Saya Sedang Membaca

Batu Ketiga Dari Matahari oleh Sahidzan, Encik Psychopath, Lucifer, april, KHRLHSYM, Ophan Bunjos, nasyrun, Zoul Yazix| Hikayat Tiga Negara Jilid 3terjemahan oleh Yuen Boon Chan, Woo Tack Lok | Message to Adolf oleh Osamu Tezuka | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | To the Devil a Daughter oleh Dennis Wheatley | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Kronikel Bumi oleh Nurul Izwazi Mohd Nor | Cloud Atlas oleh David Mitchell |

Thursday, December 13, 2007

Ini Bukan Novel Picisan Biasa



Tajuk: Seri Tertangguh
Oleh: Nizam Zakaria
Terbitan: Marshall Cavendish
Tahun: 2007

Sinopsis:
Seri seperti Bridget Jones, seorang gadis sekolah menengah yang sedikit gempal tetapi 'menawan' dan untungnya dia, dilahirkan sebagai Melayu Islam di Malaysia dari sepasang mak ayah orang kaya (ibunya seorang penyanyi terkenal dan ayahnya ahli politik/bisnes). Seri suka menulis blog tentang kisah hidup setiap harinya. Tanpa dia sedari, seorang pemuda bernama Kahar menghantar komen ke blognya, dan bermulalah sebuah persahabatan yang lebih jernih dari cinta.

