Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |
Showing posts with label Keris Mas. Show all posts
Showing posts with label Keris Mas. Show all posts

Sunday, June 13, 2010

4 Buku: 3 Novel Grafik, 1 Memoir


Tajuk: Scary Ever After
Oleh: John Ho
Terbitan: MPH
Tahun: 2009

Sinopsis:
Himpunan beberapa cerita seram yang dipersembahkan dalam bentuk komik, menjalinkan hantu barat yang menyeramkan dalam latas dan watak Malaysiana.

Rasa:
Buku ini antara novel grafik yang memenangi anugerah Pekomik tahun ini, termasuk skrip komik terbaik. Sememangnya suau inovasi dan kreativiti yang baik oleh penulis, pencipta merangkap ilustrator komik ini, mengambil teknik menggambarkan atau melakarkan model sebenar (kawan-kawan penulis) lalu di"lakar"kan di dalam latar seram yang penuh mengujakan. Secara keseluruhan, cerita seram pemberian John Ho, walaupun tipikal Barat, mempunyai kejutan dan lencongannya yang tersendiri, membuatkan ceritanya menarik untuk disirikan dalam mana-mana rancangan drama seram. Strok dan sudut gambarannya jelas memaparkan kefahaman penulis memahami bagaimana mencipta suspens dan kelangsungan drama yang baik dalam imbangan imej, aksi dan teks. Antara yang menjadi kegemaran saya merupakan cerita pertama tentang "bulatan" (mengambil idea yang ketara dalam Twilight Zone atau mana-mana Seram-J) serta serigala jadian. Tetap, John Ho tahu menakutkan pembaca bila perlu. Satu projek khusus buat peminat seram pelbagai genre.


Tajuk: La Perdida
Oleh: Jessica Abel
Terbitan: Pantheon Books
Tahun: 2008

Sinopsis:
Carla, seorang wanita Amerika kacukan Latin-Mexico ingin mencari jati dirinya, mengambil pilihan berpindah ke bandar Mexico. Di situ, Carla bertemu kembali dengan bekas teman lelakinya dan mula membuat apa yang dia ingin buat sewaktu sampai, menjelajah jiwa Mexico supaya dia dapat menjumpai jiwa sebenarnya. Lalu bertemulah Carla dengan Memo, seorang ahli revolusi dan Oskar, seorang DJ Mat Jenin.

Rasa:
Saya menunggu untuk novel grafik kita memberi sesuatu yang sedalam dan seserius novel grafik ini. Setakat ini, saya hanya menjumpai Begitu Indah. Ceritanya berkenaan dengan pencarian identiti, dan bagaimana dalam pencarian itu, seseorang (di sini Carla) perlu memahami bahawa hasil dalam pencarian tidak boleh dibentuk atau dipengaruh, tetapi diberi nafas untuk mencari bentuknya sendiri. Di sini yang menarik tentang novel grafik ini, di mana kita sudah menyedari "kesilapan" Carla, tetapi bagaimana kesilapan ini memberi satu identiti yang semestinya menarik, sebagai seorang yang luar (terasing) daripada masyarakat itu, memberi refeksi tersendiri terhadap masyarakat itu tanpa prejudis, walaupun menyedari masyarakat itu tidak akan menerimanya. Ini satu persoalan yang kompleks, dan buat saya amat diteliti dan ditelaah oleh Abel dengan jayanya. Gambaran Mexico City juga berjaya dihidupkan dengan makna serta berfungsi terhadap cerita, malah strok dan ruang serta watak Abel hidup dalam pemahaman lakar yang mewujudkan perasaan rapuh dalam keindahannya. Suatu kisah yang menggugat anda untuk mencari kepastian diri, dan sekali gus menyoalnya.


Tajuk: MW
Oleh: Osamu Tezuka
Terbitan: Vertical Inc.
Tahun: 2007

Sinopsis:
Paderi Garai mengenal seorang pembunuh psikaotik, Michio Yuki, bertahun lamanya sewaktu mereka terdampar di sebuah pulau yang mana, berlaku satu tragedi yang telah membunuh keseluruhan penduduk di pulau itu kecuali mereka berdua. Tetapi bukan itu sahaja perhubungan Garai dan Michio. Mereka berdua juga adalah kekasih.

