Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, March 21, 2017

Menemani Abdullah Hussain di dalam Panggung Wayang di Hujung Tanjung

Nota: Esei (atau contengan main-main) ini sebenarnya dipersembahkan dalam majlis (atau sebenarnya lepak-lepak bicara santai) Bicara Karya dan Sikap Sasterawan Negara Abdullah Hussain pada 27 September 2015 di ruang legar tepi sewa basikal Taman Tasik Titiwangsa kelolaan Buku Jalanan Titi. Saya menyimpan (malah melupakan) artikel ini kerana pihak pengelola menyatakan bahawa artikel yang saya bawa bersama (yang saya tak baca semuanya) ini akan dihimpunkan dan akan diterbitkan dalam sebuah buku. Beberapa tahun berlalu. Saya tak termaklum bahawa rupa-rupanya, setelah siri bicara Sasterawan Negara itu selesai (hanya Kemala yang tidak dapat dibicarakan dengarnya) kesemua kertas bicara itu telah dihimpunkan dalam sebuah semi-jurnal dalam talian. Setelah melalui Sembang Dewan Sastera bersama-sama Nisah Haron pada 11 Mac lepas, serta menelaah semula hak cipta karya, saya yakini, karya saya ini, yang tidak mempunyai apa-apa perjanjian penerbitan/pelesenan secara tertulis dengan pihak Titi atas hak eksklusif penerbitan, saya menyiarkannya di sini. Malah, saya diamkan pun atas mengambil penghormatan pada pihak pengelola jika masih mereka hendak menerbit-cetak artikel tersebut, namun hal itu tidak akan berlaku. Jadi di sini saya persembahkan kembali artikel bicara tersebut, dengan rendah diri, sebagai dedikasi dan kasih sayang saya terhadap Sasterawan Negara yang paling saya ikuti:



Menemani Abdullah Hussain di dalam Panggung Wayang di Hujung Tanjung
Oleh Fadli al-Akiti

I
Antara kesemua pemain kata, manusia-manusia Malaysia yang diiktiraf oleh Kerajaan dan dianugerahi oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Sasterawan Negara, Allahyarham Abdullah Hussain (semoga Allah memberikan tempat yang baik kepadanya dan menyenangkan hidup kekalnya) ialah pengarang paling sinematik dan senang didampingi oleh orang kerdil seperti saya, pencandu filem dan lipas panggung wayang.
Abdullah, atau Pak Lah (panggilan paling mesra diingati) mendekati teks, seperti mendekati sesebuah karya filem. Filem itu, atau karya itu, pertamanya, mesti mempunyai premis dan plot yang meyakinkan, yang menarik kita, pembaca dan sekali gus penonton, untuk sama-sama memasuki alam geraknya. Di sini, teks, pada awal baris, dan seterusnya, akan tertampillah syot pengenalan atau penentuan (establish shot, yang mana kita sudah dibawa untuk tahu akan cerita filem itu atau untuk apa cerita itu bermula di situ) dalam kebiasaan, selalunya, imej yang sudah mewakili keseluruhan karya. Pada awal novel Imam, antara adikarya Abdullah yang terhebat dan paling bahaya, Abdullah dengan kuasa olahan imej, melakarkan suatu struktur seni bina yang cukup elegan dan hidup, menggambarkan dengan begitu sensitif dan mendalam, sunyi tetapi menunggu seakan-akan sesuatu akan berlaku (dan memang akan berlaku pun); duduk letak masjid (yang akan runtuh) yang berdekatan dengan lombong emas; dengan keadaan ketiadaan orangnya (babak ini memunculkan kembali ingatan saya terhadap sebuah filem drama bertema agama yang terbaik pernah keluar dari Indonesia, Titian Serambut Dibelah Tujuh); ketiadaan Imam Mihad; dinihari yang mula mendongak pagi, membuka cerita.

