Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |
Showing posts with label Abdullah Hussain. Show all posts
Showing posts with label Abdullah Hussain. Show all posts

Saturday, March 14, 2020

Menyelidik Karya Adaptasi Intan Abdullah Hussain



Pada masa ini, saya sedang menyelidik karya-karya adaptasi tempatan yang dijadikan medium filem. Dalam pengkajian, saya menemui penulisan yang ditulis oleh sahabat saya, Jiwa Rasa aka Ulas Buku yang mencatatkan tentang novel Intan (1973) karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain sebagai:

.. turut turut diadaptasi oleh penerbit Indonesia, PT Sarinande Films, ke layar perak pada 1972, dibawah arahan Turino Djunaidy, dengan tajuk 'Intan Berduri'. Jangan tak tahu P. Ramlee pernah melakonkan adaptasi drama Intan (1971) dan Rantau Selamat (1972), kedua-duanya karya Abdullah Hussain, di kaca TV satu waktu dulu.(1)  

Dalam Facebook di bawah kumpulan Kelab Filem & Muzik Melayu, Klasik, pentadbir kumpulan tersebut, Mohd Danial Abd Aziz (2) menaikkan pos seperti yang berikut:

NOVEL INTAN KARYA ABDULLAH HUSSAIN
“Hina besi kerana berkarat; hina manusia kerana melarat.”
Peranan individu yang bernama Abdullah Hussain ini dalam perkembangan filem Melayu klasik tidak dapat kita nafikan. Sejak awal tahun 1950-an lagi, beliau telah banyak terlibat dengan dunia seni lakon melalui penulisannya.

Salah satu novel karangan beliau, INTAN telah diangkat sebagai drama televisyen pada tahun 1970. Novel INTAN pertama kali diterbitkan oleh Penerbitan Angkatan Baru pada tahun yang sama.

Drama adaptasi novel INTAN ini dibintangi oleh P. Ramlee, Fazliyaton, Ebby Saifullah, A.R. Tompel, Mahmud Jun, Mariani, A.K. Jailani, Noor K.K, Leng Hussein dan lain-lain.
Skrip drama ini ditulis dan diolah oleh Abdullah Hussain sendiri. P. Ramlee bertindak sebagai penggubah lagu untuk drama terbitan RTM ini.
Dua tahun kemudian, syarikat penerbitan Sarinande Films dari Indonesia telah mengadaptasi novel ini ke layar perak dengan judul INTAN BERDURI (1972). Filem tersebut dibintangi oleh Benyamin S., Rima Melati, Farouk Afero, Mansjur Sjah dan lain-lain.
Pada tahun 1973, novel INTAN telah diulang cetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pustaka Jaya juga telah mendapat hak pengedaran novel ini untuk pasaran Indonesia pada tahun 1982.

Persoalan ini menariknya, mendapat perhatian Dewan Bahasa dan Pustaka apabila baru-baru ini, tersiar video berkenaan novel Sasterawan Negara ini yang diadaptasi pada tahun 1973, 100 Tahun Abdullah Hussain.

Bahan pertama yang saya temui dalam perjalanan kajian ini adalah daripada buku katalog filem Indonesia yang dihadiahkan oleh Amir Muhammad kepada saya, Katalog Film Indonesia 1926-2005. Saya meneliti kandungan entri Intan Berduri (1972) (3), seperti yang berikut:



Tercatat di situ, Turino Djunaidy selaku pengarah filem berdurasi 102 minit terbitan 1972 ini (dan memasuki Festival Film Indonesia 1973, merangkul Anugerah Citra bagi kedua-dua teraju utamanya, Benyamin S dan Rima Melati) ditulis lakon layarnya oleh Turino Djunaidy sendiri, dengan cerita (asal) oleh Abdullah Hussain. Setakat ini, hal ini benar pada ketiga-tiga makluman di atas. Malah, Abdullah Hussain (2004) sendiri mencatatnya dalam siri memoir Perjalanannya, "... Turino Junaidy, pengarah dan penerbit filem yang pernah menerbitkan filem Intan Berduri, yang diangkat daripada novel Intan karya saya ..." (4). Namun begitu, terdapat paradoks di sini. Filem Indonesia yang "mengadaptasi" karya Abdullah Hussain itu terbit pada tahun 1972. Novel Intan Abdullah terbit pertama kalinya pada tahun 1973. Kemungkinan di sini mungkin diandaikan bahawa Abdullah pernah berkongsikan manuskrip novel tersebut kepada Turino sewaktu mereka bertemu, atau memang terdapat sumber terbitan Intan yang jauh lebih awal dari tahun 1972 sebagai bahan adaptasi lakon layar yang akan dihasilkan oleh Turino. Paradoks ini bertambah apabila kita teliti tulisan Jiwa Rasa di atas tentang drama TV RTM Intan yang tersiar pada tahun 1970 (Jiwa Rasa tersalah catat di sini, kerana apabila kita rujuk pada pautan judul drama tersebut, kita akan dibawa pada maklumat dalam The P Ramlee Cyber Museum yang menyatakan bahawa terbitan drama tersebut adalah pada tahun 1970, bukan 1971. Hal ini turut disahkan oleh entri tulisan Facebook Mohd Danial.), juga tulisan Mohd Danial bahawa terdapat terbitan novel Intan yang lebih awal daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (1973), iaitu pada tahun sama drama RTM itu ditayangkan. Jadi terdapat dua persoalan di sini, (1) sumber asal yang mana datang dahulu, teks drama RTM tersebut atau teks novel pada tahun yang sama? dan (2) lakon layar adaptasi Turino Djunaidy bersumberkan yang mana?

Apabila saya menekuni senarai karya Abdullah Hussain dalam laman rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka (5), saya menemui, sekali lagi paradoks tersebut, tahun terbitan novel Intan adalah pada tahun 1973, malah Penerbitan Angkatan Baru hanya menyenaraikan novel Amin Pemuda Desa (1947) dan Janganlah Jangan (1964). Begitu juga dengan kajian-pendahuluan Talib Samat (2000) (6) yang menyenaraikan novel Intan sebagai terbit tahun 1973. Menariknya, dalam buku ini yang mengumpul kesemua karya Abdullah sebagai fragmen-fragmen, mempamerkan skrip drama pentas "Intan" pada halaman 219 hingga 247: 



Skrip drama pentas "Intan" ini juga dikaji oleh Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana) dalam "Intan Karya Abdullah Hussain: Satu Huraian Teori Teksdealisme" (7) yang juga menyenaraikan novel Intan terbit pada tahun 1973 (2008: 377) dan karya skrip drama pentas "Intan" didapati daripada antologi skrip drama bersama, Di Atas Pentas (2008: 380) yang terbit pada tahun 1984. Apabila saya menyelidik katalog pustaka paling tuntas di internet, WorldCat, saya masih menemui bahawa novel Intan paling awal terbit pada tahun 1973, dengan judul Intan: Batu yang Elok Warnanya.

