Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, March 31, 2017

Dunia Hanyalah Pentas


Tajuk: Dunia Hanyalah Pentas
Oleh: Ted Mahsun (Muhtadi Mahsun) 
Terbitan: Penerbit UTM & Utusan Publications
Tahun: 2017


Sinopsis:
Aliff, seorang pelajar pintar dari Ipoh yang pelik dipenjarakan kerana suatu kemalangan yang melibatkan topi keledar pintarnya. Adik perempuannya, Ain, yang mempunyai kepintaran yang sama telah menambah baik atur cara dan kelengkapan ciptaan Aliff untuk sebuah eksperimen yang sangat berbahaya. Masuk Inspektor Kathleen De Cruz dari unit siastan khas polis dalam hal-hal jenayah digital, Datawan Unit 12, meneroka pelantar dan pintu baharu yang bakal menggegarkan dunia maya. 

Rasa:

Selain Yang Diselindung Samudera, inilah novel sulung Ted dalam fiksyen sains bahasa Melayu. Sesiapa yang mengenali Ted dalam dunia penulisan Inggeris akan tahu kegilaan Ted dalam dunia punk siber. Mula-mulanya saya sedikit skeptik atas latar "budak sekolah" yang Ted lahirkan dalam novel ini, antara strateginya untuk memujuk penilaian sayembara ini untuk memilihnya (kerana dinyatakan dalam bengkel tersebut, novel-novel ini digerakkan untuk pertimbangan KOMSAS, maka perlu suatu dunia yang dekat dengan usia pembacanya). Namun anggapan saya itu salah apabila pada awal-awal lagi, Ted menarik perhatian saya dengan konsep surat, entri blog, dialog whatsApp dan pelbagai lagi bentuk "persembahan" yang mula meletakkan cerita dan subjek di atas pentasnya.

Mungkin kita melihat hal-hal ini seakan-akan menunjuk, tetapi sebenarnya terdapat fungsi yang jelas, yakni, seperti sepucuk surat, cerita ini, disampaikan kepada kita untuk "memahami" maksud isi suratnya, yang boleh jadi peribadi, boleh jadi rasmi, dalam menyampaikan penilaian umum akan makna "pertautan" dan interaksi. Kerana itulah maksud besar novel ini - interaksi - ciri utama kemanusiaan (manusia ialah makhluk yang berakal dan berinteraksi dengan persekitarannya untuk menghasilkan nilai) dan kekuatan manusia untuk terus berdaya komunikatif (masyarakat bersosial). Adakah hal ini disengajakan oleh Ted kerana sikap punk siber Barat yang selalunya antisosial tetapi hal ini diraikan kepelikannya (selalunya wataknya terasa hidup dan berfungsi dalam dunia maya ini melebihi dunia bosan-biasa manusia yang kononnya kepura-puraan)? Sikap positif ini, yang awal-awalnya saya ingatkan Ted cuba "memaut" nilai murni Timur, tapi tidak juga, cerita ini menampilkan idea perspektif dalam sangkaan yang lebih sarwajagat, akan rasionalisasi manusia yang tidak mempunyai makna tanpa adanya interaksi. Oleh sebab itu, surat, dalam novel ini, menjadi fungsi "dinding keempat" yang membawa pembaca menjadi intimate terhadap watak-watak dalam novel ini, seakan-akan, kita juga De Cruz, atau ketua polis yang menyetujui pilihan De Cruz (pada akhir bab), atau sama-sama mengikuti masalah psikologi Ain, adik Ariff.

Kita, pembaca, di sini berfungsi sebagai "pelaku pertimbangan" - kepada Aliff, kepada De Cruz dan kepada Ain.

Mengapa hal ini dibicarakan? Kerana interaksi mahu tidak mahu melibatkan keadaan dunia siber yang walaupun luas tanpa sempadan, kita sebenarnya menjadi pulau. Interaksi yang kita kenal hanya berlaku secara "tanpa muka nyata", dan hal ini dibayangkan dengan baik oleh Ted dalam analogi "dunia maya" sebagai "pentas", satu metafora yang diambil daripada kata terkenal William Shakespeare. Menariknya lagi, dalam satu bab penuh, Ted menerangkan dengan diagetik alegori gua Plato; satu maksud perspektif manusia yang melalui pengalaman "menemui", daripada keadaan gelap di dalam gua melihat bayang-bayang (perkara yang ditanggapi) dengan keadaan di luar gua. Persoalan ini, bayangkan, dipersembahkan dalam proses Ariff ini, menyelesaikan kes kehilangan adiknya Ain dan kematian tiga rakannya di dalam sebuah makmal sekolah.