II
Cerita saya dengan Pak Lah bermula lewat, bukan seperti Allahyarham Bapak Usman Awang, yang diperkenalkan awal lagi sewaktu saya melakukan kerja kajian lapangan sejarah tingkatan dua, kerana arwah ayah saya amat dekat dengan “Abang Osman”, atau mendepani pertama kali arwah Arena Wati yang bertongkat di sebuah seminar di DBP, atau arwah S. Othman Kelantan yang bertenaga walau penuh air mata sasteranya di sebuah seminar sastera antarabangsa, dan Pak A. Samad Said yang mendayu puisi di Stesen Ipoh dengan iringan gesekan biola bocah kecil selepas bengkel adaptasi karya kepada filem (dan mendapat nasihat tidak berguna daripada A. Wahab Hamzah), dan beberapa lagi selisihan, sewaktu beberapa tayangan filem antarabangsa di Mid Valley dan KLCC; Pak Lah lebih lewat daripada itu tetapi lebih penting.
Pada masa sebelum berpeluang menemuinya lagi, saya sudah menjadi peminatnya, groupie-nya jika ikut isitlah rockers. Saya teridam-idam untuk sebilik dengannya (untuk bercakap-cakap dengannya tentang apa-apa sahaja), seperti dapat menonton bersama-samanya, berdua-duaan, dalam sebuah panggung yang kosong dan kami berdua sahaja yang menonton sebuah filem klasik Melayu yang dibikin dari Singapura. Sewaktu remaja, arwah ayah saya agak terkejut dengan pilihan saya itu, yang baginya “tidak sofistikated” kerana Pak Lah dikenali sebagai seorang storyteller atau “tukang cerita” semata-mata, dan bukan sasterawan yang murni (contohnya, seperti A. Samad Said atau Shahnon Ahmad). Masa itu, beliau lebih dikenali kononnya, melopori gaya new journalism (walaupun hal ini disanggah oleh rakan saya, Wan Nor Azriq). Tidak ramai mungkin, yang melihat, bahawa mata dan pena Pak Lah sebenarnya amat dekat dengan roh filem, memutar selembar layar yang bergerak. Teksnya berkata-kata dengan imejan yang bergerak dan bergerak terus. Dan, gerakan ini sentiasa mempunyai cerita yang berterus-terusan mengubah tempo dan warnanya, seperti seluloid yang meluncur terus di dalam projektor, mengubah gerak dan perilaku, menyampaikan suatu ketegangan, poin dramatik, dan peleraian. Inilah kekuatan Pak Lah. Jika dilihat dalam sebuah novel utopianya (antara novel utopia terawal Malaysia!), Masuk ke dalam Cahaya, walaupun awal novel mengimbau babak melodrama daripada filem Jamil Sulong, terdapat satu bab pertengahan, dengan peliknya, kisah yang berlaku di tanah Jepun, yang mengimbau imej yang jauh merentas dunia lokal, tetapi sinema purbakala yang mendekati karya epik lama Kenji Mizoguchi ataupun Kon Ichikawa. Malah, pengakhiran novel itu yang memasuki alam sureal apabila Iblis dan bala tenteranya bertindak untuk memasuki alam manusia Kampung Cahaya, babak itu sudah mula berubah warna seperti sebuah latar filem seram Jacques Tourneur, dengan pelengkap kamera handicam, menangkap syot di remang-remang malam di tepi dan tengah lorong berkepung rumah-rumah kampung menggunakan cahaya yang datang dari bulan dan tiang lampu elektrik, dengan orang kampung mengejar lembaga setan yang menghilang di hujung jalan mati.

III
Sebelum menemui Pak Lah lagi, saya begitu perasan berasa dekat dengannya kerana saya mula-mula sudah mengenali Ahmad Patria Abdullah atau Abang Pat, anaknya yang satu-satunya mengikut jejaknya. Abang Pat keluaran MRSM Kuantan, seperti saya, menulis cerita fiksyen sains, seperti saya, berdarah keturunan Aceh, seperti saya juga. Abang Pat jugalah pengarang yang telah menghidupkan kerjaya saya dalam penulisan kerana beliaulah yang menjadi penilai manuskrip sulung saya, JIAN, apabila manuskrip itu diserahkan kepada DBP secara tidak sengaja.
