Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Wednesday, June 9, 2010

Sebagai Penulis Dekad Ini, Kita Memang Celaka

Tidak ada zaman yang paling buruk tetapi hidup pada zaman ini untuk seorang sasterawan.

Hidup mereka menanggung penderitaan yang amat. Dan mereka tidak menyedari ini.

Sudah lebih 50 tahun kita mencapai kemerdekaan. Kini, dalam dunia serba moden, perkembangan kesusasteraan kita nil. Zaman-zaman Asas 50 yang kita ketahui dengan seni untuk masyarakat merupakan pengaruh paling tinggi dalam penulisan, yang boleh dilihat terlahir hingga sekarang, walaupun mengikut pelbagai idealogi dan teknik atau gaya penulisan yang baharu atau eksperimental. Malah masa demi masa, membawa kepada penumpuan penulis, bukan terhadap luasnya humanisme, tetapi terhadap sosial sesebuah kumpulan (selalunya, Melayu, atau sebuah komuniti Melayu) dan kini tertumpu kepada sikap pemujaan atau konfesi, mengadu domba atau gelisah seorang individual. Individu itu sudah cukup dikatakan “mengklasifikasikan” kesemua rintih masyarakat (rujuk Sangeetha), walaupun yang tidak seagama atau sebangsa. Kebanyakan penulisan pun, sudah kelihatan terarah ke situ, dan dengan benak yang benar, kebanyakan penulisan popular, walaupun tidak disedari mereka, adalah tertumpu ke arah individualisme yang tidak terbatas.

Malah pada awal perjuangan Shannon Ahmad terhadap sastera Islami, kini wujud dunia didaktik dan pemikiran atau polemik dalam hal-hal agama yang begitu lunak, mungkin boleh dikatakan sudah mencapai tahap yang matang, dengan wujudnya penulisan daripada penulis seperti Abdullah Hussain, Faizal Tehrani, Aziz Hj. Abdullah, S. Othman Kelantan dan beberapa lagi yang kemudiannya disambung oleh majoriti penulis muda, termasuk beberapa penulis yang banyak menyumbang di dalam majalah Tunas Cipta, satu-satunya majalah yang memberi peluang kepada penulis muda berkarya. Tidak ada kesalahan dalam dunia penulisan Islami, tetapi statik dan ketiada perubahan, atau sikap para penulis yang memperlihat tiada perlu yang berubah terhadap karya sebegini (dan hanya melintas beberapa isu, yang kini sudah begitu klise dan dikenali) telah mengakibatkan satu keadaan kemandulan terhadap perkembangan susastera tempatan.

Lebih menyedihkan, para penulis Inggeris (yang masih tetap sahaja dengan gaya dan sikap mereka yang terlalu meminjam gaya penulisan Barat) tidak sekata dengan para penulis bahasa Melayu (dan ini belum lagi melihat perpecahan penulis Cina, Tamil dan bahasa lain yang lagi terpecah-pecah dan tidak diketahui karya mereka oleh pemerhati sastera). Saling tidak mengenali dan tidak mahu memahami idea, konteks malah kandungan sudah begitu mencapai keadaan yang kritikal, dan langsung tidak dipeduli oleh kedua-dua belah editor. Dewan Sastera, majalah sastera terkemuka tempatan, dan satu-satunya majalah sastera (kerana penerbit lain seperti yang pernah diterbitkan oleh Utusan sudah lingkup kerana realitinya, tidak ada pembeli) yang berjuang untuk sastera Malaysia hanya tertumpu kepada sastera “kebangsaan”. Jika ada penumpuan fokus penulis antarabangsa, rata-ratanya ditulis oleh SN Muhammad Haji Salleh yang mengikut seleranya, tanpa melihat betapa luas dan pelbagainya jiwa dan kemudahan sastera boleh sumbangkan terhadap masyarakat. Itupun sebenarnya, sumbangan SN Muhammad Haji Salleh sudah begitu berharga. Tetapi bagaimana pula dengan penulis-penulis Inggeris, Cina, India yang mula kelihatan wujud dalam kelompok-kelompoknya masing-masing. Tidakkah berlaku terjemahan dalam kalangan mereka (karya Melayu ke bahasa Cina, India, Inggeris, atau karya Cina ke Inggeris, Melayu dan Tamil sebagai contoh)? Bagaimana pula dengan komuniti dan pertemuan berbilang ideologi?

