Rasa:
Diperkenalkan, Prof. Dr. Solehah Yaacob (UIA), pengarang buku yang melakukan "huraian lengkap secara analitis dan krits", Revolusi Bahasa dan Asas Tamadun.
Setelah menghabiskannya, saya boleh nyatakan terdapat keberanian dan pembaharuan segar yang ingin dibawa oleh Solehah, melalui ilmu bahasa, linguistik dan falsafah Arab-Islam yang beliau tekuni sejak berdekad, akan menemukan asal usul bahasa Arab (atau lebih tepat, betapa bahasa Arab itu sudah melestari lama, sejak zaman Tamadun Awal dunia), yang disalah tanggap oleh para orientalis sebagai "muncul 200 tahun sebelum kemunculan Rasulullah SAW".
Hal ini sendiri "revolusioner" kerana setakat ini, betapa kurangnya kalangan ilmuwan Islam kontemporari sendiri yang melakukan kajian ini, malah ada yang mengikut rentak kajian para orientalis Barat terhadap kesahihan sejarah kemunculan bahasa Arab di benua keluarga bahasa Semitik (Sam bin Nuh a.s.), yakni di kawasan Arab-Timur Tengah dan sekitarnya, yang disebut-sebut sebagai "buaian bagi tamadun manusia" (cradle of civilization).
Yang paling impresif adalah bagaimana pengarang meneliti dengan payah dan mendalam sekali akan bahasa-bahasa purba (kuno) Semitik dan simbol hurufnya, yang sudah pun tidak digunakan lagi di benua kemunculan tamadun ini, yakni bahasa Akkadiah (Mismariyyah, berbentuk paku), bahasa Sumeria (yang disalah tanggap sebagai bahasa Indo-Eopah oleh orientalis Barat), bahasa Kan'an (Canaan), bahasa Phoenicia, bahasa Keftiu (bahasa purba Mesir yang sebenarnya banyak menyerap bahasa Kan'an) dan bahasa Aramaik. Dalam silang bahasa-bahasa purba ini, Solehah berhujah bahawa bahasa Akkadi merupakan bahasa proto-Arab, dan mempunyai perkembangannya (bagaimana bahasa kitab-kitab nabi-nabi lain menggunakan bahasa seterusnya, mengikut adat bahasa dan budaya sekelilingnya) dan akhirnya membentuk, lisan dan huruf yang kita kenali dalam Arab Fushah ini, suatu bahasa yang sangat dilestari, terjaga dan terkawal kerosakannya berabad lamanya. Hal ini dibuktikan dengan meneliti beberapa kajian para penyelidik Bible Barat (para evengelis), beberapa batu bersurat kuno, termasuk Kod Hammurabi dan Puisi Epik Gilgamesh (yang jauh lebih mudah diterjemahkan kepada Arab kerana persamaan tatabahasa dan struktur!), salasilah/riwayat nabi-nabi dan keturunan Nabi Nuh a.s., rujukan ayat al-Quran dan petikan hadis, serta beberapa pandangannya terhadap bahasa sebenar yang tertulis dalam kitab-kitab suci nabi awal seperti Zabur dan Injil (yang masih menjadi pertelingkahan dalam dunia penyelidikan Ibrani-Kristian).
Dengan kontroversi juga, beliau cuba menelaah kebenaran "asal usul" bahasa Ibrani/Hebrew, bahasa nasional dan agama-kitab agama Yahudi yang diangkat oleh para orientalis sebagai bahasa purba Semitik (yang turut dipersetujui oleh ulama Islam tanpa disedari) yang juga menjadi persoalan terhadap kesahihan daulat Yahudi di tanah air Palestin.
