Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |
Showing posts with label Fiksyen Sains. Show all posts
Showing posts with label Fiksyen Sains. Show all posts

Monday, March 23, 2015

Pena Azida Tentang Penulisan Leksikon Ledang


Di sini, saya perturunkan suara pasangan penulis yang saya hormati dan kagumi, Nor Azida Ishak berkenaan pengalamannya menulis novel sulungnya, Leksikon Ledang.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca semua. Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan penulis saya, Fadli kerana sudi membenarkan saya menumpang ruang blognya yang terkenal ini. Saya hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya menulis novel Leksikon Ledang dan juga rentetan peristiwa yang Allah SWT takdirkan berlaku sehingga menyebabkan kami menjadi pasukan penulis untuk novel yang memenangi tempat kedua dalam Sayembara Fiksyen Sains UTM-Kumpulan Utusan Musim Ketiga ini. Malah, semasa majlis pada 19 Mac 2015 tempoh hari, kami dikerumuni para wartawan dan soalan yang sering menjadi pilihan mereka ialah, “Bagaimana dua orang penulis boleh bekerjasama sehingga menghasilkan novel fiksyen sains ini?” Mungkin kerana ini adalah kali pertama dua orang penulis diangkat sebagai pemenang dalam sebuah sayembara, kerana sifat sesuatu sayembara itu yang jarang membenarkan penyertaan kumpulan. Atau mungkin juga kerana terdapat tanggapan bahawa seseorang penulis itu pastinya mempunyai kehendak dan aspirasinya sendiri dalam menghasilkan sesuatu manuskrip, maka tentunya agak sukar untuk dua orang penulis hendak bekerjasama, tambah lagi jika kedua-duanya mempunyai cara penulisan dan ideologi yang berbeza.

Tetapi bagi saya sendiri, menulis Leksikon Ledang adalah suatu kenangan yang manis. Saya sendiri tidak menyangka bahawa ia akan mencapai ke tahap setinggi ini, tambah lagi saya tidak berpengalaman menulis novel. Tetapi saya amat meminati sains dan tidak jemu menelaah karya dan artikel berkenaan subjek ini. Sekitar tahun 2009, saya mencuba nasib dengan mula menghantar cerpen-cerpen sains di majalah Dewan Kosmik. Alhamdulillah, rezeki saya yang murah menyebabkan beberapa cerpen saya disiarkan dengan kadar yang agak cepat. Saya tahu bahawa ini menarik perhatian Fadli kerana dia pernah menulis dalam wall FB milik Dewan Kosmik dan bertanya, “Siapa penulis Nor Azida Ishak ni? Karyanya selalu tersiar.” Masa ini, kami belum berkawan, apatah lagi bertegur sapa. Saya cuma mengikuti perkembangan Fadli dari jauh, yang mana saya tahu dia seorang pengajar bengkel penulisan fiksyen sains kelolaan Astaka Villa Aksara yang diurus oleh Serunai Faqir. Saya juga tahu bahawa Fadli adalah penulis Saga Horizon, maka saya membeli buku itu secara pos daripada Alaf 21 untuk membaca tulisannya.

Wah, Saga Horizon sangat menarik! Saya suka dengan ceritanya, ayatnya, mainan emosinya. Membaca Saga Horizon, saya terasa sangat dekat dengan wataknya, malah turut menyelami apa yang dirasai oleh wataknya; bagaimana ASAIN yang dianiayai sebegitu rupa sehingga menyebabkan ia menjadi jahat, kesedihan Maisara dan Dr. Ikone kerana ASAIN, kecekalan Rogue biar pun telah banyak kali kehilangan, ah semua watak-watak dalam novel Saga Horizon ini sangat dekat dengan jiwa saya.

Maka bermula bulan November 2011, saya menulis e-mel kepada Fadli, memberitahu bahawa saya meminati tulisannya dalam novel Saga Horizon. Di dalam e-mel itu saya bertanyakan tip-tip penulisan beliau dalam menghasilkan novel yang bagi saya sangat-sangatlah menarik tema penceritaannya. Fadli membalas dengan panjang lebar, bercerita sejarah manuskrip ASAIN dilahirkan dan bagaimana ia berkembang menjadi novel Saga Horizon. Fadli juga berkongsi tip bagaimana beliau meluangkan masa menulis novel setebal 500+ mukasurat itu, di samping memberitahu teknik untuk menghasilkan rangka dan juga tujuan beliau menulis novel itu.

Di sini saya nampak bahawa Fadli ialah seorang yang ikhlas dalam membimbing dan tidak kedekut berkongsi pengalamannya. Malah isi kandungan e-mel Fadli yang panjang lebar itu juga pernah dikongsikan dalam bengkel penulisan fiksyen sains (tetapi saya bertuah dapat percuma melalui emel, yay), tentang bagaimana menghasilkan fiksyen sains yang baik, yakni apakah tema/idea besar/novum yang ingin disampaikan, dan dari situ, bolehlah ia dikaitkan dengan drama manusia yang berlingkar dan berkonflik dengan idea itu. Menurut Fadli, itulah sebenar-benarnya kuasa sesuatu karya fiksyen sains yang maha agung.

Setahun selepas itu, pada 5 Disember 2012, saya mengajak Fadli menyertai Projek Buku Sains Fiksyen kelolaan Tok Rimau dan Abang Lan Sinaganaga. Keesokannya saya bertemu Fadli pertama kali dalam majlis penyampaian hadiah Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim Kedua pada 6 Disember 2012. Di meja penonton, kami berbincang dan Fadli bertanya sama ada saya berminat menulis bersamanya, menghasilkan sebuah novel fiksyen sains untuk sayembara musim ketiga. Malam itu juga, selepas majlis, pada jam 7.41 malam Fadli telah menghantar e-mel kepada saya (tentu dia terkesan dengan aura para pemenang dan berkobar-kobar hendak menyertai sayembara seterusnya).

Dalam e-mel itu, Fadli menghantar sinopsis Leksikon Ledang yang pernah dihantar kepada rakannya. Oleh kerana tiada cerita yang terperinci, saya meminta Fadli menyediakan draf cadangan mengikut plot/kronologi kerana saya seorang yang sangat lemah memplot. Saya tahu bahawa kekuatan Fadli adalah kebolehannya mencipta plot yang rumit seperti Saga Horizon. Dan Fadli yang rajin membuat plot sehingga 7 muka surat panjangnya! Ah, mudahnya kerja saya, kerana saya hanya perlu mengembangkan novel itu mengikut plot yang dikarang Fadli dengan penuh gigih itu.

Fadli memberitahu agar saya menguatkan diri dengan segala kemungkinan alat bantu untuk dijadikan perencah novel itu. Beliau memohon saya mengkaji tentang DNA dan heredity, kuasa superconductor atau elektromagnet untuk membentuk adimanusia serta kaitan emas/perak dengan suatu unsur, yang mana emas/perak itu merupakan satu kod, kerana novel ini bergerak dengan kod-kod yang berkaitan dengan hikayat Puteri Gunung Ledang. Oh, saya sangat suka bahagian ini, jadi saya juga menggigihkan diri mengkaji aspek sains yang disebut itu. Fadli ada juga meminta saya mendalami tentang simbologi (membaca Puitika Sastera Melayu dan The Mind of the Author – yang ini saya tak buat, hii).

Kesukaan seorang penulis ialah apabila tiada orang yang cuba mengkritik atau membetulkan karyanya sepanjang masa. Bekerjasama dengan Fadli sangat harmonis kerana dia seorang yang tidak langsung memaksa. Fadli mempercayai saya untuk menulis mengikut cara saya yang tersendiri, malah membiarkan saya berimaginasi bebas seperti burung yang baru belajar terbang di langit biru. Namun pabila malam menjelang burung itu masih tetap mahu pulang ke sarangnya, dan saya juga perlu ingat untuk kekal pada novum yang dicadangkan Fadli, di mana beliau berkata bahawa: “Bangsa Melayu adalah bangsa yang besar sebenarnya, menanamkan sifat menyedari kita bukan bangsa pemalas/bodoh seperti yang kita didoktrin oleh pernyataan "White Men's Burden", serta mencakna generasi baharu untuk melihat kembali teks lama dan mengintepretasinya untuk pemahaman zaman sekarang, ini yang paling penting. Satu lagi adalah saya mau mengembalikan atau memberi makna baharu kepada "kedaulatan" dan ini berkenaan "darah" (melanggar pemahaman sosialis yang sentiasa menyatakan ketidakadilan berlainan darjat yang terus menular sehingga sekarang)”.

Entah mengapa, pada awalnya percubaan menulis novel ini sangat perlahan, susah, dan tersangkut-sangkut. Berkali-kali saya rasa mahu mengalah dan menguburkan sahaja projek penulisan ini. Sehinggalah Allah SWT menemukan saya dengan DVD The X-Files yang lengkap sehingga 10 season. Saya menonton setiap episod dalam siri itu tanpa jemu seperti orang dahagakan ilmu, dan saya menelaah buku yang ditulis Anne Simon bertajuk The Real Science Behind the X-Files seperti saya mahu membuat kertas kerja layaknya. Alhamdulillah, apa yang dimahukan Fadli ada di dalam buku itu dan saya mula mendapat sedikit ilham untuk memulakannya. Saya gunakan episod "Darkness Falls" dalam X-Files untuk mencipta adegan Hasan di dalam hutan, dan filem Jurassic Park yang diilhamkan Michael Crichton untuk mencipta adegan penemuan dan kajian geliga/amber itu.

Alhamdulillah, penulisan berjalan lancar dan siap dihantar pada Fadli untuk dicantikkan pada 8 Disember 2013, dua minggu sebelum bengkel fiksyen sains akan berlangsung di UTM KL pada 21 Disember 2013. Kami berbincang dengan gigih semasa bengkel. Fadli seterusnya memakai topi editornya, meneruskan proses menulis dan mengedit dengan sangat laju bagi mengekalkan momentumnya. Pada 22 Januari 2014, draf pertama berjaya disiapkan sepenuhnya oleh Fadli, dan sesudah membacanya, saya dikunjungi suatu perasaan lega yang teramat, kerana betapa saya sangat berpuas hati dengan hasilnya.

Penciptaan watak-watak dalam Leksikon Ledang sebenarnya adalah mudah. Kami sengaja meletakkan Zack sebagai seorang yang berwatak sederhana pada mulanya. Zack itu ialah seorang yang sedikit tidak yakin dengan dirinya, tetapi berubah menjadi berani dan sanggup mengorbankan dirinya sendiri apabila menghampiri ke penghujung cerita. Itu adalah ciri keperibadian dan keberanian yang sukar dicari, lebih-lebih lagi manusia pada zaman kini yang dilihat terlalu mementingkan diri. Harapannya agar hal perubahan Zack ini akan menjadikan beliau sebagai suatu inspirasi kepada pembaca yang turut berkongsi pengembaraan Zack dalam novel Leksikon Ledang ini.

Dalam Leksikon Ledang juga terdapat bahagian yang menyindir ketaasuban masyarakat kita pada cerita hantu, tahyul, misteri, seram, dan mistik sehingga terlalu berleluasa dan melampau sifatnya. Maka sebab itulah dalam novel ini diwujudkan unsur seperti makhluk halus yang menjadi ‘penunggu’ di dalam hutan, malah ianya bermata merah pula. Apa yang menarik, kehadiran makhluk halus ini sebenarnya boleh diterangkan dengan mudah melalui takrifan sains, menandakan betapa sesuatu yang misteri dan aneh itu sebenarnya mempunyai penjelasannya yang tersendiri, lebih-lebih lagi jika kita berminat dan berusaha untuk mengkajinya.