Mungkin untuk membuka kekusutan ini, saya perlu kembali membelek catatan Abdullah Hussain sendiri dalam siri memoirnya, tentang pengalamannya menemui Turino dan bagaimana proses adaptasi kepada filem komedi Indonesia itu berlaku, serta menemui pengalaman Abdullah bersama P. Ramlee dan Zainuddin Nordin apabila drama RTM tersebut "dipentaskan" atau dirakamkan. Saya menemui hal ini dalam memoir Perjalanan Mencari Bahasa (2001) yang mana Abdullah mencatatkan bagaimana beliau menemui Turino dan bagaimana filem itu muncul:


Perkenalan saya dengan Turino Djunaidy terjadi ketika Indonesia mengadakan Festival Filem di Kuala Lumpur beberapa tahun sesudah konfrontasi. ... Perkenalan pertama saya dengan Turino berlanjutan dan mejadi lebih akrab apabila dia datang ke Kuala Lumpur membawa filem Kabut Bulan Madu yang sebahagian kecil lokasi filem itu dibuat di Kuala Lumpur. Filem itu telah ditayangkan oleh PERFIMA di Auditorium MARA dengan mendapat sambutan yang hebat. ... Semasa dia berulang-alik dari Kuala Lumpur-Jakarta itulah, pada suatu hari saya menerima panggilan telefon daripadanya yang meminta saya datang ke hotel penginapannya tidak jauh dari DBP. Selalunya apabila kami bertemu, dia akan bertanya tentang novel dan cerita pendek yang telah saya tulis. Saya lalu menyebut judulnya satu per satu, jikalau ada antara judul itu yang menarik minatnya, maka dia akan menyuruh saya menceritakan isinnya sepintas lalu. Pada pertemuan ini saya telah menyebut beberapa judul termasuklah 'Intan' yang baru dijadikan drama oleh TV Malaysia untuk tayangan hari raya yang baru lalu.
     "Cuba ceritakan sedikit isinya," katanya.
     Saya sebenarnya bercadang mahu menulis kisah itu dalam bentuk novel dan dalam kepala telah pun ada rangkanya berdasarkan drama TV tersebut.
     "Itu cerita saya mau," katanya sebaik sahaja saya selesai bercerita.
     "Tapi saya belum tulis lagi, hanya baru ada rangkanya sahaja dalam kepala."
     "Tidak apa. Buatkan sahaja skrip filem berdasarkan drama itu."
     "Saya tidak ada masa. untuk membuat skrip filem," kata saya apabila dia mendesak saya menulisnya sebelum pulang ke Jakarta. "Saya hanya boleh tulis sinopsisnya saja."
     Sinopsis itu telah saya serahkan kepadanya sebelum dia pulang dan berjanji akan menjadikan skrip filem.
     Tidak sampai dua bulan, saya mendapat kiriman keratan surat khabar dari Jakarta yang membuat resensi tentang filem Intan Berduri. (8)

Catatan yang diberikan oleh Abdullah Hussain ini SANGAT JELAS, membina kronologi bagaimaan proses karya "Intan" itu disampaikan kepada Turino Djunaidy, yang kemudiannya menjadi filem. Perhatikan, Abdullah sengaja menggunakan tanda petik ' ' untuk merujuk Intan yang berada di dalam kepalanya, sebuah karya "yang baru dijadikan drama oleh TV Malaysia" yakni RTM. Tanda petik ini bukan sahaja memaparkan ianya berbentuk skrip drama (selalunya, kita kalangan editor menggunakan gaya tanda petik "begini" untuk menunjukkan karya itu sebuah skrip atau manuskrip yang belum diterbit-cetak) ataupun suatu idea yang belum tuntas terbentuk cetak sebuah buku, Malah, boleh diikuti dalam perbualan antara Abdullah dengan Turino bahawa bahan skrip drama pentas itu, yang baru dijadikan drama oleh TV Malaysia, telah diceritakan kepada Turino, lalu Turino memintanya, lalu Abdullah tahu tidak sempat menjadikannya novel lagi "hanya baru ada rangkanya sahaja dalam kepala" tetapi Turino memohon Abdullah dijadikan "skrip filem berdasarkan drama itu", yang Abdullah hanya sempat melahirkan "sinopsis" sahaja yang kemudian sinopsis itulah yang digunakan oleh Turino sebagai sumber lakon layar kemudian filem Intan Berduri yang terbit pada tahun 1972. Drama Intan terbitan RTM dimaklumkan oleh Abdullah di sini, tersiar pada Hari Raya Aidilfitri 1970 "tayangan hari raya yang baru lalu", iaitu pada Disember 1970 (bersamaan dengan bulan Syawal 1390). Kita andaikan bahawa pertemuan ini berlaku kemungkinan pada akhir tahun 1971 atau tahun 1972, kerana "tidak sampai dua bulan" pertemuan Abdullah dengan Turino, filem Intan Berduri telah pun siap dan ditayangkan, malah sempat diresensikan untuk tatapan Abdullah balik di Malaysia. Pada masa ini (1971-1972), jelasnya novel itu masih "dalam kepala" Abdullah Hussain. Mungkin beliau sudah pun memulakannya, dan manuskrip itu berkemungkinan selesai ditulis pada tahun 1971/1972, tetapi ia terbit pada tahun 1973, setahun setelah Intan Berduri ditayangkan di seluruh Indonesia. Walaupun mungkin kita boleh masih memperakui menurut tulisan Mohd Danial (2017), mungkin ada sebuah novel Intan sebelum terbitan 1973 dengan DBP, tetapi novel tersebut tidak mungkin terbit pada tahun 1970, memandangkan perbualan yang berlaku antara Abdullah dengan Turino ini berlangsung pada tahun 1971/1972 apabila Turino hanya mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan filem tersebut daripada "cerita/sinopsis" Abdullah.

Sebelum itu lagi, elok kita teliti bagaimana Intan dicanai daripada pemikiran Abdullah Hussain, memandangkan kemungkinan ada yang menyatakan, terdapat karya asal yang mungkin terbit lebih awal daripada drama pentas/televisyen RTM pada tahun 1970 tersebut. Mengikut Perjalalan Mencari Bahasa, senario berlaku pada waktu Abdullah Hussain diminta untuk mengadaptasi novelnya, Rantau Selamat (1965) kepada skrip drama TV, namun terdapat kegendalaan, dan Zainuddin Nordin selaku penerbit PERFIMA meminta sesuatu daripada Abdullah:

Sekali lagi Zainnuddin menghadapi satu masalah lain pula. Menurut ceritanya, dalam satu mesyuarat mingguan (masa itu bulan puasa) menteri telah meminta supaya pada hari raya nanti RTM dapat menayangkan satu drama sebaik-baiknya drama komedi yang sesuai untuk hari raya. Pilihan menerbitkan drama itu telah jatuh ke pundak Zainuddin. Menteri mahu melihat kebolehannya sebagai seorang penerbit yang termuda yang baru mendapat latihan di luar negara. Sebenarnya tugas yang diberikan kepada Zainuddin ini ada kaitannya dengan drama Rantau Selamat. Sebagai anak muda yang ghairah mahu membuktikan keupayaannya, dia tidak menolak tugas yang diberikan kepadanya. Zainuddin terima. Petang itu dia datang ke rumah saya.
     "Encik Lah," katanya, "tolong tulis satu skrip drama komedi untuk hari raya."
     [...]
     Sebaik sahaja pulang dari kerja pada tengah hari Sabtu, saya mulai menurunkan fail-fail guntingan surat khabar dari dalam almari. Saya teliti satu per satu dan terjumpa berita tentang Rasul Muhammad seorang petani di Madya Pradesh, India menemui intan daripada sawah yang disewanya. ... Sepuluh tahun kemudian ada ekoran daripada berita tersebut, Rasul Muhammad menyesal mendapat intan itu kerana dia sekarang telah dikelilingi hutang. ...
     Setelah mendapat dua berita itu, pada malamnya saya menyuruh isteri dan anak-anak saya tidur lebih awal kerana saya mahu bekerja. Mulai jam sembilan, saya pun mengetuk mesin tulis. Saya tambah dengan plot tentang cerita intan juga yang saya dengar daripada datuk saya di kampung waktu kecil-kecil dahulu dan berita tentang seorang penoreh getah kena loteri di sebuah pekan di Pahang. Kira-kira jam 5.00 pagi siaplah sebuah skrip drama komedi yang saya beri judul Intan. Saya hantar skrip itu ke rumah Zainuddin dengan memasukkannya ke bawah pintu rumahnya. Saya pun balik dan bercadang mahu tidur sesudah solat subuh. Tetapi sebaik sahaja memberi salam, terdengar suara orang memanggil di luar pagar, Melihat saya keluar dia terus berkata, "Skrip ini baik sekali. Saya suka. Boleh saya masuk, kita bincang sebentar?" (9)

