Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |
Showing posts with label Arena Wati. Show all posts
Showing posts with label Arena Wati. Show all posts

Friday, August 2, 2013

Panrita: Perjalanan dan Ramalan




Tajuk: Panrita

Oleh: Arena Wati 
Terbitan: DBP
Tahun: 1993



Sinopsis:
Kisah pengalaman ke alam roh yang dilalui Omba bersama-sama "Panrita", seorang guru yang membuka jalan kepadanya melalui pelbagai "citra" dan "pengisahan" yang juga merupakan perjalanan "penyucian" dan "pengajaran" Omba. Omba dalam alam bumi "maya" sedang koma sebagai Tun Khamis yang mana di sebelahnya, isteri keduanya di Mekkah sednag duduk berdoa. Tidak dia sedari, terdapat tiga lagin insan serata dunia yang turut mengalami koma seperti Omba dan sedang melalui perjalanan roh yang panjang tetapi menarik dan menakutkan. 

Rasa:


Percubaan Sasterawan Negara yang amat saya gemari secara peribadi ini sungguh besar cita-citanya, sesuatu yang saya pasti belum pernah dilakukan dalam alam fiksyen Melayu (mungkin saya salah), yakni memberikan antitesis terhadap puisi epik Divine Comedy karya Dante Aligheri, yakni perjalanan seorang individu (kita dipastikan di sini sebagai "roh" atau kesedaran protagonis yakni Omba) melalui alam "malakut" atau ghaib lalu bertemu dengan Panrita yang membuka kepadanya pelbagai pintu dan gambaran "filem" tentang baik buruk duniawi/kendiri/akal/jiwa. Baik buruk ini akan terpancar sebagai cerminan terhadap Omba, yang sekali gus menjadi perjalanan dia memahami "diri" lalu kemudian melalui penyucian jiwanya "yang telah banyak kali berdosa di bumi". 

Kerja Arena lakukan ini memang "gila" dan amat hebat. Bab pertamanya sahaja membuka suatu "perbicaraan" falsafah yang menarik tentang suatu "projek" yang digerakkan oleh kumpulan "golongan wali Allah?" untuk mengubah "takdir bumi". Memang perbincangan dan kesatuan falsafah dan agama yang dilakukan Arena impresif walaupun mungkin tersedak buat mereka yang mencari lebih daripada perkembangan perwatakan dan kedalaman watak. Omba dan "isi-isi watak lain" dalam dunia "malakut" itu semacam kadbod yang berkata-kata dengan tergamam dan teruja melihat segala spectacle kuasa Allah di kelilingi mereka diketuai guru rohaniah mereka. Memang ini kelihatan "kering" buat pembaca Barat namun perlulah diketahui bahawa kepintaran Arena, seperit tingkat demi tingkat "rohani" yang saya kira terdapatlah beberapa rujukan kitab Islam yang dibuat, walaupun tidak sempurna kefahamannya, dapatlah mendepani ilustrasi mata Islam-Melayu melihat kefahaman besar, yakni Tuhan terhadpa manusia dan isi bumi, pemaknaan takdir dan qada qadar, serta penciptaan "manusia" paling sempurna di hadapan Ilahi. Hal ini jauh meninggalkan, walaupun turut mengalami detik perjalanan dalam puisi panjang Dante. Kedua-duanya turut mendidaktik "siapa masuk syurga siapa masuk neraka" (dalam puisi Dante, beberapa tokoh Islam kita dimasukkan dalam "neraka").

Hanya saya tersinggung dengan perlakuan Arena terhadap tokoh sufi besar dan penyair moden Melayu sebenar, Hamzah Fansuri yang dipermain-mainkan (walaupun menarik) dari segi karikatur, antara "guru rohani" Omba. Saya faham terdapat tingkat "keramat" dan "hakikat" kalangan guru-guru yang secara tidak nyata "wali" itu dinamakan, namun bagi saya petikan yang berikut agak keterlaluan buat Hamzah, walaupun menarik:

"Kau ini Hamzah, seperti orang bodoh." Guru Khalwatiah ketawa. "Memang semua yang dicipta oleh Yang Maha Khaliq dengan tujuan masing-masin." 
Arena Wati, 1993: 334

Tahukah kita sedalam mana "bodoh" atau tidak "bodoh"nya Hamzah Fansuri, pencipta syair dan pantun sufi itu? Saya memaafkan Arena kerana "dia tidak tahu" walaupun hal ini tidak sepatutnya berlaku. Inilah "peningkatan rohani" yang kita tampak, jelas tertulis (pada masa itu) oleh penulisnya terhadap kefahaman hakikat, keramat, dan makrifat. Yang terpancar bukanlah "kebenaran" tetapi "penafsiran" Arena terhadap tahap hakikat Hamzah yang sebenarnya membicarakan kebenaran kefahaman penulisnya sendiri (buat Bapak Affandi, kes inilah yang saya maksudkan dalam tulisan saya ini, mereka yang sok-sok tahu sesuatu yang mereka tidak tahu, yang jelas mereka dapat baca daripada buku dan bukan mengalaminya seperti peningkatan ilmu yang diajar oleh Imam Ghazali).