Rasa:
Ada dua perkara utama yang menyebabkan saya menolak membeli novel ini pada awalnya. Pertamanya ialah kulit novel ini SANGAT HODOH. Lihat kulit 'elektronik' novel ini di atas, lebih menarik daripada yang diterbitkan oleh Marshall (ya, novel ini pernah jadi e-novel, dan Nizam memang adalah di antara perintis e-novel Melayu di Malaysia). Keduanya, harga rm29.90 membuat saya berfikir dua kali, kerana kebanyakan novel-novel bagus segenre ini, lebih-lebih lagi di bawah Alaf21 berharga lebih kurang rm15-20.
Tetapi ini tidaklah menafikan keinginan saya membeli novel ini, lebih-lebih lagi selepas saya mendapat 'rekomen' yang baik oleh seorang pembaca setia novel-novel picisan. Pendek kata, saya laju menghabiskan novel ini kerana bahasa novelnya yang senang dan ceritanya yang ringan dan seronok, sehinggakan novel berat Faisal Tehrani terpaksa saya tinggalkan sebentar.
Dalam sejarah penulisan Nizam, Nizam pernah menulis novel dan cerpen berunsur homoseksual, malah di antara susastera gay Melayu pertama yang pernah keluar di Malaysia (daripada pemerhatian saya, Mama Juwie mungkin sudah mendahalui Nizam dengan novel 'konfesi'nya pada awal 80-an, serta terdapat beberapa tulisan cerpen separa erotik lesbian tulisan penulis lelaki di dalam majalah lelaki pada pertengahan 70-an). Selepas e-novel terberatnya, Potret, Nizam mula menulis novel-novel yang digelar 'pop' dan 'picisan' mengikut semangat penulisan biasa genre ini. Kawan saya sendiri, Azwan tidak sanggup dan langsung muntah dengan novel-novel ini kerana merasakan Nizam 'jatuh dari rahmatnya'.
Seri Tertangguh adalah di antara e-novel terawal sewaktu Nizam melalui transisi ini. Sebenarnya yang menarik tentang novel ini ialah, ia sebuah novel yang BUKAN semahu-mahunya picisan. Mungkin kulit luar novel ini menipu anda, kerana novel ini sebenar-benarnya sebuah novel chic lit dalam erti kata yang sebenar, mengikut gaya penulisan chic lit barat.
Malah, beberapa babak awal novel ini 'lari terus' dari pandangan dan kebiasaan novel picisan/popular Melayu. Walaupun novel popular menular tentang perkahwinan/percintaan/kekeluargaan, gaya pendeketan Nizam, dengan ciptaan perwatakannya yang menarik (memberi watak-wataknya bukan saja perasaan, psikologi bulat, sejarah tetapi pemahaman ilmu yang 'real' dan sesuai dengan perwatakannya, walaupun tampak sedikit far-fetched untuk sebuah novel Melayu).
Malah watak kegemaran saya Kahar, melangkaui watak-watak kebiasaan novel picisan. Kahar atau Mr. K sedikit eksistensialis serta kumandang humanisnya mekar, watak-watak kuat yang biasa kita dapat jumpa di dalam novel-novel Nizam yang lama. Buat pembaca 'Faisal Tehrani', watak Kahar, atau beberapa watak lelaki dalam novel ini akan mengundang kemarahan, juga melabel Nizam sebagai 'liberalis sesat'. Ini adalah kerana, walaupun Nizam melakukan 'jalan sejarah' Kahar dengan 'subtle', kita sedar bahawa Kahar telah menolak agama (atau ekstrem dalam agama?) apabila dia meninggalkan sekolah berpondok sewaktu kecil sebagai al-hafiz (dengan penjelasan yang dirahsiakan) lalu lebih senang dengan buku falsafah barat, novel-novel barat humanis dan lagu-lagu kebaratan (dan kerja di Silverfish Bangsar sebagai penghargaan terhadap kedai buku kecil hebat itu). Aspek ini dipertonjolkan lagi dengan watak abang Seri yang mengikut tabligh lalu secara 'lembut' meninggalkan tabligh lalu 'gembira' bersama dengan seorang pelakon Melayu gay. Penggayaan menolak agama atau 'agama bukan jawapan sepenuhnya untuk kehidupan manusia atau pilihan manusia' adalah kebiasaan susastera moden barat, lebih-lebih lagi dalam idealisme eksistensial Nietzsche. Kahar malah menunjukkan minat yang sangat humanis kepada homoseksualiti (menerima kedua-dua ibunya, pelacur maknyah bernama Sarimah dan abang Seri yang baharu kenal kehidupan yang 'baik' selepas detik tablighnya), kerana buatnya 'ini adalah pilihan manusia yang bebas dari segala kecaman sistem dan dogma'. Watak Kahar menolak dogma dan kebiasaan dengan sangat manusiawi. Inilah keberanian Nizam.
Keduanya, Kahar semacam watak yang keluar dari filem Almadovar, mempunyai dua ibu- seorang ibu kandung dan seorang lagi 'ayah' yang menukar jantina jadi perempuan. Saya tidak dapat berhenti ketawa bagaimana Nizam 'mencopek' idea ini daripada 'All About My Mother', antara filem kegemaran saya. Walaupun bentuk dan pengharapan watak ini sangat kurang dalam realiti masyarakat Malaysia dan membuat pembaca Melayu-Islam tidak senang duduk, Nizam mencipta watak ini dengan selamba dan terikat begitu kuat dengan jalan cerita, kita tidak nampak pun ketidaklogikan dan ketidakwarasan fungsi watak ini.
Saya mempunyai sedikit masalah dengan Seri. Watak Seri seakan-akan 'too good to be true'. Tetapi ini juga sebenarnya 'impian murni' penulisnya. Hanya, saya sedikit keliru dengan penulisan blog Seri. Tidak mungkin Seri, seorang gadis manja, riang dan sedikit 'teragak-agak' begitu berani menulis tentang 'pemerhatian kebenarannya' untuk khalayaknya. Apakah reaksi kawan-kawannya bila membacanya, reaksi umum kalau ya pun, dan tidak mungkin Seri tidak ada langsung 'self sensor' yang melibatkan hati walau bagaimanapun, kerana orang Melayu memang terkenal dengan 'simpan-simpan', lebih-lebih lagi para wanitanya (contoh terbesar ialah tentang keberanian Seri menceritakan 'keburukan' keluarganya secara naturalis atau dia mengaku 'mencuri' di dalam blognya). Sungguhpun begitu, Seri adalah jelas, simbol pengharapan Nizam terhadap pembacanya, menjadi insan 'putih' yang diwarna-warnakan, supaya secara semula jadi, pembaca juga akan 'rasa' dan 'faham' seperti mana yang Seri 'rasa' dan 'faham'. Dengan sebegitu, sedikit sebanyak humanisme Seri akan diterima oleh pembaca nanti.
Sungguhpun begitu, terdapat beberapa perkara yang melembapkan Seri Tertangguh. Pada awalnya, saya begitu teruja dengan watak unik Kahar dan Seri. Tetapi, plot selepas itu, novel ini seakan sedikit semacam suatu kitar semula drama Melayu (tetapi yang baik?). Malah, sebuah sub-plot cikgu Seri yang menjadi mangsa pukul semacam tampak kedramaannya walaupun saya suka tujuannya (memaparkan perjuangan hak asasi kaum wanita). Malah, kawan saya Azlina (Kekure) tidak jadi membeli novel ini hanya kerana 'terbaca' babak itu di kedai buku (dengan kata-katanya sendiri: "Soap opera-ish, it looks fake!").
Pada akhir novel ini juga, Nizam sempat melemparkan sindirannya tentang apakah itu 'hiburan picisan' dan apakah itu seni dalam erti kata pemahaman modenis (dengan tepat, mengambil Akademi Fantasi sebagai sasaran). Secara keseluruhan, novel ini tampak garang, berani dan unik, menserlahkan kehebatan Nizam sebagai 'ratu' penulis picisan yang jauh tersasar daripada kebiasaan kuasa Ahadiat Akasyah atau Norhayati Ibrahim. Untuk itu sahaja, dan penggayaan hiburan dalam senda sinisnya, Seri Tertangguh mempunyai tempatnya yang tersendiri di dalam kumpulan novel popular yang berlambak di pasaran.