Catatan Abdullah jelas di sini, bahawa, skrip yang ditulis inilah karya asli yang merupakan "punca asas" novel Intan, yakni sebuah skrip drama televisyen. Skrip drama komedi ini yang ditulis sebelum hari raya, sewaktu Ramadan (Oktober/November 1970) mengambil beberapa sumber idea, keratan akhbar tentang seorang lelaki India menemui intan di sawahnya, kisah datuknya dan seorang penoreh yang menang loteri. Setelah didramakan pada hari raya 1970 (kisah selanjutnya, Abdullah menceritakan, babak demi babak bagaimana dengan keadaan yang terdesak bulan Ramadan itu, drama itu dirakam untuk tayangan hari raya), skrip drama inilah, yang dijelmakan sebagai drama komedi di RTM pada hari raya 1970 yang dijadikan sumber novel yang hendak disiapkan (1973), sumber skrip drama pentas, yang kemudian diterbitkan dalam antologi Di Atas Pentas (1984), sinopsis dan cerita asal untuk diadaptasi oleh Turino Djunaidy menjadi filem komedi Intan Berduri (1972). Kenyataan daripada Abdullah ini juga menolak mana-mana andaian bahawa terdapat sebuah cerpen atau novel awal yang melahirkan "adaptasi drama TV" Intan. Apa-apa pun, hal ini menampilkan betapa versatil juga kentalnya Abdullah Hussain yang merupakan, antara pengkarya Malaysia yang berjaya melihat karya aslinya, diadaptasi kepada pelbagai bentuk medium (televisyen-novel-filem-teater) sehingga diterima secara serantau (malah melalui transnasionalisme), sesuatu yang saya kira, jarang-jarang lagi berlaku dalam karya penulis kita, baik dahulu mahupun sekarang.



Nota Hujung
1. Jiwa Rasa, "Intan (1973), Abdullah Hussain" dlm. Ulas.Buku, 4 Januari 2009, http://ulasbuku.blogspot.com/2009/01/intan-1973-abdullah-hussain.html.

2. Mohd Danial Abd Aziz, "Novel Intan Karya Abdullah Hussain" dlm. Facebook, 20 Oktober 2017,  https://www.facebook.com/groups/618366794950888/permalink/1474080256046200/.

3. JB Kristanto, 2005. Katalog Film Indonesia 1926-2006. Jakarta: Penerbit Nalar dan Fakultas Film dan Televisi, Institut Kesenian Jakarta, Sinematik Indonesia.

4. Abdullah Hussain, 2004. Perjalanan Mencari Diri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 103.

5. "Abdullah Hussain - Sasterawan Negara Ke-8 (1996)" dlm. Klik Web DBP, http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=4792.

6. Edisi Khas Sasterawan Negara: Pertemuan Abadi Koleksi Terpilih Abdullah Hussain, 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. xi. 

7. Abdul Rahman Napiah, 2008. "Intan Karya Abdullah Hussain: Satu Huraian Teori Teksdealisme"  dlm. Zeti Aktar Jaffar (peny.). Abdullah Hussain dalam Esei dan Kritikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 239-250. 

8. Abdullah Hussain, 2001. Perjalanan Mencari Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 347-349.

9. Abdullah Hussain, 2001. Perjalanan Mencari Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 300-302.

Tuesday, March 21, 2017

Menemani Abdullah Hussain di dalam Panggung Wayang di Hujung Tanjung

Nota: Esei (atau contengan main-main) ini sebenarnya dipersembahkan dalam majlis (atau sebenarnya lepak-lepak bicara santai) Bicara Karya dan Sikap Sasterawan Negara Abdullah Hussain pada 27 September 2015 di ruang legar tepi sewa basikal Taman Tasik Titiwangsa kelolaan Buku Jalanan Titi. Saya menyimpan (malah melupakan) artikel ini kerana pihak pengelola menyatakan bahawa artikel yang saya bawa bersama (yang saya tak baca semuanya) ini akan dihimpunkan dan akan diterbitkan dalam sebuah buku. Beberapa tahun berlalu. Saya tak termaklum bahawa rupa-rupanya, setelah siri bicara Sasterawan Negara itu selesai (hanya Kemala yang tidak dapat dibicarakan dengarnya) kesemua kertas bicara itu telah dihimpunkan dalam sebuah semi-jurnal dalam talian. Setelah melalui Sembang Dewan Sastera bersama-sama Nisah Haron pada 11 Mac lepas, serta menelaah semula hak cipta karya, saya yakini, karya saya ini, yang tidak mempunyai apa-apa perjanjian penerbitan/pelesenan secara tertulis dengan pihak Titi atas hak eksklusif penerbitan, saya menyiarkannya di sini. Malah, saya diamkan pun atas mengambil penghormatan pada pihak pengelola jika masih mereka hendak menerbit-cetak artikel tersebut, namun hal itu tidak akan berlaku. Jadi di sini saya persembahkan kembali artikel bicara tersebut, dengan rendah diri, sebagai dedikasi dan kasih sayang saya terhadap Sasterawan Negara yang paling saya ikuti:



Menemani Abdullah Hussain di dalam Panggung Wayang di Hujung Tanjung
Oleh Fadli al-Akiti

I
Antara kesemua pemain kata, manusia-manusia Malaysia yang diiktiraf oleh Kerajaan dan dianugerahi oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Sasterawan Negara, Allahyarham Abdullah Hussain (semoga Allah memberikan tempat yang baik kepadanya dan menyenangkan hidup kekalnya) ialah pengarang paling sinematik dan senang didampingi oleh orang kerdil seperti saya, pencandu filem dan lipas panggung wayang.
Abdullah, atau Pak Lah (panggilan paling mesra diingati) mendekati teks, seperti mendekati sesebuah karya filem. Filem itu, atau karya itu, pertamanya, mesti mempunyai premis dan plot yang meyakinkan, yang menarik kita, pembaca dan sekali gus penonton, untuk sama-sama memasuki alam geraknya. Di sini, teks, pada awal baris, dan seterusnya, akan tertampillah syot pengenalan atau penentuan (establish shot, yang mana kita sudah dibawa untuk tahu akan cerita filem itu atau untuk apa cerita itu bermula di situ) dalam kebiasaan, selalunya, imej yang sudah mewakili keseluruhan karya. Pada awal novel Imam, antara adikarya Abdullah yang terhebat dan paling bahaya, Abdullah dengan kuasa olahan imej, melakarkan suatu struktur seni bina yang cukup elegan dan hidup, menggambarkan dengan begitu sensitif dan mendalam, sunyi tetapi menunggu seakan-akan sesuatu akan berlaku (dan memang akan berlaku pun); duduk letak masjid (yang akan runtuh) yang berdekatan dengan lombong emas; dengan keadaan ketiadaan orangnya (babak ini memunculkan kembali ingatan saya terhadap sebuah filem drama bertema agama yang terbaik pernah keluar dari Indonesia, Titian Serambut Dibelah Tujuh); ketiadaan Imam Mihad; dinihari yang mula mendongak pagi, membuka cerita.

II
Cerita saya dengan Pak Lah bermula lewat, bukan seperti Allahyarham Bapak Usman Awang, yang diperkenalkan awal lagi sewaktu saya melakukan kerja kajian lapangan sejarah tingkatan dua, kerana arwah ayah saya amat dekat dengan “Abang Osman”, atau mendepani pertama kali arwah Arena Wati yang bertongkat di sebuah seminar di DBP, atau arwah S. Othman Kelantan yang bertenaga walau penuh air mata sasteranya di sebuah seminar sastera antarabangsa, dan Pak A. Samad Said yang mendayu puisi di Stesen Ipoh dengan iringan gesekan biola bocah kecil selepas bengkel adaptasi karya kepada filem (dan mendapat nasihat tidak berguna daripada A. Wahab Hamzah), dan beberapa lagi selisihan, sewaktu beberapa tayangan filem antarabangsa di Mid Valley dan KLCC; Pak Lah lebih lewat daripada itu tetapi lebih penting.
Pada masa sebelum berpeluang menemuinya lagi, saya sudah menjadi peminatnya, groupie-nya jika ikut isitlah rockers. Saya teridam-idam untuk sebilik dengannya (untuk bercakap-cakap dengannya tentang apa-apa sahaja), seperti dapat menonton bersama-samanya, berdua-duaan, dalam sebuah panggung yang kosong dan kami berdua sahaja yang menonton sebuah filem klasik Melayu yang dibikin dari Singapura. Sewaktu remaja, arwah ayah saya agak terkejut dengan pilihan saya itu, yang baginya “tidak sofistikated” kerana Pak Lah dikenali sebagai seorang storyteller atau “tukang cerita” semata-mata, dan bukan sasterawan yang murni (contohnya, seperti A. Samad Said atau Shahnon Ahmad). Masa itu, beliau lebih dikenali kononnya, melopori gaya new journalism (walaupun hal ini disanggah oleh rakan saya, Wan Nor Azriq). Tidak ramai mungkin, yang melihat, bahawa mata dan pena Pak Lah sebenarnya amat dekat dengan roh filem, memutar selembar layar yang bergerak. Teksnya berkata-kata dengan imejan yang bergerak dan bergerak terus. Dan, gerakan ini sentiasa mempunyai cerita yang berterus-terusan mengubah tempo dan warnanya, seperti seluloid yang meluncur terus di dalam projektor, mengubah gerak dan perilaku, menyampaikan suatu ketegangan, poin dramatik, dan peleraian. Inilah kekuatan Pak Lah. Jika dilihat dalam sebuah novel utopianya (antara novel utopia terawal Malaysia!), Masuk ke dalam Cahaya, walaupun awal novel mengimbau babak melodrama daripada filem Jamil Sulong, terdapat satu bab pertengahan, dengan peliknya, kisah yang berlaku di tanah Jepun, yang mengimbau imej yang jauh merentas dunia lokal, tetapi sinema purbakala yang mendekati karya epik lama Kenji Mizoguchi ataupun Kon Ichikawa. Malah, pengakhiran novel itu yang memasuki alam sureal apabila Iblis dan bala tenteranya bertindak untuk memasuki alam manusia Kampung Cahaya, babak itu sudah mula berubah warna seperti sebuah latar filem seram Jacques Tourneur, dengan pelengkap kamera handicam, menangkap syot di remang-remang malam di tepi dan tengah lorong berkepung rumah-rumah kampung menggunakan cahaya yang datang dari bulan dan tiang lampu elektrik, dengan orang kampung mengejar lembaga setan yang menghilang di hujung jalan mati.

III
Sebelum menemui Pak Lah lagi, saya begitu perasan berasa dekat dengannya kerana saya mula-mula sudah mengenali Ahmad Patria Abdullah atau Abang Pat, anaknya yang satu-satunya mengikut jejaknya. Abang Pat keluaran MRSM Kuantan, seperti saya, menulis cerita fiksyen sains, seperti saya, berdarah keturunan Aceh, seperti saya juga. Abang Pat jugalah pengarang yang telah menghidupkan kerjaya saya dalam penulisan kerana beliaulah yang menjadi penilai manuskrip sulung saya, JIAN, apabila manuskrip itu diserahkan kepada DBP secara tidak sengaja.
Takdir mengikat saya lagi waktu tahun 2012, apabila pada masa itu, sebuah daripada novel kegemaran saya, Interlok, diselar oleh (juga rakan) Uthaya Sankar SB. Pada masa itu, saya tiba-tiba, diperkenankan oleh kuasa atas angin sebagai editor Dewan Sastera terbaharu (dan termuda dan dibenci oleh beberapa penulis tua). Zaiton Abu Samah, editor kanan Bahagian Majalah yang bertukar tempat ke Bahagian Harta Intelek pada waktu itu menarik saya untuk mengikutnya pergi bertemu Pak Lah. “Pak Lah sedang sakit teruk, ada kertas perlu tandatangan. Bila lagi kau nak bertemu dengannya?” ujar Kak Ton di dalam kereta.
Sampai juga saya di hadapan rumahnya, di suatu seksyen rumah sebandung di tengah-tengah urban Petaling Jaya yang sepi. Rumahnya sunyi tetapi penuh kehijauan, pasu-pasu berisi bunga dan orkid tertanam dan tergantung, dengan beberapa pokok yang menutup tepi pagar dan dinding rumahnya. Gambaran ini mengingatkan saya kepada novel remaja terkenalnya, Konserto Terakhir. Saya malah terasa, ada seorang Hilmi yang sibuk menyiram pokok-pokok itu di tepi pagar dan di dinding, kemudian masuk ke dalam rumah itu di mana terdapat sebuah piano tua, lalu bermainlah dia dengan tenang dan serius.
Pertemuan saya di hadapan Pak Lah, gergasi besar dalam jiwa saya itu disapa dengan sayu, melihat, Pak Lah, terduduk sahaja di atas kerusi rodanya. Pak Lah tidak dapat bersuara lagi, hanya semboyan tanpa maksud yang melepasi kerongkongnya. Sebuah filem berwarna yang merajuk dan duduk menjadi filem bisu. Tangan terketarnya saya ambil dan cium dengan penuh takzim dan kasih.
Kehadiran Kak Ton, Ketua Editor dan saya (serta beberapa pegawai lagi), mungkin, membuat Pak Lah gembira sedikit (selalunya bapak tidak mahu keluar menemui orang, kata isterinya). Saya ujakan kepada isterinya, Datin Saroja Basri, agar dapat menemu bualnya. Datin setuju kerana Pak Lah juga tampak setuju, tetapi bicara itu, dengan penuh payah, perlu dibuat dengan saya menulis soalannya di atas kajang kertas dan dijawab oleh Pak Lah, satu per satu. Memang payah juga Pak Lah melakukannya (ada beberapa jawapan yang sedikit celaru dijawab dan tidak disiarkan dalam majalah) tetapi Pak Lah melakukannya juga. Dengan serius beliau membaca soalan saya (itulah wawancara pertama yang saya buat untuk Dewan Sastera!), yang kemungkinan dalam dirinya membebel “Soalan yang entah apa-apa budak ni.”
Sudah tentu wawancara itu juga banyak bertanya akan hal-hal berkenaan filem. Saya sudah tahu benar, hidup Pak Lah mendekati dunia filem (novel Konserto Terakhir dahulunya sebuah skrip filem yang sepatutnya dijadikan filem oleh P. Ramlee tetapi tidak sempat kerana P. Ramlee meninggal dunia dan belum sempat mengumpul modal, lalu skrip itu dijadikan sebuah novel. Pak Lah juga pernah memasuki sebuah rumah penerbitan filem di Singapura milik Bumiputera yang Pak Lah sendiri menulis skrip sulungnya untuk difilemkan, tetapi hal ini tidak menjadi kerana tauke Melayunya telah menjual kameranya kepada orang lain, lalu tutuplah syarikat itu secara rasmi) dan dunia filem menjadi nadi yang dekat dengan Pak Lah, walaupun mungkin Pak Lah tidak mengakui.
Isterinya sendiri menunjukkan kepada saya, naskhah terakhir biografi P. Ramlee: Kisah Hidup Seniman Agung yang pernah dihasilkan oleh Pak Lah. Buku penting itu yang kini sudah out of print pernah diberikan kepada beberapa kawan dalam persatuan penulis dan syarikat penerbitan yang kononnya berjanji untuk menerbitkannya, tetapi sampai hari ini, mereka tidak lagi melangsaikan janji mereka kepada Pak Lah, yang kini sudah pun masuk ke alam nyata. Datin Saroja menyatakan kepada saya, beliau sanggup sahaja memberikannya kepada saya sebagai kenangan, tetapi kerana itu satu-satunya yang tinggal dalam simpanan Pak Lah maka Datin tidak mahu, takut menyesal tak sudah nanti. Saya pun setuju tidak mahu mengambilnya, namun dalam diri betapa merintihnya saya rasa, memegang sebuah sahaja lagi naskhah nukilan Pak Lah akan seorang rakan karibnya sewaktu di Singapura, dan menjadi pertalian bukti dekatnya beliau dengan mainan cahaya dan suara di balik layar.
Nasib saya baik, apabila saya turut membawa berpuluh-puluh bukunya, dalam sebuah kotak, memoir, novel, kumpulan cerpen, buku biografi, buku esei, antologi bersama, dan memohonnya untuk menandatanganinya. Betapa gembiranya Pak Lah, wajahnya, terus menjadi berseri-seri, dengan pen di tangannya yang tidak bermaya, mencoret dan memusing di atas halaman pertama setiap buku yang dihadapkan di meja tulisnya. Tanda tangannya tidak tertulis dedikasi (itu sudah tentu menyusahkannya lagi) tetapi digagahinya dengan tarikh, pada 20 Februari 2012.
Nafsu groupie saya yang penuh dosa itu, tertunai juga.