Takdir mengikat saya lagi waktu tahun 2012, apabila pada masa itu, sebuah daripada novel kegemaran saya, Interlok, diselar oleh (juga rakan) Uthaya Sankar SB. Pada masa itu, saya tiba-tiba, diperkenankan oleh kuasa atas angin sebagai editor Dewan Sastera terbaharu (dan termuda dan dibenci oleh beberapa penulis tua). Zaiton Abu Samah, editor kanan Bahagian Majalah yang bertukar tempat ke Bahagian Harta Intelek pada waktu itu menarik saya untuk mengikutnya pergi bertemu Pak Lah. “Pak Lah sedang sakit teruk, ada kertas perlu tandatangan. Bila lagi kau nak bertemu dengannya?” ujar Kak Ton di dalam kereta.
Sampai juga saya di hadapan rumahnya, di suatu seksyen rumah sebandung di tengah-tengah urban Petaling Jaya yang sepi. Rumahnya sunyi tetapi penuh kehijauan, pasu-pasu berisi bunga dan orkid tertanam dan tergantung, dengan beberapa pokok yang menutup tepi pagar dan dinding rumahnya. Gambaran ini mengingatkan saya kepada novel remaja terkenalnya, Konserto Terakhir. Saya malah terasa, ada seorang Hilmi yang sibuk menyiram pokok-pokok itu di tepi pagar dan di dinding, kemudian masuk ke dalam rumah itu di mana terdapat sebuah piano tua, lalu bermainlah dia dengan tenang dan serius.
Pertemuan saya di hadapan Pak Lah, gergasi besar dalam jiwa saya itu disapa dengan sayu, melihat, Pak Lah, terduduk sahaja di atas kerusi rodanya. Pak Lah tidak dapat bersuara lagi, hanya semboyan tanpa maksud yang melepasi kerongkongnya. Sebuah filem berwarna yang merajuk dan duduk menjadi filem bisu. Tangan terketarnya saya ambil dan cium dengan penuh takzim dan kasih.
Kehadiran Kak Ton, Ketua Editor dan saya (serta beberapa pegawai lagi), mungkin, membuat Pak Lah gembira sedikit (selalunya bapak tidak mahu keluar menemui orang, kata isterinya). Saya ujakan kepada isterinya, Datin Saroja Basri, agar dapat menemu bualnya. Datin setuju kerana Pak Lah juga tampak setuju, tetapi bicara itu, dengan penuh payah, perlu dibuat dengan saya menulis soalannya di atas kajang kertas dan dijawab oleh Pak Lah, satu per satu. Memang payah juga Pak Lah melakukannya (ada beberapa jawapan yang sedikit celaru dijawab dan tidak disiarkan dalam majalah) tetapi Pak Lah melakukannya juga. Dengan serius beliau membaca soalan saya (itulah wawancara pertama yang saya buat untuk Dewan Sastera!), yang kemungkinan dalam dirinya membebel “Soalan yang entah apa-apa budak ni.”
Sudah tentu wawancara itu juga banyak bertanya akan hal-hal berkenaan filem. Saya sudah tahu benar, hidup Pak Lah mendekati dunia filem (novel Konserto Terakhir dahulunya sebuah skrip filem yang sepatutnya dijadikan filem oleh P. Ramlee tetapi tidak sempat kerana P. Ramlee meninggal dunia dan belum sempat mengumpul modal, lalu skrip itu dijadikan sebuah novel. Pak Lah juga pernah memasuki sebuah rumah penerbitan filem di Singapura milik Bumiputera yang Pak Lah sendiri menulis skrip sulungnya untuk difilemkan, tetapi hal ini tidak menjadi kerana tauke Melayunya telah menjual kameranya kepada orang lain, lalu tutuplah syarikat itu secara rasmi) dan dunia filem menjadi nadi yang dekat dengan Pak Lah, walaupun mungkin Pak Lah tidak mengakui.