Sunday, December 2, 2007

Maskara 5 - Perempuan Naik Tochang



Sebenarnya, saya tidak mahu menulis tentang majlis ini dan hanya mahu menghiburkan diri saya pada malam itu. Tetapi, saya perlu mengaku, pada malam itu, adalah Maskara yang paling menyeronokkan, paling besar, paling pelbagai dan paling ramai yang pernah saya pergi. Ucapan setinggi-tinggi syabas saya kepada Pink Platun yang handal mempengerusikan majlis serta Sindiket Sol-Jah yang banyak memberi bantuan.


Dengan tirai latarnya berlatarkan ampaian baju perempuan, sudah cukup membuat saya tersengih akan perlambangan kuasa, seksualiti, politik dan sosial yang ingin disampaikan pada malam itu. Hanya, saya merasakan ruang majlis sudah bertambah kecil kerana kesesakan dengan para penonton, maka menjadikan ruang duduknya makin panas. Ini akan memberi satu tamparan kepada Maskara kerana, seperti kawan-kawan yang saya pernah bawa, mereka kurang selesa dengan kepanasan ruang di tingkat bawah Rumah PENA. Mungkin para penganjur perlu memikirkan tempat atau alat penyejuk yang sesuai buat majlis itu.


Tema malam itu sangat segar- tentang perempuan: apa yang mereka ada dan apa yang mereka mahu. MC pada malam itu sungguh celoteh, seorang wanita memboyot, berlintup seksi hitam dengan penggayaan ala-ala Raja Azura kelas dua. Dia mungkin tidak seprofesional Zaifulnizam, tetapi perangai celotehnya yang bukan-bukan, santai, kekampungan dan tak kena tempat telah berjaya menyatukan agenda Maskara yang sebenar-benarnya: membaur pelbagai golongan seni ke dalam sebuah tempat di mana pelbagai golongan ini boleh bercekerama di bawah satu bulan yang sama. Malah, kadang-kadang dia 'menyampuk' kata penyampai di balik tirai, dan kadang-kadang dia membuak ketawa. Malam itu, saya dapat rasakan semangat bohemia kampung yang sungguh Melayu, sungguh unik, berjaya diangkat oleh MC perempuan itu, malah dengan perangainya, telah membuak keseronokan yang tidak eprnah saya tonton, mengingatkan saya kepada persembahan-persembahan Mak Nyah yang pernah saya tonton di jalanan, tetapi ini lebih baik, kerana MC ini seorang perempuan, dan dia membawa semangat 'peduli apa orang nak kata pada aku' yang sememangnya mewakili mesej tema wanita malam itu- bila wanita naik tochang. Pendek kata: She is irritating and loud at the same time, she shines!


