Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |
Showing posts with label Saga Horizon. Show all posts
Showing posts with label Saga Horizon. Show all posts

Sunday, May 9, 2010

Ulasan "Saga Horizon" oleh Editor Tunas Cipta



"Membaca Saga Horizon nukilan Fadli Al-Akiti (Alaf 21 Sdn. Bhd., 2008) membawa para pembaca seolah-olah menikmati filem fiksyen sains yang mengujakan.

Dalam filem fantasi, kedapatan pada awal cerita teknologi robot digunakan untuk memudahkan kehidupan. Lalu diciptakan konflik kegagalan fungsi robot yang mesra manusia tersebut menyebabkan manusia menjadi sasaran robot berkenaan. Watak ASAIN merupakan penyebab kepada malapetaka besar yang disebutkan pada bahagian awal Saga Horizon. Buku ini cuba memberikan persepsi bahawa teknologi ciptaan manusia tidak semuanya membawa kebaikan, namun manusia juga yang berjaya menyelesaikan permasalahan yang terhasil daripada tangan mereka sendiri."
Ruslan Abdull Raffar
Editor Tunas Cipta

Wednesday, January 7, 2009

Saga Horizon Termasuk ...

... dalam 4 buku Terbaik bacaan Tok Mudin bagi tahun 2008:

Fiksyen Bahasa Melayu:

Saga Horizon, Fadli al-Akiti. Kerana berjaya membuka mata aku bahawa ada anak Melayu yang boleh menulis buku sai-fai dengan baik. Sangat baik.

lihat: http://mudin001.com/2008/12/31/2008-dan-apa-yang-aku-baca/

Tuesday, December 30, 2008

Ulasan Web Sutera: Saga Horizon

"Penulis, saudara Fadli Al-Akiti memang berimaginasi. Debaran demi debaran berjaya dipaparkan menerusi plot, sub-plot dan persekitaran. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa saya dapat membayangkan suasana pertarungan antara manusia dan mesin, persekitaran bumi yang tandus serta polemik yang dialami oleh setiap watak utama dan sampingan. Semuanya dijalin dengan baik dan ampuh."

baca:
http://pasalbuku.blogspot.com/2008/12/saga-horizon-imaginasi-tidak-terbatas.html

Terima kasih Web Sutera!

Saga Horizon ada di Kinokuniya KLCC



Saya selalu dimaklumkan bahawa Saga Horizon tidak ada di Kinokuniya KLCC. Baru-baru sewaktu cuti, saya ke sana, jelas, Saga Horizon masih ada di KLCC, terletak bawah label "Novel Remaja", ya, bersama-sama turutan novel popular yang lain, di antara nama-nama penulis antara huruf "E" dan "F". Selamat mencari.

Tuesday, September 9, 2008

Tok Mudin Suka Saga Horizon

"Aksi pertempuran berbau darah berselang seli dengan catatan-catatan si periwayat Sobri, bukan sekadar menghiburkan, tapi juga membawa pembaca (aku) menginsafi bahawa kita manusia, sebijak mana pun, tetap ada Yang Maha Mengaturkan. Dan sudah sifatnya, pertembungan antara yang baik dan jahat, hitam dan putih, kabur dan terang itu akan sentiasa berlaku, sampai bilapun. Aku tidak menyesal membeli dan membaca buku ini."
Terima kasih Tok Mudin, nanti kalau kita ke Gua Musang (dah jatuh cinta dengan tanah Kelantan, sangat-sangat), kita lepak lama lagi ya :)

Wednesday, August 13, 2008

'Kejantanan' Saga Horizon


Sungguhpun novel ini dipersembahkan melalui perspektif seorang lelaki, yang mana anda boleh jangka pastinya sarat dengan adegan-adegan lasak bersifat kejantanan, Fadli tidak lupa menyelitkan nilai kemanusiaan, seperti semangat setiakawan, kekeluargaan, dan pengorbanan seorang ibu yang amat pedih untuk dilakukan. Walaupun kisah yang disuntik dengan nilai kekeluargaan tidak mendominasi cerita, nilai ini menjadi intipati dalam perjalanan cerita yang membawa kepada akhirannya, menjelaskan sebab dan akibat pertempuran manusia-mandroid. Malah punca kekejaman mandroid terhadap manusia kemudiannya dapat difahami dan melarik rasa simpati pembaca apabila penulis menyingkap layanan dan sikap manusia terhadap mandroid-mandroid itu sendiri, sebelum bermulanya era peperangan ini. - Bunny baby


ps: Terima kasih Bunny Baby:) Ulasan anda begitu teliti dan jujur.