Rasa:
Osamu Tezuka seorang yang selalu mengejutkan saya. Kali ini, Osamu melakukan sesuatu yang saya ingatkan beliau tidak akan sanggup, kerana jiwa Osamu amat dekat terhadap kecintaannya terhadap manusiawi. Osamu memberi kita sebuah kisah ngeri dan seram yang amat-amat mengejutkan, membuat saya terfikir adakah ini benar-benar kerja Osamu? Sememangnya ceritanya sendiri hiperbola tetapi amat menarik untuk sesiapa yang sudah mengenali gaya Osamu. Hanya, ada beberapa persoalan dan kesengajaan daripada pihak Osamu yang menyebabkan kekuatan cerita novle grafik ini dipersoalkan, dan ini berlaku pada tiga bab terakhir buku ini apabila, kita melihat semacam Osamu mahu mempercepatkan cerita, memberi kita bebebrapa eksposisi yang sememangnya susah untuk diambil logiknya, ia kelihatan terburu-buru dan dibuat-buat. Ini menghilangkan kuasa komik ini malah mengeluarkannya daripada dipanggil sebagai sebuah adikarya. Pun begitu, tema dan isu yang disentuh oleh Osamu tetap berani, malah beberapa adegan dalalm komik ini masih revelan sebagai rujukan zaman.

Tajuk: The Memoirs of Keris Mas: Spanning 30 Years of Literary Development
(terjemahan Memoir Keris Mas: 30 Tahun Sekitar Sastera)
Oleh: Keris Mas (diterjemah oleh Shah Rezad Ibrahim dan Nor Azizah Abu Bakar)
Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2004 (Cetakan Asal- 1979)

Sinopsis:
Keris Mas. Sasterawan Negara. Editor. Wartawan. Pejuang. Buku ini membawa kita mengenali isi hati Keris Mas, yang mewarnakan marak api perjuangan bahasa dalam proses kemerdekaan, dan kemudiannya waktu-waktu Dewan Bahasa dalam kegemilangannya. Keris Mas menunjukkan: Kuala Lumpur, sastera dan bahasa, seperti Rum, ia tidak terbina dalam satu hari.

Rasa:
Saya mengucapkan tahniah kepada DBP kerana menerbitkan sebuah buku yang amat bermutu dan penting ini. Kepentingannya bukan sahaja dalam mengetahui perkembangan (dahulu dan kemudian melihat pada pemerhatian sekarang) sastera dan bahasa kebangsaan kita, tetapi "dosa" yang telah dilakukan oleh pejuang sastera dan bahasa kita (ini berkenaan dengan penggunaan rumi melangkau kepentingan jawi). Keris Mas, menulis semua ini tanpa apa-apa halangan dan kepentingan. Memoir ini juga sebuah singkatan legasi terhadap Utusan, Asas 50, dan DBP, antara agen dan badan pada zaman itu (dan sekarang?) dalam memperjuangkan kerelevan dan kelangsungan untuk bahasa Melayu terjamin dalam tanah Malaysia yang merdeka.

Buku terjemahan ini juga diterjemah dengan amat berkesan sekali oleh Shah Rezad dan Nor Azizah, memberi "bahasa kebangsaan" kita dengan nafas yang dekat dengan jiwa Keris Mas dengan tahap sofistikatednya yang tersendiri, sesuai dengan bahasanya. Saya menyukai cara Keris Mas membuka kisah memoirnya, kerana beliau bersikap "peribadi", dan ini membawa kepada rasa "empati" kita kepada Keris Mas, satu-satunya memoir yang jarang ditulis oleh penulis kita tetapi biasa dalam memoir penulis Barat. Dan dalam hal peribadi inilah, Keris Mas merangkanya sebagai satu perjuangan individu yang berkobar untuk melihat bahasa dan sasteranya terjamin dan ketidaktentuan negaranya yang waktu itu pada ambang kemerdekaan. Malah, dengan jati diri ini, saya benar-benar memahami tujuan jujur seorang pejuang bahasa dan sastera pada zaman dahulu (lantas menyedihkan saya melihat bagaimana terpesongnya sikap persatuan seperti GAPENA sekarang berjuang atas landasan ini sekarang), dna bagaimana DBP dibentuk (dengan pelbagai kesusahan), menjadi suatu badan yang bebas dan tersendiri untuk mencitrakan bahasa dan kesusasteraan nasional. Bab-bab akhir memoir ini sedikit melemaskan kerana Keris Mas banyak mempamerkan polisi serta gerak kerja yang agak teknikal, tidak memberi suara peribadinya yang saya rindui. Tetapi secara keseluruhannya, buku ini satu buku yang penting, khusus dna perlu dibaca oleh mana-mana pemimpin DBP yang ingin mengenali kenapa DBP pada zaman dahulu disegani, dan kenapa DBP sekarang amat tidak dikenali.

