Wednesday, May 2, 2018
Penghakisan Bahasa Melayu, Menghakis Makna Diri Bangsa
Thursday, January 25, 2018
A Personal Note on Being Indonesianalized
Catatan ini dibiarkan pendek.
Monday, April 8, 2013
Salahkan Pembaca?
Friday, August 5, 2011
Tahniah DAWAMA
Isi kandungan[sorokkan] |
[sunting] Sejarah
Dawama ditubuhkan pada 14 Oktober 1999 di bawah Akta Syarikat Malaysia 1965 dan telah memulakan operasinya sepenuhnya pada 1 September 2002. Dawama bertanggungjawab terhadap kejayaan perlaksanaan aktiviti-aktiviti DBP yang diswastakan. Pada 29 Januari 2007, Dawama telah memperoleh Sijil ISO900 1:2000 daripada DQS Certification (M) Bhd., sebuah badan persijilan antarabangsa yang beribu pejabat di Frankfurt , Jerman. Sistem Pengurusan Kualiti yang dibangunkan menunjukkan komitmen syarikat untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang bermutu dan berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan pelanggan.
[sunting] Pengurusan
Dawama Sdn.Bhd. adalah syarikat bumiputera dan pemegang-pemegang saham syarikat terdiri daripada DTP Enterprises, Konsortium Dewan Edar (KDE) dan Dato' Azhar Hashim, seorang tokoh korporat yang dikenali di Malaysia .
[sunting] Isu dan kontroversi
[sunting] Pekerja cuti tanpa gaji
Pada 2 Ogos 2011, YB Azmin Ali menerima memorandum daripada Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dawama Zainal Awit di hadapan Kompleks Dawama di Hulu Kelang berkenaan arahan cuti tanpa gaji bertarikh 29 Julai dan arahannya berkuat kuasa pada 1 Ogos 2011 terhadap 380 pekerja syarikat kerana syarikat sedang mengalami masalah kewangan untuk membiayai operasi harian. Hal ini disangkal oleh YB Azmin kerana syarikat mempunyai konsesi yang besar daripada pihak kerajaan melalui Perjanjian Konsesi Pengswastaan Dewan Bahasa dan Pustaka bertarikh 19 Jun 2002. Beliau akan membangkitkan isu 380 pekerja Dawama Sdn Bhd - penerima konsesi Dewan Bahasa dan Pustaka - yang mendakwa dicutikan tanpa gaji untuk tempoh tidak pasti ke Dewan Rakyat. Beliau akan mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan bahawa pemotongan gaji untuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibayar oleh majikan. menyelar tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa tidak melayan atau memberikan respons walaupun sudah empat kali diberikan memorandum oleh kesatuan sekerja.[1]
rujuk: http://ms.wikipedia.org/wiki/Syarikat_Dawama_Sdn._Bhd.Cepat juga ya orang PKR buat kerja.. Hebat pencaturan politik tempatan sekarang...
Thursday, July 28, 2011
Bukan DBP Yang Patut Dikutuk Tetapi Orangnya
Dan saya katakan kepadanya, "lantaran itu, ramai yang saya kenal, mengatakan, DBP sudah mandul, tidak relevan lagi..."
Ayah saya memaling ke dinding, sebelum memerhati saya, "Dan mereka itu orang yang berputus asa, baik kepada institusi perjuangan itu, juga diri mereka sendiri."
Jika pemerintahan Melaka pincang kerana sultannya, apakah yang dilakukan oleh Hang Jebat? Apakah dibakarnya seisi istana, atau rajanya mendapat laba? Hang Jebat mendepani sultannya. Derhaka kepada penzalim. Bukan lambang atau kerajaannya.
Dan DBP itu sebuah institusi yang bukan calang-calang dirinya. Sudah ramai yang lupa dan buat-buat lupa, sudah ramai yang lena. Termasuk mereka yang di dalamnya. Ia sepatutnya bukan organisasi birokrat, terikat kemas dengan pengurusan ikutan sistem kementerian dan mesin kerajaan yang bukan-bukan. Ia melangkaui sistem. Ia melangkaui politik. Cara geraknya sepatutnya bersemadi dengan seni dan sastera. Bagaimana mahu mengurus sastera dan seni? Hal ini yang sudah banyak dilupakan.