Semangat santai bohemia kekampungan itu disampung berkuasa dengan pelbagai penulis-pembaca yang menyampaikan karya mereka. Saya perlu akur, pemilihan pada malam itu adalah pemilihan yang terbaik pernah saya tonton. Saya tahu, bila anda sudah pergi mendengar pembacaab di Seksan, atau di Top Hat, anda akan terkejut dengan pembacaan di Maskara. Ini adalah kerana, di Seksan, pemilihan pembacanya sungguh teliti, agak elitis dan agak serius. Anda merasakan anda di kalangan 'high breed' sastera walaupun mereka akan menafikannya. Ini termasuklah di Top Hat yang sungguh "English centric" di mana anda akan rasa 'terkeluar' sedikit jika anda tidak merokok, minum arak dan melayan jazz.


Di Maskara Rumah PENA, anda boleh jadi sesiapa anda mahu, orang boleh cemuh anda, orang boleh gelakkan anda, orang boleh sokong anda, tapi anda tetap akan kata, peduli apa? Inilah kekuatan Maskara. Dan pada malam Maskara 5, ia berjaya mencapai tahapnya yang terbaik.


Saya bertemu dengan 'laksa' penulis Islamik Ummi, terhibur dengan golongan penyair ala Indon pascaAADC si wanita dan dua perempuan bisu, bertemu dengan Bernice Chauly yang ditunggu-tunggu, Daun dan Bunga dari Pink Platun, dan Salimah Ibrahim si penulis pop terkenal yang juga menulis sastera serius. Kemudian, saya dapat mendengar Atok bertatih, Cikgu Sidek bernyanyi, Lutfi yang hebat dengan cerita politiknya, Tok Rimau dengan cerita hebatnya, Adi yang serius dan 'deep' dan Sinaganaga yang seronok. Malam itu, gelak ketawa, terhibur, serius, tersentuh, pelbagai rasa yang berjaya dipamerkan dan dikongsi, dan kita tidak perlu dengan arak atau sentuhan muzik jazz untuk terhibur dengannya.


Ummi yang memaparkan novel Islamiknya, mencuit perasaan dengan 'betapa serius'nya dia dengan karyanya yang 'memberi manfaat'. Hanya, dia perlu berjaga-jaga, jangan tampilkan 'pengkahiran' kepada penonton, kerana anda mahu memasarkan karya anda. Orang tidak mahu tahu tentang bagaimana anda mengakhiri cerita anda. Orang takkan beli novel itu bila anda dah beritahu akhrinya. Apa-apa pun, Ummi begitu bersemangat memaparkan perjuangannya.


Si perempuan dengan dua wanita bisu juga mencuit. Saya dibawa kembali pada bayangan penyair-penyair besar. Bait-baitnya yang memamah saya, menghibakan saya, membuat saya tersentak. Hati laranya menyakitkan. Hanya saya tergamam, tulisannya semua oleh lelaki (pandangan saya), walapun disampaikan dengan baik dan kuat oleh seorang wanita- memaparkan kadang-kala lelaki masih punya tangan atas terhadap keinginan dan niat wanita itu sendiri.


Selepas itu, kami berehat seketika. Saya sungguh kagum kerana, kebanyakan DVD dan buku yang saya beri secara percuma lama itu habis disapu oleh para hadirin.


