Tajuk: Transgenik Sifar
Oleh: Sri Rahayu Mohd Yusop
Terbitan: Penerbit UTM & Utusan Publications
Tahun: 2015
Sinopsis:
Subjek Sifar, atau Hiori, atau Humam serta HUMAM (High-tech Underwater Mercenary Achieved by Manipulation - atau pendeknya, manusia amfibia) merupakan manusia "transgenik", manusia "balang" yang dikultur daripada sambungan beberapa DNA manusia dan dalam hal ini, beberapa spesies haiwan laut (ikan lumba-lumba dan jerung putih gergasi) yang menjadi seorang remaja lelaki "masa depan" pada waktu Bumi manusia sudah hilang ditelan lautan akibat pemanasan global. Di Stesen Universiti Skudai, Haifa diminta oleh LeMarchel, penggerak Futurgen dan khususnya ketua projek HUMAM (setelah kematian Prof. Yuhori Hajime, bapa dan pencipta Subjek Sifar) yang berhati dingin untuk menyelia psikologi Subjek Sifar. Sifar lalu dibawa masuk dalam keluarga Haifa berserta Rasydan, dan mereka menganggap kehadiran Sifar yang kemudian dibimbing untuk memeluk Islam sebagai "Humam" itu sebagai suatu "anugerah Tuhan" setelah kematian anak lelaki mereka sewaktu kecil. Rasyadan dan Haifa juga mempunyai seorang anak perempuan, Dian yang menjadi saudara baharu Humam. Sewaktu Humam membesar remaja, Humam mula bertaruh hati kepada Dian, namun Dian sudah mula berperasaan dengan seorang pemuda dalam tentera, Muhammad Ammar. Destini Humam mula berubah, dan memilih jalan kembali pada Futurgen dan LeMarchel, lalu dibukalah misi dan rahsia asal usulnya agar Sifar menjadi harta LeMarchel, selama-lamanya.
Rasa:
Kita akan sedikit cringe apabila membaca sinopsis di atas, menyedari, oh betapa soapnya novel ini, malah amat-amat mendekati kisah beberapa melodrama percintaan "adik-kakak" dalam dunia perfileman kita era 80-an, seperti filem drama Indonesia, Semalam di Malaysia (1975) atau filem melodrama Tiada Esok Bagimu (1980). Namun, kita jangan lupa bahawa Star Wars (yang ramai cerdik pandai tidak mangakuinya sebagai sebuah fiksyen sains: well, saya peduli hapa!) juga sebuah opera angkasa (space opera), lalu mungkin dengan ini, mungkin boleh dikatakan novel pemenang pertama Sri Rahayu ini telah mencipta sebuah subgenre baharu dalam fiksyen sains: opera laut (sea opera), satu subgenre yang jarang-jarang sekali ditempuhi oleh penulis kita.
Bukan sahaja Sri Rahayu berjaya mencipta prosa serba baharu tetapi dunianya hidup dan jelas kuat logik penciptaannya. Hal ini demikian kerana Rahayu dengan telitinya telah membina latar dunia Bumi manusia yang ditelan laut (masih ada beberapa ruang daratan yang tinggal) pada masa hadapan, seperti Waterworld (1995), yang dengan lebih menarik lagi, para manusianya telah membina kota-kota di bawah laut mengikut zon sempadan negaranya masing-masing, dengan setiap bahagian yang berbeza dengan setiap tingkat dan suatu sistem tertentu yang diikuti oleh sesebuah negara untuk melanjutkan penerusan hidup rakyatnya. Dunia di bawah laut Rahayu juga jelas, Barat masih menjadi pemasung dan pengaruh utama setiap negara dengan beberapa korporat berteknologi tinggi, seperti Futurgen, yang menentukan detik jatuh bangun pembangunan manusia dengan teknologi canggih dan inovasi mereka di dasar lautnya (walaupun kelihatan seperti tidak ada konflik dunia lagi secara penguasaan hegemoni).