Jadi apakah adil bangunan dan rumahnya dipersalahkan, atau orang yang ada di sebaliknya. Ya, saya patut disalahkan, antaranya, kerana berada di situ. Ketua-ketua saya patut dipersalahkan kerana memimpin di situ. Kerani kami, peon kami, pegawai sistem kami, kewangan, undang-undang kami. Sama-sama memikul dosa tersebut. Dosa yang dilakukan terhadapnya, sejak sepuluh tahun dahulu sewaktu 5 bahagian utamanya diswastakan.
DBP dan perjuangannya sepatutnya dirasai oleh semua, kejayaannya patut diraikan orang, bukan hanya kakitangannya. Atas sebab itu, amatlah pincang jika hanya 1000 anak di bawahnya sahaja yang mengenali sakit dan sihatnya. Menanganinya juga bukan seperti menangani organisasi membuat duit, atau berjawab dengan KPI dan ISO. Ia mempunyai roh yang lain, yang jauh lebih suci dari itu. Itulah yang wujud pada kobar pemimpin dan pengarang sewaktu mula ia bergerak lantas berkembang, sehinggalah zaman akhir 90-an. Dan mulalah itu, kita kedengaran ada orang-orang yang pincang, yang membawa selain dari perjuangan. Mereka membawa kepentingan diri.
Kepentingan dirilah, dalam mana-mana pemerintahan dan tamadun, serta ruang organisasi yang menghancurkan gagasan itu. Inilah tangan-tangan ghaib yang melakukan dosa, wajah-wajah pelakon yang menyusun segala dalang wayang di balik layar. Siapakah yang memulakan birokrasi dan segala yang melemahkan tapak sasterawan untuk mendekati DBP? Siapa yang mula menabur janji perubahan yang kononnya untuk kebaikan, lantas menjadi petanda kemerosotan? Siapa yang menulis dan mewartakan perjanjian, sehingga menteri pun terpukau dan terdiam dengan mainan saktinya?
Kini badan swasta itu menghadapi krisis yang paling menakutkan, khusus anak-anak buahnya yang komited kerja. Ruangnya yang berjiran di wisma putra sudah dikatakan perlu dikosongkan. Anak-anaknya dikatakan perlu "bercuti". Paling mengejutkan, tiada kata-kata bendera putih lagi seakan ia masih kuat, walaupun laporan perhatian masyarakat sudah kenal dengan masalah kewangannya. Ramai orang yang geram kerana ketiadaan majalah yang biasa diedarnya. Apakah dalang yang di balik segala penyakit ini juga turut menjadi dalang di balik keberanian lancang ini?
Inilah yang harus disiasat dan ditelaah betul-betul. Dalam satu-satu badan, kuman harus dikenali lantas diberi ubat. Ini termasuklah anak-anaknya, baik yang di atas sehingga yang di bawah. Kepedulian harus tinggi untuk menangani hal ini. Saya pernah duduk mendengar kata Baha Zain yang sungguh relevan dalam menangani hal-hal DBP, khusus perjuangan sasteranya. Paling mengejutkan, apa yang dikatakan oleh beliau, yang jauh sudah lama meninggalkan DBP, lebih dekat dan relevan daripada apa yang dipercadangkan oleh Anwar Ridhwan (yang menumpukan bengkel bakat baru dan dokumentasi, yang saya pelik masih tiada sistem berkesankah untuk digerakkan dengan sistematik dan menyeluruh?), serta Salleh Yaapar (yang terlalu sibuk mendekati hal yang akademik sifatnya) di dalam wacana yang sama. Beliau mengenali masalah yang sebenar-benarnya, dan mengatakan secara jujur berkenaan masalah akar umbinya. Dalam satu masa, beliau bertanya, "Apakah ada lagi yang meneruskan Keris Mas, Usman Awang di sini?" Khalayak majlis terus menjerit, tidak ada (ini berkenaan dengan personaliti di DBP, juga penerus mereka yang dikenali sebagai pengarang). Ini sesuatu yang mengganggu. Lantas persoalan lagi disampaikan, jika adanya pembinaan insan dan penggunaan insan di TEMPAT dan RUANG yang betul. Hal inilah yang benar-benar mencucuk dalam sanubari para pemimpinnya. Lebih menyakitkan, siapa yang ada di dalamnya, siapa yang ada bakat, siapa yang menulis, siapa yang boleh menggerak, siapa yang mengenali para penulis, siapa yang mendekati para penulis dan para penulis menghormatinya. Inilah, yang sampai kini, masih samar-samar dalam mata para pemimpinnya.
