Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Sunday, November 10, 2013

Gelegak


Tajuk: Gelegak

Oleh: Iskandar Azmi Merican 
Terbitan: DBP
Tahun: 1994



Sinopsis:
Kisah dendam yang "menggelegak" antara dua pemuda terhadap cinta seorang wanita, Purua Minhaja dan Uhuru Bokasa. Cinta "terlarang" antara dua pulau dengan budaya berbeza di Kepulauan Pasifik telah menyebabkan persoalan rasisme, budaya, agama, dan politik bertentangan antara satu sama lain. Suatu perhubungan yang kecil menjadi persoalan negara, dan kemudian, dunia. 

Rasa:


Novel ini sudah tidak lagi diulang cetak oleh DBP. Novel ini juga tidak ramai yang mengetahuinya (saya tahu novel ini pernah dibicarakan dalam Dewan Sastera). Hal ini agak disesali kerana setelah selesai membaca novel setebal 558 halaman ini (dengan gaya bahasa yang amat mudah diikuti), saya dapat bayangkan betapa sarwajagatnya (universal) persoalan tema dan bicara yang dikemukakan dalam novel ini, dan betapa novel ini, jika dibaca oleh bapak Manga, Osamu Tezuka, akan diadaptasi sebaris dan sebaik novel-novel grafik besarnya yang saga lagi epikal.

Ya, saya tidak menipu, naratif yang bermula kecil antara pertentangan konflik Uhuru-Purua ini menjadi suatu yang besar, seperti jelas dalam "cerita dalam cerita" Iskandar dalam novel ini sebagai cerminan "intertekstual" naratif besar novel ini, menyampaikan maksud epik Yunani purba, Iliad yang juga menyampaikan kisah mikro (Paris melarikan Helen dari Troy: hal ini ada juga berkaitan dengan cerita Uhur membawa lari kekasihnya) yang kemudian menjadi suatu hal yang makro (masuk campur dewa Yunani dan perbalahan antara dua negara besar era tamadun purba). Susunan naratif novel ini mencuit, dengan penggayaan ala Jeffrey Archer (bermaksud, tidak berbunga-bunga dan menyampaikan cerita dengan mudah, lekas, pelbagai plot, dan berkembang seperti sebuah novel ngeri) tentang Uhuru sang pemuda bangsa Udaru dari Pulau Udara yang bercinta dengan anak menteri bangsa A-ala dari Pulau A-ala, Lailani, yang direbutkan pula oleh sang pemuda Purua berbangsa A-ala. Dua bangsa ini sebenarnya "satu" tetapi dipisahkan oleh agama (bangsa A-ala dikondisikan oleh bekas penjajah mereka, orang Perancis, menganut Katolik), kebenaran sejarah, dan budaya. Plot menjadi ketat dan mengikat apabila gerakan peristiwa yang melempiaskan takdir Uhuru (menjumpai rahsia ubat kanser) dan Purua (menjadi antara pemuda berpengaruh dalam bidang politik di A-ala). Memang kadang-kadang beberapa persembahan dan subjek cerita (ubat kanser tersebut, contohnya) melangkau maksud logik dan realiti (hal inilah mengapa saya sebutkan maksud Osamu kerana beliau suka dengan sikap hiperbola ini walaupun tidak terlalu ketara tidak logiknya), namun lebih daripada itu, Iskandar hendak menyampaikan sebuah moral dan persoalan ketentuan yang besar (ya, novel ini saya anggap biblical, kalah deretan novel Sasterawan Negara kita dari segi latar dan maksud epik, yang kemungkinan bersebelahan beberapa karya Arena Wati), kompleks dan saling berkaitan tentang tindakan seorang manusia mengubah nasib kehidupan. 

Persoalan ini juga berkait rapat dengan sifat politikal novel ini yang begitu kuat menyampaikan maksud politik dan pengaruh politik terhadap masyarakat dan ekonominya. Jika diteliti, Iskandar juga sebenarnya menyampaikan maksud-maksud tertentu tentang makna diri bangsa yang berkaitan dengan bangsanya sendiri (Melayu). Hal ini saya tidak perlulah masuk sangat kerana tidak mahu melepaskan rahsia-rahsianya. Namun yang lebih penting, bagaimana Iskandar berjaya menyampaikan suatu maksud besar tentang takdir, pilihan yang benar dan adil dalam melawan kezaliman, serta kekuatan pendirian dan prinsip sebagai tunjang terhadap apa-apa maksud perjuangan: untuk kekasih, Tuhan, dan negara. Lebih menarik lagi, beberapa golongan asing yang turut melibatkan diri dalam konflik dua negara ini, secara menariknya, orang Jawa beragama Islam dari Indonesia, orang Perancis, dan orang Melayu dari Malaysia (yang membayangkan sikap niaga aktif PETRONAS, digerakkan oleh watak Encik Azwa wakil konglemerat SYAPENAS). Pertelingkahan dan pembauran budaya dan agama berlaku dalam lintas sosial antara watak. Memang, kadang-kadang Iskandar seperti menggunakan gaya "novel picisan" (pulp fiction) untuk menggerakkan plot dengan kejutan-kejutannya (ruang watak Encik Azwa sebagai duta negara jelas melakukan hal ini) dan susunan watak/tokoh pada cerita untuk menggerakkan cerita, namun dalam dunia yang terbina dalam Gelegak, ia terbayang logos tersendiri dan melitupi keseluruhan maksudnya kerana kebijaksanaan Iskandar dalam memperkembangkan dan mengaitkan setiap watak dan sedutan gambaran pandangan ceritanya untuk menyampaikan klimaks dan penyeleraian cerita.

Novel ini mempunyai segalanya, cinta, resah, ngeri, drama, dan tragedi. Saya membacanya seperti sebuah novel popular (laju) namun saya tidak merasai ini sebuah novel popular. Suatu keindahan, dan buat saya sendiri antara novel yang amat memuaskan kerana pandai menghiburkan tanpa menolak pengisian-pengisian besar tentang alam kemanusiaan. Iskandar Azmi Merican merupakan sebuah nama yang harus diangkat kerana berjaya melangkau maksud budaya sendiri dengan melatarkan dunia lain yang begitu dekat, namun begitu sarwajagat.

2 comments:

r.o.l. said...

Secara serius, inilah salah satu novel Malaysia yang paling unnderrated pada pendapat saya dan sayang sekali tidak ramai yang mengetahui tentangnya, apatah lagi membaca.

Unknown said...

Setuju.. Saya baca semasa sekolah dulu.. Sekarang cuba mencari tapi tak jumpa.. Perpustakaan negara pun tiada buku ini