Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Monday, July 14, 2008

Novel "Imam" sebuah Novel merbahaya?


Jangan salah sangka. Saya menyukai hasil karya SN Abdullah Hussain, malah saya boleh mengaku, antara kesemua sasterawan negara, saya sangat senang dengan karya-karya Abdullah Hussain (paling saya suka, malah saya juga berketurunan Acheh), Arena Wati, dan S. Othman Kelantan. Malah novel Imam yang memenangi Hadiah Novel Nasional 92/94 ialah sebuah novel yang berjiwa besar, berani dan keluar daripada kebiasaan novel-novel bertema 'Islamik' (malah kelihatan, babak-babak bab Interviu dalam Imam membawa semangat polemik sama dalam unsur-unsur pendebatan isu Islam dalam 'al-Risalah' novel-novel mutakhir Faisal Tehrani seperti Bumi Manusia dan Bila Tuhan Berbicara) yang selalunya mempunyai satu tujuan didaktik.

Malah permulaan Imam sendiri dimulakan dengan satu tragedi, membuka satu pencarian 'jawapan' besar terhadap pembaca (apa yang salah/benar terhadap protagonis, adakah kematiannya diadili?) yang mana, sememangnya tujuan Abdullah adalah untuk pembaca 'mengadili' protagonisnya sendiri.

Hal-hal pembaharuan itu sangat disenangi dalam Imam yang saya baca dua kali sewaktu berumur 19-20 (saya tidak sanggup membacanya sewaktu SPM kerana buat saya, ia agak berat). Tetapi ada beberapa perkara yang saya persoalkan. Ya, saya jahil agama dan saya tidak lantas bertauliah untuk berkata akan hal agama. Oleh sebab itu lagi, saya persoalkan jika Abdullah juga yang tidak berstatus 'imam' atau 'ustaz' boleh mengeluarkan sebuah novel muat ilmu Islam seperti Imam, yang sememangnya sebenarnya satu karya penerusan perjuangan 'Golongan Muda' Islam (ringkasnya: revolusioner, sepakat dengan aliran Muhammadiyah/Wahabi yang mempiawai satu aliran saja dalam hal kehidupan Islam mengikut "al-Quran dan Sunnah") seperti yang dibawa oleh Jamaluddin al-Afgani atau Hassan al-Banna. Maka novel Imam harus dibaca secara umum dengan fikiran terbuka dan tidak diambil sepenuh jiwanya akan hal-hal dalam isi novel ini, yang sememangnya disengajakan anjakan konvensionalnya dan pemikiran Melayunya. Persoalan 'propaganda dalam penulisan' dan 'penyutujuan mesej penulis secara pra-sedar' bolehlah dibuat kajian akan novel ini.

Saya juga tahu Abdullah Hussain antara mereka yang gemar memperjuangkan semangat 'orang muda' (seperti Hamka), malah kebanyakan keturunan Acheh di Kedah/Pulau Pinang itu sememangnya mengikuti perkembangan ini yang terikut-ikut sewaktu perkembangan orang Sumatera yang pergi belajar di Mesir dan Arab Saudi sewaktu itu. Bukti ini boleh dilihat wujud dalam buku memoir beliau, Sebuah Perjalanan yang menampilkan bagaimana golongan keluarga Abdullah 'menafikan' kuasa batin dan 'hal-hal syirik seperti memuja pantai'. Semangat ini, tanpa diketahui, menular dengan kuat dalam Asas 50, juga kebanyakan penulis zaman itu yang mengangkat rasionalisme agama dan praktikalnya melawan pencampuran budaya bukan Islam yang dianggap serong. Buktinya, kebanyakan novel dan drama televisyen yang sampai 90-an, mewarnakan teknologi dan budaya doktor perubatan (sains) melawan 'kejahatan' kuasa bomoh yang 'palsu' (anti-sains). Atau kebanyakan protagonis bersifat rasional dan praktikal melawan antagonis yang bersifat emosional dan selalunya guru silat atau orang berilmu batin (rujuk Empangan, Saga, Rimba Harapan, dll.) Protagonis yang mengikut 'adat alam' dan rahsianya selalunya berakhir dengan kematian (suara baharu melawan ketahyulan tradisi lama), gila atau kegagalan seperti Seorang Tua di Kaki Gunung, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Hujan Pagi, Srengege, Ranjau Sepanjang Jalan dan pelbagai lagi. Drama TV pun sewaktu itu banyak menampilkan moral mendapatkan perubatan moden dan menafikan perubatan tradisional sebagai alat propoganda kerajaan menambahkan pengetahuan masyarakat pendalaman supaya berbudaya klinik desa dan hospital.