IV
Saya mula mengenali keajaiban wayang Pak Lah sewaktu saya berumur 17 tahun, selepas SPM, tidak ada kerja dan tidak terburu-buru untuk masuk universiti. Sebenarnya, sejak MRSM Kuantan lagi, di perpustakaan maktab itu, saya menemui novel terbitan Utusan Publications yang menang tempat pertama Hadiah Sako, Iman. Saya tergamam dengan kedalaman dan teknik yang digunakan oleh Pak Lah, semacam dokumentari dalam fiksyen (terdapat laporan dan rekod transkrip temu ramah yang panjang), sangat segar dan inovatif jika dibandingkan dengan teks biasa penulis kontemporari waktu itu. Saya jatuh cinta terhadap tulisannya dan berniat untuk mencari apa-apa lagi tulisannya.
Arwah ayah saya mempunyai sebuah perpustakaan yang cukup luas dan agak lengkap akan penerbitan kesusasteraan tempatan. Selepas SPM, dan pada masa itu saya mula berjinak-jinak dengan filem yang diminati orang filem, saya menemui novel Pak Lah sekali lagi, dan kali ini dalam wajah Interlok. Kulit depannya menampilkan seni catan seorang tua, Pak Utih dan di sebelahnya, angkasawan. Agak oxymoron lukisan itu tetapi membawa penarikan yang dalam.
Ketika mula membacanya dan seterusnya, saya jadi terikat dengan dunia Seman, dengan dunia Ching Huat, dan dengan dunia Maniam. Membacanya, saya membayangkan watak-watak itu terus hidup, mula-mula sebagai saksi pengalaman dan detik perubahan latarnya, kemudian menjadi ahli bertindak dalam keadaan dan perubahan zaman. Memang, tidak dinafikan, novel ini suatu propaganda yang halus tentang perpaduan dan pencarian titik kemanusiaan dan kesamaan dalam latar bangsa yang pelbagai akar dan bahasa dalam menuju ke arah kemerdekaan dan pembangunan sendiri. Pak Lah seakan-akan menentukan, apa yang boleh dan tidak boleh dibawa oleh tokoh-tokoh ambang merdeka ini dalam menstrukturkan hala tuju terbaik dan teraman untuk masa depan tanah air yang baru meninggalkan penjajahnya. Namun perlu dilihat di sini, Pak Lah menggunakan orang-orang kecil, manusia di bawah kelas sosial terendah, Seman, petani, Maniam, kuli Inggeris, Ching Huat, buruh, yang kemudiannya, atas azam sendiri dan mahu mengubah nasib diri, berubah pada kelas sosial yang sekurang-kurangnya selesa dan memanfaatkan kehidupannya, materi atau rohani. Hal ini pun, dilalui dengan penuh ranjau duri dan sakit perih; anak mati, tanah hilang, orang gantung bunuh diri, tanaman tak jadi, papa kedana, penyakit menimpa, penyakit-penyakit dunia marhaen. Pak Lah hanya bergerak dan memerhati dalam skop kecil, perubahan demi perubahan, kemudian, harapan.
Novel Interlok jugalah yang membuat saya tiba-tiba mengeluarkan buku latihan saya yang tidak terpakai, menulis sebuah skrip filem adaptasi daripada novel tersebut! Ya, saya terfikirkan, novel ini boleh menampung sebuah filem epik yang panjang berdurasi tiga jam, seperti gaya filem-filem epik David Lean tanpa unsur romantiknya yang mengada-ngada. Sebenarnya, novel ini lebih dekat dengan feel filem-filem drama manusia Elia Kazan yang meniti hal realiti tetapi ditangkap dengan visual yang cantik, khususnya America, America (1964) yang juga bercerita tentang pengalaman diaspora orang-orang kecil dari Turki-Yunani ke Amerika Syarikat. Rangka filem adaptasi ini juga mengimbau rasa The Grapes of Wrath (1940) arahan John Ford, yang juga tentang orang-orang kecil yang merana sewaktu era depresi Amerika, adaptasi daripada novel John Steinbeck. Simbol yang menyatukan setiap tiga keluarga latar berbeza Melayu, Cina, dan India itu adalah burung, mengikut imbauan rasa babak dan takdir, serta qada qadar wakil keluarga itu, dan bayangan apa yang akan mereka lalui atau ikuti seterusnya dalam lipatan hidup.
Filem itu akan terpecah pada empat bahagian, bermula seperti prolog terhadap ketiga-tiga watak utama, yang pertama, Seman. Seman akan memaparkan ayam mematuk tanah (peribumi yang kais pagi kais petang di tanahnya sendiri), dan Seman yang selalu menghalau burung layang-layang yang mengacau sawahnya (baru dibuatnya orang-orang). Pada babak hartanya terjual dan Ching Huat akan mengambil tanahnya, Seman berlari ke bendang, terduduk, mengadu kepada Tuhan, dan imejan burung-burung berpusing-pusing mengelilingi orang-orang yang dicacaknya. Babak ini dikelamkan untuk membuka kisah Ching Huat dengan sebuah tongkang di tengah laut di mana beberapa burung di atas layar terbang sama dengan gagah. Ching Huat juga, apabila sudah berkedai, akan dipaparkan menyimpan burung di dalam sangkar (ketenangan hidup dan keadaan bahagia). Sangkar burung ini juga akan rosak, sewaktu kedatangan askar Jepun ke kampungnya. Maniam pula, dia akan menjadi orang yang akan memberikan makan seekor burung merak di dalam kandang besar milik majikan Inggerisnya (berestet getah). Simbol burung juga akan bermain dalam beberapa babak awal sewaktu dia bersama-sama dengan Ceti dan pemiutang (mereka menggunakan simbol burung merak) yang akan menentukan nasibnya di tanah air baharu. Pada waktu majikan Inggeris itu menghilangkan diri. Maniamlah yang menjaga merak itu, dibuatnya kandang di belakang rumahnya. Apabila ketiga-tiga watak atau anak-anak mereka sudah saling bertemu, dengan pengakhiran filem menghampiri kemerdekaan, kita dipaparkan dengan imej Bangunan Sultan Abdul Samad (peninggalan penjajah Inggeris) di tepi-tepi bumbung kubah batu putihnya, keluar burung layang-layang dan meninggalkan kubah itu, melintas remang sinar matahari senja, menandakan suatu ambang baharu, meninggalkan penjajahan semalam dan mengorak terbang untuk dunia baharu ketika peralihan masa, ketika peralihan zaman.
Saya tidak pernah dapat menyiapkan skrip itu.

V
Abdullah Hussain juga meninggalkan kita dengan memoir-memoir yang penting, kesemuanya empat buah, dalam siri “Perjalanan”. Namun memoir yang paling seronok dibaca dan peribadi buat saya ialah Sebuah Perjalanan (DBP, 1985), yang turut memenangi buku autobiografi terbaik Hadiah Sastera Malaysia. Dalam buku inilah, Pak Lah melakarkan kaitan dan interaksi yang amat intim antara sastera, kewartawanan, politik sosialis dan kebangsaan, dunia penerbitan, akademik (guru), dengan bintang filem. Ya, saya sudah banyak membaca buku riwayat dan kisah memoir Keris Mas dan Usman Awang, antara mereka yang ke hadapan dalam dunia ASAS50, tetapi tiada seorang pun yang benar-benar menunjukkan pertalian intim orang seni atau anak wayang dengan dunia karyawan atau para penulis, lebih-lebih lagi pada era sebelum kemerdekaan, yakni era keemasan filem Melayu dan pembikinan filem di studio Jalan Ampas. Pak Lahlah the missing link yang saya cari-cari, yang tidak saya temui dalam riwayat nukilan Jins Shamsudin, Jamil Sulong, Nasir P. Ramlee, atau Hamzah Hussein, yang rata-ratanya lebih tertumpu pada dunia filem dan hal-hal yang berlaku dengan para pelakonnya. Pak Lah menceritakan semua, nadi hidup dan sengsara, jatuh dan bangun, setiap orang yang mengelilingi pusat ciptaan, semaian, dan himpunan budaya orang Melayu-Nusantara waktu itu, Singapura.
Bagi saya, di Singapura itulah, banyak watak dalam cerpen dan novelnya lahir (contohnya, kisah dunia Maniam daripada Interlok tercipta daripada kisah seorang tukang gunting rambut dari Kerala yang berhadapan dengan kedai tempat kerjanya), gagasan Islamnya terbentuk (sebenarnya hal ini bermula awal, sewaktu beliau di Kedah lagi di sekolah agama, tetapi diuji dan diperhalusi lagi di sana), dan jiwa kemanusiaannya timbul (bagaimana dia melihat Asraf, contohnya, tanpa menghakiminya dan memikirkan yang baik-baik sahaja). Di situlah taman pemerhatian dan sekolah Abdullah yang sebenar-benarnya: memahami manusia.
Dalam masa itu jugalah, atas kecintaannya akan filem, ada beberapa majalah filem yang didudukinya, khususnya Bintang dan kemudian, Filem. Pak Lah jugalah menjadi penasihat teknik (berserta Buyong Adil dan Mahmud Ahmad) untuk filem Hang Tuah (cerita asal oleh Mubin Sheppard), meneliti lakaran seninya daripada Hoessin Enas. Pada masa itu sahajalah, sastera begitu dekat dan bersama-sama dengan kawannya, filem, malah berkahwin beberapa kali. Apa yang tertumpah dalam filem tertumpah juga dalam rencana akhbar, tertumpah juga dalam puisi dan cerpen zaman itu. Masa itu ialah masa yang paling serba mungkin.
Memanglah, akan ada orang yang menyatakan tulisan memoir ini menampakkan seperti seorang kampung (innocentness) yang terjerumus dalam dunia hiruk-pikuk, pancaroba, dan laju kota. Memang menarik untuk membaca jujurnya mata dan telinga Pak Lah menulis (sebenarnya banyak juga yang ditapisnya), kerana beliau menulis seperti menghadapi suatu dunia serba baharu yang dipandang-pandang dari jauh yang lama-kelamaan menyelubunginya juga. Dan menariknya, hal ini tidaklah mematikan Pak Lah, tetapi memberikan kematangan dan “pelajaran hidup” kepadanya, membuatnya dewasa, walaupun Pak Lah sebenarnya sudah sedia dewasa dengan iman teguh dalam dadanya. Kita akan dipaparkan dengan dunia bintang gemerlapan tetapi penuh kesusahan dan mainan anak wayang, Asraf yang liberal dan agnostik ingin mendalami agama, Usman Awang yang menjadi pengaruh kuat dunia sastera dan kewartawanan Melayu waktu itu, dan begitulah juga dengan pengaruh P. Ramlee bagi orang filem dan lagu, dunia tulisan erotik dan picisan dalam majalah, dunia penterjemahan yang baru hendak bermula, perdagangan antarabangsa (Pak Lah bekerja dengan syarikat yang berhubung dengan jual beli di Indonesia), politik serumpun era itu, dan pandangan orang terhadap “orang luar” pada masa transisi Tanah Melayu terhadap Indonesia waktu itu.
Dalam hal ini, kita dapat melihat bagaimana Pak Lah, seperti span, menyedut segala pengalaman itu untuk rentetan dunia penulisannya, bagaimana dia melihat dunia di hadapannya itu, seperti suatu wayang gambar, terang, misteri, dan tetap berputar dan berjalan, menuntut tontonan.
Petikan Pak Lah ini sahaja menjadi testimoninya, suatu wayang gambar pengalaman yang dijadikan kata-kata bergerak:

Waktu itu baru saya sedar bahawa cahaya bulan suram diliputi awan. Tetapi saya dapat melihat jalan dengan baik kerana cuacanya yang memutih samar-samar itu. Tiba-tiba dalam masa berjalan itu saya melihat ada sebatang kayu, bekas alas orang mengasah tajak. Saya pun membongkok, mengambil kayu itu sambil membaca apa yang saya ingat kalau-kalau kayu itu pun hantu yang menyamar untuk menipu saya. Nyata kayu itu masih tetap begitu juga tidak berubah-ubah. Saya mengambilnya dan terus berjalan. Tidak jauh di depan saya ada satu simpang tiga. Di sebelah kiri menuju ke laut dan di sebelah kanan menuju ke kampung datuk saya. Walaupun nanti terpaksa membelok ke kiri sekali lagi. Bunyi hempasan ombak musim tengkujuh di atas pantai kedengaran dengan jelas, kerana di sebalik barisan pokok bakau yang kelihatan berbalam-balam kelam itu, ialah laut Selat Melaka. Jalan di sebelah kanan itu terus ke sebuah kampung tinggal, yang terkenal di kalangan penduduk di situ sebagai kampung berpenunggu. Tidak pernah ada orang yang kekal di sana, baik Melayu ataupun Cina, paling lama dua atau tiga bulan sahaja, setelah itu mereka akan pindah.
     Tiba-tiba dari jalan sebelah kanan itu saya melihat suatu lembaga sedang berdiri, memandang ke arah saya. Saya tidak dapat menggambarkan bentuknya bagaimana. Apakah ia merupakan semacam gumpalan asap yang berbentuk ataupun seperti binatang. Saya cuba mengingati segala macam binatang yang ada di sekitar kampung-kampung di situ. Saya tahu siapa-siapa yang memelihara lembu, kambing, kerbau, dan anjing. Lembaga itu sebesar anak kerbau yang berumur kira-kira satu atau dua tahun. Tetapi itu bukanlah anak kerbau. Kaki dan tangannya kadang-kadang seperti kaki dan tangan manusia yang lurus bersatu ke bawah. Matanya sahaja yang agak jelas, memancar cahaya seperti api. Saya sudah tidak takut lagi, lalu melangkah ke depan. Selangkah saya, selangkah pula dia. Dua langkah saya, dua langkah pula dia. Akhirnya kami berhadap-hadapan. Lembaga itu tepat di tengah-tengah simpang berdiri memandang ke arah saya. Saya pun mengangkat kayu yang saya pegang itu tinggi ke atas lalu melompat mahu memukulnya dengan satu pekikan yang kuat seperti orang Jepun bermain kendo. Rupa-rupanya itulah suara saya yang pertama keluar sejak saya mula teringatkan hantu tadi. Segala apa yang saya baca selama ini cuma bergerak dalam hati sahaja. Dia mengelak melompat ke jalan yang menuju ke laut. Saya lalu mengejarnya. Ia kemudian melompat masuk ke dalam sawah dan terus hilang bersama-sama kabus, embun jantan yang sudah mulai turun. Lama saya berdiri di situ. Bulu roma saya sudah kembali seperti biasa, rasa takut pun hilang entah ke mana. Akhirnya saya pun berjalan membelakang sambil menanggalkan kain sarung, berbogel, sebab menurut petua orang tua-tua, hantu takut kepada orang yang berbogel.
(Sebuah Perjalanan, 2005: 29-31)


Al-Fatihah, Pak Lah.

Thursday, May 5, 2011

Semangkuk Interlok

Tajuk: Semangkuk Interlok
Oleh: Beberapa Penulis (Editor - Hafiz Hamzah)
Terbitan: Matahari Books
Tahun: 2011

Sinopsis:
Kumpulan sepuluh esei yang membicarakan baik, buruk dan fenomena Interlok terhadap pendirian, individu, masyarakat dan sastera Malaysia.