Isterinya sendiri menunjukkan kepada saya, naskhah terakhir biografi P. Ramlee: Kisah Hidup Seniman Agung yang pernah dihasilkan oleh Pak Lah. Buku penting itu yang kini sudah out of print pernah diberikan kepada beberapa kawan dalam persatuan penulis dan syarikat penerbitan yang kononnya berjanji untuk menerbitkannya, tetapi sampai hari ini, mereka tidak lagi melangsaikan janji mereka kepada Pak Lah, yang kini sudah pun masuk ke alam nyata. Datin Saroja menyatakan kepada saya, beliau sanggup sahaja memberikannya kepada saya sebagai kenangan, tetapi kerana itu satu-satunya yang tinggal dalam simpanan Pak Lah maka Datin tidak mahu, takut menyesal tak sudah nanti. Saya pun setuju tidak mahu mengambilnya, namun dalam diri betapa merintihnya saya rasa, memegang sebuah sahaja lagi naskhah nukilan Pak Lah akan seorang rakan karibnya sewaktu di Singapura, dan menjadi pertalian bukti dekatnya beliau dengan mainan cahaya dan suara di balik layar.
Nasib saya baik, apabila saya turut membawa berpuluh-puluh bukunya, dalam sebuah kotak, memoir, novel, kumpulan cerpen, buku biografi, buku esei, antologi bersama, dan memohonnya untuk menandatanganinya. Betapa gembiranya Pak Lah, wajahnya, terus menjadi berseri-seri, dengan pen di tangannya yang tidak bermaya, mencoret dan memusing di atas halaman pertama setiap buku yang dihadapkan di meja tulisnya. Tanda tangannya tidak tertulis dedikasi (itu sudah tentu menyusahkannya lagi) tetapi digagahinya dengan tarikh, pada 20 Februari 2012.
Nafsu groupie saya yang penuh dosa itu, tertunai juga.

IV
Saya mula mengenali keajaiban wayang Pak Lah sewaktu saya berumur 17 tahun, selepas SPM, tidak ada kerja dan tidak terburu-buru untuk masuk universiti. Sebenarnya, sejak MRSM Kuantan lagi, di perpustakaan maktab itu, saya menemui novel terbitan Utusan Publications yang menang tempat pertama Hadiah Sako, Iman. Saya tergamam dengan kedalaman dan teknik yang digunakan oleh Pak Lah, semacam dokumentari dalam fiksyen (terdapat laporan dan rekod transkrip temu ramah yang panjang), sangat segar dan inovatif jika dibandingkan dengan teks biasa penulis kontemporari waktu itu. Saya jatuh cinta terhadap tulisannya dan berniat untuk mencari apa-apa lagi tulisannya.
Arwah ayah saya mempunyai sebuah perpustakaan yang cukup luas dan agak lengkap akan penerbitan kesusasteraan tempatan. Selepas SPM, dan pada masa itu saya mula berjinak-jinak dengan filem yang diminati orang filem, saya menemui novel Pak Lah sekali lagi, dan kali ini dalam wajah Interlok. Kulit depannya menampilkan seni catan seorang tua, Pak Utih dan di sebelahnya, angkasawan. Agak oxymoron lukisan itu tetapi membawa penarikan yang dalam.
Ketika mula membacanya dan seterusnya, saya jadi terikat dengan dunia Seman, dengan dunia Ching Huat, dan dengan dunia Maniam. Membacanya, saya membayangkan watak-watak itu terus hidup, mula-mula sebagai saksi pengalaman dan detik perubahan latarnya, kemudian menjadi ahli bertindak dalam keadaan dan perubahan zaman. Memang, tidak dinafikan, novel ini suatu propaganda yang halus tentang perpaduan dan pencarian titik kemanusiaan dan kesamaan dalam latar bangsa yang pelbagai akar dan bahasa dalam menuju ke arah kemerdekaan dan pembangunan sendiri. Pak Lah seakan-akan menentukan, apa yang boleh dan tidak boleh dibawa oleh tokoh-tokoh ambang merdeka ini dalam menstrukturkan hala tuju terbaik dan teraman untuk masa depan tanah air yang baru meninggalkan penjajahnya. Namun perlu dilihat di sini, Pak Lah menggunakan orang-orang kecil, manusia di bawah kelas sosial terendah, Seman, petani, Maniam, kuli Inggeris, Ching Huat, buruh, yang kemudiannya, atas azam sendiri dan mahu mengubah nasib diri, berubah pada kelas sosial yang sekurang-kurangnya selesa dan memanfaatkan kehidupannya, materi atau rohani. Hal ini pun, dilalui dengan penuh ranjau duri dan sakit perih; anak mati, tanah hilang, orang gantung bunuh diri, tanaman tak jadi, papa kedana, penyakit menimpa, penyakit-penyakit dunia marhaen. Pak Lah hanya bergerak dan memerhati dalam skop kecil, perubahan demi perubahan, kemudian, harapan.
Novel Interlok jugalah yang membuat saya tiba-tiba mengeluarkan buku latihan saya yang tidak terpakai, menulis sebuah skrip filem adaptasi daripada novel tersebut! Ya, saya terfikirkan, novel ini boleh menampung sebuah filem epik yang panjang berdurasi tiga jam, seperti gaya filem-filem epik David Lean tanpa unsur romantiknya yang mengada-ngada. Sebenarnya, novel ini lebih dekat dengan feel filem-filem drama manusia Elia Kazan yang meniti hal realiti tetapi ditangkap dengan visual yang cantik, khususnya America, America (1964) yang juga bercerita tentang pengalaman diaspora orang-orang kecil dari Turki-Yunani ke Amerika Syarikat. Rangka filem adaptasi ini juga mengimbau rasa The Grapes of Wrath (1940) arahan John Ford, yang juga tentang orang-orang kecil yang merana sewaktu era depresi Amerika, adaptasi daripada novel John Steinbeck. Simbol yang menyatukan setiap tiga keluarga latar berbeza Melayu, Cina, dan India itu adalah burung, mengikut imbauan rasa babak dan takdir, serta qada qadar wakil keluarga itu, dan bayangan apa yang akan mereka lalui atau ikuti seterusnya dalam lipatan hidup.
Filem itu akan terpecah pada empat bahagian, bermula seperti prolog terhadap ketiga-tiga watak utama, yang pertama, Seman. Seman akan memaparkan ayam mematuk tanah (peribumi yang kais pagi kais petang di tanahnya sendiri), dan Seman yang selalu menghalau burung layang-layang yang mengacau sawahnya (baru dibuatnya orang-orang). Pada babak hartanya terjual dan Ching Huat akan mengambil tanahnya, Seman berlari ke bendang, terduduk, mengadu kepada Tuhan, dan imejan burung-burung berpusing-pusing mengelilingi orang-orang yang dicacaknya. Babak ini dikelamkan untuk membuka kisah Ching Huat dengan sebuah tongkang di tengah laut di mana beberapa burung di atas layar terbang sama dengan gagah. Ching Huat juga, apabila sudah berkedai, akan dipaparkan menyimpan burung di dalam sangkar (ketenangan hidup dan keadaan bahagia). Sangkar burung ini juga akan rosak, sewaktu kedatangan askar Jepun ke kampungnya. Maniam pula, dia akan menjadi orang yang akan memberikan makan seekor burung merak di dalam kandang besar milik majikan Inggerisnya (berestet getah). Simbol burung juga akan bermain dalam beberapa babak awal sewaktu dia bersama-sama dengan Ceti dan pemiutang (mereka menggunakan simbol burung merak) yang akan menentukan nasibnya di tanah air baharu. Pada waktu majikan Inggeris itu menghilangkan diri. Maniamlah yang menjaga merak itu, dibuatnya kandang di belakang rumahnya. Apabila ketiga-tiga watak atau anak-anak mereka sudah saling bertemu, dengan pengakhiran filem menghampiri kemerdekaan, kita dipaparkan dengan imej Bangunan Sultan Abdul Samad (peninggalan penjajah Inggeris) di tepi-tepi bumbung kubah batu putihnya, keluar burung layang-layang dan meninggalkan kubah itu, melintas remang sinar matahari senja, menandakan suatu ambang baharu, meninggalkan penjajahan semalam dan mengorak terbang untuk dunia baharu ketika peralihan masa, ketika peralihan zaman.
Saya tidak pernah dapat menyiapkan skrip itu.

