Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Saturday, December 6, 2008

PPSMI Lulus: Sai-fai Malaysia Tergugat?


PPSMI sudah berlaku. Saya tidak tahu kenapa tetapi saya rasa tidak sedap hati. Seakan sesuatu yang tidak elok akan berlaku terhadap genre sai-fai oleh sebab PPSMI. Saya berharap saya silap.

Pada era 40 - 60-an di Amerika khususnya, genre fiksyen sains mendapat tempat yang popular di kalangan pembaca dan pelajar Amerika, (kononnya:) terutamanya lelaki. Remaja dalam lingkungan 10 tahun sehingga pelajar universiti adalah golongan pembaca mampan. Beberapa majalah/jurnal cerita pendek, terutamanya Amazing Stories yang diperkenalkan oleh Hugo Gernsback pada 1928 telah menjadi lubuk utama fiskyen-fiksyen baharu dirujuk, ditulis daripada segolongan penulis fiksyen sains yang mencanang naik seperti Ray Bradbury, Brian Aldiss, Edgar Rice Burroughs, Isaac Asimov dan John Campbell. Malah, penerimaan fiksyen sains sebagai tipikal "fiksyen spekulatif" atau "fiksyen picisan" telah berubah bentuk kepada mutu dan tahap yang lebih tinggi.

Apa yang menarik daripada pengkajian retrospektif ini ialah, bagaimana golongan pembaca ini, segelintir daripada mereka telah menjadikan para penulis di atas sebagai "para perangsang" atau "idola" buat mereka (atau standard untuk ditandingi). Lebih menarik lagi, kebanyakan pembaca-pembaca ini adalah ahli intelektual, saintis dan teknokrat pada zaman yang selanjutnya. Ini ditambah dengan siri televisyen Star Trek yang telah mengumpul pelbagai "saintis akan datang" yang begitu meminati siri televisyen itu. Secara tidak langsung, bahan fiksyen sains dan siri TV popular berbentuk sai-fai telah menandakan satu revolusi pencahayaan tentang sains popular, mahu atau tidak mahu diterima. Apakah kekuatan sains popular? Sains popular menyebabkan "ianya hebat buat mereka untuk menyukai sains", pendek kata, "geek sains ialah cool". Bahasa "sains" yang mereka guna ialah bahasa Inggeris.


Budaya ini lambat memasuki Malaysia walaupun pada awal 70-an sudah ada bahan tempatan seperti tersebut di pasaran. Ahmad Patria Abdullah, Rahmat Haroun dan Hizairi Othman merupakan "perintis" yang menggoncang dunia sai-fai ini. Mereka menyatakan, karya sai-fai tidak lagi dibelenggu buat hiburan kanak-kanak tetapi mampu memperkaya falsafah dan nilai penelitian sosial semasa satu-satu zaman. Kini, revolusi "sains popular" ini diteruskan lagi dengan ampunya oleh PTS, Alaf21, dan Dewan Kosmik (majalah sains terbitan DBP). Mereka percaya bahawa pembikinan masyarakat yang menyukai sains, yang menyoal dengan kritis dengan sains tentang persekitaran, menggunapakai sains dalam hal-hal seharian (bukan sahaja secara fungsi tetapi mentaliti) boleh berlaku. Malah ini mengisi antara tempat di dalam acuan Wawasan 2020: satu bentuk idea baharu beracuan tempatan.