Di sini saya sertakan beberapa sedutan:

(Isu perpecahan mazhab fiqh Ahl Sunna Wal Jammaah)
"Saya rasa perpecahan yang melanda umat Islam sekarang ialah kerana mazhab-mazhab ini. Sehingga kita sekarang menjadi umat yang paling lemah dalam serba-serbi, bahkan dalam ibadat kita sendiri. Padahal ibadat kita itulah yang menjadi tiang kekuatan kita seperti pada zaman Rasulul-Lah (tambahan saya: Idea ini berunsur Muhammadiyah dan banyak sekali dinyatakan dalam buku-buku Muhammadiyah iaitu 'perlunya kembali pada zaman Rasulullah' dan menidakkan bidaah hasanah yang dibuat oleh para tabi' tabiin selepas itu seperti bermaulid) dulu ketika belum ada mazhab. Cuba tengok kepada sejarah, patutkah Islam sesama Islam berperang? Paling malang apabila orang Islam menjadi golongan yang minoriti dalam sesebuah negara bukan Islam, mereka dikejar-kejar sebagai anjing kurap," kata Kaji Mihad
(hlm. 354)

(Isu mempertahankan Wahabi)
"Tentang peperangan yang berlaku di Hijaz, yang dilakukan oleh pengikut-pengikut Muhammad bin Abd al Wahhab yang dikatakan kejam itu, sebenarnya timbul daripada tuduhan orang Turki," kata Haji Mihad. "Kalau kita meneliti ajaran Muhammad Abd al Wahhab atau apa yang kita katakan Wahhabi itu tidak lain tidak bukan ialah untuk meluruskan kembali ajaran Islam yang suci ..."
(hlm. 359)

Seakan satu kod, kita dapat membaca bahawa Haji Mihad (protagonis novel ini) ialah alter ego Abdullah Hussain, di sini, pandangan retorik Abdullah disampaikan dengan efektif sekali untuk menarik minat pembaca agar mempersoalkan pemahaman selama ini dan sejarah Islam yang kita sudah kenali.

Untuk menjawab persoalan ini, abang saya, Sidi Muhammad Afifi al-Akiti yang berkelana di Oxford, mungkin mempunyai jawapan yang lebih munasabah (klip video perlu ditonton sehingga habis):
http://www.youtube.com/watch?v=_RCI7zVwJlg&eurl=http://www.faithtube.com/item/62GHG45TG5VWDRRH

Jadi, bahayakah Imam? Bahayakah Imam Mihad?

10 comments:

Jong said...

Salam,
Saya setuju dengan Fadz tetapi saya kira setiap pengarang berhak menawarkan solusinya. Kalau saya berhak menawarkan gabungan sunni-syiah dalam karya, Bung Dolah pun wajar juga.Ya, tapi saya tetap setuju dengan Fadz, novel ini 'ada bahayanya'.
Nanti2 kita bincang lagi.
Wassalam

Anonymous said...

Salam Faisal,

Terima kasih. Saya juga mengaku ia merbahaya dari segi konteks pembaca awam yang tiada pengetahuan akan sejarah Islam (seperti yang dinyatakan dalam blog saudara) lalu mengikut kredibiliti penulis, akan terikut terpengaruh dan memperakui 'dakwah' yang disampaikan (cth: Sampai ada di Malaysia yang memperakui Qardawi sahaja yang terbaik buat era ini dan tiada tandingan lagi lalu langsung tidak boleh disangkal-sangkal lagi). Saya juga bersetuju kepada 'hak kebebasan bersuara' tetapi pemilihan bacaan itu juga perlu disaring (dalam lapisan/faktor yang tertentu). Soalan: Sejauh mana standard penyaringan oleh pihak atasan, dan sudah matangkah pembaca awam menilai hal-hal semasa yang rumit seperti kewujudan Muhammadiyah di Malaysia dan peranan yang dimainkan dalam pejabat agama kita?

encikzamru said...