Tuesday, July 22, 2008

Bila Manusia Diburu


Sebenarnya, perkara pertama yang menambat saya untuk terus membaca 'Saga Horizon' sudah tentulah susunan bahasa yang menyegarkan. Tiada ayat-ayat lewah yang merimaskan. Tiada ayat-ayat melankolik yang meloyakan. Setiap kata yang dipilih begitu tepat dan kena dengan ceritanya, cukup untuk menggambarkan situasi malah membangkitkan deria pada setiap peristiwa.

Saya dapat merasakan kegusaran, rimas dan panas para askar upahan ketika menanti arahan Rogue di tengah kehangatan padang pasir Sempadan Utara Cokmar. Saya teruja oleh semangat Marc yang ingin lari dari perlindungan dan bayang-bayang Rogue. Hati saya tersayat dalam raungan perempuan-perempuan yang meratapi longgokan mayat di hulu pasar terpakai Sempadan Ahzim. Saya bagai terdengar salakan mengerikan Orang Makan Orang berebut-rebut memilih bangkai manusia sebagai hidangan mereka. Saya merasakan kepiluan berbaur dendam yang marak membakar setiap kali Rogue menghayunkan Pedang Shashqa menebas jembalang-jembalang yang berusaha membunuhnya.

Fadz (Fadli Akiti) begitu bijak menjentik emosi dan menggambar situasi sehingga setiap babak dalam novel ini umpama filem yang berputar tanpa henti. Pergerakan lancar setiap peristiwa membuatkan anda tidak mahu meninggalkan walau sepatah pun perkataan.

Sekali-sekala saya disedarkan oleh perkataan-perkataan asing (yang jarang digunakan sebenarnya). Antaranya ialah Pawang (yang dimaksudkan dengan ahli sains), sauk, dan nazwah. Sudah pasti pemilihan kata seperti ini membezakan 'Saga Horizon' daripada novel-novel lain dewasa ini, memperkayakan kosa kata pembaca dan bagi satu atau dua perkataan, ia memberikan makna baru yang tidak terfikirkan.

Wednesday, June 4, 2008

Ulasan "Saga Horizon" Waris Jagat




Salam, kali ini saya melampirkan sebuah laman blog Waris Jagat. Waris Jagat ialah seorang peminat besar karya fiksyen sains dan sai-fai (dalam pelbagai media) yang tinggal di Timur Malaysia. Seperti Firdaus Ariff, beliau ialah antara pengulas dan pembaca sai-fai yang mendalam, banyak judul sai-fai yang beliau sudah baca dan nikmati.

Saya berasa terharu apabila beliau mengulas novel terbaharu saya, Saga Horizon. Di sini saya sertakan sedutan daripada ulasan beliau:

"Apabila membaca Saga Horizon saya teringat kandungan sebuah temubual bersama penulis sai fai yang pernah saya dengar. Beliau menyatakan bahawa antara kelebihan karya dalam genre sai fai katanya ialah betapa sesuainya medium sai fai untuk menyajikan sebuah fiksyen yang membicarakan tentang falsafah dan isu yang sukar disajikan dalam fiksyen genre yang lain. Saga Horizon telah membuktikan kenyataan tersebut."

Anda juga boleh meneliti ulasan-ulasan lain beliau tentang novel dan isu karya fiksyen sains Malaysia di dalam blog beliau.

ulasan Saga Horizon Waris Jagat: http://warisjagat.wordpress.com/2008/06/03/antara-pedang-dan-tulang-besi/