Kemudian, Bernice Chauly, walaupun sekali lagi, memberikan karya yang bukan ditulis olehnya (jika saya salah dengar) tetapi Jit Murad, telah memberikan satu 'sisi lain' tentang seorang perempuan yang ditindas haknya sebagai seorang perempuan. Bernice, seperti biasa, memancarkan keseronokan dengan ceritanya yang pelbagai lapisan, membuak perasaan simpati dan geram terhadap sistem patriaki lelaki.


Kemudian kita diperdengarkan Salina Ibrahim, ya penulis jutawan itu yang kedua terkaya selepas Ahadiat Akasyah. Dia membacakan karya 'semi-snooze'nya tentang jati diri dan akar para wanita, cerita yang kami sudah banyak kali dengari tetapi didengarkan kembali pada malam itu. Salina memang seorang yang teliti dan sangat dekat dengan jati dan gaya perempuan Melayu, walaupun dalam hidup serba moden sekarang. Hanya ceritanya agak berpusing pada satu gelung yang nyata, terlalu nyata, ia membuak keinginan mengajar apa yang sudah sedia maklum.


Kemudian kita diperkenalkan dengan Daun dan Bunga, kedua-duanya penulis baharu wanita yang mempunyai semangat 'peduli apa aku'. Saya suka dengan penggayaan mereka dan semangat cerita mereka (walaupun ada satu bukan karyanya). Cerita mereka tidak lagi tertutup terhadap merintih keinginan wanita yang lemah, tetapi sikap individualis yang kuat, menyelusuri zaman moden serba maju dan pantas, di mana lelaki buat mereka adalah lelaki, seperti mereka, insan saja, tetap pandai dan bodoh seperti mereka. Ini saya dapat tangkap tersemat dalam karya Daun yang baik tentang persoalan pengenalan keJawaannya (walaupun isinya memaparkan persoalan identiti Melayu dalam masyarakat Malaysia yang maju). Persoalan bagi wanita bukan lagi tertutup pada mereka ditindas, mereka diduga dalam dunia yang lelaki dan bersistem menindih, tetapi mereka ingin memaparkan isu-isu lain juga yang membuat mereka ghairah, mereka seronok, dan ini bukan saja berkenaan anak, suami dan masakan.


Kemudian, terpapat Atokz dengan sajak 'bayi'nya tentang keganasan lelaki terhadap wanita dan keinginan wanita Mak Nyah seperti mana cerita Bernice Chauly. Kemudian, Lutfi yang pro-lelaki menyampaikan satu sisi cerita yang saya rasa dapat menghiburkan kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan. Selepas itu Adi, seorang penyair baru yang sangat menakutkan saya. Menakutkan saya kerana, bagi saya, Adi adalah suara baharu penyair tanah air kita. Sajaknyalah yang dibaca oleh si Perempuan dan dua wanita bisu pada awal majlis tadi. Adi memang seorang penyair yang sebenar, semacam kata-kata yang dilemparkan datang dari hatinya. Ketelitiannya dan penggunaan kata-katanya, aduh, tidak pernah ada Chairil Anwar menyiksa saya seperti yang Adi buat malam itu. Rugi besarlah jika para pengkaji sastera kita tidak kenal akan penyair hebat ini.


Kemudian, Cikgu Sidek juga hebat, membacakan puisi-puisi tradisionalnya dengan gaya yang ad hoc sekali. Beliau memaparkan, orang tua pun masih kuat lagi minyaknya. Akhir sekali, saya ditemukan pada pertama kali dengan Tok Rimau. Beliau juga sangat menghiburkan, dan sangat eccentric orangnya. Dan seperti biasa, Sinaganaga dengan keluaran 'bayi' baharunya telah membacakan sebuah karya yang baik tentang mendekonstruksi makna cinta. Bagi saya, majlis yang dibuat malam itu, langsung menghiburkan dan bermakna, sehingga habis pada 11 malam tidak merugikan buat saya menghadirinya.