Kuasa fiksyen sains tempatan sebenarnya ada dan sedang berlaku. Ahmad, Rahmat dan Hizairi sedar itu, maka sebab itu mereka menuruti genre ini dalam bahasa tempatan, dan bukan Inggeris. Mereka tahu, akan ada penampung, akan ada penyambung waris buat melepaskan tinta-tinta sains yang berfaedah, lalu diperdebatkan, lalu dihasilkan suatu yang baru daripada lama. Umpamanya saya. Sewaktu saya kecil, saya meminati tulisan Rahmat (walaupun saya tidak boleh membaca novelnya, saya beli, sampai saya belia, baru saya baca), Ahmad dan Hizairi, malah bercita-cita mahu menjadi seperti mereka. Lalu, nah, saya sudah memulakannya sekarang. Saya optimis, selepas saya dan generasi penulis sai-fai sekarang (segolongannya daripada penulis dari Dewan Kosmik serta PTS Fortuna), akan berterusan lagi penulis/peminat sai-fai yang muncul, dan yang muncul ini, anda jangan terkejut, terdiri daripada para intelektual baru, para falsafah, cedekiawan sains dan saintis yang masyhur. Inilah sebenarnya aspirasi segolongan kami mahu melihat kemurniaan sai-fai tercapai.

Tetapi saya khuatir, oleh sebab PPSMI, usaha ini akan terbantut. Para pembaca yang terbiasa dengan istilah sains Inggeris akan merasa "kekok" kepada istilah sains tempatan YANG SUDAH SEDIA ADA. Malah, takut-takut mereka merasakan fiksyen sains bahasa Inngeris sahaja yang perlu kerana ia lebih "ke hadapan" dan sofistikated daripada sai-fai Malaysia.

Saya berharap itu tidak benar. Ambil contoh Ahmad Patria Abdullah. Saya pernah duduk berbincang dengan putera sai-fai Malaysia ini. Beliau seorang yang dwibahasa tetapi sistem pembelajaran beliau mengikuti sistem bahasa Melayu dalam sains dan matematik. Beliau sangat mahir dalam ilmu sains makalah Inggeris dan beliau mempunyai kekuatan sastera Melayu. Beliau kini seorang ahli farmakologi yang sibuk. Tidak pula saya lihat beliau "menggeliat" hendak berubah nahu/istilah Melayu - Inggeris. Saya juga kenal dengan beberapa ahli koporat yang terkenal yang keluar daripada sistem belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Ada segolongan mereka kata memang pada awal-awalnya agak kekok untuk mengenali sains/matematik dalam istilah Inggeris, tetapi, seperti mana-mana transisi satu bahasa ke bahasa yang lain, mereka selamat (survive) melaluinya dan berjaya dalam bidang masing-masing (tetapi saya mengaku, kebanyakan daripada mereka memilih untuk bertutur dalam bahasa Inggeris). Malah, saya sendiri adalah produk sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Malah, tujuan saya mencipta JIAN oleh sebab pada waktu itu, saya mahu mengaplikasikan apa yang saya pelajari dan baca tentang biologi, kimia, fizik dalam bahasa Melayu pada waktu itu ke dalam satu bentuk fiksyen.


Oleh sebab itu, pokoknya, pembelajaran seseorang sebenarnya bukan terletak pada bahasa, tetapi semangat ingin tahu mereka (passion of investigative study). Keinginan itu yang menyebabkan saya, sewaktu mengkaji membuat novel sulung saya untuk meneliti beberapa ensiklopedia dan makalah sains tentang virus, baik dalam bahasa Inggeris ataupun Melayu. Malah, saya berani mengatakan, kebanyakan penulis sai-fai tempatan sekarang pun merujuk banyak bahan sains dalam bahasa Inggeris tetapi dapat dengan jayanya mentransleterasikannya kepada sekeping kertas, sebuah cerita (efektif atau tidak efektif sesebuah cerita itu satu hal yang lain).

Apabila saya berbincang dengan rakan-rakan penulis saya tentang ini, mereka tetap memberi satu harapan optimis, bahawa walaupun bahasa Inggeris sudah digunakan dalam pembelajaran sains, buku fiksyen sains dan sai-fai tempatan tetap akan laku, oleh sebab CERITA, IDEA dan TEMA yang beracuan Malaysiana atau sekurang-kurangnya tempatan dalam salutan saintifiknya menjadi suatu kegilaan baru. Saya berpegang pada kata-kata kawan saya itu.

3 comments:

Wan Nor Azriq said...