Lihat sahaja betapa matangnya Ted menyampaikan maksud "pertemuan kebenaran" atau realiti hakiki melalui alegori Gua Plato, yang disampaikan dalam novel ini dalam taraf kefahaman menyelamatkan "roh" adik-beradik, tetapi melampaui maksud yang bahawasanya manusia ingin merasai "hakikat sebenar":

Perlahan-lahan, matanya akan menyesuai dengan cahaya matahari. Pada mulanya, dia hanya akan melihat bayang-bayang. Kemudian, secara beransur-ansur, dia akan dapat melihat bayangan orang dan objek dalam air, dan setelah beberapa waktu, dia dapat melihat  orang dan objek-objek itu secara terus. Kemudian, dia akan dapat melihat bintang-bintang dan bulan pada langit malam sehingga pada suatu hari, akhirnya dia akan dapat melihat matahari itu sendiri. Dan, pada ketika itu, bolehlah dia menerima kenyataan kewujudan realiti sebenar.
(Ted, 2017: 187)

Ted menggunakan De Cruz sebagai alat plot untuk menggerakkan cerita novel ini menurut genre penyiasatan, dengan pertolongan Aliff sebagai penyampai hal sains yang khusus dalam alam maya dan dunia pengaturcaraan. Kita juga menurut jalan cerita Aliff, seorang banduan yang diberikan tugas untuk dia menebus kesalahannya (watak begini jarang-jarang ada dalam fiksyen sains kita). Tapi Ted tidak melupai untuk menghidupkan watak-watak ini, bukan sahaja talking heads semata-mata sewaktu sedikit demi sedikit klu dan pertemuan ditemui. Malah, ada sifat menarik dalam De Cruz yang membayangkan seorang watak wanita yang tangkas, baik hati tetapi bermulut pedas, berlawanan dengan watak Aliff yang naif dan lurus (malah, sangat baik). Ada dialog-dialognya agak lawak (Ted tampaknya masih tidak hilang sense of humournya dalam tulisan bahasa kebangsaan ini), namun ada yang sedikit canggung dari segi peralihan bahasa. Namun, saya dimaklumkan oleh penulisnya, apa yang ditulis asalnya berlainan dengan suntingan akhirnya, merosakkan gerak dan maksud sebenar watak dan cerita yang hendak disampaikan.

Suntingan ialah kelemahan sebenar novel ini. Tampak jelas dalam satu bab "Pengisah Akuan" yang disampaikan oleh Ah Yap, tauke sebuah kedai komputer di bandar Ipoh. Mungkin gaya keluar dari kotak dengan mempersembahkan dalam gaya-gaya yang bukan biasa oleh penulisnya, telah mencabar mungkin, cara seorang penyunting membuat kerja untuk memahami apa sebenarnya yang Ted maksudkan dengan persembahan dan wacana yang sebegitu rupa.

Saya mahu sangat jika atur cara yang diperkenalkan oleh Ted dengan bijak sekali (dengan peralihan kepada bahasa Melayu!) pada awal beb halm. 18-20 yang ditulis oleh Aliff, dipaparkan pula dengan "kemas kini" adiknya Ain, agar kita dapat menangkap kepintaran adiknya, bukan sahaja sebagai waris akal Aliff, tetapi memaparkan kompleksiti atur caranya (dan kebijakan Aliff menyelesaikannya) dan memahami kompleksiti Ain memilih apa yang dipilihnya (sifat gelap Ain)! Kerana pada saat itu kita tahu, Aliff sudah sedar yang adiknya "kehilangan sesuatu" daripada pembacaan kod atur cara itu (oleh sebab kita faham apa yang dibuat oleh Aliff seterusnya). Ini membawa satu landasan baharu jika Ted mengatur hal ini. Namun begitu, hal ini bolehlah kiranya terubat atas cara Ted memperkenalkan sebuah dialog panjang, satu dialog Ted menembus masuk dalam psikologi celaru "kepintaran buatan" atau "maya sedar" Ain dalam alam maya, yang menyampaikan beberapa lapisan pemikiran yang menarik tentang maksud hidup dan berkeluarga.

Apa-apa pun, percubaan Ted ini sangat menjadi, malah antara punk siber yang terkehadapan daripada beberapa punk siber percubaan dalam bahasa Melayu yang pernah saya baca setakat ini. Menariknya, ada sudut-sudut yang boleh dimasuki novel ini, melalui projektori perkembangan psikologi anak remaja sekarang dalam dunia serba moden yang membentukkan mereka sebagai pulau-pulau yang berasingan, atau melalui persoalan salah tanggap masyarakat akan subbudaya (ada persoalan maslaah sistem pendidikan kita yang gagal menangkap manusia sepintar tapi dilihat pelik seperti Aliff dan Ain) atau pilihan kaca mata manusia akan satu-satu cara manusia (di sini, remaja, yakni Aliff yang dibayangkan sebagai mat rempit yang melakukan kesalahan jenayah) itu pada suatu masa (hal ini juga boleh merujuk kembali alegori gua Plato), atau persoalan peluang kedua terhadap memahami/menerima angst remaja, atau yang paling mudah, menikmatinya sebagai sebuah cerita siasatan dengan latar siber yang mengujakan.

Sebuah novel siber punk yang seronok, ligat, kelakar, mendebarkan, berpemikiran, dan menghiburkan!

No comments: