Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, June 2, 2008

Kota Yang Mencabar



Tajuk: Kota Yang Mencabar
(terjemahan dari bahasa Inggeris: Mass)
Oleh: F. Sionil Jose
Terbitan: DBP
Tahun: 1988

Sinopsis:
Pepe, seorang anak luar nikah Anthony Samson (daripada novel The Pretenders) meninggalkan kampung halamannya untuk melanjutkan pelajaran di bandar. Apabila sampai di sana, Pepe belajar akan kecantikan dan kebobrokan manusia pinoy sekali gus, mendetikkan suara hatinya yang selalunya tamak terhadap keadaan dunia di sekelilingnya kepada semangat perjuangan pinoy dan luhur hati anak bangsa untuk mengangkat kebenaran dan keadilan.

Rasa:
Ada satu perkara yang ingin saya katakan sebelum saya menyatakan isi hati saya tentang novel Sionil Jose ini. Di sini, saya ingin memaparkan sebuah lagi bukti kenapa penulis Asia Tenggara (mahupun China mungkin) dianak tirikan oleh panel pengutus Nobel untuk anugerah "kononnya" berprestij Nobel. Secara jujur, tulisan F. Sionil Jose amat bersekedudukan untuk dianugerahi dengan sebuah anugerah Nobel. Lantang suaranya dan sikap kemanusiaannya sebaik mana-mana penulisan anugerah Nobel atau Pullitzer yang pernah saya baca. Oleh itu, maaf saya kata, buat 50 tahun lagi, baharulah mungkin pihak sastera barat akan mengintip mutiara-mutiara yang terdapat di Asia Tenggara, termasuk sasterawan negara kita. Maka itu, saya tidaklah terkecil hati atau perlu mendabik dada bahawa novel-novel kita kononnya tidak ada "Nobel worthy", kerana tampak, diskriminasi terhadap penulis seperti F. Sionlis Jose, yang menulis dalam bahasa Inggeris(!) dengan roh humanisnya yang tinggi dan mempunyai golongan pembaca sampai ke Amerika (kerana pencampuran politik Filipina-Amerika) pun tidak diendah oleh pemerhati barat. Maka itu, buat saya, walaupun promosi terhadap sasterawan negara kita masih perlu diantarabangsakan, anugerah seperti Mastera, Sasterawan Negara, SEA Write Award (yang mana rakan-rakan Thai saya tidak tahu pun ia wujud, sungguh memalukan bangsa mereka saja) mahupun Magsasay adalah kekuatan kita yang sepatutnya ditanam di dalam sanubari sekelompok kita orang nusantara bahawa anugerah ini berprestij dan punya kekuatan acuannya yang sudah boleh dinilai dan diangkat sebagai novel yang perlu dikongsi sesama masyarakat nusantara lalu Asia keseluruhannya.

Novel ini (yang kini sudah tidak diulang cetak, harap DBP mengusahakannya) ialah sebuah contoh novel yang berjaya dari pelbagai sudut, walaupun ia terarah kepada perjuangan nasionalistik Filipina. Inti sebenar novel ini tidak terletak terhadap kewajaran budaya dan latar politik Filipina sebenarnya, ia lebih sarwajagat daripada itu.

Novel ini memaparkan perjalanan "coming of age" seorang pemuda berambut panjang bernama Pepe pada zaman pemerintahan Marcos yang hanya "hidup untuk makan", lalu dengan manusia-manusia dan peristiwa zaman itu yang mempengaruhinya, Pepe mengubah perjuangannya kepada "hidup untuk perjuangan" yang mana makna 'pembebasan' itu diambil daripada konteks yang semurni-murni konteks, mendepani keadaan yang membelenggu orang miskin yang dianiaya oleh sistem seperti Pepe. Idea sosialis ini membawa kepada persoalan kedua novel ini, iaitu tentang keboleh upaya manusia untuk mengubah pemikirannya. Idea 'pencerahan' ini disengajakan, untuk menaikkan semangat 'membuka mata' rakyat Filipina tentang penindasan politik dan sistem orang kaya. Cara F. Sionil Jose melakarkan Pepe, seorang budak angkuh yang nakal, penuh nafsu, mengarahkannya dengan pemerhatian semanusia mungkin, dan seteliti mungkin terhadap sekelilingnya untuk mencapai 'kemerdekaan'.