Hal ini ditambah pula dengan kematangan bahasa Sri Rahayu, menjadi antara penulis fiksyen sains terbaik dalam bahasa Melayu abad ini kerana penguasaan bahasanya yang indah, membina dan meliuk mudah. Bab Prolognya sahaja, antara pembukaan paling cantik yang pernah ditulis oleh seorang penulis saifai, sebuah bab panjang yang berkaitan dengan wasiat "terakhir" bapa pencipta manusia transgenik/campuran DNA, Prof. Yuhori yang ditujukan kepada anak "kandung"nya yang belum sempat dilihatnya membesar, Subjek Sifar tersebut. Bab Prolog ini sahaja ditulis dengan sangat teliti dan indah, memerikan pelbagai tahap kefahaman dan estetik pembacaan, seakan-akan Rahayu sudah mencapai tahan yang jauh meninggalkan penulis saifai seangkatannya.
Lihat juga betapa deskriptif Rahayu mencapai suatu alunan yang seni dalam ruang penciptaan dunia sains:
Humam membayangkan makmal itu sebagai "rahim" artifisial untuk versi betina makhluk sepertinya. Zat-zat akan dimasukkan dan bahan kumuh akan dialir keluar, satu petanda hubris manusia meniru ciptaan Pencipta yang kompleks. Perumah lahirnya manusia, seperti kilang, sepenuhnya dikuasai oleh naluri manusia. (Sri Rahayu, 2015:190)
Namun begitu, kekuatan ini tidak konsisten. Ada gaya Rahayu yang disengajakan kelihatan ditulis seperti foto-foto yang asing yang dicantumkan. Adakah ini disengajakan atau Sri Rahayu terpaksa menulis dalam keadaan terburu-buru kerana jadual kerjanya sebagai guru yang ketat lalu mempunyai beberapa jam sahaja untuk meneliti manuskripnya dengan menyeluruh? Inilah lumrah hasil karya "sayembara", lebih-lebih lagi apabila karya sebegini dihasilkan dalam turutan masa yang tertentu, berkejar untuk disiapkan sebelum masa tutupnya. Hal ini berbeza dengan hasil karya "di luar perangkaan sayembara" yang dimasukkan "saja-saja" dalam sayembara, atas ruang masa yang lebih panjang untuk penulis mengulang semak dan membaca. Salina dan Imam ialah contoh novel sastera yang "besar" memasuki sayembara lalu menundukkan mana-mana novel pesaingnya. Malah, novel pemenang pertama Sayembara Fiksyen Sains UTM keempat, Rosli Mohammad, juga telah menyiapkan novelnya di luar masa sayembara lalu menang besar pada awal kemasukannya.
Sebenarnya, novel ini sangat bagus. Rahayu dengan teliti berupaya membina psikologi Humam/Subjek Sifar dengan menarik. Watak sampingan yang mengelilinginya juga cukup rencam dengan kemanusiaan dan kelemahan diri, khususnya Haifa, Rasydan dan Dian, keluarga angkatnya. Terdapat banyak konflik dalaman dan angst yang dilalui oleh Humam. Menariknya lagi, Humam ini, dengan pelbagai namanya, menjadikan kefahaman sudut perspektif untuk melihatnya pelbagai (walaupun Rahayu menggunakan nama "Humam", nama Islam dan nama paling disenangi oleh manusia transgenik ini untuk Bab 8 ke atas, sehingga habis). Di sini, kita akan dapat melihat "peranan" dan tahap empati pelbagai manusia terhadap Humam, dengan tahap paling rendah (melihat Humam hanya sebagai suatu bahan eksperimen) hingga paling tinggi (melihat Humam sebagai manusia anugerah Tuhan! - adiwira), dan dalam hal novel Rahayu, yang lebih penting, tahap paling peribadinya (melihat Humam untuk berdaya integrasi: bercinta-beranak-pinak dengan manusia). Kefahaman empati inilah yang mendekati novel Frankenstein yang dihasilkan pada tahun 1818 itu oleh Mary Shelly. Kedua-dua novel ini memberikan perhatian pembaca untuk merasai/mengalami perasaan suatu makhluk yang "dicipta oleh manusia" dan diberikan beberapa perspektif (novel seram klasik itu, yang lebih jelas tujuannya pada era penuh persoalan moral dan agama itu, menggunakan ideal antara makhluk ciptaan dilihat sebagai syaitan jelmaan atau manusia sebenar) untuk pembaca sendiri menghakimi "layak" atau "tidak"nya makhluk sebegini dicipta dan didekati. Memang, agenda Rahayu sebenarnya inilah, membina empati dan "jambatan" terhadap memahami suatu "makhluk terasing" (the other), dan hal ini dikuatkan lagi, walaupun klise, dengan perasaan cinta Humam terhadap Dian (adakah ini cinta terlarang gituh?).
