Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, March 15, 2010

Pesakit Inggeris/The English Patient: Puitis Yang Tiada Berkesudahan


Tajuk: The English Patient
Oleh: Michael Ondaatje
Terbitan: McClelland and Stewart
Tahun: 1996

Sinopsis:
Cerita dalam fregmen-fregmen yang berlaku sebelum, sewaktu dan selepas Perang Dunia Kedua, terpecah kepada pelbagai ruang dan watak, empat yang paling utama diangkat di dalam novel ini: Pesakit Inggeris(Almasy), Hana, Kip, dan Katherine. Antara novel yang paling susah hendak dibawakan ke layar tetapi menjadi antara novel paling berjaya dibawa ke filem.

Rasa:
Baru tahun ini saya berjaya menghabiskan membaca novel yang susah hendak dibayangkan dalam bentuk yang bersekutu/bersepadu dalam mencari kebulatan novel ini, tetapi lebih kepada fregmen-fregmen yang bercambah, yang berselerak, yang mana, kita, para pembaca tidak boleh membacanya seakan sebuah novel biasa (kita tahu secara linear, awal, pertengahan dan akhir, kita tahu di mana kaitan-kaitan babak ke babak, kita senang mengikuti perkembangan watak) tetapi novel ini dibaca dengan mata hati seorang pencinta puisi.

Teksnya pun disengajakan sebegitu, seperti rembesan air, persembahannya lirikal, lebih kepada "perasaan" atau "rasa" di sebalik hal-hal yang terlihat mempamerkan "keindahan" daripada pergerakan plot yang rencam dan biasa. Ia membuka, hal-hal yang indah dan menggetar ini terhadap pengalaman hilang, gagal, sunyi, sedih, serta rasa cinta di kalangan lima watak, yang tidak semestinya di dalam ruang masa dan tempat yang sama (sepertimana di akhir novel, kesatuan dua watak menjadi satu hal "ingatan" daripada satu "perbualan"). Kuasa dalam novel ini adalah dalam hal Ondaatje menyemarakkan "suara alam", atau persekitaran sebagai ruang simbolisme "emosi", baik seksual atau romantik untuk bercerita kepada pembaca akan hal-hal jiwa watak-watak dalam novel ini, yang mana, langsung kita tidak akan dapat melihat "pembuakan"nya dalam bentuk aksi atau dialog (kecuali beberapa babak yang tampak disengajakan "perlu" untuk nilai dramatik, tetapi itu pun dibuat dengan sangat lembut dan indah sekali).

Ini satu pencapaian buat saya. Malah, saya perlu mengaku, saya telah mengambil masa empat atau lima tahun (malah saya sudah lupa!) untuk menghabiskannya, bukan kerana saya merasakan tersesat di dalam teks Ondaatje yang memang boleh memerangkap minda kita (untuk penggayaan beliau yang tidak mengikut penceritaan yang konvensional) tetapi laras bahasa Ondaatje yang sungguh indah, lenggok dan pemilihan perkataannya yang teliti, membuak ritma, alun dan nafas yang memaksa kita mengambil masa, merenung, menyelam ke dalam kata-katanya. Ini sebuah buku bahasa Inggeris yang benar-benar indah kata-katanya.

Selalunya, novel sebegini akan memerangkap kita, mengelirukan kita dengan watak-watak serba dingin atas hidup eksistensial mereka. Tidak Ondaatje. Hal ini dibuakkan dengan perasaan (walaupun sedingin mana Ondaatje titipkan) dan perkembangan watak-wataknya terhadap hal-hal seharian, yang membuatkan mereka (bergerak) untuk bercerita (narrate), untuk menyatakan pengalaman mereka, hal-hal teliti yang mereka perhatikan dan lakukan, walau selazim mana ia kelihatan. Lalu tiba-tiba kita boleh mendengar atau melihat watak ini menangis atau diam hiba. Perasaan diam ini (seperti mana Almasy selesai menceritakan apa yang sebenarnya berlaku terhadap Katherine) yang menimbau perasaan gelaman yang menggoyahkan kita, dipaparkan bukan dengan wataknya, tetapi pendeknya ayat yang memaparkan Almasy melihat tingakp dan membisu, serta ruang kosong di halaman novel itu. Ondaatje sekali gus menggunapakai kuasa pemilihan kata-kata yang ekonomis (setiap bab amat pendek, malah novel ini nipis buat sebuah novel biasa Barat, kebiasaan buat penulis ini), dengan pemilihan babak-babak dan pengalaman-pengalaman yang tertentu sahaja. Dan pengalaman-pengalaman itu tidak pernah mendamaikan. Ia sengaja "menghantui".

Kepada yang mencari plot, atau mencari keterujaan baca, anda akan merasa hampa. Novel ini berfragmen pendek tetapi mengambil masa untuk dibaham kata-katanya, yang dengan perlahan dan sunyi, bercakap tentang kasih dan berkasih pada zaman segalanya berberantakan (perang), yang digerakkan tanpa memahami ke mana ia hendak dibawa, seperti aliran sungai. Kemanusiaannya terletak dalam surat, dan diari dan dalam kepala watak-wataknya yang tetap bercinta dan berkasih walaupun mereka hanya melihat hal-hal ini seakan tanah berombak, dipadam angin padang pasir. Menyakitkan, tetapi indah.

1 comment:

Taf Teh said...

Buku wajib baca yang belum dibaca!!!