Rasa:
Sebuah buku penting kiranya, khusus percubaan Amir Muhammad dan Hafiz Hamzah untuk mengumpul segala esei, khusus yang benar-benar kritis membahaskan segala yang melingkar padu terhadap novel kontroversi 2011 ini. Di dalamnya, terdapat kupasan yang benar-benar akademik dan telus berkenaan novel berikut, seperti tulisan S.M. Zakir (yang ada disiarkan dalam Dewan Masyarakat dalam talian), dan Dr. Fatimah Busu. Apa yang menariknya, kebijaksanaan editornya untuk memilih rasa "pelbagai" terhadap novel itu tanpa benar-benar memaparkan retorik emosional, tetapi hujah rasional. Misalnya, nota editor sendiri dalam "cuba memahami" novel tersebut (dengan pendekatan liberalnya) kepada sikap Mohd. Affandi Hassan yang menyerlah tajam sifat "Persuratan Baru" Islamnya terhadap realiti hakiki dan realiti semu (palsu: merujuk kepada ciptaan sastera Melayu mutakhir). Pendirian plural sebegini amat dikagumi boleh berlaku dalam buku projek "kecil" ini.

Tidak kurang menariknya juga, pandangan separa ilmu Uthaya Sankar (hanya buat saya, saya jumpai juga beberapa maklumat bahawa ada juga golongan anak tuhan yang tidak makan daging lembu), sesuatu yang saya kira "perlu" dimasukkan, walaupun hanya entri blog di dalam esei ini, memandangkan beliau adalah lelaki "infamous" buat masa sekarang buat segolongan sasterawan, mendayungi perahu politik yang disokonginya. Dua tulisan yang saya suka, Subashini yang memerhati dari sudut teori feminisme (atau sekurang-kurangnya kecitraan wanita sejagat) yang Interlok boleh sumbangkan (atau gagal sumbangkan), serta pemahaman Umapagan yang telus berkenaan novel sosial ini tanpa sikap yang prejudis malah senang dibaca. Lain-lain penyumbang termasuk Dr. Jeniri Amir yang lebih bersifat peribadi, dan S. Fatimah Said sebagai "pembaca" kalangan masyarakat.

Hanya penggunaan bahasa yang sedikit meragukan dalam kumpulan esei ini, khusus penulisan Hafiz sendiri dengan pelbagai kesalahan tatabahasa, serta beberapa bahan terjemahan Inggeris ke Melayu yang sederhana. Ini sahaja yang mencacatkan pembacaan.

Buku ini percuma. Dan ini suatu rahmat yang perlu dikongsi bersama.

Wednesday, May 5, 2010

3 Buku: Kanisah, Light dan Godfather



Tajuk: Mencari Kanisah Yang Hilang

Oleh: Alias Jundullah
Terbitan: Pustaka Nasrullah
Tahun: 2007

Sinopsis:
Mengikuti rentetan peristiwa kaum Yahudi menduduki tanah Palestin, dan kemudiannya dihalau, dan akhirnya kembali untuk menuntut sebuah negara di tengah-tengah penempatan negara Islam. Buku ini membicarakan kenapa kaum Yahudi inginkan sangat pembentukan Israel serta tindakan mereka sekarang untuk masa depan mereka.

Rasa:
Buku ini sederhana baik bagi mereka yang ingin mengetahui secara sekilas lalu tentang sejarah kaum Yahudi, bermula daripada Nabi Ibrahim sehingga sekarang, serta berkenaan perjuangan mereka, dan mengikut sisi Islam, mengapa "orde baharu" mereka perlu ditentang habis-habisan. Beberapa jadual serta ilustrasi menarik, serta fakta-fakta ringkas dan kronologi yang cukup memaklumkan perihal ketangkasan, kelemahan dan sekali gus keganasan kaum Yahudi. Buku ini mungkin propaganda Islam untuk menafikan harapan orang Yahudi untuk sebuah negara, tetapi data-datanya cukup buat pembaca Islam meneliti kelicikan dan semangat dendam Zionis untuk mengembalikan "kegemilangan era Kanisah" mereka kembali, walau bagaimana kompleks sekali pun.



Tajuk: Into The Light (terjemahan novel Masuk ke dalam Cahaya)
Oleh: Abdullah Hussain
Terbitan: ITNM
Tahun: 2009

Sinopsis:
Zaman, seorang graduan pascamerdeka 70-an telah merasakan dirinya kosong, lalu ingin mencari "makna" dalam hidup. Zaman menemui secara misteri, sebuah kampung bernama Kampung Cahaya yang buat Zaman, orangnya pelik tetapi mempunyai jati diri yang teguh. Kampung Cahaya merupakan sebuah komuniti Islam yang membawa semangat baharu buat Zaman. Zaman mula terpesona dan mengikut cara hidup baharu daripada penduduk kampung. Pada masa yang sama, Iblis menjadi murka apabila mendapati sekumpulan manusia di Kampung Cahaya mula melempiaskan nur hidayat mereka dan mengubah beberapa orang "roh sesat" seperti Zaman untuk menyertai tujuan suci mereka, lalu mengutus pelbagai syaitan untuk memerangi isi Kampung Cahaya habis-habisan.

Rasa:
Kedengaran seperti sebuah novel yang fantastik, tetapi inilah "keluarbiasaan" Sasterawan Negara Abdullah Hussain untuk melakarkan sebuah komuniti Islam yang sempurna dan sejati (yang mana idealisme ini akan digunakan dengan lebih baik dan terfokus dalam novel Imam beliau) dalam memerangi kerakusan modenisasi dan hedonisme seisi dunia. Pembayangan Kampung Cahaya itu mungkin "baharu" buat pembaca 1983 (sewaktu novel ini dilancarkan) tetapi kini orang mungkin dapat mengkaitkannya dengan kampung Quaker dan beberapa kampung agama Kristian baharu-alternatif yang merata di Amerika, terpelusok jauh dan terpinggir daripada kemajuan dan kemasyarakatan tamadun. Tetapi idea ini memang menarik sebagai plot. Malah novel ini lebih sebagai sebuah novel idea (atau utopia) daripada sebuah novel pembacaan perwatakan atau kemanusiaan. Hal ini mungkin menjatuhkan sedikit martabat novel ini yang dibawa dan dipersembahkan secara berstruktur, adegan demi adegan yang kadangkala dirasakan cerita-ceritanya ditempelkan dalam sebuah bab. Ini tidak menolak pembaca untuk menyelami beberapa cerita yang agak menarik, khususnya bagaimana Abdullah Hussain menggambarkan jalan penceritaan buat pertama kalinya Zaman mengenali isi penduduk dan kegiatan Kampung Cahaya, dengan pelbagai watak dan peranan mereka, gambaran dunia Iblis yang terganggu dengan kejayaan Kampung Cahaya, serta sebuah cerita dalam cerita yang diperbualkan oleh Iblis dan konconya tentang seorang pendosa dan isterinya yang mendaki gunung untuk bertemu dengan abangnya yang zuhud. Cerita ini sungguh menarik kerana menyatakan pengisian yang amat humanis dalam lingkungan pemahaman sarwajagat tetapi ditetapkan oleh Abdullah Hussain dengan syariat dan ketentuan Islam. Termasuk cerita di akhir buku apabila Iblis bercadang untuk "beragama". Walaupun begitu, cerita-cerita ini, yang tampak "ditempelkan" memberi cadangan bahawa ianya bukan cerita asal penulisnya, memberi sedikit persoalan berkenaan kesesuaiannya. Pun begitu, dengan gaya Abdullah Hussain yang menolak tradisi "adat Melayu" (sebuah babak memaparkan pasangan berkahwin tidka perlu bersanding), novel ini merupakan percubaan berani Abdullah Hussain untuk menyatakan pendiriannya terhadap kesucian agama Islam yang dapat dimanfaatkan dalam semua bentuk kehidupan, suatu hal yang mengikut semangat masyarakat Melayu pada masa novel ini diterbitkan yang mula menyedari kesesuaian tempat dan identiti mereka pada zaman moden, sekular dan serba kebaratan.

Tajuk: The Godfather
Oleh: Mario Puzo
Terbitan: G.P. Putnam's Son
Tahun: 1969

Sinopsis:
Don Vito Carleone ditembak di luar pejabat kecilnya di New York. Vito Corleone merupakan seorang bos mafia yang amat terpengaruh di bandar New York. Anak-anaknya menjadi kaget, lalu peperangan antara keluarga mafia pun bermula.