Saturday, May 21, 2011
Dialog Orang Muda: Reaksi Kembalinya PPSMI
Monday, September 13, 2010
Ke Hulu Pun Tidak, Ke Hilir Pun Tidak
Tanah Malaysia ini luas. Contoh keluasannya terletak kepada minda masyarakatnya, kepelbagaian perspektif dan kepelbagaian bahasa yang mereka tuturkan pada waktu-waktu dan situasi-situasi tertentu.
Kadang-kadang, kepelbagaian ini bertemu juga di satu titik, yang mana, ramai akan bersependapat dalam satu hal atau perkara, wujud di titik ini. Titik ini dipanggil konsensus atau kata sepakat, atau pandangan majoriti.
Pandangan majoriti buat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Malaysia masih tidak berubah. Masih ditakuk lama sedari Datuk Aziz Deraman selaku Ketua Pengarah DBP pada waktu itu mengangkat bendera putih apabila kerajaan meneruskan untuk membahasa Inggeriskan pembelajaran sains dan matematik di sekolah. Saat itu lagi, konsensus menganggap, Dewan Bahasa tidak menjalankan kerja "memartabatkan bahasa".
Ini ditambah lagi dengan rintihan pelanggan yang "susah" mencari majalah DBP (untuk makluman, majalah DBP kini boleh didapati di 7-Eleven seluruh Malaysia) serta buku-buku DBP, hal yang mana dipertanggungjawabkan penuh ke bahu syarikat swasta Dawama yang bergerak seperti badan kerajaan (malah beberapa badan kerajaan sekarang pun sudah bergerak pantas). Jika dijenguk baru-baru ini ke mana-mana kedai, kelihatan majalah DBP September masih kosong di rak, malah beberapa kedai buku masih mempamerkan majalah DBP Ogos. Berlainan dengan susunan majalah Milenia Muslim September yang merata di pasaran. Sikap masyarakat yang tidak tahu "siapa punya angkara" terus-menerus menuding ke pihak DBP.
nota: Untuk makluman, buku dan majalah DBP boleh dibeli/langgan melalui talian: www.dawama.com
Rujuk majalah Milenia Muslim September mutakhir, seorang pembaca hingga menyatakan majalah tersebut boleh "mengambil alih sedikit peranan Dewan Bahasa dan Pustaka yang sepatutnya bertungkus lumus untuk memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu dengan betul..."
Hal ini menunjukkan kepersisan dan keluasan pasaran majalah itu dibandingkan dengan majalah DBP (menolak perbandingan jumlah penjualan), Dewan Masyarakat contohnya.
Baru-baru ini juga, saya dihujankan kembali dengan persoalan dan rengekan saudara-mara tentang peranan DBP yang "tidak nampak" dek lemahnya dan hilangnya, sedikit demi sedikit pemartaban bahasa Melayu yang meluas kepada penduduk Malaysia.
Seorang pak cik saya, dengan lurus memaklumkan DBP perlu menjadi "penguatkuasa" supaya dapat membentengkan pemartaban Bahasa Kebangsaan.
Saya menyutujui pendapat pak cik saya itu, tetapi sekali gus menyelarnya, menunjukkan, entah berapa kali isu ini dibangkitkan, masyarakat masih tidak faham apa sebenarnya yang sedang berlaku di Malaysia.
Antara yang beliau nyatakan, menunjukkan bahasa Melayu di"ke mana-mana" buatnya:
1. Kenapa istilah-istilah seperti "cakera padat" dicipta (CD) yang menyusahkan pemikiran minda Melayu untuk menangkap maksud istilah tersebut.
2. Kenapa mengadakan istilah-istilah yang mengambil langsung daripada bahasa Inggeris, seperti "bajet".
3. Kenapa istilah, cogan kata, iklan yang salah di merata tempat di"kuat kuasakan" oleh pihak DBP?
Malah semua ini, beliau bicarakan dalam bahasa kolikual campuran Inggeris dan Melayu (saya boleh bayangkan jika kita belajar Mandarin dan Tamil, mungkin bahasa percakapan kita pun akan bercampur-baur terus dalam empat bahasa!) Sungguh kuatnya pengaruh Inggeris terhadap minda orang Melayu!