Tuesday, May 11, 2010

Inilah Pusat Sehenti Zine Yang Masyhur! dan Bahasa Kebangsaan


Saya menjumpai sebuah blog yang amat-amat bermanfaat, menerjah segala kapitalis pembukuan negara sekarang, malah beberapa artikel di dalam zine-zine ini amatlah mengujakan! Semua zine boleh dimuat turun secara percuma, dan kualitinya tinggi (saiz muat turun agak tinggi). Bayangkan, Tuk Kenali pun ada zinenya yang tersendiri! Inilah subbudaya punk rock dan D.I.Y. yang menolak pengwujudan keuntungan dalam penyebaran ilmu. Semangat melampaui keuntungan kendiri kata mereka. Insya-Allah, saya akan bermohon kepada pihak berkenaan menolong saya mengeluarkan zine fiksyen sains yang saya tangani ini yang sudah lama tidak digerakkan kerana tidak ada yang sanggup menolong saya membuat "layout".. Barlah, cincai, asalkan ilmunya sampai!

Sila lihat blog yang hebat itu di sini.

Saya juga sedang membaca The Memoirs of Keris Mas: Spanning 30 Years of Literary Development. Buku ini terbitan DBP (boleh rujuk dan beli di sini), diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Shah Rezad Ibrahim dan Nor Azizah Abu Bakar. Secara umum, ini sebuah memoir tulisan sasterawan/tokoh Malaysia yang amat jujur dan telus, malah amat-amat ditulis dengan baik sekali, malah terjemahannya juga antara yang terbaik dari Melayu ke Inggeris. Saya kagum dengan penulisan Keris Mas ini yang menyusuri semangat yang baharu hendak dibina berkenaan bahasa, sastera, penerbitan dan kewartawanan (yang kita boleh panggil pesuratan) Melayu dan umumnya Malaysia. Syabas juga buat DBP kerana buku ini membuka banyak mata kerana mengupas isu politik dan sastera dengan pandangan tanpa prejudis penulisnya, sesuatu yang kita takkan jumpa dalam memoir dan autobiografi tokoh-tokoh politik (yang ada juga saya tak kenal siapa, dan tak peduli jika ia mempunyai halaman menanam orkid di rumah atau pandai bersukan jetski di sungai) dan menteri yang bersepah di kedai buku (yang saya tidak tahu, siapa sahaja yang membelinya). Inilah sebuah buku memoir/sejarah peribadi/biografi "dari hati", dan bukan sebuah buku menggunakan tenaga penulis lain menulis sepertimana yang saya dapati dibikin untuk beberapa tokoh politik. Saya masih di halaman 76 dan saya tidak lagi membuka buku lain (ini petanda baik, ini bermakna buku ini jenis buku "telak halaman" atau "page turner"). Satu sedutan yang menarik yang saya baca, mungkin boleh dikongsi di sini sebagai satu hal yang boleh diiktibarkan:

"Looking Back, we can now say that the Malay language did become the political foundation of this independent nation as demanded by the leftwing Malay group, PUTRA, accepted by the non-Malay group, AMCJA, and included in the draft of the People's Constitution which was tendered to the British as a counter-proposal to the Federal Constitution compiled by a working committee set up by the British and UMNO to replace the Malayan Union. And as we know, the People's Constitution was rejected outright. It was the Federal Constitution of Malaya by which Malaya returned to its status quo before the war that was accepted by the British to fulfill the peoples' demand to reject the Malayan Union."
(The Memoirs of Keris Mas, hlm. 75)