Saya menemui rakaman dokumentari/vlog/konfesi menarik daripada Reza Ali, anak pengarang/dramatis yang besar tetapi kurang diperkatakan dalam ruang arus perdana, Allahyarham Ali Aziz. Rakaman anaknya ini amat berharga kerana memberi nilai dalam membuka lagi persoalan keseriusan kraf yang dihasilkan pada era Studio Jalan Ampas (dalam hal ini, di bawah Film Cathay-Keris) atau dikenali sebagai Era Keemasan Filem Melayu. Setakat ini, tulisan berkenaan Ali Aziz, pengarang berjiwa sasterawan ini mungkin kurang didokumentasikan (adakah kehadirannya didokumentasikan dalam buku biografi penulis Wajah terbitan DBP atau mana-mana senarai pengarang di Singapura?), malah hanya cebisan-cebisan tulisan yang ditemui oleh pengkaji dokumentasi sejarah filem Melayu, Hidir Ali Razali (penulis buku esei filem Di Sebalik Tirai Layar) dan Mohd Danial Abd Aziz, yang banyak menampilkan penyelidikan dokumentasi mereka dalam kumpulan Facebook, Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik.
Tulisan Hidir berkenaan Ali Aziz boleh dibaca di sini (https://www.facebook.com/groups/618366794950888/permalink/1585967358190822/) dengan judul “Hang Jebat Pelaku Terajidi. Siapa Ali Aziz?” (terbit 24 Januari 2018) manakala tulisan Mohd Danial di sini (https://www.facebook.com/groups/618366794950888/permalink/2059904834130403) dengan judul “Ali Aziz: Legenda yang Tidak Didendangkan” (terbit 19 Januari 2019).
Dalam hal ini, Reza Ali menambah beberapa hal yang menarik berkenaan arwah ayahnya. Ali Aziz merupakan pelajar Sarjana Muda Universiti Malaya dalam Kesusasteraan Inggeris (dan bukan dalam Kesusasteraan Melayu seperti yang dinyatakan oleh Mohd Danial di atas) dan seorang pencinta-pengkagum William Shakespeare, pujangga sastera Inggeris paling tersohor. Dalam keintiman dan kefahaman Ali Aziz dalam drama-drama Shakepearelah, beliau menghasilkan beberapa teks drama(!), dan karya sulungnya ialah Hang Jebat Menderhaka: Suatu Tragedi (MPH, 1960). Karya inilah (yang saya anggap masih dalam bentuk manuskrip skrip dramanya, yakni belum terbit di mana-mana) yang tiba ke tangan Hussain Haniff (hal ini boleh dibaca dalam kupasan Hidir di atas) lalu dijadikan filem oleh Hussain melalui Cathay-Keris, Hang Jebat (1961). Lihat rakaman Reza itu dan beliau akan “memperkenalkan” karya ayahnya bahawa tema-tema Shakespeare jelas tersemat di dalamnya. Beliau tidak menyatakan hal yang biasa didengar (walaupun inilah yang paling popular, seperti yang dipetik daripada kritikan Mana Sikana), yakni mengaitkan karya Ali Aziz dengan pengaruh ASAS50 dan semangat “Seni untuk Masyarakat”, lantas mengaitkan karya Ali Aziz sebagai satu karya “realisme sosialis” (hal ini berkaitan dengan pilihan Ali mengangkat citra Hang Jebat sebagai tokoh protagonis), tetapi, dengan tradisi dan kefahaman mendalam Ali Aziz (serta Reza yang memahaminya) menyatakan bahawa karya sulung ayahnya juga bertemakan “unsettling of nature” (hakikat alam yang tidak mampu dijangka), “men’s destiny” (perjalanan nasib manusia), dan konflik dalam peribadi insan. Kenyataan Reza ini penting kerana terdapat beberapa mitos yang mengelilingi filem sulung Hussain Haniff ini. Ya, kemungkinan memang Hussain juga mengambil estetika dan semangat pentas bangsawan demi merealisasikan Hang Jebat (terdapat karya bangsawan yang juga mengadaptasi karya Shakespeare), tetapi sumber utama filem sulungnya itu ialah karya teks drama Ali Aziz, “Hang Jebat Menderhaka” (yang merupakan sebuah drama lima babak) yang jelas mengimbau dan menturuti kesan-kesan estetika, bahasa dan gaya Shakespeare. Kejelasan ini malah tampil dalam pilihan Ali memanggil karyanya sebagai “Hang Jebat Menderhaka: Suatu Tragedi” yang menyerupai judul drama pentas tokoh idamannya, The Tragedy of Macbeth atau The Tragedy of Hamlet, Prince of Denmark. Malah, karya-karya Ali Aziz sememangnya menampilkan kematangan dari segi perwatakan, melangkaui stereotaip hitam-putih watak filem-filem Melayu dan lebih tertanam pada tanah sebagai manusia yang manusia, dengan segala kelemahan, keinginan dan gelisah risaunya. Hal ini jelas dapat dibaca dalam Hang Jebat, memberikan bukan sahaja kompleksiti perwatakan tetapi interpretasi yang pelbagai pada setiap situasi adegan atau tutur kata dalam memahami persoalan ketidaksempurnaan manusiawi dan takdirnya.
Ali Aziz, menurut Reza dan juga Danial, menghasilkan beberapa karya yang kemudian dijadikan filem oleh Cathay-Keris, seperti Dang Anom (1962), Chuchu Datok Merah (1963), Gul Bakawali (1963), dan Wan Perkasa (1964). Saya tidak dapat menemui apa-apa bukti bahawa karya-karya (yang mungkin berupa teks drama pentas seperti Hang Jebat Menderhaka) Ali Aziz tersebut diterbitkan dalam bentuk buku, dan hal ini memerlukan kajian lanjut. Ali Aziz kemudiannya meninggalkan dunia perfileman dan menyambung pelajarannya di London, UK dalam perundangan. Beliau kembali ke Malaysia dan bekerja sebagai peguam untuk beberapa lamanya, hingga pada tahun 1982, menurut Reza, meninggalkan kerjaya undang-undangnya dan membikin filem (melalui syarikat produksinya, Perfileman Redza Sdn. Bhd.), Anak Sulung Tujuh Keturunan. Filem yang ditulis oleh Ali Aziz ini diarahkan oleh Aziz Jaafar dan terbit pada tahun 1982, Filem ini pernah memenangi dua anugerah di Festival Filem Malaysia ke-3 (dipanggil Pesta Filem Malaysia waktu itu), yakni Usaha Rekaan Pakaian Tradisional Terbaik dan Usaha Terbaik Penerbitan Filem Purba (anugerah-anugerah ini dianggap sebagai anugerah juri).
1 comment:
Tuan pemilik blog wajar membukukan tulisan mengenai Ali Aziz ini. Tahniah
Post a Comment