V
Abdullah Hussain juga meninggalkan kita dengan memoir-memoir yang penting, kesemuanya empat buah, dalam siri “Perjalanan”. Namun memoir yang paling seronok dibaca dan peribadi buat saya ialah Sebuah Perjalanan (DBP, 1985), yang turut memenangi buku autobiografi terbaik Hadiah Sastera Malaysia. Dalam buku inilah, Pak Lah melakarkan kaitan dan interaksi yang amat intim antara sastera, kewartawanan, politik sosialis dan kebangsaan, dunia penerbitan, akademik (guru), dengan bintang filem. Ya, saya sudah banyak membaca buku riwayat dan kisah memoir Keris Mas dan Usman Awang, antara mereka yang ke hadapan dalam dunia ASAS50, tetapi tiada seorang pun yang benar-benar menunjukkan pertalian intim orang seni atau anak wayang dengan dunia karyawan atau para penulis, lebih-lebih lagi pada era sebelum kemerdekaan, yakni era keemasan filem Melayu dan pembikinan filem di studio Jalan Ampas. Pak Lahlah the missing link yang saya cari-cari, yang tidak saya temui dalam riwayat nukilan Jins Shamsudin, Jamil Sulong, Nasir P. Ramlee, atau Hamzah Hussein, yang rata-ratanya lebih tertumpu pada dunia filem dan hal-hal yang berlaku dengan para pelakonnya. Pak Lah menceritakan semua, nadi hidup dan sengsara, jatuh dan bangun, setiap orang yang mengelilingi pusat ciptaan, semaian, dan himpunan budaya orang Melayu-Nusantara waktu itu, Singapura.
Bagi saya, di Singapura itulah, banyak watak dalam cerpen dan novelnya lahir (contohnya, kisah dunia Maniam daripada Interlok tercipta daripada kisah seorang tukang gunting rambut dari Kerala yang berhadapan dengan kedai tempat kerjanya), gagasan Islamnya terbentuk (sebenarnya hal ini bermula awal, sewaktu beliau di Kedah lagi di sekolah agama, tetapi diuji dan diperhalusi lagi di sana), dan jiwa kemanusiaannya timbul (bagaimana dia melihat Asraf, contohnya, tanpa menghakiminya dan memikirkan yang baik-baik sahaja). Di situlah taman pemerhatian dan sekolah Abdullah yang sebenar-benarnya: memahami manusia.
Dalam masa itu jugalah, atas kecintaannya akan filem, ada beberapa majalah filem yang didudukinya, khususnya Bintang dan kemudian, Filem. Pak Lah jugalah menjadi penasihat teknik (berserta Buyong Adil dan Mahmud Ahmad) untuk filem Hang Tuah (cerita asal oleh Mubin Sheppard), meneliti lakaran seninya daripada Hoessin Enas. Pada masa itu sahajalah, sastera begitu dekat dan bersama-sama dengan kawannya, filem, malah berkahwin beberapa kali. Apa yang tertumpah dalam filem tertumpah juga dalam rencana akhbar, tertumpah juga dalam puisi dan cerpen zaman itu. Masa itu ialah masa yang paling serba mungkin.
Memanglah, akan ada orang yang menyatakan tulisan memoir ini menampakkan seperti seorang kampung (innocentness) yang terjerumus dalam dunia hiruk-pikuk, pancaroba, dan laju kota. Memang menarik untuk membaca jujurnya mata dan telinga Pak Lah menulis (sebenarnya banyak juga yang ditapisnya), kerana beliau menulis seperti menghadapi suatu dunia serba baharu yang dipandang-pandang dari jauh yang lama-kelamaan menyelubunginya juga. Dan menariknya, hal ini tidaklah mematikan Pak Lah, tetapi memberikan kematangan dan “pelajaran hidup” kepadanya, membuatnya dewasa, walaupun Pak Lah sebenarnya sudah sedia dewasa dengan iman teguh dalam dadanya. Kita akan dipaparkan dengan dunia bintang gemerlapan tetapi penuh kesusahan dan mainan anak wayang, Asraf yang liberal dan agnostik ingin mendalami agama, Usman Awang yang menjadi pengaruh kuat dunia sastera dan kewartawanan Melayu waktu itu, dan begitulah juga dengan pengaruh P. Ramlee bagi orang filem dan lagu, dunia tulisan erotik dan picisan dalam majalah, dunia penterjemahan yang baru hendak bermula, perdagangan antarabangsa (Pak Lah bekerja dengan syarikat yang berhubung dengan jual beli di Indonesia), politik serumpun era itu, dan pandangan orang terhadap “orang luar” pada masa transisi Tanah Melayu terhadap Indonesia waktu itu.