Saya juga sengaja menciptakan dialog buat watak Ainul Muin yang tidak sudah-sudah menyebut beberapa filem di dalam novel ini, sebagai ‘homage’ kepada Fadli yang sangat meminati dunia filem. Menariknya tentang Ainul Muin ini, adalah kerana dalam menulis Leksikon Ledang, saya mengalami sendiri apa yang dikatakan oleh kalangan penulis berpengalaman bahawa terdapat watak-watak yang boleh ‘hidup sendiri’. Ainul Muin itu hidup sendiri tanpa dapat saya kawal, dan saya sangat-sangat tidak menggemari wataknya. Saya beberapa kali mengadu kepada Fadli tentang watak Ainul Muin yang selalu berkonflik dengan diri saya. Bagi saya, Ainul Muin itu terlalu banyak bercakap, terlalu terburu-buru, terlalu penyibuk, terlalu segalanya. Sampai satu tahap, saya rasa mahu ‘bunuh’ sahaja watak Ainul Muin itu dengan kejam di penghujung cerita, tetapi Fadli melarang kerana katanya watak Ainul Muin itu jugalah yang menambah warna-warni Leksikon Ledang sebenarnya. Kini, apabila mengenang kembali pengalaman itu, saya hanya boleh ketawa sendiri, kerana akhirnya saya berjaya juga merasai pengalaman pelik menulis seorang watak yang ada ‘angin’nya sendiri, watak yang langsung saya tidak tahu dari mana kemunculannya, dan bagaimana beliau boleh bernyawa sendiri tanpa mampu saya kawal perwatakannya itu.

Sebagai penutup, saya juga tidak mahu mendabik dada mengatakan bahawa novel ini adalah yang terbaik. Saya akui bahawa tulisan di dalam Leksikon Ledang ini mungkin tidak dapat memenangi hati semua pembacanya. Segala reviu, komen dan kritikan daripada para pembaca akan kami jadikan sebagai panduan untuk memperbaiki penulisan yang akan datang. Dengan izin Allah SWT, semoga Leksikon Ledang menjadi batu loncatan untuk saya dan Fadli terus berkarya, menyubur dan memeriahkan lagi dunia fiksyen sains yang kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat kita. Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca blog Fadli yang sudi membaca tulisan kecil ini.

Yang benar,
Azida

*Sesiapa yang berminat untuk membeli Leksikon Ledang (harga RM30 termasuk pos), boleh hubungi Azida di azida80@yahoo.com


Friday, March 20, 2015

Perjalanan Yang Panjang


Begitulah, semuanya sudah menjadi sejarah.

Alhamdulillah, beransur sudah majlis penyampaian hadiah, dan Leksikon Ledang, suatu usaha sama bersama-sama dengan Nor Azida Ishak menerima Hadiah Kedua Utama. Untuk berdiri bersama-sama Kak Sri, Hafizul, Kak Saadiah (Ruhainie tidak hadir, BOOOOO party booper!), itu suatu keseronokan kerana mereka pejuang dalam genre yang masih disalah tafsir sebagai genre budak-budak ini.

Bagi saya, kemenangan itu, dengan kenyataan klise, hanya suatu bonus, hal yang lebih murni lagi (dan kita patut memuji pelaksanaan UTM dan Utusan dalam hal ini) ialah mengayakan genre ini dengan inisiatif memperbanyakkan terbitan judul ini yang selalunya selektif, nafsu mencuba memasarkan genre lain selain karya konvensional yang mengikut musim tertentu dalam persada kesusasteraan kita.

Semalam, dengan deretan para pelajar dan kenyataan jelas “pencapaian terbaik” hasil produk sayembara ini untuk teks KOMSAS menyatakan lagi kesesuaian genre ini untuk golongan pelajar atau anak muda. Saya mengambil hal ini dengan gembira dan runsing. Gembira, kerana benar, kalau hendak dipupuk satu-satu generasi itu untuk meraikan, membaca dan kemudian mencipta, dan seperti Amerika Syarikat, anak-anaknya yang bermimpi dengan alam fiksyen sains, besarnya menjadi ahli falsafah, pemikir pelbagai bidang keilmuan, saintis makmal, teknokrat, dan angkasawan terkemuka (dan jangan terkejut, membawa bersama istilah baharu dan penciptaan gajet yang mereka baca daripada karya, walaupun sebodoh atau sepolos mana teksnya). Runsing, kerana risau, fiksyen sains di Malaysia masih dijolok seperti era Othman Puteh lagi, genre budak lelaki dan hanya bermain dengan isu-isu “bernilai murni” dan tidak cuba melawan tampuk stereotaip ini untuk mencari ruang dan percubaan yang lebih baharu dan segar, walaupun berlawan dengan nilai “yang sudah ditentukan” itu sendiri.

Namun begitu, dalam hal yang begitulah juga saya memuji ketekalan dan risiko pihak hakim kali ini yang sanggup juga, mengambil isu yang melanggar etika dan aqidah, seperti klon dan perubahan alamiah genetik, seperti karya pemenang Pertama Sri Rahayu hali ini, Transgenik Sifar dan Idris Boi, Klon. Pada awal saya bertandang menulis Saga Horizon (awalnya dinamakan ASAIN), pihak Alaf21, dengan perbincangan bersama perujuk agamanya, telah menyatakan dengan jelas dan serius, watak ASAIN itu tidak boleh dalam ciptaan “perubahan alamiah manusia daripada percambahan dan pengubahsuaian beberapa kod genetik” yang dihasilkan daripada inkubasi pengklonan. Saya memberikan contoh, jika benar terjaganya hal ehwal nilai murni Alaf21, DBP yang amat terkenal menjaga karya bermutunya melalui persoalan nilai murni telah melepaskan adikarya Rahmat Haroun (bapa fiksyen sains moden kita, yang secara peliknya beliau tidak suka dikaitkan dengan genre ini), Manuklon (ya, sumber ASAIN daripada ini) yang jelas-jelas membina makhluk artifisial berkepintaran buatan yang ampuh. Hujah saya ditolak keras oleh pihak mereka, menyatakan bahawa, bukan dalam tangan saya untuk mengubah kejadian Tuhan, dan klon merupakan isu agama yang amat sensitif kerana percubaannya untuk mengubah fitrah ciptaan ALLAH (gaya tipikal Alaf21, membesar hurufkan Pencipta hakiki kita).

Betapalah saya terguris waktu itu, kerana mahu tidak mahu, jika saya masih mahu teruskan menghasilkan karya bersama-sama gergasi pembukuan popular Malaysia itu, saya perlu akur dengan tatacaranya. Saya tidak ada cara lain lagi, saya kini diberikan pisau untuk membelah perut bunting saya sendiri, seperti Sultan Mahmud, mengeluarkan anak yang belum cukup sifatnya itu dari rahim saya sendiri dan melihatnya terdampar mati di hadapan saya dengan perlahan. Saya kelar perut bunting saya diam-diam, dengan pedih dan luka membuak. Anak itu longlai, teresak-esak untuk sepintas udara, memandang saya dengan mata tidak cukup sifatnya, hitam yang menghisap vakum kekosongan.

Namun begitu, sebenarnya, dalam dua bulan selepas itu, setelah saya menggugurkan anak saya itu, saya tiba-tiba terlintas, membina suatu idea baharu yang tidak melanggar isu aqidah, yang tidak melanggar fitrah ALLAH, seorang anak baharu, lalu terjadilah dan jadilah Saga Horizon yang dihasilkan, malah, saya menyatakan kesyukuran dan hormat saya kepada pihak Alaf21 dan editornya atas kekerasan mereka, kerana sebenarnya, versi kedua saya itu, lebih membuahkan kepuasan peribadi dan jiwa, malah dalam hal ini, perubahan terhadap ASAIN (bahagian tengah novel) amat dipuji oleh ramai yang sudah membacanya, menyatakan itulah roh novel tersebut (walaupun saya kurang bersetuju dengan sekalangan kawan yang sempat membaca versi pertama, kebanyakan yang sudah membaca versi pertama itu lebih menyukai versi pertama dan bukan kedua, hal ini amat memelikkan tetapi saya hormati pilihan mereka, dan versi itu sudah pun dilupai dalam nisan sejarah).

Oleh sebab itu, saya amat gembira dengan keputusan panel hakim sayembara ini kerana memahami benar-benar apa yang perlu dan tidak perlu untuk fiksyen sains (walaupun bagi saya tema ini sudah melangkau era stereotaip kerana sudah ada beberapa karya daripada golongan indie dan swasta yang terdahulu menghasilkan karya bertema sama), Alhamdulillah.



Rentetan penghasilan Leksikon Ledang (“leksikon” dari segi bahasa bermakna kamus atau perbendaharaan kata, tetapi juga bermaksud penyesuaian dan suatu pengumpulan beberapa kosa kata dalam kefahaman makna yang sama, hal ini berkait rapat dengan kefahaman mentafsir teks lama sebagai kod untuk membentuk suatu rumusan pengubahan [transformasi] yang baharu – sebenarnya hal ini biasa dalam pengilmuan Barat dan Timur lama, lebih-lebih lagi ilmu ini percambahan daripada hermeneutik Bible dan tradisi kita, ilmu pentafsiran Al-Quran, yang kemudiannya pihak Barat menggunakan idea ini dalam pelbagai bidang lain, termasuk penulisan pop dan sastera, yang seperti kita tahu, menghasilkan karya seperti Da Vinci Code, Foucault’s Pendulum, Tawarikh Cinta, dan serumpunnya) sebenarnya agak jauh, dan sebenarnya terhasil daripada bengkel musim kedua sayembara ini, yang waktu itu saya bertugas di DBP Kota Bharu.

Pada masa bengkel itu (tahun 2009/10?), Dr. Saleeh Rahmat menampilkan suatu pandangan “teks baharu tempatan” yang agak mengejutkan bagi saya, yakni pengolahan dunia mistik dan perubatan tradisional (seperti penggunaan mantera dan jampi) kita sebagai suatu sains tempatan yang menunggu untuk diterokai. Betapalah saya marah dan tidak bersetuju dengan pandangan itu, mencampurbaurkan hal yang tahayul dan melanggar logik dan rasional yang biasa dalam sains dalam penciptaan teks fiksyen sains, hal itu seperti sesuatu yang melanggar hukum-hakam roh fiksyen sains.

Namun, hal yang saya entengkan juga itu, mula menumbuh dan mengacau minda dan jiwa saya. Terdetik masa tu secara selintas, saya, seperti dikejutkan daripada tidur panjang, lantas saya menjerit, “Damn, that profesor, his actually right, what a brilliant and original idea for our own science fiction novum!” Selepas itulah, saya baru mula menghormati tinggi terhadap Dr. Saleeh (nasib balik beliau tidak menulis prosa, kalau tidak!) dan pandangan inovatifnya.

Pada masa di Kelantan juga, saya mula menjelajah alam yang lebih purba, yang dilupai oleh bangsa dan hakikat sejarah manusia kita. Saya banyak mendaki gunung-gunung di sana dan serata Semenanjung. Saya menyedari sesuatu, sejarah manusia kita, jika diteliti betul-betul, bermula daripada gunung, gunung ialah punca tamadun manusia kita secara kolektif (bukan daripada kefahaman Plato dan arkeologi yang menampilkan manusia bermula daripada gua). Sains dan pertumbuhan hidup bermula di situ. Jika kita ambil kisah Nabi terdahulu riwayat Ibn Abbas r.a. yang juga mengambil beberapa sisi sumber lisan dan teks Israiliyat, dan sumber tradisi lisan dan tulisan simpanan tamadun Parsi, India, dan Turki tentang riwayat Nabi, Nabi Allah Adam a.s. (rujuk puncak Hawa di Sri Lanka atau Gunung Tur tempat Bahtera Nuh di Turki) yang baru turun dari langit, membuat penempatannya di kawasan pergunungan yang luas. Qabil yang membunuh Habil, diriwayatkan, setelah merajuk (inilah merajuk pertama sejarah dunia) daripada membunuh anak kesayangan ayahnya, dan rasa bersalah yang tinggi, telah meninggalkan pergunungan itu, lalu berkelana di kawasan tepi air sungai yang dipanggil “delta” (hal ini para pentafsir lama menghubungkan tanah Ur, Akkadia, Assyiria, dan Mesopotamia sebagai suatu kemungkinan anak cucu pelata keturunan Qabil, namun hal ini berlawanan dengan pandangan kemunculan bah besar era Nabi Nuh a.s. yang membersihkan segala tamadun anak cucu Adam a.s. selepas itu lalu terbina tamadun baharu), yang kemudiannya menjadi penempatan yang lebih maju (ingat, Qabil ahli dalam pertanian, manakala Habil dalam pengembalaan dan penjagaan haiwan ternakan) dan penduduknya jauh lebih ramai dan melata cepat daripada kawasan pergunungan. Kononnya, daripada benih Qabil inilah, wujud dan mulanya penyimpangan ajaran murni agama benar, dengan godaan Iblis (waktu itu Allah tampilkan kebolehan Iblis muncul di hadapan manusia, sebelum ketibaan Rasul Terakhir) serta kurang pendedahan dan kebersamaan bersama sang patriark dan sumber penyampai benar, Nabi Adam a.s. Oleh sebab itu, dalam kolektif pandangan manusia (dan ini mengejutkan, ia melangkau budaya, mitos dan agama dunia), gunung disimbolkan sebagai “suci”, “kemurniaan yang tidak terusik”, yang kemudiannya menjadi “tersasar” kepada tempat duduk dewa-dewa (seperti Olympus di Yunani) dan diabadikan sebagai tempat “menemui Tuhan” seperti Ziggurat kalangan Zoroastis, piramid golongan Maya, simbol Meru di Kuil Hindu kawasan Selatan India, dan Borobudur dan Angkor Wat, kalangan anak Nusantara, kita.

Hal ini lebih mengejutkan, apabila saya menemui rekahan tamadun di puncak Gunung Jerai (dikatakan tapak istana Sultan Kedah Tua pertama yang masuk Islam, yang kononnya juga secara legenda, tapak asal Wan Empu Wan Malini atau titis asal keturunan Melayu, wallahualam) dan Bukit Merak di Kelantan, juga kepelikan bukit dan gua Kota Gelanggi di Pahang. Dalam sejarah serata Asia Tenggara juga, kebanyakan punca tamadun mereka bermula dengan penempatan di pergunungan, contohnya Kemboja, asal tamadun mereka juga dalam pembukaan kota Phnom Penh berasal daripada sebuah bukit, seperti mana Istana Melaka berdiri di atas Bukit Melaka. Oleh sebab itulah, dalam mencari maksud yang terbaik untuk menimbulkan suatu cerita, Gunung Ledang (dalam tradisi Barat, ledang ialah “ophir”, kosa kata sumber Ibrani, berkenaan daerah atau persinggahan atau pelabuhan yang dikenali sebagai tepat yang kaya dengan pengumpulan barang dagangan dan harta benda melimpah ruah, dan kononnya, harta benda Nabi Sulaiman tersimpan di sini, maka dalam konteks ini, kekayaan itu tersimpan dalam bentuk ilmu yang dirahsiakan) dipilih dalam idea novel ini, gunung di sini mengambil dua maksud, pertama daripada penjagaan dan penyebaran penjagaan kesucian ajaran (supaya kita boleh kembali kepada fitrah kita seperti mahunya Tuhan kepada kita), yang sudah tentu, menjadi tempat (seperti misterinya Piramid) penjagaan dan penyebaran kesucian ilmu sains, dan dalam kisah ini, sains purba (di ini, kita mengambil kefahaman Plato dengan teknologi Atlantis dalam manuskrip Timaeus). Kedua, sudah tentu dengan mengambil maksud kolektif permulaan sejarah tamadun manusia, dan dalam hal ini, tamadun sains Melayu purba yang mempunyai penjaganya bersilih ganti.

Ah, idea sudah tercetus. Tetapi, atas kerja dan rutin tugas yang sangat mendesak, saya tahu, saya tidak dapat melakukan penulisan ini dengan sendiri. Bestarinya sayembara ini ialah sifat pembukaannya untuk pembinaan penulis berkumpulan (sehingga empat orang). Saya mula mencari rakan penulis untuk berjuang. Mulanya, ada seorang pengarang veteran mapan yang ingin ikut serta. Maaf, mungkin saya sedikit prejudis dan dari kecil selalu dikeji-keji oleh orang tua, saya sebenarnya kurang senang mendekati orang tua. Saya juga risau dan mempunyai pelbagai persoalan jika penulis lama mampu memahami apa-apa fiksyen sains yang saya sudah baca (zaman fiksyen sains dahulu berbeza dengan sekarang) dan apabila diselidiki, beliau tidak pernah membaca satu pun, bukan bidang beliau pun.

Hal inilah yang paling merisaukan, dan hal inilah yang membahagikan kalangan yang benar-benar menulis untuk fiksyen sains (dan ingin menghidupkan dan memasyarakatkannya), dan kalangan yang membuatnya kerana ada imbuhan (hadiah pemenang) tanpa betul-betul berniat memasuki alamnya. Hal inilah nanti yang kita dapat perhatikan dan detect dalam kalangan pemenang yang berjaya (penulis yang kelihatan tekal dan jujur berkarya kerana genre ini, seperti Sri Rahayu yang sebenarnya sudah memulakannya awal lagi dalam beberapa judul Hadiah Sastera Kumpulan Utusan) dan penulis yang tidak berjaya lepas ke garisan penamat. Jika mereka jujur dan semboyan sejati dalam genre ini, mereka akan mencari jalan untuk menerbitkan, dalam apa-apa jua cara sekali pun, hasil manuskrip mereka yang tertolak (rujuk perjuangan J.K. Rowling dengan Harry Potternya), dan kemudian mencari ruang untuk karya ini diperbincangkan dan diapresiasikan dengan tulus.

Saya kemudian bernasib baik apabila seorang penggemar fiksyen sains, penulis novel, ingin ikut serta bersama-sama mengambil idea ini untuk dibentuk dan diluahkan. Kami mula bergerak, mula-mula dengan baik sekali (beliau menulis dekat tiga bab) yang kemudian tiba-tiba terpaksa terhenti atas tugas beliau yang mula bertambah dalam dunia penerbitan. Lantas saya kembali pada tapak sifar.

Tuhan mencuit waktu pada tempatnya, Maha Perancang Segala, apabila tiba-tiba Nor Azida Ishak masuk dalam gambaran. Nor Azida sudah lama menulis dengan majalah DBP, khusus dalam cereka sains dalam Dewan Kosmik. Saya tampak potensinya yang kuat dalam penceritaannya, khususnya dalam antologi yang beliau usulkan kepada saya untuk masuk, antologi fiksyen sains Pistol Laser Lisa kelolaan Tok Rimau dan Azalan Sinaganaga yang hip. Bermula daripada situ, saya mula merisik. Dan, Alhamdulillah, rupa-rupanya kami sama-sama meminati Micheal Crichton (walaupun nama ini dikutuk oleh kalangan peminat tegar fiksyen sains kerana sifat populis dan latar Hollywoodnya), sama-sama meminati ilmu forensik (kami pernah berimpian untuk menulis novel ngeri ala drama CSI atau seperti Thomas Harris), dan sama-sama peminat tegar The X-Files (Azida banyak merujuk kajian komprehensif Anne Simon, The Real Science Behind The X-Files dalam proses pengkajian idea ini). Beliau adalah antara penulis yang berjaya menangkap sumber inspirasi JIAN saya yang datang daripada dua buah episod klasik siri The X-Files (dan juga filem Impulse karya Graham Baker). Setelah mengetahui hal ini, saya tahu, dan beliau tahu, kami mesti berusaha bersama dalam projek ini.

Lalu segala-galanya pun menjadi sejarah. Berjalanlah saya yang kemudiannya disambut oleh Azida dalam suatu perjalanan yang perit dan panjang, bertahun-tahun, tetapi amat membahagiakan, dan paling penting seronok. Ya, tidaklah saya mendabik ini yang terbaik, malah amat sederhana kehadirannya, seperti secampak hama dalam vakum angkasa luas fiksyen sains, tetapi amat memuaskan.

Apa yang membuatkan paduan kami menjadi ialah, idea saya yang gila-gila, dirasionalkan, dibedah, dianalisis sedalam-dalamnya, dalam kemahiran Azida untuk meneliti beberapa kajian sains dan jurnal sains serata dunia, maya atau cetak, untuk menampilkan plausibility, nova, atau kefahaman unggul fenomena fiksyen sains yang diusahakan. Azida juga tukang selidik logos perwatakan, isu sentimen, nilai murni, dan plot, malah cambahan idea, watak dan perwatakan, dan plotnya juga. Jadi beliau sebenarnya bukan sahaja co-writer saya, tetapi editor pertama saya juga. Saya percaya, hal yang sama juga sebaliknya buat Azida tentang saya.

Hal ini menjadi suatu yang indah lagi apabila Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar, pengarang siber Dendam Siber dan Wira Pesona Avatari, ketua panel hakim datang kepada kami dan menggalakkan agar kami meneruskan perjuangan ini, insya-Allah. Hal ini membayangkan gandingan Kevin J. Anderson dengan Brian Herbert, atau Orson Scott Card dengan James Cameron, atau Frank Herbert dan Bill Ransom, suatu perkara yang amat biasa berlaku dalam penulisan fiksyen sains.

Membaca laporan panel dan buku program terjumpa sedikit kecanggungan (sinopsis terus menulis kisah dari awal dan akhir, buat apa? Mereka faham tidak dengan persoalan spoiler?), dan satu permasalahan yang aku dapati. Laporan, yang mungkin dibuat dengan ekspres sekali, membaca “unsur” sains teknologi dalam erti kata mikro, bukan persoalan yang lebih meluas (novum) yang biasa dalam kefahaman fiksyen sains, khususnya Barat. Kesemua manuskrip yang dibedah, melihat dengan terpecah (modul) dan empirik sekali tanpa menyatukan satu makna dengan satu makna untuk menimbulkan suatu hal yang lebih menyeluruh, lantas akhirnya dapat menjumpai “novum” (pembaharuan atau kekinian atau keterasingan yang mengagumkan dari sudut pengalaman kemanusiann – rujuk Adam Roberts) karya itu.

Oleh sebab itu, saya percaya, segolongan 15 baki manuskrip yang tertolak tentu menyimpan mutiara yang menunggu untuk dikeluarkan daripada cangkerangnya. Ada persoalan yang kononnya “melanggar logik akal” yang sebenarnya inilah sense of wonder yang biasa dan seharusnya timbul sebagai katarsis penulisan fiksyen sains. Contohnya, dalam Dune, sebuah adikarya besar fiksyen sains, pemenang Anugerah Nebula dan Hugo, Herbert menampilkan bagaimana seorang anak muda yang meminum air water of life, kahak bendalir cacing gurun di planet Arrakis, yang berjaya menawan “racun”nya, dapat mengawal cacing gurun sebesar bangunan tinggi sekali gus rempah melange yang dijaga oleh cacing raksasa Arrakis (rempah yang melambatkan proses penuaan dan melipat angkasa). Betapalah, tiada keterangan saintifik apa-apa pun untuk menampilkan idea serba melanggar logik ini (minum air liur cacing membuat kita berjaya memerintah alam sarwajagat), tiada langsung, malah ritual serba mistik peminuman yang dijalankan ini juga berkait dengan “agama” kalangan bangsa Freeman (seperti orang Arab badwi) lantas melangkaui maksud sains pun (kuasa kepercayaan/keyakinan dalam agama/mitos.budaya untuk mengubah kefahaman kolektif masyarakat). Hal ini ialah kerana keterlibatan sebab-akibat yang kukuh secara “fenomena”, yang bermakna suatu kefahaman peristiwa yang besar akan suatu proses yang berkait-kait antara peristiwa lain dan memberi cause and effect yang tertentu atau “sejarah/pengalaman” manusia yang baharu, dan mungkin juga membawa suatu pembaharuan atau transformasi dalam cara kita melihat sejarah atau latar atau hal kontemporari, falsafah, sosiobudaya, politik, juga pemikiran dunia itu atau landskap cerita itu. Inilah yang dikatakan novum. Rempah-cacing-Arrakis-angkasa lepas menjadi berkait, menyampaikan maksud tentang penguasaan dan kekuasaan, yang membawa persoalan yang sangat besar tentang kuasa perubahan dan susunan waktu yang sesuai untuk perubahan (kisah ini sebenarnya suatu kritikan terhadap kuasa agama atau budaya mengganggu keseimbangan sistem dunia).

Dan bayangkan, dalam The MartianChronicles, klasik besar daripada Ray Bradbury, yang diisytiharkan sebagai antara fiksyen sains agung oleh ramai pengkritik, menampilkan pagar dimensi (Star Trek mengambil idea telerportasi daripada sini), pintu di bumi yang membawa manusia dan makhluk asing ke Marikh. Tidak ada keterangan sains yang perlu ditampilkan (ini bahagian mikro) akan teknologi makhluk asing ini, kerana idea besar atau novum novel ini lain, bukan sahaja antara tema opera angkasa terbaik yang pernah dibikin (novel ini banyak mempengaruhi filem Star Wars), tetapi tentang rentetan kemanusiaan menghadapi keterasingan yang kosmopolitan (!), bagaimana pengalaman manusia berubah dengan kejutan budaya baharu dan bagaimana dapat mengadaptasi dan menguasainya. Hal itu lebih besar dan penting daripada satu gerbang dimensi yang membawa manusia ke satu tempat ke satu tempat yang lain.

Saya kira, jika Phillip K. Dick, satu-satunya penulis fiksyen sains moden paling hebat masuk sayembara ini, saya gerenti, akan tertolak terus secara langsung. Bayangkan, contohnya, seperti Ubik, antara novel besar pengarang ini, si hero yang hidup separa nafas dalam alam antara hidup-mati (dipanggil half-life) perlukan semburan kuasa Ubik untuk bling-bling-bling, terus hidup sebelum diserap oleh “lorong cahaya”. Bayangkan! Bukankah begitu entah apa-apa dan imej melampau “di luar logik akal”? Namun, pengkritik kontemporari menyedari, novel ini lebih daripada itu, yakni tentang realiti kepelbagaian (realiti-separa realiti-alam akhir/realiti tamat, atau Dick amat menguatkan gagasan Buddha dan Hindu, yakni percaya kepada reinkarnasi, kelahiran semula setelah roh atau naluri atau conscience kembali ke realiti tamat) dan bagaimana manusia dapat menipu mati (cheat death), dan novum sebenarnya ialah, bagaimana manusia juga secara tidak sengaja membina struktur sistem hidup atau sosialnya dalam dunia baharu (di sini alam separa realiti hidup-mati), dan bagaimana mereka menghadapi cabaran dan kesusahan yang timbul dalam realiti baharu itu dalam keadaan manusianya. Malah pengakhiran novel ini memaparkan, si hero yang terjerat dalam alam separa realiti itu sudah mula dapat mencipta objek atau mewujudkan jirim fizikal dalam alam realiti dunia, langsung menunggangbalikkan maksud “siapa dalam alam realiti siapa dalam alam maya”? Bukankah ini melangkau logik akal?

Ridhwan Saidi, contoh penulis kita yang berbakat besar, menghasilkan Mautopia, yang sebenarnya merupakan suatu pengalaman novum baharu buat karya kita kerana menampilkan harapan sekali gus kritikan terhadap sistem dan maksud utopia serta distopia! Ini merupakan antara karya, jika dilihat dari sisi fiksyen sains (sangat pascamoden, atau memang pascamoden fiksyen sains seperti yang dikaji oleh Jean Baudrillard) sangat inovatif dan besar langkauan maksudnya. Saya kira, jika dinilai dengan modul sedia ada sayembara ini, akan terhakimilah, bahawa dunia ciptaan Saidi dengan manusia berkepala kerengga, lautan merah darah, dan enigma autoriti dan diayah ohgurubesarku! mungkin sahaja “fantastikal”, “mengarut”, “entah apa-apa”, dan tidak bercirikan unsur sains yang mantap. Jika kita hanya kenal dengan karya H.G. Wells dan Jules Verne dalam era romantisme sains (yang sememangnya kemudiannya menjadi asas kepada perincian genre fiksyen spekulatif dalam telahan Robert Heinlein bermula tahun 1947), itu sahajalah yang kita dapat.


Namun begitu, itulah, ini sayembara (dan sebab itu dipanggil fiksyen sains dan teknologi, katenyer), dan zaman ini, sayembara ini di dalam tangan dan konsensus-status quo-kedaulatan mereka. Dijalankan oleh sekumpulan Pelayar Guild yang berurusan hanya dengan sesama mereka agar “the spice must flow”, membisikkan doktrin yang harus diikuti itu ke telinga Emperor Padishah yang menguasai CHOGM dan alam sarwajagat kesemuanya. Dunia dan kapal angkasanya sudah ditentukan terlipat dan mengalir mengikut ketentuan sistematik mereka. Dan, dalam pengalaman biasa sejarah kehidupan, suatu doktrin yang terbiasa itu akan bertemu juga dengan persimpangan, apabila suatu pembaharuan idea atau fenomena yang akan mengganggunya, dan itu, untuk melihat sendiri ketentuan dan jalan panjang yang berterusan sudah tentu akan ada sesuatu yang berlaku dan menghendaki perhitungan, kebiasaan dalam hukum ketentuan alam, dan manusia hanya perlu menghadapinya. Dan ini sahaja, menariknya merupakan novum terbesar perjalanan penulisan fiksyen sains kita yang mula mengembang, sebutir demi sebutir habuk melintasi cakerawala. 

Thursday, December 19, 2013

Percubaan "Sai-fai" Sekali Lagi


Selepas sai-fai.com ranap, saya ingat saya tidak mahu lagi bercakap tentang laman sesawang itu lagi. Laman bagus itu dibina oleh rakan saya, Nazri M. Annuar, yang disertai oleh beberapa editor PTS waktu itu. Nazri sendiri merupakan editor PTS waktu itu yang membawa gelombang penulisan fiksyen sains dan fantasi masuk dalam penerbitan PTS. Gelombang itu sudah mati, namun Alhamdulillah, penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Alaf 21, Buku Prima, Buku Fixi, Adiwarna masih memberikan tempat, walaupun tidak segah genre fiksyen spekulatif lain apatah yang berbentuk cintan-cintun. Yang lebih baik lagi ialah ketekalan Utusan Publications & Distributors serta Universiti Teknologi Malaysia yang meneruskan sayembara penting fiksyen sains (Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi) untuk musim ketiga. Usaha Utusan dan UTM ini amat terpuji dalam menggerakkan suatu genre yang sebenarnya mempunyai potensi dan harapan cerah jika ia benar-benar diberi laluan yang betul.

Sehubungan dengan itu, saya tercuit untuk memberikan nafas semula terhadap segala data sai-fai.com yang sudah "hilang" ditelan materi maya. Saya ini buta TM, malah menyampah, dan pemalas untuk menyimpan bahan. Jadi segala data berguna dalam ruang itu hilang begitu sahaja. Saya ingin hidupkan kembali sesawang itu tetapi saya buntu ilham untuk mencari jawapannya. Saya terbaca beberapa laporan dan kajian kecil orang luar (kebanyakannya dalam bahasa Inggeris) berkenaan laman itu dan perkembangan fiskyen sains di Malaysia. Harapan mandul saya jadi menyinar. Saya perlu ghairah kembali, sebab saya tidak dapat meletakkan beban ini di bahu DBP yang tidak terluak nak buat (genre tilikan mereka lebih luas dan mereka tidak ada staf yang cukup apatah lagi yang mahir dalma bidang tersebut), apatah lagi kepada pensyarah di luar sana (saya ada terdengar beberapa nama, tapi nama atas nama sahaja, tidak terluak apa-apa bahan tulisan atau kritikan berkenaan genre ini, yang kita kenal hanyalah kalangan sahabat pengarang). Yang dapat ditelurusi setakat ini hanyalah laporan tekal keputusan sayembara Utusan-UTM itu yang terbit saban tahun, satu-satunya "tulisan ilmiah" yang kita tahu dapat dikongsikan secara awam.

Saya juga meneliti, saya tidak seharusnya meletakkan label "fs berat" (hard sf) ataupun "fs ringan" (soft sf) setakat ini buat penulisan fiksyen sains (setelah menelti karya terbitan Utusan dan Buku Fixi yang mutakhir). Hal ini tergema dalam diri saya apabila saya meneliti beberapa penulisan kajian berkenaan fiksyen sains (serta rujuk rajah garis masa fiksyen sains Barat di atas), baik dalam perfileman mahupun persuratan. Baru-baru ini juga, Nisah Haron telah memberikan tulisan tesisnya berkaitan unsur fiksyen sains dalam teks hikayat lama Melayu. Kajian ini amat penting kerana Nisah sebenarnya mengaitkan penstrukturan unsur yang menjelma dalam maksud "awang-awangan" (lantas selalu dikaitkan dengan fantasi, yang mana perikiraan ini juga betul, namun rujuk rajah di atas kerana penulisan "fantastik" juga menjurus kepada penciptaan fiksyen sains Barat seperti yang dicerna daripada The Golem dan Atlantis) yang sebenarnya bersifat "sofistikated", "maju", "kekaguman" (wonderment) yang lazim dalam fiksyen sains. Hal ini ditambah lagi dengan penulisan susastera yang turut memasuki korpus kajian fiksyen sains seperrti karya Margeret Atwood. Apatah dengan kekuatan dunia Phillip K. Dick dalam arena fiksyen sains (jika namanya tidak tersenarai, senarai itu tidak sah) dianggap sebagai fs ringan, walaupun beliau banyak memenangi anugerah Nebula dan Hugo. Perkiraan fiksyen sains Barat tentulah jauh dan jelas ampuh untuk membentuk pengkategorian yang sebegitu.

Atas sebab itu, ada beberapa penulisan spekulatif yang turut dimasukkan dalam senarai sai-fai ini, termasuk genre fantasi. Genre fantasi perlu dimasukkan atas sebab kekeliruan yang dikemukakan (ramai pembaca Malaysia masih menganggap siri Harry Potter sebagai fiksyen sains, contohnya) serta iringan fantasi dan fiksyen sains dalam penulisan. Misalnya, dengan jelas Ahmad Patria Abdullah, antara jaguh fiksyen sains telah melakarkan novel fantasi terunggul Malaysia dengan Saga Artakusiadnya. Begitu juga dengan penulisan Faisal Tehrani, yang mahu tidak mahu, 1511H [Kombat] mempunyai unsur fiksyen sains yang jelas walaupun tergolong dalam kumpulan penulisan susastera.

Tujuan saya melakukan hal ini adalah kerana fiksyen sains kita terlalu muda untuk didesak mengenali fs berat yang memang berat, walaupun sudah ada beberapa penulis yang sudah melakukannya (rujuk Baladewa-X Nizam Zakaria). Saya juga tidak dapat menolak penulisan kanak-kanak dan remaja yang terbit kerana walaupun saya tidak menerima pandangan genre ini sebagai genre khusus kategori umur itu, namun perkembangannya di Malaysia sememangnya berlaku dalam kategori genre tersebut.

Fiksyen sains kita pun baru hendak bermula jaguh, sedari 30 tahun sahaja usianya. Saya meletakkan fiksyen sains yang benar-benar dewasa dan matang (dan tidak dikira fs berat pun) daripada tulisan Sabds S, cerpen "Tetamu dari Langit" (1985?) (terjemahan yang dibuat oleh Harry Aveling tertulis, "Visitors From Outer Space", cerpen ini antara satu-satunya penulisan fiksyen sains tempatan berunsur apokalips/kiamat) sebagai penggerak. Namun, dalam 1970-an sudah bermula beberapa nama yang prolifik dalam bidang ini, walaupun kita masih boleh pertikaikan tahap kematangan unsur sainsnya. Hal itu tidak penting, yang lebih penting merupakan perayaan penulisan ini yang sedang membina suatu maksud fiksyen sains yang lebih ampuh, terbina mengikut keyakinan Nisah, daripada tulang belakang hikayat lama kita, kepada pancasarwa yang pelbagai sekarang. Titih lalu terbang. Kerja ini tidak mahu. Doakan saya.

Rujuk senarai novel sai-fai di sini.

Thursday, September 19, 2013

Bengkel Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi 2013

Rasa nak menangis apabila mendapat tahu UTM-Kumpulan Utusan kembali dengan Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi! Yey!

Faisal dan Ruhayu, jangan gatal masuk, nanti korang menang lagi. Ha ha ha.



Bengkel tidak ada had umur dan masuk percuma (siap ada makan-makan nanti). Jadi, sesiapa nak ilmu tentang fiksyen sains pun boleh ikut serta. Mesti Utusan siap bawak novel-novel pemenang terdahulu. Beli.

Dalam senarai penceramah, eloklah kalian bertemu dengan Prof. Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar, penulis novel fiksyen sains Dendam Siber dan Wira Persona Avatar(?), beliau amat mengenali teori dan pengukuhan alam fiksyen sains. Dr. Saleeh Rahamad pun boleh tahan dengan falsafah fiksyen sainsnya yang tersendiri. Dr. Lim Swee Tin pula sudah lama bergerak sebagai juri sayembara ini jadi elok bertemu dan dapatkan tips daripada beliau. Dr. Hashim Ismail pula orang kuat dalam kajian sastera yang sangat mendalami ilmu novel dan pengnovelan.

Saya dimaklumkan bahawa bengkel ini akan bergerak, berjerayawara ke beberapa tempat, seperti dahulu, Kelantan, Pulau Pinang/Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak. Hubungi pihak penganjur (seperti nombor yang tertera). Jadi usah risau ya!

Kepada yang susah nak berfaks, terus emelkan maklumat peribadi anda (seperti yang diminta dalam borang penyertaan) dalam e-mel beralamat kepada yosman[@]utm.my dan sitisahrina[@]utm.my.

Monday, December 31, 2012

Projek Fiksyen Sains Toq Rimau!

BERITA BAIK BUAT PENULIS FIKSYEN SAINS:

Mau menulis fiksyen sains? Saya sudah masuk, jadi sila, jom dan bersama-samalah!


PROJEK BUKU SAINS FIKSYEN



Tajuk (cadangan awal) PISTOL LASER / SENJATA RINGAN / MESIN MASA PAK LONG / ROBOT PERTAMA YANG MENANGIS

Tema
Naratif fiksyen sains dengan penutup cerita di luar jangkaan pembaca.

contoh konsep cerita:
  • Pemuda Merentas Masa Menyelamatkan Balai Polis Bukit Kepong
  • Firdaus Berkahwin Dengan Makhluk Zuhal
  • Robot Singapura Vs Zombies Ulu Tiram
  • Virus Dalam Telefon Bimbit Pandai Main Twitter
  • Zanji Sebuah Mangkuk Terbang
 (hanya menyebut beberapa)


Sasaran Bilangan penulis terlibat
20


Penerbit 
Sindiket Sol-jah (Penerbit buku-buku mandiri bermutu tinggi)



BERMINAT JADI PENULIS? HANTAR CADANGAN CERITA
Jika anda berminat dengan projek ini, tulis satu cadangan cerpen fiksyen sains dan hantar ke tokrimau(at)gmail(dot)com. 

FORMAT CADANGAN CERPEN. (Jawab 5 soalan ini)
  1. Beri latar belakang watak utama.
  2. Dengan apa atau siapa watak utama berkonflik?
  3. Bagaimanakah watak utama menyelesaikan konfliknya?
  4. Apakah pintalan cerita (plot twist) di hujung cerita? 
  5. Apakah tema cerpen anda?


Letak tajuk emel CADANGAN CERITA FIKSYEN SAINS. Tunjuk kebolehan mengawal nahu, tanda baca, ejaan dan naratif. Tiada had berapa banya cerita nak hantar.

Saya hubungi jika saya suka. Tolong jangan belasah saya jika saya tak hubungi.

TIADA DEADLINE lagi, cukup 20 orang terpilih, baru kita rancang deadline. ...



JIKA TERPILIH:
Tugas Penulis
1. Bayar RM200 kepada penerbit. Penerbit akan gunakan duit ni untuk urusan penerbitan. Pulangan kepada penulis rujuk perkara 4.
2. Tulis cerita 8 muka surat (A4, Times New Roman saiz 12, double spacing, format .doc)
3. Bertanggung jawab terhadap nahu dan ejaan tulisannya. Dapatkan seseorang untuk menyunting tulisan itu.
4. Hantar tulisan ke tokrimau(at)gmail(dot)com .
5. Penulis mendapat 30 naskah buku yang boleh dijual dengan harga RM20/naskah. Kalau terjual semua, RM600. Kaya!
6. Jika penulis mahu jual lagi, penulis boleh bincang dengan Sol-jah untuk dapatkan harga borong.



Tugas Penerbit
1. Mengenal pasti penulis berwibawa.
2. Mengumpulkan modal lebih kurang RM2000 untuk memula projek.
3. Mencari sumber kewangan lain menampung kos pengurusan.
4. Mengumpulkan tulisan lebih kurang 200 muka surat.
5. Membuat susun atur buku profesional.
6. Membuat rekabentuk kulit buku profesional.
7. Hantar buku untuk dicetak buku.
8. Penerbit TIDAK membuat proses suntingan/editorial secara terperinci. Penulis kena usahakan sendiri.


rujuk maklumat di gangguan.blogspot.com

Friday, April 13, 2012

Unsur dalam Fiksyen Sains

Unsur dalam fiksyen sains amat penting. Ianya terbahagi kepada dua, sesuatu yang pejal, yang boleh dilihat, dipegang, kadang-kadang, di rasa atau dengar atau pelbagai interaksi secara inderawiah (dalam pelbagai bentuk, daripada berbentuk seni, sebesar saga, sehingga sebesar alam) lantas senang untuk dibuat ujikaji terhadapnya.

Ujikaji ini bukan sahaja bermakna pengujian yang terkawal, iaitu di dalam makmal, di mana satu-satu unsur atau bahan ditelaah di bawah suatu penelitian yang terukur dan mengikut pengkaedahan yang tertentu, tetapi ujikaji secara akliah, iaitu pengambilan pemahaman terhadap unsur itu dan apa ia lakukan, dan kemudiannya berlaku analisa dalam pemikiran dan pengeluaran hipotesis, ataupun suatu kesimpulan, ataupun pandangan, yang mungkin akan mengejutkan, mengujakan, menakutkan, ataupun menggembirakan, dan hal inilah yang selalu dibawa, diangkat dan diselami oleh pengarang fiksyen sains terbaik. Ini kerana hal-hal yang berlaku di sekitar (bersangkut-paut dengan unsur atau objek itu) yang kemudiannya dihadam oleh watak dalam fiksyen, yang kemudiannya menjadi suatu "pengalaman baharu". Dari pengalaman baharu inilah, timbulnya "ujikaji" iaitu menganalisa secara penelitian yang mungkin mengambil masa panjang, dengan emosi serta akli dalam "memahami" fenomena terhadap kewujudan objek atau unsur itu (baru muncul atau tiba-tiba muncul atau sudah sebati dalam budaya/kehidupan masyarakat).

Unsur pejal sebegini bolehlah mengambil contoh, kehadiran telefon bimbit berskrin (yang kini bukan lagi suatu cabaran dalam pembikinan) yang menyebabkan berlaku kerapatan atau kependekan masa interaksi atau penyampaian berita, atau kehilangan semangat perhubungan sosial secara fizikal (separanya sudah tentu, sepertimana munculnya Facebook dan pelbagai lagi budaya maya yang mula menerobos dunia kebiasaan komunikasi fizikal manusia). Apabila seorang penulis "menulis" cereka sains, haruslah difahami "kewujudan" alat sebegini di dalam dunianya, di mana logika merupakan matlamat dan sarwa yang paling penting untuk ditanggapi. Maka berlakulah hal-hal seperti "gangguan bising" dan "daya gelombang lemah" yang disatupadukan dalam cerita, memberi kisah itu sedikit "dramatis". Rujuk bagaimana alam Star Trek berkali-kali bermain dengan unsur ini untuk kesan plot dan emosi. Di sinilah juga, seperti Nisah Haron pernah menyatakan bagaimana "sembarani"(?) suatu kenderaan ataupun haiwan yang memandu watak dalam Sulalatus al-Salatin merupakan unsur "fiksyen sains".

Unsur kedua, sesuatu yang abstrak, ataupun sesuatu yang tidak boleh dilihat sebagai objek. Secara ringkas, "ide". JG Ballard memanggilnya "ruang dalaman" (inner space) yang banyak berkait dengan pemahaman psikologi dan persepsi pengalaman, Phillip K. Dick pula mengungguli persepsi kemanusiaan yang mana "ide", atau suatu fenomena (yang tidak boleh dipegang) atau suatu rangkaian kejadian memberi sudut pandangan kemanusiaan. Inilah unsur yang paling susah untuk dikecapi dalam penulisan fiksyen sains, dan jika ianya boleh dikuasai, seorang penulis fiksyen sains itu amat diraikan. Inilah juga mengapa cendekiawan cereka sains memperlihatkan bagaimana Utopia karya falsafah Thomas Moore itu diperihalkan sebagai fiksyen sains, oleh sebab kewujudan (yang tiada pun hal atau teknologi terkini) suatu "sistem pentadbiran" yang amat "di luar tanggapan biasa manusia" boleh dimanfaatkan/digambarkan dengan jaya (sekurang-kurangnya dalam karya tersebut). Inilah unsur yang ramai pengarang cuba lakukan, tetapi gagal. Ini juga berkait besar dengan gagasan fiksyen sains, iaitu suatu cakupan pemahaman "perubahan" yang besar merangkumi "dunia" cereka tersebut. Jika pengarang memahami unsur ini dan menggunapakai sebaiknya, karyanya mencapai suatu wacana yang akan terus diperbincangkan.

Saya tidak menyukai karya Faisal Tehrani Kombat: 1511 atas beberapa sebab. Tetapi apabila diselidik balik, novel itu mempunyai unsur idea fiksyen sains (yang tidak pejal) yang ampuh. Fenomenanya senang, generasi muda (Islam) menyatukan diri mereka dengan tasawuf. Hal ini pun bukanlah satu "kejutan" kerana wujud dari dulu hingga sekarang suatu pemahaman "kesan Mahdi" yang menyelusuri unsur-unsur yang begitu disampaikan dalam novel tersebut (yang juga wujud unsur pegangan ekstrem dengan kafir-mengkafir). Unsur "mahdi" di sini diambil sebahagian dalam pemahaman konteks besar novel ini, disulami dengan pemahaman "pemuda dari Timur dengan cogan hitam" yang kini amat popular dalam kalangan pencari salasilah Melayu. Apa yang lebih penting, teknologi dan aqidah tinggal sebelah-menyebelah tanpa rasa janggal atau kelihatan "meodenisasi", seakan suatu kesebatian kehidupan "utopia" sudah berjaya terwujud, dipergunakan dan diraikan dalam pertembungan agama-modenisasi. Hal inilah yang dicemburui pihak Barat (Dajal) dalam novel ini, yang memperlihatkan agama dan modenisasi tidak boleh dicampur-adukkan. Inilah ide dalam novel tersebut, yang mana digunapakai oleh golongan muda yang "bawah tanah" tetapi disokong oleh kerajaan-kerajaan Islam lain. Sekurang-kurangnya Faisal dari awal berpegang teguh dengan ide ini (yang takjub terhadap fenomena ini ialah kalangan Barat, antogonis dalam novel ini).

Rahmat Haroun dalam Manuklon lebih mencapai sasaran ini apabila menampilkan dalam dunia amat pascaapokalips, manusia bercampur klon dan android sudah hancur sifat moral dan moraliti. Manusia "tulen", oleh sebab ini (dalam novel ini ditampilkan bersemangat patriotik, sepertimana Robert A. Heinlein) memerangi golongan manklon tersebut. Tetapi hal ini pun tidak diberikan justifikasi senang "baik lawan jahat" seperti novel Faisal di atas, novel ini memunculkan pula "satu sistem" di atas pemberontakan manusia serta pentadbiran elit manuklon, yang juga merupakan satu jenis entiti "siber" yang merancang kejayaan manusia(!) Ini sebuah novel yang sememangnya mengejutkan, dan sepatutnya terus diperbincangkan. Sememangnya sebuah adikarya fiksyen sains kita yang pertama.

Thursday, April 5, 2012

Gagasan dalam Karya Fiksyen Sains Penting

Fiksyen sains bukan sahaja berkenaan piring terbang, robot bergerak dan dunia serba maju.

Fiksyen sains sepatutnya berkenaan gagasan, gagasan baharu. Gagasan unik. Gagasan yang mengganggu/menguja.

Saya baru beli Invasi tulisan Raja Faisal. Saya belum sempat membacanya, sedang menggulatiZombijaya, The Autobiography of Malcolm X, novel terbaharu Anwar Ridhwan, Mautopia, Choker Bali, Rahsia Malam Merdeka dan Rimba Harapan.

Saya "teringin" membaca Invasi kerana saya penggemar fiksyen sains. Baru-baru ini saya membaca cerpen fiksyen sains, tulisan Ummi Ammar(?) (teringat Saga Horizon!) dalam majalah yang satu-satunya mengangkat cereka fiksyen sains (dahulu ada Karya), Dewan Kosmik. Saya agak tersinggung dengan cerpen itu, kisah "sosial" atau "moral" seekor ikan yang terjebak "dalam landasan yang salah". Premis mungkin "menarik sedikit", berkenaan bagaimana ikan-ikan (jenis Arowana) ini dipupuk dalam suatu institusi "pembiakan" secara saintifik kerana kepupusannya. Satiranya sejalur, tidak pun mencapai sinis Tikus Rahmat ataupun Perlumbaan Kedua. Seharusnya penulis lebih menyelami dunia komunikasi dan sains pembiakan tersebut, dan apa yang menarik berkenaannya. Ini tidak, ikan dalam cereka ini seperti "manusia" malah "dimanusiakan", saya ingin benar merasai "keikanan" atau bagaimanalah ikan berkomunikasi secara benar dalam erti kata sains. Finding Nemo mungkin lebih berjaya dari segi itu daripada cereka ini.

Saya tidak pula menyatakan fiksyen sains (FS) perlu ada satu matlamat sahaja. Saya setuju dengan Margaret Atwood, yang mana melihat dalam dunia pascamoden ini, seharusnya karya FS tidak lagi tertakluk "sains" tetapi "fiksyen spekulatif" yang membuka rangka dan cerapan tema yang lebih luas untuk penulis "berimaginasi". Tetapi jika dirujuk pun karyanya, ia tetap mempunyai semangat FS itu: yang penting bermain dengan satu gagasan, dan itulah yang dilakukan.

Gagasan ini tidak susah. Saya pernah membaca sebuah buku kajian yang menggunakan konsep "novum". Cristopher Priest dalam buku 100 Must Read Science Fiction Novels pula menyatakan konsep "anjakan paradigma" itulah FS. Anjakan yang dimaksudkan ini adalah "gerakan" atau "perubahan". Paradigma boleh sahaja suatu perspektif atau pemikiran. Di sini, suatu "perubahan pemikiran" berlaku. Di sini, ada pelbagai jenis "perubahan" boleh diperlihatkan, sama ada dari segi alamiah (contohnya, Malaysia tiba-tiba diselaputi salji sepanjang tahun dengan konsep sains yang dipercayai [plausible explaination]), boleh juga dengan perbuatan tangan manusia (Frankenstein mencipta mayat hidup, hal berkenaan teknologi dalam FS banyak terangkum di sini), boleh juga suatu yang tidak disangka, dari luar yang menganggu kesemulajadian kita (kedatangan makhluk asing). Hal ini tidak sahaja "mengubah" ketakjuban pembaca/manusia dalam cerita, tetapi membentuk satu "budaya" baharu (kadang-kadang, agama baharu, tetapi hal ini lebih sesuai dalam novel barat) dan "cara pemikiran" baharu, inilah yang ingin cuba dicapai atau dimaksudkan dalam satu-satu penceritaan FS yang sebenar.

Saya mengharapkan Invasi oleh Raja Faisal mempunyai sekurang-kurangnya kekuatan ini.

Wednesday, October 19, 2011

Kala Yuda: Pemenang Pertama Yang Diragui

Susahnya hendak berjuang bila kita bersendirian. Sai-fai.com mati sekali lagi. Saya terlalu sibuk maka saya tidak dapat menjaganya (menjadi moderator), lantas ia terus menghilang apabila rakan-rakan lain yang "kononnya" sidang editor tidak bersama untuk membantu.

Kini, saya hanya akan mengulas di blog ini.

Kini, saya tidak percaya kepada himpunan bersama kawan-kawan. Saya harus bergerak sendiri, untuk diri sendiri dan memuaskan diri sendiri.

Tajuk: Kala Yuda
Oleh: Amer Hmzah L. Kadir
Terbitan: Utusan Publications
Tahun: 2010

Sinopsis:
Dunia futuristik, tamadan baharu pasca apokalips. Sistem manusia berubah apabila kota tertutup manusia dipenuhi dan diaturi oleh teknologi, khusus "sepman" (separuh manusia) yang beraksi sebagai siborg tetapi bukan siborg sebagai "polis rahsia". Sekumpulan saintis lain pula tinggal di "Pelabuhan" sebagai pusat pemberontak dan mengancam kerajaan kota serba moden tanpa jiwa dan cengkaman mereka terhadap manusia. Satu revolusi sedang berlaku dengan perlahan dan teliti.

Rasa:
Ini sebuah novel yang jika diberi masa untuk diuliti dan dieram, akan menjadi sesuatu yang besar. Ideanya menarik, dalam garisan kemanusiaan yang halus, berlakulah konflik dalam memahami berapa jauh manusia sanggup menjual roh suci mereka untuk pembangunan material (atau mencapai satu falsafah hidup yang tinggi). Konflik ini dijadikan dengan lebih baik dengan mengambil ideal "kontra" dua alam, yang dikondisi sebagai "buruk" serta alam sekeliling realiti yang sebenarnya mencengkam secara prasedar. Ini sebuah tema yang sudah biasa dibikin dan selalu diguna oleh penulis fiksyen sains barat (rujuk novel Logan's Run yang difilemkan pada 1976, idea "utopia" atau "distopia" ini juga wujud dalam filem-filem Hollywood baharu seperti Wall-E, Repo Man dan The Island).

Dalam novel ini, wujud sentuhan dan perbandingan menarik berkenaan "utopia" dan "distopia" tersebut. Hal ini berikutan sistem pemerintahan Kota Jagat yang kelihatan aman di luar tetapi "mendesak" anak-anak kotanya (kritikan penulis terhadap realiti zaman kehidupan kota penuh mencabar sekarang). Tidak ada "ruang lain" yang mereka boleh pergi memandangkan kawasan yang dinamakan "Pelabuhan" di luar kota merupakan tempat "sisa" dan "kehancuran" (simbolisme tamadun berakhir). Maka di beri "suatu lagi" dimensi berkenaan "kehidupan" di Pelabuhan yang walaupun selelau dikacau dan diburu, kelihatan liar dengan hutan belantara, misterius, tidak terusik - alam menjadi alam sebenar semahu-mahunya.

Semua ini menarik, dan petanda suatu naratif agung dapat dikeluarkan daripadanya. Dengan pandangan penulis yang didaktik berkenaan pengubahan genetik, pencampuran manusia dan haiwan, eksperimen larangan dan robotik, ia memaparkan sisi manusia yang dinamis yang selalu melihat kepada perubahan untuk membaiki keperluan hidup, berbentuk peribadi ataupun negara. Satu percubaan lagi, ia cuba menunjukkan, tiada yang "baik" atau "buruk" dalam watak, walaupun pada mulanya diperlihatkan "cengkaman" watak itu mengikut sistem yang menghimpit masyarakat Kota Jagatnya secara prasedar.

Tetapi hal inilah yang tidak dijaga oleh Amer Hmzah, dengan susunan watak yang berselerak, kita susah untuk betul-betul "mencakupi" pemahaman motif dan sikap watak tersebut, malah kadang-kadang bila dibaca teks, watak seakan-akan beraksi seakan dibuat-buat semata-mata "untuk menghabiskan cerita". Contohnya sikap Ishmael yang "bertukar-tukar" tanpa kawapan yang betul, atau persoalan watak seperti Zaman yang tenggelam timbul dipayungi Prof Abe dan beberapa doktor lain. Saya merasakan, ini percubaan penulis yang pertama dalam menulis fiksyen sains, kerana kelihatan ambitious tidak bertempat (terlalu mahu memasukkan segalanya untuk diceritakan, baik politik, agama dan kritikan sosial ke beberapa tempat tanpa kawalan). Saya ingin menasihatkan penulis agar cuba membaca Manuklon Rahmat Haroun, sebuah novel fiksyen sains yang sudah ditahap klasik, yang mempunyai bumbu sebenar dan memahami ideal "distopia/utopia" dalam agenda politik yang jelas dan penggunaan gaya yang ligat dan berkesan. Malah, novel ini menjadi novel rujukan saya untuk Saga Horizon.

Contoh yang paling saya tidak gemari adalah percubaan beliau menggunakan abjad A-Z sebagai pecahan bab, di mana setiap abjad tersebut dijadikan huruf pertama untuk menggerakkan cerita. Idea penggunaan rumi ini menarik jika Amer faham mengapa ia dibuat dan bukan atas dasar "gaya" sahaja. Penggunaan 26 huruf ini adalah untuk menyatakan secara konkrit bahawa apa-apa yang wujud dalam kandungan teks ini sudah dirancang dan teratur sikpanya (kerana huruf dan aturan A-Z "lengkap" dan teratur). Tetapi hal inilah yang tidak dijumpai wujud dalam teks kandungan, tetapi lebih kepada "meminjam huruf atas kerana huruf". Maka penceritaan yang sepatutnya boleh dikembangkan (kenapa ada orang rahsia di balik senat, kenapa sikap Dr. Zakry yang berubah-ubah dan tidak konsisten terhadap motif, kenapa wujud beberapa momen kejutan yang palsu?). Inilah masalah novel fiksyen sains ini.

Friday, December 31, 2010

Tidak Sedar JIAN Pernah Diulas

Salam sejahtera dan ukhwah! Salam Gregori 2011!

Saya sibuk membelek laman dan terkejut, orang besar, bintang, penulis terkenal Nazri M. Anuar pernah menulis satu ulasan berkenaan novel sulung saya, JIAN, rupanya, huhuhuhu.. Saya ucapkan terima kasih kepada penulis Karipap-karipap Cinta itu, membuak semangat supaya 2011 ialah tahun saya menyambung apa yang tidak saya selesaikan. Kalau teruk sangat, saya mahu ambil cuti panjanglah untuk menulis. Maaf ya Pn. Padilah, Kak Ton, perasaan dah meluap-luap ni!!


Kritikan Nazri:
Malaysia kekurangan novel-novel fiksyen-sains dan fantasi yang menarik, unik dan hebat. Ada beberapa novel dalam genre ini aku baca tapi banyaknya menulis kerana mahu ambil hati para juri. Novel yang menggunakan formula sayembara. Dengan elemen stereotype ‘memertabatkan bangsa Melayu’ seperti hero yang punya jati diri kuat, elemen propaganda budaya yang tidak diolah untuk kasi nampak tak campy serta banyak lagi.

Sekurang-kurangnya JIAN tidak begitu.

Ulasan penuh beliau di sini.

Thursday, July 29, 2010

Tidak Akan Mengulas Karya Sai-Fai Di Sini

Salam,

Hanya mengumumkan, saya tidak akan mengulas novel/cerpen sai-fai di sini, sebagai ganti, akan diulas dalam laman Sai-fai.com yang sudah dibangunkan. Saya mendapat azam ini setelah habis mengulati novel Revolusi Nanik tulisan Nurul Izwazi Mohd Nor. Ya, ulasan itu akan dimasukkan dalam laman tersebut. Ulasan-ulasan saya yang lepas akan turut dimasukkan dalam laman itu.

Maka berkunjunglah ke Sai-fai.com.

Tuesday, June 29, 2010

Sedang Diperkemaskini

Saya sedang cuba, bersungguh (tapi perlu berhenti kerana banyak kerja di Ofis) untuk membangunkan kembali:

http://sai-fai.com/

Kami sedang buat pengundian...
Cubalah masuk dan jelajah ...

Friday, February 13, 2009

Mencari Penulis Sai-Fai!



Saya dan beberapa rakan penulis/editor sedang dalam proses mencipta ZINE yang khusus buat sai-fai (sains dan fantasi), kini mencari sumbangan penulisan fiksyen sains, fantasi (fiksi atau bukan fiksi) dan penulisan spekulatif lain yang boleh dimuatkan dalam ZINE kami. Saya sendiri akan menyelanggara bahan sumbangan tuan-tuan dan puan-puan.


Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan amat diperlukan.


E-mel kan terus kepada:




Sekian.

Tuesday, July 22, 2008

Bila Manusia Diburu


Sebenarnya, perkara pertama yang menambat saya untuk terus membaca 'Saga Horizon' sudah tentulah susunan bahasa yang menyegarkan. Tiada ayat-ayat lewah yang merimaskan. Tiada ayat-ayat melankolik yang meloyakan. Setiap kata yang dipilih begitu tepat dan kena dengan ceritanya, cukup untuk menggambarkan situasi malah membangkitkan deria pada setiap peristiwa.

Saya dapat merasakan kegusaran, rimas dan panas para askar upahan ketika menanti arahan Rogue di tengah kehangatan padang pasir Sempadan Utara Cokmar. Saya teruja oleh semangat Marc yang ingin lari dari perlindungan dan bayang-bayang Rogue. Hati saya tersayat dalam raungan perempuan-perempuan yang meratapi longgokan mayat di hulu pasar terpakai Sempadan Ahzim. Saya bagai terdengar salakan mengerikan Orang Makan Orang berebut-rebut memilih bangkai manusia sebagai hidangan mereka. Saya merasakan kepiluan berbaur dendam yang marak membakar setiap kali Rogue menghayunkan Pedang Shashqa menebas jembalang-jembalang yang berusaha membunuhnya.

Fadz (Fadli Akiti) begitu bijak menjentik emosi dan menggambar situasi sehingga setiap babak dalam novel ini umpama filem yang berputar tanpa henti. Pergerakan lancar setiap peristiwa membuatkan anda tidak mahu meninggalkan walau sepatah pun perkataan.

Sekali-sekala saya disedarkan oleh perkataan-perkataan asing (yang jarang digunakan sebenarnya). Antaranya ialah Pawang (yang dimaksudkan dengan ahli sains), sauk, dan nazwah. Sudah pasti pemilihan kata seperti ini membezakan 'Saga Horizon' daripada novel-novel lain dewasa ini, memperkayakan kosa kata pembaca dan bagi satu atau dua perkataan, ia memberikan makna baru yang tidak terfikirkan.

Monday, June 30, 2008

Kebangkitan Fiksyen Sains?

Sebuah emel daripada pembaca di laman Alaf21:


NOVEL SAI-FI: TAHNIAH ALAF 21!

Hizamnuddin Awang
Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur
hizamlusi@myjaring.net

Dunia penerbitan buku negara kelihatannya sedang mengorak langkah ke satu era baru. Sejak sekian lama pasaran buku sains fiksyen (sai-fi) Malaysia dibanjiri oleh buku-buku berbahasa Inggeris, kini tidak lagi. Saya melihat inisiatif beberapa penerbit memulakan penerbitan buku genre ini satu perkembangan yang sangat dialu-alukan.

Langkah penerbit seperti Pelangi yang menerbitkan siri Harry Porter dalam versi Bahasa Melayu menunjukkan bahawa pasaran buku sai-fi di Malaysia memang ada. Walaupun siri Harry Porter itu merupakan siri sai-fi yang cukup ramai pengikut di seluruh dunia yang menggunakan medium Bahasa Inggeris, namun versi Bahasa Melayu tetap terjual.

Kita di Malaysia mungkin agak ketinggalan dalam menterjemah karya-karya sai-fi mahupun novel-novel popular ke dalam Bahasa Melayu, tidak seperti mana di Indonesia. Saya melihat banyak karya penulis barat seperti Tom Clancy, Micheal Crichton dan John Grisham diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia, dan ada dipasarkan di Malaysia. Indonesia memang sudah mendahului kita.

Terkini ialah Alaf21 yang tidak mahu ketinggalan mengisi ruang kosong keperluan novel sai-fi negara. Saya sebagai peminat setia novel sai-fi tidak menunggu lama untuk membelinya. Walaupun masih belum dibaca, Saga Horizon saya kira boleh menjadi contoh yang baik bagi cerita-cerita genre ini.

Sunday, June 3, 2007

Sekitar Novel Fiksyen Sains Malaysia


Nota fadz: Artikel di bawah pernah keluar di dalam Dewan Sastera Bulan Mei 2007. Artikel di bawah belum disunting dan di dalam versi aslinya.


Jika anda bertanya pada kawan di sebelah anda, apa yang mereka tahu tentang ‘fiksyen sains’, jawapan yang selalunya akan anda dengar ialah: “piring terbang”, “Steven Spielberg”, “pengembaraan angkasa lepas”, “robot”, “makhluk asing” dan “saya lebih suka berpijak pada dunia nyata.”

Fenomena ini bukan satu kebetulan tetapi satu hakiki yang perlu diterima dalam memahami sejauh mana perkembangan genre fiksyen sains sudah berlaku di Malaysia. Malah, sering kali juga, walaupun perkara ini bukanlah perkara baharu di luar negara, fiksyen sains lebih lazim digolongkan sebagai sebuah genre ‘susastera budak lelaki’ dan hanya dibaca oleh kanak-kanak dan remaja.

Mungkin perkara ini tidak dapat dinafikan kerana, jika dilihat pada konteks bagaimana fiksyen sains terlahir di Malaysia.

Sebelum kita pergi ke situ, marilah kita lihat definisi tentang fiksyen sains secara umum dan terkini. Fiksyen sains, atau fiksyen (istilah yang paling salah tetapi banyak digunakan oleh editor) atau cereka sains di dalam Oxford English Dictionary membawa maksud ‘imaginative fiction based on postulated scientific discoveries or spetacular enviromental changes, frequently set in the future or on other planets and involving space or time travel’.

Dalam kajian fiksyen sains mutakhir, tiga definisi terpenting dan popular di dalam genre ini diperkenalkan oleh Darko Suvin, Robert Scholes dan Damien Broderick (Roberts, Adam 2000: 7). Suvin menyatakan bahawa ‘fiksyen sains tercipta daripada pemerhatian empirikal penulis, lalu pemerhatian ini diolah menjadi sebuah kerangka yang imganatif tetapi terjaga walaupun terasing dengan realiti dunia sekarang’. Robert Scholes pula menyatakan ‘fiksyen sains ialah sebuah ‘dongengisasi’ (fabulation) yang tidak bersambung dengan realiti tetapi mempunyai sambungan kognitif (proses pemahaman) terhadap realiti’. Dan Damien Broderick memberi maksud ‘fiksyen sains bercerita tentang metonymic (satu unsur yang mewakili separuh daripada unsur lain) dunia yang mementingkan objek daripada subjek.’

Kepada seorang penelaah yang tidak mengkaji teks-teks fiksyen sains, penghadaman untuk memahami definisi mutakhir ini tentu akan mengambil masa yang agak lama untuk dicerna.

Maka, secara keseluruhan, fiksyen sains ialah sebuah pembentukan dunia/falsafah/roh/gaya terbaharu atau dipanggil ‘novum’ (diambil dari istilah latin ‘novus’ yang bermakna “baharu”), yang walaupun tidak bersangkut paut dengan dunia sekarang, ‘novum’ ini memberi makna dan kefahaman yang unik dan tersendiri tentang dunia kita.