Kita, para penulis muda yang mahu melihat perubahan, kemudiannya menjurus dan mencari ruang sendiri, lalu bermulalah “penerbitan sendiri” oleh individu ataupun diwakili oleh sebuah perkumpulan. Mula-mulanya, ia kelihatan tertumpu kepada beberapa laman (e-sastera, kapasitor), blog, dan zine, tetapi kemudiannya terhadap beberapa kumpulan yang melahirkan zine atau buku bercetak sempurna seperti Frinjan, StormKitchen, Matahari Books, Oxygen, Sindiket Sol-jah dan beberapa lagi. Ia merupakan “nafas segar” dalam sikap menyebarluaskan penulisan (tetapi kandungan dalam penulisan-penulisan ini masih dipersoal mutu dan keseriusannya). Walaupun kelihatan “nafas baharu” wujud, lebih-lebih lagi dengan adanya Pekan Frinjan di Shah Alam, acara Maskara di Pena, KLAB dan Seksualiti Merdeka di Pasar Seni, malah kelihatan, puak muzik, filem, artis dan penulis sudah mula “bercambah” dan bercampur, dan kadang-kadang berselisihlah sekumpulan penulis muda Inggeris dengan penulis muda Melayu. Ini kelihatan baik, tetapi, seperti biasa, kewujudan mereka ini masih tertumpu dalam kelompok “mereka”. Masyarakat luar, golongan majoriti Malaysia kadang-kala tidak sedar pun akan kewujudan mereka, walaupun kumpulan ini dengan seluas-luasnya menggunakan alam maya untuk menyebarluaskan aktiviti dan promosi karya-karya mereka. Masih lagi, dunia sastera ini, kecil, dan kelihatan tersisih.

Oleh sebab itu, kelihatan, wujud beberapa penulis muda yang berkobar-kobar, sudah mula menumpukan penulisan yang picisan dan popular. Nazri M. Annuar, menyedari hal ini, telah menghasilkan Karipap-karipap Cinta, sebuah buku nipis yang memparodikan segalanya yang bernama pop Islami dan sastera popular. Bukunya lantas menjadi pisang goreng di pasaran, suatu nama yang sebelum ini tidak dikenali, dikenali. Mereka melihat, itu sahaja cara yang mereka dapat “bersenggama” dengan masyarakat, dan sekali gus meraih keuntungan daripadanya. Dunia yang begitu kapitalis menyebabkan hal ini. Persoalan yang dibawa oleh Rais Yatim berkenaan keuntungan tinggi para penerbit dan kurangnya penulis menulis merupakan “a tip of the iceberg” yang mana Rais Yatim, serta mana-mana menteri pun (lebih-lebih lagi sekarang, kita tidak dengar Perdana Menteri atau mana-mana menteri kita membaca karya sastera, walaupun karya-karya itu membosankan buat mereka, dan hanya kita ketahui mereka menulis “sajak-sajak” dangkal lalu mereka “baca” sewaktu majlis-majlis perasmian, dengan baju batik mereka, dan sibuk menghasilkan biodata dan memoir setaraf kajian tempatan sejarah PMR kerana banyak teks dan gambar-gambar, yang mana masyarakat tidak peduli pun anak, taman orkid dan kereta BMW yang mereka bawa) tidak akan menyedari malah tidak peduli pun akan dunia sastera kita yang kian melarat (dana kreatif yang disuntik oleh Najib itu sememangnya bukan untuk penerbitan buku, tetapi lebih kepada industri animasi dan teknologi maklumat, serta kemungkinan industri televisyen dan filem).