Ini ditolong dengan penggunaan watak-watak yang bertemu dengan Pepe secara tersusun dan terjaga, semacam dirancang dengan baik oleh penulisnya. Setiap suara yang mewakili wataknya (yang paling tampak seperti Betsy yang kaya, Toto, Lucy, Ka Lucio, Profesor Hertonso) dilakarkan dengan sebaik-baik dimensi, akan tindak tanduk dan pilihan mereka, kaitan serta pengaruh mereka terhadap pilihan Pepe yang terkemudian, di susun dengan baik sekali. Semacam kita benar-benar melihat dan mendengar watak-watak ini bertutur dan beraksi di hadapan kita, yang menimbulkan perasaan empati kita terhadap watak-wataknya, walaupun yang kecil.

Apa yang 'buruk' terhadap Filipina itu ditayangkan dengan sejujur-jujurnya, tanpa melindung apa-apa. Malah, Pepe pada mulanya menerima 'kebobrokan' Filipinanya dengan semangat keremajaan (mencuba semua) yang tulen (dan kadang-kala dengan nada hawa nafsu yang tinggi) tanpa kata pengadilan, dipaparkan dengan semangat semahu-mahunya merasa 'sedap' dan 'getir' rempah keburukan hidup kota Manila. Manila Jose tidak pernah 'sepi', satu kebiasaan dalam penulisan dunia urban di Malaysia, tetapi hidup setiap hari, bergerak dan berinteraksi dalam pelbagai warna dan bentuk. Sesiapa pun boleh disayangi, sesiapa pun boleh dibenci. Baik dari dalam gereja sehingga ke pondok buruk di tepi bandar Manila.

Malah Sionis Jose berjaya mengidolasisasikan tempat-tempat dan peristiwa-peristiwa yang benar-benar ada dan wujud dalam dunia Filipina. Kita dapat bau tempatnya, merasa makanannya dan kenal selok belok penghuninya dengan nyata sekali. Malah, kerana mengambil latar zaman Marcos yang penuh gelodak kontreversial (waktu golongan muda Filipina menentang kewajaran tentera AS berpangkalan di pantai Filipina) dengan persisnya menyebabkan novel ini tidak dapat dijual di Filipina sehingga pertengahan 80-an.

Kota Yang Mencabar ialah sebuah novel yang berani, bergerak dengan tempo yang laju serta mempunyai kuasa yang menarik perhatian pembaca yang mahu mengenali dunianya, sungguhpun ia berciri politikal (di akhir-akhir cerita) dan terarah kepada sifat luhur manusia untuk membebaskan diri daripada apa-apa belenggu hidup. Ini adalah kerana penggunaan bahasa yang lancar dan sederhana dalam terjemahan bahasa Melayu Hamdan Yahya yang sangat menghidupkan dunia Filipina yang manis dan pahit sekali gus dalam melihat wajah-wajah Filipina di dalam novel ini. Antara novel terbaik yang pernah saya baca tahun ini.

3 comments:

Anonymous said...

Tidak diintip, atau sengaja tidak diintip? Maaf bukan bermaksud mau menghasut, cuma tiba-tiba tulisanmu bikin otakku melontarkan persoalan itu secara sepontan.

fadz said...

memang sengaja tak diintip, semua org tahu itu...

Anonymous said...

Betul Fadz aku setuju. Aku pun bukan Anti FT dan bukanlah penyokong kuat Asri pon. Cuma yang aku tak senang dengan cara bahasa yang digunakan. Tu la masalahnya sekarang dah jadi macam2 sampai tak tau mana satu yang betul dan tak betul. Orang pun naik keliru sebab pelbagai fahaman. Pening2