buku nie aku dah abes baca 2 kali..
xjemu..
tapi ada cadangan untuk buku2 yg lain tak?

kera buku said...

saya mula membaca novel nie 4 taun lepas... dan kini saya mengulang baca lagi...

ashabuljihad said...

salam alaik..
saya membantah isu yang ditimbulkan..
abdullah hussain hanya cuba membuka minda kita untuk mencari kebenaran..bukan hanya mengikut adat yang diamalkan oleh masyarakat terdahulu..apa saja yang diamalkan haruslah sentiasa berlandaskan Al Quran dan As Sunnah..tentang isu muhammad al wahab,kita tidak boleh menilai beliau dengan hanya mendengar pendapat dari sebelah pihak sahaja..bukankah dalam prinsip ahli sunnah wal jamaah sendiri,salah satunya adalah menentang perkara2 bidaah..tidak pula digariskan hanya menentang perkara2 bidaah dalalah sahaja,bukan??
dan yg paling penting,yg menilai akidah hanyalah kuasa Allah...kita tidak boleh menghukum ajaran A mahupun ajaran B sesat..itu hanyalah hak Allah swt...pendapat yang berbeza harus diraikan bukanlah dipertikaikan..

fadz said...

salam nawhkl,

sekali lagi polemik ini.

cukuplah kiranya, apa yg saya dengar daripada ceramah rabiulakhir DBP baru2 ini menjelaskan setulus2nya berkenaan hal ini yg mana saya tidak faham, mengapa bidaah yang elok itu tidak dibolehkan, seperti mana perjuangan Abdullah Hussain dalam tulisannya..

Saya tidak akan menyatakan Muhammadiyah atau salafi itu sesat. mereka juga mesti berhenti menghentam as-Sya'ari dengan Sifat 20 itu sesat.

Di sini saya nyatakan entri saya berkenaan kenapa tahlil dan bacaan fatihah buat si mati, yang mana sekali lagi, seorang imam di ofis saya menyatakan "Al-Quran itu hanya untuk org hidup bukan orang mati" yang amat menyedihkan:

http://fadliakiti.blogspot.com/2010/03/sudah-puas-kucari-tak-jumpa-jumpa.html

rahbar said...

anti-mazhab/wahhabiyyah/salafiyyah dll hnya muncul selepas lebih dr 1 alaf..sdg asya'irah dan maturidiyyah sudah wujud lbh dr 7 kurun sblm itu.

menurut salafiyyah mereka shj yg betul, ini bermakna semua pengikut mazhab yg merupakan majoriti umat islam, dan mereka-mereka yg datang sebelum salafism adalah salah...sekaligus menunjukkan betapa 'gagal'nya agama Nabi s.a.w krn semua yg ikut tidak betul...

pun begitu, salafism tidaklah semengarut syiism yg mengatakan semua sahabat Nabi s.a.w murtad sebaik kewafatan Bagunda s.a.w.

jd menurut pandangan rafidhah yg rata-ratanya ada di iran, islam sudah gagal semenjak hari Nabi s.a.w wafat..

IKUT NABI, IKUT CARA SAHABAT, IKUT CARA ORANG-ORANG YG HIDUP ZAMAN NABI S.A.W, SAHABAT DAN TABIIN...

MACAM MANA NAK IKUT MEREKA? DENGAN MENGIKUT ORANG-ORANG YG FAHAM CARA MEREKA I.E IMAM-IMAM TERDAHULU..BKN MENGIKUT APA ORANG YG DATANG SELEPAS 1 ALAF..ITUPUN NAK KENA EXPLAIN KE?!

Unknown said...

Saya membaca novel ini pada tahun 1999..tp sampai sekarang saya terbayang2 cerita ni...

annur fitrah said...

Tinggi sangat la kritikan pembaca yang banyak ilmu ni. Pada saya pada umur 20 tahun saya merasakan novel ini mengisi kekosongan jiwa saya yang menghairankan masalah sosialnya pada ketika itu. Tak adalah sampai nak mendalami konsep yang ada dalam itu. Pada umur 20 tahun, dapat baca habis novel kerana ia menyeronokkan dan karya bermutu sudah memadai pada saya.

Unknown said...

Betul. Saya baca tahun 1999. Masa tu saya tingkatan 3. Dah tahun 2021, paling saya ingat pasal nak bersihkan luka.