Maka keadaan kapitalis yang menghimpit, dan tidak wujudnya budaya penulis seperti mana di London dan New York (di sana, wujudnya satu industri yang ada agen penulis, adanya editor, adanya pengurus penulis, dan adanya penulis, Rais Yatim, sila sedar akan ini jika anda betul-betul mahu perjuangkan kami!) mewujudkan satu persepsi bahawa penulis tidak boleh cari makan. Ini dihadapi oleh saya sendiri yang terpaksa bekerja pejabat untuk “menampung” diri kerana memang, kebanyakan daripada kami tidak dapat bergantung kepada jualan buku, lebih-lebih lagi yang luar daripada genre popular (khususnya cinta). Pengimbangan masa kerja dan masa penulisan dan kemudiannya masa peribadi dan sosial menjadi pengimbangan yang amat mengganggu penulis, khususnya buat mereka yang menghasilkan novel. Keadaan dan masa, serta keadaan pemasaran (keinginan terhadap bahan-bahan popular) menyebabkan diri mereka terkongkong, dan makin terkongkong, membuat mereka mengambil pilihan, adakah mereka patut berhenti menulis dan terus melakukan kerja hakiki, menulis sahaja bahan picisan (sepertimana yang berlaku terhadap Nazri M. Annuar) yang senang, mengambil pilihan berhenti kerja lantas terus menulis, atau paling buruk, menghabiskan hidup kerana merasakan tidak ada ertinya lagi. Jika kita perhatikan, kebanyakan novelis yang menerbitkan novel untuk DBP (satu-satunya penerbit yang menerbit bahan sastera) termasuk dalam kalangan penulis veteran. Kalau ada yang bernovel, adalah satu-satunya novel mereka (dan tiada lagi), ditulis sewaktu mereka belajar di universiti. Kalangan penulis muda yang mempunyai kerja tetap, lebih banyak tertumpu kepada penulisan cerpen dan puisi, jarang kita jumpai penulis muda yang menulis novel. Kalau ada, mutu ceritanya dan temanya amat dangkal, kelihatan seperti novel yang tidak disemak atau di”tulis semula” (satu-satunya teknik untuk menyenpurnakan penulisan yang dibuat oleh kebanyakan Sasterawan Negara). Inilah kecelakaan yang mereka hadapi, yang mereka tidak sedari pun, diberi nasihat oleh kalangan-kalangan yang tidak pun menulis seperti mereka, yang tidak tahu penderitaan yang mereka lalui selama ini. Dan kitaran ini sudah semakin tampak dan tampak beredar terus tanpa bantuan sesiapa. Tidak perlulah Salman Sulaiman merengek untuk para penulis muda atau alumni MPR untuk “terus menulis”, jika keadaan tempatan yang memberi tempat kepada karya popular, yang masyarakatnya mementingkan duit daripada perjuangan lantas mengakibatkan penulis tiada jalan lain daripada hanya bekerja sepenuh masa. Kerja menjadi lebih penting daripada penulisan. Hidup untuk mengisi perut lebih penting daripada perjuangan idea.

Hal ini, dengan sendirinya menjadi tujuan kenapa tidak ada msyarakat luar yang peduli untuk melalui “dunia penulisan”. Ini adalah kerana, tidak wujudnya “industri” di dalamnya, hanya pemahaman “membaca untuk tenangkan fikiran” yang menular sama dalam filem-filem tempatan. Penulis, bagi mereka, adalah bayangan dunia elit yang tidak tercapai, malah sudah kelihatan sekarang, membosankan (lebih baik jadi penyanyi atau pelakon) dan dekaden. Lebih jauh lagilah dunia penulis dengan masyarakat, walau berapa banyak aktiviti kemasyarakatan yang dibuat. Membaca menjadi satu hal yang membosankan dan mengambil masa. Hanya menunggu masa menilik kiamatnya.

6 comments:

Zehann ur Rakhie said...

teringat sebuah cerpen yang aku baca zaman remaja dulu bertajuk - Demi Kepentingan Perut ( or something like that)- tak ingat nama penulisnya namun karangan itu sangat meninggalkan kesan.

Anonymous said...

Salam.

Saya nampak memang ada isu di sini. Tetapi bagaimana dengan penyelesaiannya? Sdr ada jalannya? Kongsikan.

Saya tidak dapat mencelah, kerana saya dari kalangan mereka yang berumur, dan tidak pula menulis. Lebih baik ada susulan daripada yang sepersekitaran dengan sdr.

Semoga berjaya. Dan selamat berkenalan.
Wassalam.

Jef Hadi said...

Bro! lambat la bro! Kenapa baru sekarang cakap pasal ni. sangat setuju dengan apa yang kau cakap. sastera di Malaysia sedang kembang kuncup. Tak pun hidup segan mati tak mahu.

Tengoklah RMK 10 yang baru bentang hari ni.Tak ada pun yang menyentuh hal ehwal sastera.Kenapa ya?

Mungkin sebab dorang tengok sasterawan ni macam penyibuk? Yang suka benar menyingkap kebenaran di sebalik penipuan yang dorang lontarkan.

Tengoklah bila Gerakan Mansuhkan PPSMI buat demo damai.SN kita disimbah air.Dihentak dengan baton.Dicumbu dengan gas pemedih mata.

Haa!! Kalau cakap pasal sastera.Aku rasa sampai matahari mati pun tak habis.Selagi politikus yang berkuasa.Melihat materi lebih dari modal insan.

f.a. said...

rehann, tk.

sastraboy, mmg sudah lewat, sebab dahulu saya optimis. Sekarang optimis saya sudah hilang. Saya pesismis terhadap dunia sekeliling saya sekarang.

azizah, yang berkenaan menteri, rakyat yang tidak mahu membaca sastera dan popular, entah, tapi pada diri, ya, saya sudah ke arah pesimis. Jadi bukan daripada saya hendak tentukan ke arah mana, semoga persoalan ini didengar dan dibicarakan. BUat setakat ini, mmg langsung buntu malah membenci sastera mutakhir kita.

Taf Teh said...

Rasa macam nak hiris urat tangan bila baca entri kali ini!

f.a. said...

Taf, takkan sampai camtu...