Novum’ inilah yang membawa maksud idea, objek, fenomena, atau senario yang dicampak dalam sebuah cerita, lalu diperlihat secara sistematik dan manusiawi, bagaimana ‘novum’ ini memberi kesan terhadap watak-watak (selalunya manusia) di dalam naratif (nilai positif atau negatif) secara langung dan pembaca (yang ingin memahami teks cerita) secara tidak langsung.
Pada tahun 1977 di Malaysia, dua buah ‘novum’ tercipta dan boleh dikenali sebagai datuk kepada fiksyen sains Malaysia, iaitu Seribral Hidofarik karya Mohd. Arrifin Mohd. Siri terbitan Titiwangsa serta komik fiksyen sains Siri Kapten Merak karya Mishar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

DBP bukan sahaja menjadi antara badan perintis yang memperkenalkan fiksyen sains di dalam arus susastera tempatan, tetapi telah berusaha memperkembangkan penghasilan ‘novum-novum’ baharu beracuan tempatan, khususnya dalam bidang penovelan.

Novelis-novelis terawal fiksyen sains Malaysia terdiri daripada penulis-penulis muda yang cuba membawa pembaharuan dalam tema novel kanak-kanak. Mereka ialah Shahidan Md. Noh, Abdul Ahmad, Mohd. Ismail Sarbini, dan Othman Puteh, walaupun mereka bukan penulis fiksyen sains per se.

Jika diperhatikan dengan teliti, novel-novel fiksyen sains mereka mempunyai tema atau dunia yang seakan disadur daripada drama siri televisyen fiksyen sains dan fantasi Amerika, filem fiksyen sains Hollywood dan novel fantasi barat. Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana pengaruh kuat siri-siri televisyen seperti Buck Rogers in the 25th Century, The Time Tunnel, Batman, Star Trek, Back to the Planet of the Apes dan Voyage to the Bottom of The Sea pada penonton muda di Malaysia. Oleh kerana itu, novel fiksyen sains yang diterbitkan oleh DBP pada awal 80-an bercirikan pembacaan kanak-kanak dan remaja.

Seperti novel Perjalanan Pertama karya Shahidan Md. Noh (DBP, 1979) yang dibahagikan kepada dua buah cerita pengembaraan; sebuah cerita mempunyai persamaan pengembaraan angkasa lepas dalam Star Trek dan sebuah lagi mempunyai persamaan pengembaraan kapal selam Voyang to the Bottom of the Sea. Komik Siri Kapten Merak karya Mishar (DBP, 1977) juga mempunyai cerita pengembaraan angkasa lepas yang sama dengan Star Trek. Pulau Berukera dan Berukera dari Planet Ulba karya Mohd. Ismail Sarbini (DBP, 1982) pula mempunyai persamaan dengan filem Planet of The Apes serta siri televisyennya (dan bukan novelnya).

Tetapi ini tidak menafikan acuan dan ‘novum’ tempatan yang berjaya dimasukkan oleh penulis-penulis ini. Contohnya seperti Pulau Berukera karya Mohd. Ismail Sarbini yang terhasil daripada Peraduan Mengarang Novel Fiksyen Sains Kanak-kanak DBP 1980.

Pulau Berukera mungkin secara dasarnya mempunyai persamaan dengan Planet of the Apes dalam memilih objek ‘nova’ bangsa beruk sebagai bertamadun dan pintar. Tetapi jalan cerita novel ini disulam dengan fantastisme kerana protagonis novel ini, Budin telah dicolek oleh sekumpulan berukera untuk tinggal bersama mereka di pulau mereka (persamaan kisah dongeng orang tua tentang kanak-kanak dibawa lari oleh orang bunian).

Budin kemudian dibedah menjadi seekor berukera(!) supaya dapat diasimilasikan dalam masyarakat berukera yang berteknologi tinggi itu. ‘Novum’ inilah yang menyebabkan novel ini mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana berjaya membawa persoalan metonymic asimilasi suatu masyarakat terhadap sebuah tamadun yang lebih tinggi daripada masyarakat itu, dan persoalan jika pilihan pengasimilasian itu menguntungkan atau memudaratkan mereka. Persoalan pemilihan utopia/distopia Mohd. Sarbini ini sebenarnya bersangkut paut dengan keadaan berkecuali Malaysia sebagai negara ketiga pada waktu itu pada Perang Dingin antara blok Amerika dengan Rusia.

Seperti Pulau Berukera, Terjebak Di Terowong Katak, Terhumban Ke Dunia Katak, dan novel-novel zaman itu, pencampuran elemen fiksyen sains dan fantasi dalam novel memang berlaku. Novel-novel ini di dalam pemerhatian dunia fiksyen sains dipanggil novel ‘sci-fi’, iaitu novel berunsur sains yang bercampur dengan fantasi. Novel sebegini juga dipanggil ‘fantasi saintifik’ (“scientific fantasy”) atau ‘opera angkasa’. Ini adalah kerana penulis-penulis tempatan pada zaman itu belum lagi menemui kajian elemen-elemen fiksyen sains yang tulen (dipanggil “pure SF”), maka imaginasi dan dunia serba tidak logik bercampur-aduk dengan fakta-fakta sains yang bersifat empirikal.

Oleh kerana itu, sarjana fiksyen sains telah menyatakan, novel seram gothik Frankenstein (1818) karya Mary Shelly sebagai novel fiksyen sains yang pertama. Ini adaalah kerana, ciptaan ‘novum’ novel itu dilatarkan sebuah persoalan yang serba tidak mungkin tetapi logik dan mempunyai ketentuan saintifik dalam realiti dunia novel itu.

Perkara ini menarik jika kita kaitkan dengan perkembangan novel fiksyen sains di Malaysia, kerana novel fiksyen sains yang tulen dan serius pertama di Malaysia, Di.Ar.Ti. karya Rahmat Haroun (DBP, 1989) mempunyai unsur ‘penghidupan kembali tubuh fizikal tanpa roh’ yang dinyatakan dalam Frankenstein. Pembawaanya tidak lagi keanak-anakan tetapi matang dan dewasa.

Malah, boleh diiktiraf bahawa Rahmat Haroun ialah bapa kepada novel fiksyen sains moden Malaysia. Novelnya yang kedua, Manuklon (DBP, 1991) telah melakar sebuah novel pasca-apokalips tentang ‘novum’ manusia bergenetik robot dengan latar nasionalisme. Novel kelimanya, Hikayat Neogenesis (DBP, 2004) ialah hasil kerjanya yang paling kompleks kerana membawa masuk unsur pascamoden dalam mendekonstruksi kembali makna “pseudo-science” kewujudan dengan wacana kewujudan dalam teks klasik Islam.

Rahmat Haroun bukan sahaja telah menaikkan taraf fiksyen sains dalam latar susastera tempatan sebagai satu karya yang serius, tetapi dengan bantuan khidmat serta kelolaan peraduan DBP, telah membawa masuk sekumpulan judul-judul novel fiksyen sains yang segar oleh beberapa penulis lain, walaupun persembahan tulisan berarah kepada pembaca remaja.
Penulis-penulis seperti Nazel Hasim Mohamad, Azmah Nordin, Abang Saifuddin Abang Bokari, Lamia Aimal, Zailani Taslim, Lim Ee Sze, Fatimah Saidin, Muhammad Jaafar Darwis, Daniel Jebon Jenaun, dan Hizairi Othman telah memperkenalkan beberapa judul fiksyen sains serta ‘sci-fi’ terbitan DBP seperti Tekad (1991), Aerlonku (1991), Disket Misteri (1991), Sisa-sisa Planet (1991), Martika (1991), Syonagar (1992), Misteri Otak No. 3 (1992), Pembebasan Planet Logam (1993), Aerosa II Mendarat Di Petra Jaya (1994), Operasi Matrik (1995), Impian Akuatik (1995), Mamon (1996), Misteri Perenza (1997), Dedikasi Di Planet Marikh (1999), dll.
Pada awal abad ke-21, selain novel Rahmat Haroun, Dewan Bahasa dan Pustaka juga telah menerbitkan beberapa novel fiksyen sains yang menyelusuri pelbagai ‘novum’ fiksyen sains tempatan.

Misi Sarwajagat (2003) karya Ediramle Ismail ialah sebuah novel utopia didaktik tentang pengembaraan manusia yang berkoloni di planet-planet lain, tanpa meninggalkan keimanan dan agama mereka. JIAN (2003) karya M. Fadli al-Akiti ialah sebuah novel penyiasatan perubatan yang membawa isu senjata biologi dan penyesuaian manusia terhadap virus. Nekad (2005) adalah sambungan Tekad karya Nazel Hashim Mohamad tentang survival sekumpulan manusia di belantara pada zaman pasca-apokalips. Fitrah Kimiawi (2005) karya Rahmat Haroun Hashim memaparkan roman sains dan cinta seorang saintis muda.

Di dalam alam maya pula, e-novel Dresanala II: Baladewa-X, nukilan Nizam Zakaria (http://baladewa-x.tripod.com/) merupakan novel fiskyen sains dengan genre opera angkasa yang paling penting pada dekad ini.

Walaupun novel fiskyen sains dikatakan kurang mendapat sambutan, novel genre ini tetap mempunyai sekumpulan golongan pembacanya. Mungkin novel ini, yang hanya serius bermula di Malaysia pada awal 80-an, memerlukan promosi yang mantap atau jurnal yang khusus bagi memasyarakatkan fiksyen sains kepada khalayak bahasa Melayu. Malah, kelangsungan peraduan dan penerbitan DBP telah sedikit sebanyak membuka peluang kepada penerbit-penerbit swasta seperti Pustaka Cipta, Utusan Publications dan lain-lain untuk turut menerbitkan novel fiksyen sains.

Oleh kerana itu, Bahagian Multimedia DBP telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Peraduan Cereka dan Puisi Sains KaryaNet yang berlangsung dari 2003 – 2005. Dalam tiga tahun peraduan ini sudah berjalan, peraduan ini telah berjaya memaparkan perkembangan yang memberangsangkan dalam pemahaman tema-tema cerpen dan puisi fiksyen sains yang baharu.

Dengan itu, Bahagian Multimedia telah mengemaskini peraduan ini ke satu tahap yang lebih tinggi, memperkenalkan Peraduan Mengarang Cerita Bersiri KaryaNet pada tahun ini dengan memberi peluang pada penulis fiiksyen sains yang mahu menghasilkan sebuah naratif fiksyen sains yang lebih panjang, tegar dan mutakhir.

Judul-judul baharu yang terhasil daripada peraduan ini diharapkan dapat menjadi pelapis kepada ciptaan-ciptaan ‘novum’ terdahulu dan meneruskan pememberian manfaat terhadap masyarakat Malaysia dalam menangani ketidakpastian mereka tentang dunia asing dan masa akan datang.


Rujukan
King, Stephen, Danse Macabre. New York: Berkley Books, 1983.

Mann, George (ed.), The Mammoth Encyclopedia of Science Fiction. London: Robinson, 2001.

Othman Puteh, Sastera Remaja Ditinjau Daripada Beberapa Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.

Roberts, Adam. Science Fiction (the New Critical Idiom). London: Routledge, 2000.

Rubaidin Siwar, “Sekitar Fiksyen Kanak-kanak”; Sekitar Sastera Kanak-kanak dan Remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.

Scalzi, John, The Rough Guide to Sci-Fi Movies. New York: Rough Guides Ltd., 2005.

Zulkhair, http://ideamenulis.wordpress.com/2006/10/15/penulisan-fiksyen-sains-2/ (dibaca pada 20 Mac 2007)