Rasa:
Novel yang bergerak seperti sebuah novel detektif, dengan pengenalan dan pengolahan fakta yang begitu mendalam dan begitu mengancam, ia semacam ceritanya dalam dunia gelap penjenayah di Amerika. Watak-wataknya juga benar terhadap cerita, masing-masing tanpa hitam putih yang terang, malah pemahaman Puzo meyakinkan pembaca untuk melihat para mafia sebagai suatu kumpulan yang menperjuangkan sesuatu yang "adil" dan "benar", mengikut turun-temurun adat budaya mereka amat mendebarkan, turut menghiburkan. Kadnag-kala, watak-watak ini dilukis begitu romantis sekali, tetapi yang paling penting, Puzo langsung tidak menghakimi watak-wataknya, malah membenarkan mereka menyelusuri dunia membangun mereka seakan kesatria dan ahli korporat yang hanya menjalankan tugas. Grafik ganasnya menakutkan, turut adegan-adegan ranjangnya. Ini bukan sebuah sastera tetapi sebuah novel popular yang mengkagumkan kerana jalinan cerita yang mendebarkan dan bergerak seperti advencer. Sebuah novel yang sepatutnya dibaca oleh semua kaum lelaki.

Monday, July 14, 2008

Novel "Imam" sebuah Novel merbahaya?


Jangan salah sangka. Saya menyukai hasil karya SN Abdullah Hussain, malah saya boleh mengaku, antara kesemua sasterawan negara, saya sangat senang dengan karya-karya Abdullah Hussain (paling saya suka, malah saya juga berketurunan Acheh), Arena Wati, dan S. Othman Kelantan. Malah novel Imam yang memenangi Hadiah Novel Nasional 92/94 ialah sebuah novel yang berjiwa besar, berani dan keluar daripada kebiasaan novel-novel bertema 'Islamik' (malah kelihatan, babak-babak bab Interviu dalam Imam membawa semangat polemik sama dalam unsur-unsur pendebatan isu Islam dalam 'al-Risalah' novel-novel mutakhir Faisal Tehrani seperti Bumi Manusia dan Bila Tuhan Berbicara) yang selalunya mempunyai satu tujuan didaktik.

Malah permulaan Imam sendiri dimulakan dengan satu tragedi, membuka satu pencarian 'jawapan' besar terhadap pembaca (apa yang salah/benar terhadap protagonis, adakah kematiannya diadili?) yang mana, sememangnya tujuan Abdullah adalah untuk pembaca 'mengadili' protagonisnya sendiri.

Hal-hal pembaharuan itu sangat disenangi dalam Imam yang saya baca dua kali sewaktu berumur 19-20 (saya tidak sanggup membacanya sewaktu SPM kerana buat saya, ia agak berat). Tetapi ada beberapa perkara yang saya persoalkan. Ya, saya jahil agama dan saya tidak lantas bertauliah untuk berkata akan hal agama. Oleh sebab itu lagi, saya persoalkan jika Abdullah juga yang tidak berstatus 'imam' atau 'ustaz' boleh mengeluarkan sebuah novel muat ilmu Islam seperti Imam, yang sememangnya sebenarnya satu karya penerusan perjuangan 'Golongan Muda' Islam (ringkasnya: revolusioner, sepakat dengan aliran Muhammadiyah/Wahabi yang mempiawai satu aliran saja dalam hal kehidupan Islam mengikut "al-Quran dan Sunnah") seperti yang dibawa oleh Jamaluddin al-Afgani atau Hassan al-Banna. Maka novel Imam harus dibaca secara umum dengan fikiran terbuka dan tidak diambil sepenuh jiwanya akan hal-hal dalam isi novel ini, yang sememangnya disengajakan anjakan konvensionalnya dan pemikiran Melayunya. Persoalan 'propaganda dalam penulisan' dan 'penyutujuan mesej penulis secara pra-sedar' bolehlah dibuat kajian akan novel ini.

Saya juga tahu Abdullah Hussain antara mereka yang gemar memperjuangkan semangat 'orang muda' (seperti Hamka), malah kebanyakan keturunan Acheh di Kedah/Pulau Pinang itu sememangnya mengikuti perkembangan ini yang terikut-ikut sewaktu perkembangan orang Sumatera yang pergi belajar di Mesir dan Arab Saudi sewaktu itu. Bukti ini boleh dilihat wujud dalam buku memoir beliau, Sebuah Perjalanan yang menampilkan bagaimana golongan keluarga Abdullah 'menafikan' kuasa batin dan 'hal-hal syirik seperti memuja pantai'. Semangat ini, tanpa diketahui, menular dengan kuat dalam Asas 50, juga kebanyakan penulis zaman itu yang mengangkat rasionalisme agama dan praktikalnya melawan pencampuran budaya bukan Islam yang dianggap serong. Buktinya, kebanyakan novel dan drama televisyen yang sampai 90-an, mewarnakan teknologi dan budaya doktor perubatan (sains) melawan 'kejahatan' kuasa bomoh yang 'palsu' (anti-sains). Atau kebanyakan protagonis bersifat rasional dan praktikal melawan antagonis yang bersifat emosional dan selalunya guru silat atau orang berilmu batin (rujuk Empangan, Saga, Rimba Harapan, dll.) Protagonis yang mengikut 'adat alam' dan rahsianya selalunya berakhir dengan kematian (suara baharu melawan ketahyulan tradisi lama), gila atau kegagalan seperti Seorang Tua di Kaki Gunung, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Hujan Pagi, Srengege, Ranjau Sepanjang Jalan dan pelbagai lagi. Drama TV pun sewaktu itu banyak menampilkan moral mendapatkan perubatan moden dan menafikan perubatan tradisional sebagai alat propoganda kerajaan menambahkan pengetahuan masyarakat pendalaman supaya berbudaya klinik desa dan hospital.

Di sini saya sertakan beberapa sedutan:

(Isu perpecahan mazhab fiqh Ahl Sunna Wal Jammaah)
"Saya rasa perpecahan yang melanda umat Islam sekarang ialah kerana mazhab-mazhab ini. Sehingga kita sekarang menjadi umat yang paling lemah dalam serba-serbi, bahkan dalam ibadat kita sendiri. Padahal ibadat kita itulah yang menjadi tiang kekuatan kita seperti pada zaman Rasulul-Lah (tambahan saya: Idea ini berunsur Muhammadiyah dan banyak sekali dinyatakan dalam buku-buku Muhammadiyah iaitu 'perlunya kembali pada zaman Rasulullah' dan menidakkan bidaah hasanah yang dibuat oleh para tabi' tabiin selepas itu seperti bermaulid) dulu ketika belum ada mazhab. Cuba tengok kepada sejarah, patutkah Islam sesama Islam berperang? Paling malang apabila orang Islam menjadi golongan yang minoriti dalam sesebuah negara bukan Islam, mereka dikejar-kejar sebagai anjing kurap," kata Kaji Mihad
(hlm. 354)

(Isu mempertahankan Wahabi)
"Tentang peperangan yang berlaku di Hijaz, yang dilakukan oleh pengikut-pengikut Muhammad bin Abd al Wahhab yang dikatakan kejam itu, sebenarnya timbul daripada tuduhan orang Turki," kata Haji Mihad. "Kalau kita meneliti ajaran Muhammad Abd al Wahhab atau apa yang kita katakan Wahhabi itu tidak lain tidak bukan ialah untuk meluruskan kembali ajaran Islam yang suci ..."
(hlm. 359)

Seakan satu kod, kita dapat membaca bahawa Haji Mihad (protagonis novel ini) ialah alter ego Abdullah Hussain, di sini, pandangan retorik Abdullah disampaikan dengan efektif sekali untuk menarik minat pembaca agar mempersoalkan pemahaman selama ini dan sejarah Islam yang kita sudah kenali.

Untuk menjawab persoalan ini, abang saya, Sidi Muhammad Afifi al-Akiti yang berkelana di Oxford, mungkin mempunyai jawapan yang lebih munasabah (klip video perlu ditonton sehingga habis):
http://www.youtube.com/watch?v=_RCI7zVwJlg&eurl=http://www.faithtube.com/item/62GHG45TG5VWDRRH

Jadi, bahayakah Imam? Bahayakah Imam Mihad?