakah novel wanita terbaik yang pernah ahli panel baca. Mereka menyatakan, Delima Ranting Senja oleh Siti Zainon Ismail (saya terfikir, bagaimana pula dengan hasil karya Aminah Mokhtar, Fatimah Busu, Zaharah Nawawi, Adibah Amin, Siti Aminah Yusof).

Saya amat-amat teruja. Saya ke kedai buku DBP dan menjumpai buku itu (harganya rm35). Saya cuba baca rangkap pertamanya. Amat susah untuk dihadam. Amat susah untuk difaham.

Saya tidak menolak, tentu novel Zainon yang terbaharu itu merupakan sebuah novel perjuangan yang bagus, sarat dengan falsafah dan ilmu, malah saya akan beli selepas membaca beberapa novel yang saya belum habiskan (Muhammad Akhir, Warisan, Everville, Empangan, Patriah: yeap, saya membaca beberapa dalam masa serentak). Tetapi bahasanya ...

Saya selalu memandang, pembacaan jadi lancar dan seronok apabila teksnya tidak terlalu keras dengan istilah dan perkataan luar jangka. Saya tidak tahu mengapa, setakat ini, kebanyakan novel "sastera" wanita yang saya jumpa, teks-teksnya dipenuhi dengan kod-kod kiasan, metafora dan kata sarat kompleks. Maaf, saya dah lah seorang pembaca "lembap", maka lebih lembaplah saya apabila menuruti dan memakan satu-satu "kod makna" dalam satu ayat yang panjang dan jengkel mengelirukan (buat saya).

Adakah wanita sengaja mengatakan diri mereka memang susah untuk difahami lelaki, lewat karya mereka? Adakah ini emansipasi alamiah?

Kenapa segelintir sasterawan wanita tidak boleh menulis seselamba penulis popular wanita? Yah, saya benci Khadijah Hashim, tetapi tidak bermakna saya tersangkut membaca novelnya. Satu hal lagi, alasan yang diberikan ialah "ini tandatangan saya", atau "ini gaya penulis".. OK, saya terima hal itu, tetapi maaf, saya terpaksa ambil masa untuk memahaminya.

Kini saya masih meneruskan perjalanan menyaring dan mencari seorang penulis wanita yang menulis "biasa", punya karisma, bergaya, dan boleh berjumpa dengan karya yang sarat "ini bukan tema biasa".. Harper Lee dan Margeret Artwood merupakan tanda aras .. Harapan!

12 comments:

ulasbuku said...

Saya juga tak berapa seronok baca hasil karya penulis wanita (Siti Zainon Ismail, Nisah Haron, Mawar Shafei, Fatimah Busu). Kita boleh kesan kewanitaan mereka dalam ayat-ayat yang mereka cipta. Penuh emosi, ayat berbunga-bunga. Beat around the bush.

Setakat ini boleh baca karya Rebecca Ilham sahaja. Lebih realistik dalam pemilihan kata-kata. Straight to the point.

Pei Pan said...

"Saya cuba baca rangkap pertamanya. Amat susah untuk dihadam. Amat susah untuk difaham."

- Masalah yang sama! Kalau novel tak ada kod, perkataan berbunyi sainstifik tidak hebatkah? Kalau terus begini, karya mereka terus berhabuk di rak, ilmu terus tersimpan - tak terhadam.

fadz said...

Salam, ada juga beberapa penulisan penulis yg dinyatakan di atas oleh mxy yg lancar dibaca. Setakat ini buku2 Fatimah Busu senang.. Cth novel yg saya beli kemudian tidak boleh menghadamnya ialah Sejernih Lazuardi oleh Shamsiah M. Nor. Tawarikh Cinta dan Puisi untuk Esdyzuar Kak Nisah juga lancar. Pulau Renik Ungu agak "berat" tetapi boleh dibaca.

Bagi saya Pak Arena juga menggunakan perkataan yg "pelik" dlm karyanya tetapi disusun dalam satu ayat yang kita dapat "faham" terus makna ayat itu. Rujuk Bedar Sukma.

saat omar said...

Suka Adibah Amin..apa nama bukunya dah lupa.kisah dia membesar sampai ke kolej...

fadz said...

The end of the Rainbow kah?

saat omar said...

Tajuk Melayunya Tempat Jatuh Lagi dikenang kot....

Taf Teh said...

Eeer... eer... rasa macam perlukan suntikan propofol.

Mungkin orang perempuan patut duduk dapur aje.


:(

Anonymous said...

Mungkin novel karya Adibah Amin, Seroja Masih di Kolam, merupakan novel penulis wanita yang paling mudah tetapi sarat mesej yang harus dihadam oleh penulis muda wanita masa kini.

Emansipasi wanita, itu inti di lapisan makna paling dalam yang ada dalam karya tersebut.

Wan Nor Azriq said...

Belum menemui novelis wanita Melayu yang hebat.

Puisi:hanya menyukai bahasa dalam sajak-sajak Shaira Amira.

penyair wanita lain:terlalu kering dan "fake".

Pernah baca novel Tarian Bumi oleh Oka Rusmini? Sahaja memberi cadangan.

fadz said...

Taf, ada di luar tu yg saya tak jumpa lagi kot..

Seroja Masih di Kolam, ok, saya cari novel tu..

Shaira Amira dikatakan mempunyai masalah psikologi, ahhaahahaha, itulah yg dikatakan beberapa penulis kepada saya.. saya akan cuba baca nanti..

Zurinah Hassan pun "fake"? Siti Zainon? Siti Zaleha?

Tarian Bumi? Ni mesti novle Indonesia ni..

Pei Pan said...

Shaira Amira puisi okey. Saya suka.

Dominasi Tebrau - Aminah Mokthar. Ini novel pengarang perempuan yang saya rasa tak "sangkut" bila baca =)

Generasi penulis perempuan yang baru saya kira Nisah Haron dan Mawar Shafei agak baik - tidak rumit untuk memahami.

Wan Nor Azriq said...

Zurinah Hassan,Siti Zainon,Siti Zaleha,dan Raihani...

ah,fadz,ini sahaja nama yang ada dan boleh kita banggakan.raihani pun tak lama lagi akan masuk ke dalam kelab tiga orang penyair sebelumnya.

suara lama mereka masih indah didengar.tapi saya mencari suara baru.nak juga lagu puisi generasi MTV.dah banyak sangat lagu puisi generasi sinar fm haha

fadz,semua penulis memang gila sedikit di kepala :)

ya novel indonesia.bukanlah nak kata ia bagus.tapi kalau berminat nak buat bandingan dengan novel wanita kita,novel ini lebih 'sesuai' barangkali dari Saman.

bukannya apa,Saman dah banyak sangat kontroversi sampai nak beli pun pembaca kita rasa malu.