Dalam hal ini, kita dapat melihat bagaimana Pak Lah, seperti span, menyedut segala pengalaman itu untuk rentetan dunia penulisannya, bagaimana dia melihat dunia di hadapannya itu, seperti suatu wayang gambar, terang, misteri, dan tetap berputar dan berjalan, menuntut tontonan.
Petikan Pak Lah ini sahaja menjadi testimoninya, suatu wayang gambar pengalaman yang dijadikan kata-kata bergerak:

Waktu itu baru saya sedar bahawa cahaya bulan suram diliputi awan. Tetapi saya dapat melihat jalan dengan baik kerana cuacanya yang memutih samar-samar itu. Tiba-tiba dalam masa berjalan itu saya melihat ada sebatang kayu, bekas alas orang mengasah tajak. Saya pun membongkok, mengambil kayu itu sambil membaca apa yang saya ingat kalau-kalau kayu itu pun hantu yang menyamar untuk menipu saya. Nyata kayu itu masih tetap begitu juga tidak berubah-ubah. Saya mengambilnya dan terus berjalan. Tidak jauh di depan saya ada satu simpang tiga. Di sebelah kiri menuju ke laut dan di sebelah kanan menuju ke kampung datuk saya. Walaupun nanti terpaksa membelok ke kiri sekali lagi. Bunyi hempasan ombak musim tengkujuh di atas pantai kedengaran dengan jelas, kerana di sebalik barisan pokok bakau yang kelihatan berbalam-balam kelam itu, ialah laut Selat Melaka. Jalan di sebelah kanan itu terus ke sebuah kampung tinggal, yang terkenal di kalangan penduduk di situ sebagai kampung berpenunggu. Tidak pernah ada orang yang kekal di sana, baik Melayu ataupun Cina, paling lama dua atau tiga bulan sahaja, setelah itu mereka akan pindah.
     Tiba-tiba dari jalan sebelah kanan itu saya melihat suatu lembaga sedang berdiri, memandang ke arah saya. Saya tidak dapat menggambarkan bentuknya bagaimana. Apakah ia merupakan semacam gumpalan asap yang berbentuk ataupun seperti binatang. Saya cuba mengingati segala macam binatang yang ada di sekitar kampung-kampung di situ. Saya tahu siapa-siapa yang memelihara lembu, kambing, kerbau, dan anjing. Lembaga itu sebesar anak kerbau yang berumur kira-kira satu atau dua tahun. Tetapi itu bukanlah anak kerbau. Kaki dan tangannya kadang-kadang seperti kaki dan tangan manusia yang lurus bersatu ke bawah. Matanya sahaja yang agak jelas, memancar cahaya seperti api. Saya sudah tidak takut lagi, lalu melangkah ke depan. Selangkah saya, selangkah pula dia. Dua langkah saya, dua langkah pula dia. Akhirnya kami berhadap-hadapan. Lembaga itu tepat di tengah-tengah simpang berdiri memandang ke arah saya. Saya pun mengangkat kayu yang saya pegang itu tinggi ke atas lalu melompat mahu memukulnya dengan satu pekikan yang kuat seperti orang Jepun bermain kendo. Rupa-rupanya itulah suara saya yang pertama keluar sejak saya mula teringatkan hantu tadi. Segala apa yang saya baca selama ini cuma bergerak dalam hati sahaja. Dia mengelak melompat ke jalan yang menuju ke laut. Saya lalu mengejarnya. Ia kemudian melompat masuk ke dalam sawah dan terus hilang bersama-sama kabus, embun jantan yang sudah mulai turun. Lama saya berdiri di situ. Bulu roma saya sudah kembali seperti biasa, rasa takut pun hilang entah ke mana. Akhirnya saya pun berjalan membelakang sambil menanggalkan kain sarung, berbogel, sebab menurut petua orang tua-tua, hantu takut kepada orang yang berbogel.
(Sebuah Perjalanan, 2005: 29-31)


Al-Fatihah, Pak Lah.

No comments: