Madah yang datang buat tauladan
Hamba yang hina cari berkatnya
Buat membuka titik hamparan
Mengenal kuasa yang empu-Nya
Wahai ia yang kenal akan susurnya
Datang dari sakai air kenta
Yang kenal turun asal-usulnya
Kerak digendong jari disapa
Buat naikkan diri dan kuasa
Menghancur terus siapa bersua
Tapi setiap anak pertama
Lelaki mesti jadi lauknya
Itu sumpah janji keturunan
Tak boleh dimain-mainkan
Lalu tak dapat anak di tangan
Cucu cicit jadi taruhan
Satu lagi mencari jauh
Sampai ke Jawa ia pun patuh
Mengambil alik gunung perkasa
Dengan al-jan ia mengujuh
Jamung berasap ia menyuruh
Marak terpadam ia pun patuh
Pergi melanggar bak seru angin
Lakukan arah nafsu yang ingin
Porak-peranda yang dituju
Asal hajat mahu diserbu
Kata ia untuk kuasa
Tak tahu sedetik memakan sasa
Anggota luruh sebagai jamu
Menyedut nyawa kerana semu
Khuatir diri insan manusia
Tahu lemah cacat celanya
Menggunung hajat pengaruh dipinta
Lidah bertebu mulut berkata
Tapi diri tak kenal perahunya
Melanggar semua yang langgar arahnya
Mahu diikut caranya saja
Sehingga niat menghalal cara
Nafsu mengisi jadi santapan
Takut kepala selimut syaitan
Malah kendi dalam sudah tiada
Dipotong buang kerana tak guna
Apa dibingkis di dipulang juga
Akhir badan terima merana
Sakit dihala kembali sakit
Peranda dihala kembali peranda
Buruk dihala kembali buruk
Anak mengikut mencari suluh
Tapi bara kembali menyosoh
Atas niat tak ikut cara
Sudah ditegur tabik merawat
Taman serendah datang melawat
Dibuang yang buruk-buruk
Tapi amaran diwaspada
Jangan bermain api sangkala
Kalau itu dituju juga
Kibat musibah segala dipinta
Apa yang dikendong berciciran
Ditinggal rumah mati tak makan
Nanti merana datang bertala
Jatuh miskin papa kedana
Bangga dahulu jadi cendala
Pitih membuyung beras berulat
Diturut nafsu tak pernah taubat
Duduk melumpuh tak dapat gerak
Cuba berdiri tak dapat tegak
Takut pintu yang Allah buka
Tak sempat pohon kerana buta
Tak sempat minta kerana hitam
Tak sempat sudah kerana pitam
Wahai manusia sebelum tidur
Fikir dibuat jangan terikut
Pandai menuduh jalan menyesat
Tapi sendiri mengguna sesat
Ingat manusia diri siapa
Yang tinggi kuasa Allah sahaja
Maha melihat Tahu semua
Titik di hati kenal cipta-Nya
Tahu gerak dan niat di malam
Hasad dengki dan hajat hitam
Takut kun fa ya kun meminta henti
Segala nak buat jadi tak jadi
Langung tak dapat mohon menyuci
Kerana buta hitam di hati
Sekian dahulu madah dikira
Bukan pujian atau mencela
Hanya jadi ingatan semua
Diri sendiri memohon reda-Nya.