Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, February 15, 2011

Empat Zaman Pemerintahan:Suatu Nikmat Sastera Siam



Tajuk: Four Reigns
Oleh: Kukrit Pramoj (Terjemahan ke bahasa Inggeris: Tulachandra)
Terbitan: University of Washington Press
Tahun: 1999

Sinopsis:
Novel 663 halaman ini menceritakan kisah riwayat Phloi, seorang anak dayang istana serta berdarah "orang istana" dan pembesar zaman lama Siam yang hidup dalam empat zaman Dinasti Chakri, dari pemerintahan Raja Chulalongkorn sehinggalah Raja Ananda Mahidol. Susah senang, harapan dan azam Phloi yang dikongsi bersama suaminya, teman-temannya dan anak-anaknya diceritakan dengan pemahaman dunia seorang kerabat tentang garis hidup orang Siam zaman dahulu, yang berdepan dengan perubahan dan kemodenan dunia yang mengelilinginya.


Rasa:
Novel "klasik" dari segi pembangunan sastera moden Thailand ini, tidak boleh tidak mengingatkan saya dengan novel "riwayat panjang seorang wanita" tulisan Zurinah Hassan, Hatimu Aisyah. Walaupun novel Melayu itu lebih nipis dan pendek skop zamannya jika dibandingkan dengan novel ini, semangat dan citra kewanitaannya, yang memperbandingkan hal tradisi dan kemodenan amat persis, malah setaraf kuasa pemahamannya.


Novel ini pula tidak memberi kita suatu keberkesanan gaya bahasa yang gah, tetapi sederhana sifatnya, dengan banyak berlandaskan dialog, watak utamanya, Phloi dengan rakan, saudara serta anak-anaknya untuk menggerakkan plot. Malah, "plot" di sini tampak episodik dan "bertema" mengikut bab, kadang-kala terlalu simplisistik memberi pemahaman zaman, terlalu innocent, tetapi ini merupakan ciri-ciri mutunya, kerana dari sisi kaca mata Phloi, selain daripada pemahaman bagaimana agungnya orang Thai menghormati institusi raja mereka, menyatakan dengan bendul atas norma-norma apa yang membuatkan mereka terikat sebegitu.


Malah keberadaan "raja" dan institusinyalah yang mempengaruhi Phloi dan anak-anaknya, malah dapat dilihat dengan jelas terhadap suaminya, Mae Chem setiap berlakunya "pertukaran pemerintah". Apa yang menyebabkan novel ini menarik, ialah cara Pramoj mendekati hal sehari-hari ini, walaupun kelas atasan, tapi dibuat secara bersahaja dan berlaku tanpa perlu kenyataan yang terlalu panjang memaklumkan sesuatu, malah diisi dengan sudut-sudut nostalgik yang mengimbau perasaan "grandeur" pada zaman itu (walaupun hal demikian mungkin berubah jika penulisannya di tangan seorang penulis pembangkang kerajaan). Cukup manis apabila Pramoj mengikuti watak-wataknya (walaupun secara simplisistik dan disedari sebab akibatnya) dengan teratur dan humor. Secara mengejut, tidak ada "dramatik" yang berlaku kecuali kisah "anak gadis yang disunting" yang dinyatakan secara teliti, dan seterusnya berkeluarga, sehinggalah konflik "zaman" yang berlaku sewaktu perubahan politik, kemasukan Jepun dan adegan pembunuhan raja berlaku.


Pramoj kiranya pandai meletakkan adat dan budaya Buddha, serta Thai yang indah dengan pemahaman "tanpa keganasan" dan hidup serba "tenteram" yang dinyatakan dengan tersurat dan tersirat dalam novel ini. Sememangnya novel ini, walaupun "saga" bentuknya, tidak ingin menyatakan sikap perubahan sosial terhadap subjeknya tetapi mempunyai kemahuan untuk menyatakan keindahan tradisi dan sikap nostalgik terhadap hal-hal dahulu. Dan ini membuatkan novel ini senang diikuti dan diteladani orang orang Thai sekarang yang memahami kekuatan adat resam mereka zaman berzaman.