Darah saya menjadi panas pada waktu itu. Panas dan amat panas, saya terpaksa bersemangat Jebat pada pagi itu, dengan lantang dan perasaan membara untuk menjawab persoalan-persoalan itu yang buat saya, sudah banyak kali dinyatakan, terutamanya oleh Pn. Noresah Baharom, mantan Pengarah Jabatan Bahasa DBP, yang buat saya sudah menyatakan dengan kompreensif, tapi beginilah kira ceritanya. Masyarakat tetap bebal dan menyoal sekali lagi dan sekali lagi. Menyatakan kesalahan dan kerapuhan dan dan dan dan (mengambil semangai stilistik S. Othman Kelantan). Jelas sekali, jika soalan dan hal ini dilemparkan sekali lagi kepada saya, saya rasa malu untuk bekerja di tempat ini, kerana merasakan apa yang saya lakukan di sini tidak sampai dan tidak berhasil. Baik saya berhenti kerja sahaja, sebab, ya, organisasi ini bukan badan "khidmat masyarakat" per se tetapi badan perjuangan, terutamanya terhadap bahasa dan bangsa. Jika benar tidak nampak relevan dan peranannya, eloklah saya berhenti langsung kerana komen-komen klise ini sudah mencapai tahap yang amat menyakitkan.
Persoalan sebegini berlaku kerana satu sahaja, orang Melayu khususnya masih terbelenggu dengan segala yang "indah" dan "hebat" tentang bangsa lain, termasuk Inggeris, Cina, India dan kini Arab (walaupun adab orang Arab merupakan manusia paling kurang sopannya dalam dunia ini). Pak Cik saya sendiri menyatakan pengalamannya belajar bahasa Inggeris "cockney" dan betapa "bangga"nya beliau dengan bahasa Inggeris "membawanya pergi jauh". Jadi, jika kita boleh menyelusuri dan menyelami bahasa Inggeris dengan baik, kenapa susah sangat kita menyelami bahasa Melayu, membuka Kamus Dewan selalu dan menikmati kata-katanya yang indah? Inilah berlaku jika persoalan "cereka padat" yang buat saya sudahpun digunakan secara meluas masih "ditahan" di dalam minda, hanya kerana ego diri menyatakan "entah apa makna perkataan".
Mahu tidak mahu, kita perlu menyandang dan melihat keberkesanan nasionalisme dan sistem kebahasaan Indonesia yang dinamik dan teguh, walaupun sekarang kerajaan mereka cuba menyuntik para pelajarnya untuk berbahasa lebih daripada satu bahasa, seperti Mandarin dan Inggeris.
Pertamanya, bahasa pertuturan bagi kesemua etnik di Indonesia menggunakan bahasa Indonesia (iaitu bahasa Melayu, lihat, sekarang generasi mudanya sudah hilang sejarah dengan tidak mengiktiraf bahasa Melayu Riau sebagai ibu kepada penciptaan bahasa Indonesia), maka apabila satu-satu istilah yang diperkenalkan secara meluas oleh pihak media (ini termasuk singkatan!!) walau bagaimana peliknya istilah itu, atau dipinjam daripada Inggeris, secara majoritinya istilah itu akan dianggap sebagai "bahasa Indonesia" dan bukan "pelik" atau dipinjam, malah akan dimasyarakatkan secara meluas. Sila lihat apa yang berlaku di Malaysia, wujudnya dua kumpulan yang menyindir (orang kita tak habis-habis menyindir, sampai ke kubur kot mereka menyindir, termasuk Mungkar dan Nangkir mungkin) penggunaan peminjaman bahasa Inggeris/asing ke Melayu, malah ada yang menyatakan mereka "keliru" yang mana perlu dipakai.
Inilah masalah yang tercipta apabila Dr. Mahathir memperkenalkan perkataan "bajet" apabila perkataan "belanjawan" sudah sedia ada. Apabila pihak berkuasa memberi kata dua (contohnya, perkataan "glokal" oleh Najib), pihak kerajaan, termasuk DBP "terpaksa" mengikut kata, walaupun dalam senyap dan terang, kami masih menggunakan istilah yang sedia ada (contohnya kami masih menggunakan istilah Bahasa Melayu daripada Bahasa Malaysia kerana hal ini sudah termaktub dalam perlembagaan).
Sebenarnya, dengan wujudnya kepelbagaian, termasuk istilah-istilah, bukankah ini bagus? Akan teballah kosa kata kita (seperti mana bahasa Inggeris, bahasa lanun yang cepat meminjam istilah bangsa lain dan ini tidak disedari pun oleh pak cik saya yang gah dengan Inggerisnya), akan teballah tesaurus dan kayalah bahasa kita (walaupun dipinjam) dengan pelbagai kepenggunaan, selari dengan dimanisme manusia yang cepat menyerap dan mengubah cara ia melihat alam. Oleh sebab itu, DBP senantiasa mengambil jalan tengah dengan memberi laluan kepada perkataan sehodoh "bajet" ciptaan Mahathir untuk diserapkan dalam Dewan Kamus, kerana masyarakat pengipas belakang pemimpin pun (termasuk media perdana) menggunakan perkataan yang sama. Hal yang baharu jadi konsensus semua (maka bila turunnya Mahathir, baru ada suara yang hendak menyuarakan keabsahan ini dan menuduh ketidakkeprihatinan DBP "meminjam", betapa busuknya jati diri kita!)