Namun begitu, sikap dan niat Arena jujur dan murni kerana ada suatu lagi agenda yang menyebabkan kerja ini dihasilkan. Novel ini terpecah dalam dua alam, alam ghaib (seperti di atas) dalam alam dunia/maya/bumi yang mana kita bergerak atas watak Sumarti, isteri Tun Khamis/Omba sebagai pencerita dan "mata naratif" kita. Kita memahami sesuatu di sini. Arena seakan-akan penulis fiksyen sains yang terkemuka, menyusun kisahnya pada suatu matlamat besar. Beliau seperti seorang ahli nujum yang membuat ramalan besar akan kejayaan Melayu keturunan Bani Tamim di persada antarabangsa. Ya, inilah detik-detik Awal Arena (sebelum trilogi Armageddon itu) menyelami dunia "masa hadapan". Inilah pembentangan kertasnya terhadap kerelevan orang Melayu-Nusantara dalam gelanggang antarabangsa. Suaranya jelas dan optimis terhadap kejayaan mereka. Semangatnya tinggi.

Novel ini cukup menarik dalam detik dialog dan penulisannya yang kadang-kadang ekonomis dan panjang tetap juga menyampaikan puitis yang tersendiri, gaya Arena, yang saya nampak hidup dalam lidah Faisal Tehrani. Terdapat beberapa citra yang naif dan terus-terang komikal (contohnya mainan PBB) yang saya kira dibuat secara sedar oleh Arena. Pengakhiran novel ini memberi suatu "kekuatan" dan nafas semangat, memaparkan detik-detik kebangkitan Melayu untuk mengubah takdir dunia.

Monday, April 1, 2013

Sudara Arena Wati


Tajuk: Sudara
Oleh: Arena Wati
Terbitan: DBP
Tahun: 2010


Sinopsis:
Novel Sasterawan Negara Arena Wati yang mengungkapkan penjalinan dunia besar "Melayu" yakni Nusantara dengan perjuangan dan titik letak makna dirinya, terikat dalam watak seorang sarjana, Raja Hamidah yang menelusuri kembali riwayat nenek moyangnya dan makna sebenar caping yang diperturunkan kepadanya. 

Rasa:

Tidak silap saya, novel ini pernah memenangi sesuatu, adakah editornya (tidak silap saya, Anwar Ridhwan) atau HSPM? Saya sendiri sudah lupa. Ini masalah dunia penerbitan buku Malaysia (yang tidak ada simpanan data yang cukup komprehensif), malah novel yang menang sesuatu (kini) susah mahu diketahui jika pernah mememangi sesuatu (melainkan keluaran sayembara). 

Novel ini rencam dengan fakta dan merupakan era Pak Arena (arwah) cukup bersemangat melihat penjatian makna "keMelayuan" dalam cakupun pengertian yang cukup meluas (dan tidak silap saya, Numera dan Kemala memperjuangkan hal yang sama).

Plot novel ini bergerak daripada keinginan dan kemudiannya "perjuangan" akademik seorang puteri Melayu-Bugis dengan pencampuran darah Patani-Perancis-Parsi, Raja Hamidah. Raja Hamidah yang "mengetahui" darah "Melayu"nya "cair" ingin mencari pengertian sebalik caping yang diperturunkan kepadanya (dalam puaknya, apabila si dara sulung itu akan berkahwin lalu diperturunkan caping itu kepadanya dengan segala waris nasihat dan adab cermatnya) dengan selirat sejarah panjang leluhurnya, sampai pada 1270 Masihi di tanah Makasar/Bugis.

Saya mendapati kebiasaan Arena mengangkat dunia keluarga dan wanita tegar (pejuang) dalam tema naratifnya, dicampur dengan unsur laut yang amat teliti. Ada kesatuan kuat kali ini dalam falsafah pelautan (di sini, peradaban Bugis) yang maha dikenali Arena, dipergunakan dengan teliti walaupun sedikit kering (kerana sarat fakta) dengan kefahaman rohani-fizikal jejak falsafah hidup/perjuangan orang "Melayu". Dengan jelas sekali lagi dan sekali lagi contohnya, Arena menayangkan "kebenaran" dunia laut dalam "mencari diri" insan yang berlainan dengan sifat uzlah/pengasingan diri/khalwah yang rata-rata biasa dilakukan orang Melayu (di dalam gua mahupun hutan terpencil). Falsafah pemaknaan "mengapa kita ditebarkan di alam ini" dijadikan pemaknaan yang bersungguh-sungguh, menampilkan makna besar penurunan keturunan (Melayu), kekuatannya dalam menguasai "selain tanah", dan pendiriannya yang teguh (walaupun dipukul ombak). Dalam hal yang lain serta menarik, dinyatakan juga "realiti" yang cukup sedar berkenaan "pengorbanan" baik wanita mahupun lelaki apabila dua individu itu di"putus"kan kerana keluasan benua (si lelaki atau wanita perlu berhijrah) lalu "bercerai" dan mengahwini lelaki/wanita lain, juga menyampaikan simbol caping terbelah dua: walaupun terbelah, diri tetap teguh dan merindui untuk menyatu. Menyatu ini juga menayangkan keinginan dan wawasan suci Arena agar kesemua peribumi Nusantara yang Islam "bersatu" atas panji yang menyatukan mereka atas nama sejarah, riwayat, budaya dan kesefahaman rohani. Sesuatu yang agak besar dan berambisi.

Masalahnya, naratif Arena yang kita sedia tahu, terdapat "lubang" yang tersengaja untuk mempercepatkan plot. Ini berlaku sewaktu konflik pemutusan pertunangan Hamidah-Tengku Zainal yang dilakukan secara terburu-buru, tangkas dan mudah. Tengku Zainal disudutkan pada satu tempat dengan segala dosa yang boleh disabitkan terhadap seorang lelaki, dan tanpa kita kenal dengan dia lagi, langsung tidak dibicarakan. Hal ini ditambah dengan deus ex machine watak perempuan yang sungguh mengejutkan rupa-rupa-nya "kekasih" Salehuddin, seorang sarjana yang membantu Hamidah. Plot "of convenient" ini seakan-akan memberi "jawapan" ala novel cinta popular bahawa Hamidah akan terpaut dengan Salehuddin, dan begitulah! Merajuk tak merajuknya Salehuddin, plot seterusnya yang membawa Hamidah mempesonai latar Paris sudah begitu mendekati drama siri cinta novella yang kita boleh tonton selalu di TV, dengan hanya sedutan-sedutan ilmiah penuh fakta yang menyimpang pandangan klise ini.

Sebenarnya, novel ini benar-benar memanas buat saya, pada bab BATANG, kemudian AKAR TUNJANG, 300 halaman lebih yang mana kita mengetahui beberapa "rahsia" yang tidak disebutkan pada awal, malah memberi syak terhadap watak-watak sejarah keturunan Hamidah dalam satu justifikasi yang amat enak, menyentak dan mengharukan. Di sinilah, tujuan novel ini ditulis, dipampangkan dengan jelas, lebih-lebih lagi dalam kefahaman "pacce" atau rasa sedih dengan "siri" yakni tanggungjawab. Pacce dan siri inilah yang "menyelubungi" pejuang-pejuang Melayu murni sekarang dan dulu, melakukan apa yang mereka lakukan dan memilih apa yang mereka pilih, dan kesemua ini terikat dan terpancar jelas dalam diri seorang wanita, yakni simbolisme caping tadi (simbolisme kesucian kemaluan wanita), yang menyimpan segala "sakit", "korban" dan "tanggungjawab" dengan sasa dan tegar.

Hal inilah yang membuatkan novel ini ditekuni dengan terang dan nikmat. Arena, menyatakan, wanita itu suara peradaban yang tidak sepatutnya diperdiamkan.

Wanita sudah lari daripada hanya tunggangan dan simbol penyampai zuriat. Wanita lebih daripada itu, dan paling penting: penerus waris adat dan adab. Kefahaman ini mengangkat pemaknaan diri wanita pada kelas yang tinggi, walaupun mungkin penggayaan bahasa Arena keras dan sedikit angkuh.

Saya sebenarnya suka jika Arena lebih cuba menaratifkan dengan dramatik dunia-dunia sejarah yang dipersembahkan dalam novel ini selain kelazimannya menggerakkan cerita dengan dialog, seperti yang dilakukan Hilary Mantel, mahupun Jong Chian Lai dalam Pemberontakan. Hal ini akan mengujakan lantas menaikkan lagi citra "Sejarah" seakan-akan berlaku di depan mata dan tidak terasa kekok dan plastik.

Saya juga tercuit dengan keberanian Arena menyelar "tokoh besar" dunia Jawa dengan memperlekehkan Ken Arok sebagai penggerak dunia sejarah nenek moyang Hamidah. Fakta ini benar (dalam alur dunia Bugis) yang tentu mencuit ketenangan jaguh Jawa yang selalu mahu menonjolkan dominasinya sebagai "budaya jaguhan" dan kadang-kala "pertama" Nusantara. 

Sifat occidentalisme Arena juga kukuh dalam novel ini, membawa wawasan yang sepatutnya tidak terhenti dalam alam fiksyen (yang kini sudah punya beberapa yang baik) tetapi diteruskan secara bidang: arkeologi, pensejarahan, penekunan manuskrip, pengkait budaya. Saya tidak tahu jika alam Nusantara lain (Indonesia, Thailand, Cambodia, Filipina) turut mempunyai dan berusaha dalam melakukan pertembungan dan penelitian pancabudaya/sejarah ini seperti yang cuba dilaksanakan Arena, lalu dapatlah disedari, sejarah alam Nusantara ini sudah begitu jauh dan mendalam untuk menampilkan keagungannya.