Saya yakin SF dalam bahasa kita akan terus mendapat tempat di hati masyarakat.Dan kalau ada penulis di luar sana yang ingin menulis SF dalam bahasa Inggeris,silakan sahaja asalkan ia dapat memberi sumbangan kepada perkembangan SF negara kita yang saya lihat masih sangat muda.Dan di mata saya belum ada seorang penulis SF kita yang kita boleh label sebagai 'putera' apatah lagi 'raja.'

Masih terlalu awal.Masa yang akan menentukan kehebatan seorang penulis.

fadz said...

Kalau wan berkata begitu, Alhamdulillah.. Berkenaan akan hal Ahmad Patria Abdullah diberi iktiraf putera dibolehkan, atas pencapaian yang sudah dibuat olehnya, malah pengaruh yang beliau cipta sehingga sekarang. Pada 90-an, terutamanya 93-94, Dewan Kosmik mmg agak terkenal kerana cerpen2 FS Patria. Ini saya perhati sendiri berlaku sewaktu di sekolah menengah apabila kawan2 saya (kebanyakannya meminati sains) membeli Dewan Kosmik semata2 cerpen sains Patria. Fenomena ini berlaku lagi di MRSM, dan ia terhenti apabila Patria berhenti menulis buat DK. Malah segolongan pembaca inilah yang mewar-warkan akan novel2 Patria Saga Artakusiad itu, yg kini, walaupun bukan klasik buat saya, menjadi bahan fantasi yg berpengaruh di kalangan pembaca novel fantasi (mahu tidak mahu, benci atau suka, pembaca fantasi tempatan perlu merujuk Saga Artakusiad). Malah, apabila novel terkininya, Numerius(?) dijual secara terhad(terbitan penulisnya sendiri), ia sudah selesai dijual dalam tempoh yang singkat.

Iktiraf "putera" tidak boleh diletak dalam posisi sastera Amerika yang lebih luas dan lebih senang untuk terbitan/jualan. edgar rice burroughs boleh mengeluarkan berpuluh judul kerana kepalangan masa dan pulangan tinggi (ini tidak berlaku di Malaysia, kecuali buat novel popular). Pengiktirafan putera buat Patria diletakkan sebagai penunjang yang meletakkan lampu suluh buat penulis baru seperti saya dan rakan2 dalam memilih genre spekulasi ini. Mmg kebanyakan daripada kami mengiktiraf sebegitu, walaupun mungkin secara analisa memandang secara kritis terhadap Saga Artakusiad (tidak ada yg kelabu dalam siri novel ini). Sepertimana Yevgeny Zamyatin mendapat pengiktirafan sebagai putera FS Rusia walaupun hanya menulis sebuah novel, We, malah novel itu lebih satira-sosial daripada sebuah FS. Ini tidak mengapa, kerana kita yang berhak mengiktirafnya, sang golongan penulis sai-fai sekarang.

Unknown said...

Bolehkah kita mempelajari nahu Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu menerusi pengajaran subjek Sains dan Matematik. Adakah memadai mempelajari suatu bahasa hanya di sekolah, iaitu suatu pembelajaran terhenti atau tidak berterusan hingga ke tua? Ikuti pandangan YM. Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid di Youtube.
Yang mana kita perlukan Resolusi Bahasa atau Revolusi Bahasa? Revolusi Bahasa adalah satu ideologi, cadangan dan juga desakan oleh seorang bekas hakim bernama Mokhtar Hj. Mansor menerusi suratnya kepada PM dan menteri-menteri sekitar tahun 1990 yang mendesak supaya pelajaran subjek Sains dan Matematik diajarkan dalam Bahasa Inggeris. Dakwaannya bahawa pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dapat melonjakkan prestasi pelajar dalam kedua-dua subjek ini mula mendapat perhatian umum terutama menteri-menteri menerusi bukunya “Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi” (Utusan Malaysia 17 hb Julai 1991).
Sedikit mengenai pembohongan Mokhtar Hj Mansor, sila layari blog ini : http://mokhtarmansor.blogspot.com/.