Kemudian, kita juga diperkenalkan dengan kumpulan penulis Jalan Telawi, serta Frinjan yang dikemudi oleh Sufian Abbas dan Ruhayat X yang melihat perkembangan sastera dan bahasa Indonesia. Malah merekalah kumpulan pusat (antaranya) yang memperkenalkan istilah serta penggunaan terus perkataan Inggeris di dalam teks Melayu. Pembaharuan ini, ada yang menyokong, ada yang melihatnya sebagai satu "nafas baharu" dalam dunia kesusasteraan kita (tetapi perkembangan sebegini tidak disokong oleh Dewan Sastera), dan ada juga yang menyelarnya, tetapi pelik, mereka yang menghukumnya sekali lagi menyalahkan DBP kerana mencipta bahasa-bahasa sebegitu! Entah mana pula DBP terperosok dalam hal ini?
Memanglah saya sebagai pejuang bahasa tersinggung dengan penggunaan bahasa Inggeris yang leluasa dalam bahasa Melayu oleh mereka, tetapi saya melihatkan, jika mereka tiada, siapa lagi yang mahu memperjuangkan sastera dan bahasa kebangsaan, walau bagaimana "berbeza"nya bentuk dan sifatnya.
Malah saya percaya, orang seperti pak cik saya, serta mereka yang berada di dunia luar itu yang memandang serong terhadap DBP, tidak menjenguk pun buku dan majalah DBP yang dijual, tidak selongkar pun Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang sudah banyak menolong para penulis, editor, penterjermah dan wartawan dan tidak sedar pun dengan ucapan-ucapan Ketua Pengarah DBP setiap tahun.
Hal ini memaparkan, masyarakat kita, bukan sahaja membenci matapelajaran sejarah, tetapi memang tidak tahu akan sejarah mereka. Contohnya, apabila pak cik saya bertanya berkenaan penguatkuasaan bahasa (kita menjadi polis bahasa, begitu busuknya jati diri kita sehingga kita terpaksa depotismakan masyarakat kita untuk berbahasa kebangsaan!), tidakkah beliau tahu dengan perkembangan pihak atasan (luar DBP) yang masih menyemak dokument penguatkuasa yang sudah DBP sediakan? Tidakkah beliau tahu polemik yang masih berlaku antara bahasawan, cendiakawan serta ahli parlimen tentang perlu/tidak perlunya "polis bahasa"?
Saya sendiri merasa MALU kerana kita memerlukan "polis bahasa" untuk menyuruh/memaksa kita menggunakan bahasa yang betul sedangkan kita sendiri boleh tanamkan sikap untuk menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Tidakkah kita merasakan diri kita masih seperti anak-anak sekolah yang perlu dirotan oleh cikgu kerana berlari dalam kelas? Alangkah lemahnya jati diri kita. Saya malu dengan jiran kita seperti di Indonesia, Vietnam, Thailand, Jepun dan China yang tidak memerlukan polis untuk memusatkan diri mereka di dalam satu lagi "rejim" yang "menakut-nakutkan" masyarakat.
Patutlah sampai sekarang, kita tidak tahu beratur apabila naik bas. Patutlah. Mungkin kita masyarakat sadomachois, masyarakat yang ghairah dipukul dan ditampar untuk kepuasan.
Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober ini, saya mengesyorkan agar pejuang-pejuang bahasa sedikit bingit dan bingkas, keras terhadap pesalah bahasa. Jika Perdana Menteri kita sekali lagi merojakkan ucapannya, selar terus tanpa kemaafan, jika ada tokoh pemimpin yang mencampur-baurkan bahasa seperti makan tengah harinya, paksa dia makan ulam bahasa. Sesiapa yang di atas tidak perlu berdiam dan melihat sahaja kebiadaban para pemimpin merosakkan bahasa, dan takut untuk menegur kerana menjaga gaji (baca: perut), tidak usahlah merasa perlu duduk di atas kerusi yang penuh tanggungjawab perjuangan. Jika nasihat dan teguran sahajalah senjata bahawasan sekarang, maka nasihat dan teguranlah yang perlu dilempiaskan. Jangan sampai orang memperlekehkan lagi badan perjuangan yang tidak ada perjuangannya lagi.
Tuesday, May 11, 2010
Inilah Pusat Sehenti Zine Yang Masyhur! dan Bahasa Kebangsaan

Saya menjumpai sebuah blog yang amat-amat bermanfaat, menerjah segala kapitalis pembukuan negara sekarang, malah beberapa artikel di dalam zine-zine ini amatlah mengujakan! Semua zine boleh dimuat turun secara percuma, dan kualitinya tinggi (saiz muat turun agak tinggi). Bayangkan, Tuk Kenali pun ada zinenya yang tersendiri! Inilah subbudaya punk rock dan D.I.Y. yang menolak pengwujudan keuntungan dalam penyebaran ilmu. Semangat melampaui keuntungan kendiri kata mereka. Insya-Allah, saya akan bermohon kepada pihak berkenaan menolong saya mengeluarkan zine fiksyen sains yang saya tangani ini yang sudah lama tidak digerakkan kerana tidak ada yang sanggup menolong saya membuat "layout".. Barlah, cincai, asalkan ilmunya sampai!
Saya juga sedang membaca The Memoirs of Keris Mas: Spanning 30 Years of Literary Development. Buku ini terbitan DBP (boleh rujuk dan beli di sini), diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Shah Rezad Ibrahim dan Nor Azizah Abu Bakar. Secara umum, ini sebuah memoir tulisan sasterawan/tokoh Malaysia yang amat jujur dan telus, malah amat-amat ditulis dengan baik sekali, malah terjemahannya juga antara yang terbaik dari Melayu ke Inggeris. Saya kagum dengan penulisan Keris Mas ini yang menyusuri semangat yang baharu hendak dibina berkenaan bahasa, sastera, penerbitan dan kewartawanan (yang kita boleh panggil pesuratan) Melayu dan umumnya Malaysia. Syabas juga buat DBP kerana buku ini membuka banyak mata kerana mengupas isu politik dan sastera dengan pandangan tanpa prejudis penulisnya, sesuatu yang kita takkan jumpa dalam memoir dan autobiografi tokoh-tokoh politik (yang ada juga saya tak kenal siapa, dan tak peduli jika ia mempunyai halaman menanam orkid di rumah atau pandai bersukan jetski di sungai) dan menteri yang bersepah di kedai buku (yang saya tidak tahu, siapa sahaja yang membelinya). Inilah sebuah buku memoir/sejarah peribadi/biografi "dari hati", dan bukan sebuah buku menggunakan tenaga penulis lain menulis sepertimana yang saya dapati dibikin untuk beberapa tokoh politik. Saya masih di halaman 76 dan saya tidak lagi membuka buku lain (ini petanda baik, ini bermakna buku ini jenis buku "telak halaman" atau "page turner"). Satu sedutan yang menarik yang saya baca, mungkin boleh dikongsi di sini sebagai satu hal yang boleh diiktibarkan:
"Looking Back, we can now say that the Malay language did become the political foundation of this independent nation as demanded by the leftwing Malay group, PUTRA, accepted by the non-Malay group, AMCJA, and included in the draft of the People's Constitution which was tendered to the British as a counter-proposal to the Federal Constitution compiled by a working committee set up by the British and UMNO to replace the Malayan Union. And as we know, the People's Constitution was rejected outright. It was the Federal Constitution of Malaya by which Malaya returned to its status quo before the war that was accepted by the British to fulfill the peoples' demand to reject the Malayan Union."
Sunday, April 11, 2010
Laman Blog Jurnal DBP
(jurnal sastera Melayu dengan kumpulan makalah,
ditiadakan lagi karya-karya terjemahan)
dan
http://jurnalbahasa.wordpress.com/
(jurnal bahasa dengan pengkajian lingusitik, khususnya
bahasa Melayu)
Layarilah!
Wednesday, July 8, 2009
PPSMI Dimansuhkan, Alhamdulillah
08/07/2009 4:05pm
PUTRAJAYA 8 Julai — Kerajaan hari ini memutuskan agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia (BM) dimartabatkan dan Bahasa Inggeris (BI) dimantapkan di semua peringkat persekolahan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sehubungan itu Kementerian Pelajaran akan melaksanakan beberapa langkah untuk memantapkan penguasaan kedua-dua bahasa itu.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia, kementerian akan melaksanakan transformasi kurikulum mata pelajaran itu di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa.
“Ia akan dilaksanakan di kalangan murid melalui pendekatan modular bersepadu, seimbang dan holistik. Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis, serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.
“Pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa diberi penekanan dalam kurikulum BM sekolah rendah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
— BERNAMA
Sains, Matematik dalam bahasa Melayu mulai 2012
08/07/2009 2:50pm
PUTRAJAYA 8 Julai - Matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan kebangsaan akan diajar dalam bahasa Melayu berkuatkuasa pada 2012.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan Kabinet itu berkata, pengajaran dan pembelajaran kedua-dua matapelajaran itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan juga memutuskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan.
Katanya, pelaksanaan bermula secara bertahap iaitu bagi tahun satu, tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat.
Perubahan dasar itu bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi.
- Utusan
Sunday, June 21, 2009
Mampukah Kita 1 Malaysia?
Tuesday, March 10, 2009
Malam Bahasaku Gemilang SMK Sering Kelantan
Saturday, December 13, 2008
Bagaimana Mahu Mengajar Orang Berbahasa Melayu
Y: Maaf cik, sila guna bahasa kebangsaan kita ...
X: Er, but I only know a few words.
Y: (oh, dia pendatang).
Ya, kita sendiri pendatang jika kita tidak boleh berbahasa Melayu dengan betul...
lihat: http://deminegara.blogspot.com/2008/11/racial-polarisation-and-forging-of.html
Wednesday, October 29, 2008
BBSN Sabah: Gambar dalam Kronologi
Thursday, January 17, 2008
Bahasa: Ke mana kita?
Dan peningkatan prestasi ini termasuk dalam mata pelajaran Sains dan Matematik yang para pelajarnya telah melalui proses pembelajaran dalam bahasa Inggeris mulai tingkatan satu.
Tetapi kita sedia maklum bahawa mereka juga mengikuti pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dalam bahasa Melayu. Justeru Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd. Dom membuat kesimpulan bahawa ia adalah kejayaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Kesimpulan yang mudah ialah PPSMI tidak membawa kepada kemerosotan prestasi para pelajarnya. Maka ia boleh diteruskan sama ada dalam bahasa Inggeris sahaja atau dalam dwibahasa?
Namun, statistik kejayaan ini perlu dilihat secara lebih dekat manakala latar belakang para pelajar ini juga perlu dikenali.
Hakikatnya ialah 65 peratus pelajar yang menduduki PMR 2007 menjawab soalan dalam bahasa Melayu dan 33.1 peratus menjawab soalan campuran Melayu dan Inggeris. Cuma 21.5 peratus sahaja bilangan pelajar yang menjawab soalan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.
Jika andaian saya ini benar bahawa pelajar ini telah mengikuti pembelajaran sekolah rendahnya dalam bahasa Melayu termasuk mata pelajaran Sains dan Matematik, ternyata majoriti mereka masih selesa dan mudah dari segi pemahaman untuk menjawabnya dalam bahasa Melayu.
Cuma 21.5 peratus (kurang daripada 1/4) berasa selesa menjawabnya dalam bahasa Inggeris. Begitu juga calon-calon SPM tahun lalu (2007) mereka keseluruhannya mengikuti pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan dan bukannya PPSMI di peringkat sekolah rendah. Prestasi mereka sedang kita nantikan.
Penguasaan bahasa Inggeris juga dikatakan meningkat sedikit dari 71.4 peratus memperoleh gred A, B, C, D, E tahun lalu (2006) kepada 72.5 peratus tahun ini tetapi di bawah prestasi tahun 2005, iaitu 73.8 peratus.
Mungkinkah kesimpulannya ialah pengenalan PPSMI di peringkat menengah rendah (mulai tingkatan 1) tidak menurunkan prestasi penguasaan pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik tetapi tidak juga meningkatkan penguasaan mereka terhadap bahasa Inggeris secara ketara?
Bagi pakar bahasa yang arif dalam bidang ini, kemahiran para pelajar dalam Sains dan Matematik itu disebabkan oleh pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik yang mereka ikuti selama enam tahun dalam bahasa kebangsaan di peringkat sekolah rendah. Masa enam tahun telah memberi mereka keterampilan berfikir secara saintifik dan ini lebih tinggi bagi mereka yang mengikuti pembelajaran asas itu dalam bahasa ibunda atau bahasa nasional sesebuah negara berbanding jika mereka mempelajarinya dalam bahasa kedua seperti bahasa Inggeris.