Jika dalam Frankenstein, Shelly menjelaskan kadangkala manusia jauh lebih syaitan daripada syaitan sebenar. Transgenik Sifar sudah tidak ada masa untuk itu (pendirian jelas Rahayu bahawa kita tidak ada masalah dengan pertentangan material-agama, moral-dekaden) tetapi lebih meneliti persoalan yang menarik dalam kefahaman kapitalis-sosialisme, tentang manusia sebagai bahan material dan kuasa manusia memanipulasi/mengawal manusia lain. Hal ini menjadi pertimbangan menarik antara "penggunaan" LeMarchel (simbol kapitalis) terhadap Humam dengan "penggunaan" Haifa terhadap Humam sebagai pengisi konflik emosinya (kita, pembaca juga, dipusatkan di sini) dan psikologinya. Menarik dalam hal ini, Humam masih dilihat sebagai "objek" untuk pengisian tertentu. Dalam hal ini, mungkin Dian (dan mungkin juga Sigyn?) sahaja yang melihat Humam sebagai Humam yang sepatutnya dan seikhlasnya - sepenuhnya manusia yang berakal, beremosi, dan "rohani", tetapi juga manusia yang sepertinya (dahagakan pasangan).
Isu "rohani" dalam Humam ini tidak disentuh dengan mendalam oleh Rahayu, malah saya rasakan, inilah bahagian yang sedikit "rongak" dalam novel ini apabila kita seolah-olah diberikan kepercayaan (bayangan) bahawa Haifa-Rasydan betul-betul telah berjaya membesarkan Humam sebagai seorang pemuda Muslim yang cukup sifatnya (tiada satu babak khusus yang memaparkan bagaimana Humam dididik-bimbing menjadi manusia berohani kental - hal ini mungkin disengajakan tiada atau mungkin kerana Rahayu tidak cukup masa untuk meluaskan pembangunan perwatakan Humam melalui plot). Ini penting kerana nanti, terdapat beberapa konflik yang dihadapi oleh Humam yang akan menentukan pendirian dan pilihannya dalam misinya apabila dia di dalam tangan Futurgen. Malah, pilihan nekadnya itu menjadikannya sungguh "manusia mulia". Namun begitu, kita diberikan selingan pendirian (juga dalaman) Haifa dan Raysdan yang menarik pada setiap bab, yang kita lihatkan sebagai bukan sahaja insan yang berpegang teguh kepada agama Tuhan tetapi juga amat mendalam akan sifat kemanusiaan universal mereka. Hal ini dibuktikan dengan sebuah jurnal Haifa yang tertulis:
... penulisan Haifa beralih dan memfokuskan kepada persoalan bagaimana manusia bertindak balas terhadap perubaha persekitaran mereka. Sedang nenek moyang prasejarah tidak dapat melihat sejarah lampau dan tilikan masa hadapan tidak lebih daripada rasa lapar malam semalam dan keinginan untuk keluar berburu esok hari. Manusia masa kini mewarisi memori spesiesnya dari zaman bahari dan juga mempunyai pelbagai alatan untuk membantunya membuat projeksi masa hadapan yang panjang. Apakah kesannya kepada kewarasan mereka? ... Betapa banyak penyesalan? (Sri Rahayu, 2015:33)
Intelektual emosi dan akal Haifa jelas, menyoal persoalan manusia yang tidak dapat menimbang keadaan masa depannya sendiri dengan betul dan beradab (lalu jika manusia berpegang pada kuasa Allah, sudah tentu melihat dunia ini dengan lebih optimis, berusaha mengubahnya mengikut kemampuannya, dan reda dengan ujian dan musibah-Nya). Hal inilah mungkin, yang ditanaman kepada Humam agar dapat menentukan baik/buruk dirinya walaupun apa-apa yang terjadi, lebih-lebih lagi sememangnya Humam sewaktu diterima oleh Haifa, merupakan subjek yang mempunyai keadaan emosi yang tidak menentu dan cenderung untuk membunuh diri (merasakan dirinya tidak bermakna). Lihat pula psikologi dan pendirian Rasydan yang murni apabila memberi reaksi ucapan naib canselor yang terlalu liberal:
"Pergilah keluar sana, pergilah melihat dunia dan perjuangkanlah apa-apa yang kamu percaya baik untuk semua makhluk Tuhan yang hidup di muka bumi ini. Yang paling penting, berjuanglah untuk mempertahankan keinsanan manusia." (Sri Rahayu, 2015:114)
Di sini dengan jelas, walaupun terhadap pendirian (kontroversial) akan ciptaan klon atau ciptaan "ubah-suai fitrah karya Tuhan", Rasydan mempercayai bahawa segala yang "hidup" itu sudah menjadi "semua makhluk Tuhan yang hidup di muka bumi ini", dan inilah yang dilihatnya pada Humam (dengan mempercayai bahawa setiapnya tidak akan tercipta dengan keredaan dan kuasa Tuhan juga). Keadaan ini semacam suatu optimisme yang sangat progresif tetapi sekali gus tauhidik; meletakkan suatu pendirian berani bahawa manusia boleh mengubah ciptaan Tuhan tetapi segala-galanya menjadi milik Tuhan juga (untuk menentukan jalan hidupnya, qada qadarnya, hal yang selalu jika berlaku dalam novel sai-fai Barat sebagai menurut natural instinct hidupan tersebut, yakni survival) dan manusia sebagai khalifah di bumi ini masih perlu menjaganya, menyayanginya, bukan memggunakannya sewenang-wenangnya (dan tidak menghargainya). Keadaan ini memberikan suatu kesegaran dalam dunia saifai Malaysia, apatah lagi keadaannya yang cukup runcing pada sejarah manusia (kehadiran makhluk seperti Sifar mungkin boleh menyebabkan kepupusan manusia tulen kerana praktikaliti fisiologinya).
Sikap yang positif ini jarang-jarang dihadapkan oleh penulis saifai tempatan terhadap the other, lebih-lebih lagi oleh ciptaan di luar fitrah yang menurut "naluri" manusia melampaui fitrah Tuhan. Sudah berapa tahun sedari Di.Ar.Ti yang menentukan tangan kita bahawa ciptaan selain Tuhan itu tidak akan berjaya muncul membahagiakan manusia (dan Tuhan)? Sudah berapa lama sumpahan itu diturunkan dari satu keturunan kepada satu keturunan? Kehadiran novel ini semacam mencantas talian sumpahan itu, membina suatu bayi baharu, dan ia hidup dengan baik dan memanfaatkan.
Begitulah istimewanya karya Sri Rahayu kali ini. Dalam sumber yang klise, Rahayu berjaya menghembus nafas segar dan novum untuk "melihat kehidupan" dengan penelitian yang jauh menusuk ke dalam rasional roh dan ketentuan hidup manusia. Rahayu sudah menjadi "lain" dan berada di liga yang berbeza, termasuk diri saya sendiri. Transgenik Sifar ialah antara novel fiksyen sains awal abad ke-21 yang membuka jalan baharu untuk merintis dunia saifai yang serba berkemungkinan. Semuanya kini harus bermula dengan novel ini dahulu untuk pergi ke tahap yang lebih tinggi dalam karya saifai kita sekarang.
2 comments:
Terima kasih, Fadli al-Akiti. Ini adalah reviu yang sangat bermakna bagi saya. Terima kasih kerana sudi membacanya dan menulis reviu atas dasar cinta terhadap genre fiksyen sains.
Tahun ni tak ada pertandingan sayembara ke?
Post a Comment