Hal ini yang menjadi sedikit kegusaran apabila meneliti bacaan buku ini. Walaupun ada perkaitan, dan ada keperluan Solehah memperkenalkan beberapa bab dan tema baharu (khususnya hal di atas, dan bab kecil tentang Rasulullah SAW, contohnya), satu ikatan wacana yang menyatu kurang nampak, malah kelihatan terpecah-pecah. Malah, apabila Solehah memilih untuk membangunkan beberapa nama pendakwah dan penulis buku yang lebih "popular", sedikit "sensasi" dalam dunia penulisan daripada ilmiah, seperti Harun Yahya, saya kurang pasti jika hujah dan penelitiannya menjadi "absah". Contohnya, dalam satu bab kecil, beliau meletakkan kesemua "petikan-petikan" tentang kebesaran Rasulullah SAW (Solehah menampakkan kebesaran Rasulullah SAW sebagai ulul-azmi dan pengakhir segala pesuruh Allah yang sahih) dalam kaca mata penulis dan pemikir Barat dan bukan Islam. Kita sedia tahu maksud ini, tapi bagi tiga-empat halaman penuh dalam persoalan buku yang membincangkan tentang sejarah bahasa dan tamadun awal, untuk apa? Satu lagi, adalah kontroversi Injil Barnabas yang masih dianggap oleh penyelidik Barat sebagai tidak konklusif, malah menuduhnya palsu. Walaupun kita boleh menyokong bahawa kemungkinan injil ini "benar" dan "sahih" daripada Isa ibnu Maryam a.s. namun, terdapat banyak penyelidikan dan kritikan para ilmuwan Krisitian dan Barat yang menolak kesahihan buku ini. Sekurang-kurangnya lebih adil jika Solehah mampu menyampaikan hal ini, dengan objektif, pandangan kedua-dua belah pihak, dan jika beliau mempunyai hujah kukuh kesahihan buku ini, bolehlah disangkal pandangan Barat tersebut (Barat berhujah bahawa teks asal injil tersebut dalam bahasa Itali, menolak kitab ini sebagai kitab asal, apatah lagi mengikat hujah Solehah sendiri bahawa injil asal berkemungkinan berbahasa Armaik).
Jadi, saya anggap, dengan beberapa tema-tema kecil ini (yang saya anggap merupakan suatu subjudul pengenalan bagi mereka yang tidak kenal akan hal-hal yang diketengahkan oleh Solehah) masih belum menghilangkan mauduk asal Solehah yang memperkuatkan hujahnya tentang perjalanan bahasa Arab yang panjang dan lestari, yang, mahu tidak mahu, terikat sedari awal Nabi Adam a.s., Nabi Ibrahim a.s., khususnya Nabi Ismail a.s. yang menjadi antara pembawa bahasa Arab (Nabi Ismail dikatakan melestarikan bahasa Arab atas hidupnya di Mekkah dan mengurangkan bahasa ayahnya, iaitu bahasa Akkadi dari Babylon) yang kemudian menjadi semulia-mulia bahasa apabila Allah turunkan wahyu kepada Muhammad SAW menjadi suatu bahasa yang begitu mendalam, puitis dan berlapis, mengalahkan bahasa Armaik, bahasa tradisi orang Yahudi dan era Nabi Isa a.s. Hal ini diperkuatkan lagi bagaimana bahasa Arab telah berkembang dengan baik, dan indah, menurut "revolusi bahasa" ciptaan Solehah setentunya, bahawa "sesebuah tulisan dalam setiap bahasa boleh berevolusi, iaitu mengalami perubahan bentuk tulisan berdasarkan pemikiran sesuatu bangsa yang bergantung pada pengaruh persekitaran." (hlm. 282)
Dengan hal ini sahaja, Solehah menunjukkan bagaimana bahasa al-Quran, Arab Fushah itu, merupakan senjata pemikiran anugerah terbesar yang diturunkan Tuhan kepada umat manusia, menjadi asas kukuh pembinaan dan pencahayaan suatu peradaban, yang mengikat, terus-menerus, manusianya, kembali pada Tuhan, dan potensi akliahnya.
Suatu revolusi setentunya.
ps: Saya fikir elok kiranya DBP mencari laluan agar buku ini juga diterbitkan dalam bahasa Arab, dan dipasarkan di negara-negara Arab. Memandangkan persoalan yang dibawa oleh Solehah juga terlepas pandang oleh kebanyakan pemikir dan ilmuwan Arab, lebih-lebih lagi peneliti bahasa Arab dan sejarah awal. Saya mendapat idea ini daripada seorang rakan yang mengatakan, memang, tidak ada buku terjemahan Arab karya Prof. Muhammad Naguib al-Attas (atau termasuk murid-muridnya, seperti Prof Wan Mohd Nor Wan Daud), sedangkan katanya, buah pemikiran itulah yang sebenarnya dicari-cari oleh sarjana di Benua Arab, walaupun ada beberapa tokoh yang sehebat pemikiran tokoh besar itu. Mungkin ini adalah salah satu cara jambatan kita, alam Melayu untuk diikat dengan alam Arab, melalui pemikir-pemikir kita sebegini yang bertindak di luar kotak, dan menyimpan mutiara yang seeloknya dicungkil dari laut dalam.
1 comment:
Suatu pandangan dan kritikan yang sangat baik daripada saudara. Saya fikir DBP perlu melihat pandangan saudara agar buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Arab sebagai suatu yang bersifat positif sesuai dengan usaha untuk memperkasakan DBP. Selain itu ini juga sebagai usaha untuk memastikan ilmuan kita juga dapat diterima buah fikiran mereka oleh para cendekia dunia.
Post a Comment