Perkara ini juga menjelaskan kenapa masyarakat Cina menolak pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tetapi kekal mengajarnya dalam bahasa Cina kerana mereka mendengar pendapat pakar dalam bidang berkenaan bahawa keterampilan (skill) dalam bidang Sains dan Matematik itu lebih mudah diperoleh melalui bahasa ibunda atau bahasa pertama. Keterampilannya akan menurun jika kita mempelajarinya melalui bahasa kedua seperti bahasa Inggeris, kecuali bagi mereka yang sejak zaman bayi dan setiap hari bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah, dianggarkan meliputi sekadar 0.001 peratus sahaja penduduk Malaysia.
Saya teringat nama seorang pakar neuropsikolinguistik abad ke-19 dari Jerman, Profesor Leibniz yang mengemukakan penemuan kajian saintifik beliau bahawa otak seseorang itu (sebelah kanan) lebih mudah dan cekap menyerap apa saja ilmu jika ia dipelajari melalui bahasa pertama atau bahasa ibunda kerana jika dipelajari melalui bahasa kedua (otak sebelah kiri) ia memerlukan proses penterjemahan dan akan menjadi lambat dan kecekapannya menurun sedikit. Di atas prinsip ini juga, Jerman yang pada asalnya menggunakan bahasa Inggeris yang dikatakan lebih maju pada ketika itu menukar haluan kembali menggunakan bahasa nasional Jerman untuk tujuan pembelajaran, dan negara itu meningkat maju berkali ganda dalam bidang sains dan inovasi.
Ini juga berlaku pada Perancis yang pada mulanya menggunakan bahasa Inggeris dan Jepun menggunakan bahasa Rusia yang merupakan bahasa kemajuan pada abad ke-17, 18 tetapi kemudian kembali menggunakan bahasa asal mereka yang terbukti berjaya membawa kemajuan kepada negara-negara berkenaan.
Malaysia untuk selama 14 tahun pertama setelah mencapai kemerdekaan (1957-1971) menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu (dua aliran) bagi tujuan pembelajaran. Pada waktu itu, sehingga 1969 kita mempunyai cuma sebuah universiti. Apabila memasuki era Tun Razak di mana DEB diperkenalkan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan dalam aliran Melayu dilaksanakan, bilangan institusi pendidikan tinggi awam bertambah satu demi satu, kini melebihi dua puluh buah.
Juga, belum terdengar cerita ribuan pelajar kita yang dihantar ke luar negara mengikuti pelbagai jurusan di peringkat ijazah pertama. Sarjana dan doktor falsafah dikatakan tidak berkemampuan, tidak pandai, atau sepertinya kerana mereka mengikuti ilmu Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Malah kenyataan adalah di sebaliknya.
Kemungkinannya, sebagai jalan tengah, sistem pendidikan kita akan mempunyai dua aliran. Di peringkat sekolah rendah bagi sekolah kebangsaan, Sains dan Matematik diajar dalam bahasa kebangsaan kerana kecekapan minda dan berfikiran saintifik lebih mudah diasah dan diperoleh melalui bahasa pertama. Bahasa Inggeris diajar sebagai satu mata pelajaran wajib untuk memberi pendedahan awal dan memperkenalkan prinsip-prinsip asas. Kaedah pembelajarannya mestilah mesra pelajar dan penuh ceria.
Hanya pada peringkat menengah, boleh dilakukan peralihan sebahagian mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris bagi tujuan peningkatan penguasaan terhadap bahasa Inggeris. Juga bahasa Inggeris harus diutamakan dalam kegiatan kokurikulum.
Apakah di peringkat menengah dan universiti, mata pelajaran Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa Inggeris atau kekal dalam bahasa Melayu seperti dalam era 1971 – 2002 masih boleh diperdebatkan. Kalau PPSMI bertujuan untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris, itu bukan cara penyelesaian yang bijak dan belum boleh dibuktikan.
Beberapa orang sarjana dalam bidang Sains dan Matematik di UKM pernah memberi pendapat bahawa hampir semua para pemenang Hadiah Nobel kajian Sains, Matematik dan Fizik adalah mereka yang membuat penyelidikan dan menulis dalam bahasa utama negara itu sendiri dan bukannya dalam bahasa asing. Jadinya, ke mana kita?
– DATUK DR. WAN HASHIM WAN TEH,
Gerik.



