Tajuk: Bekamorfosis
Oleh: Jali Kenoi
Terbitan: Penerbit UTM & Utusan Publications
Tahun: 2012
Sinopsis:
Peperangan "pencapaian teknologi perubatan" berlaku antara dua tokoh di dalam sebuah universiti: Prof. Dr. Morfis Ayyub yang merekayasa teknologi bekam dan penggunaan lintah mutasi, dengan Prof. Dr. Ahmad Silbi yang memperbaharui penemuan "saintifik" herba jagat dalam kapsul dan ubat-ubatan. Ego dan sifat dengki-mendengki berlaku, khusus penganiayaan Silbi terhadap penemuan Morfis. Morfis tersinggung lalu berangkat ke luar negara, mendalami penguasaan ilmu teknologinya, sedang Silbi mengambil ruang menguasai teknologi yang ditinggalkan Morfis, menggunakannya untuk kepentingannya.
Rasa:
Antara kesemua novel yang telah saya baca dalam siri ini (kecuali ID yang belum saya baca lagi), novel ini merupakan yang paling lemah, paling polos. Saya mengamuk dan menyumpah-nyumpah setiap halaman yang membicarakan ketidaksesuaian yang berlaku dalam sejarah penulisan prosa fiksyen sains tempatan.
Plot novel mudah ini cuba memberi suatu perspektif menarik tentang "perekayasaan" ilmu lama yang kita ada dengan tujuan sains baharu, hal ini menarik (dan saya tahu hal inilah yang dikehendaki panel hakim), tetapi penguasaan penulis dalam menguatkan naratif dan struktur prosanya menyebabkan novel ini sebuah novel "kurang mutu" dan dipersoalkan kewibawaannya.
Konflik dan percubaan dramanya seakan wayang drama tempatan yang kita selalu tonton berlaku dalam televisyen tempatan kita, yang bagi saya tidak salah jika diberi pendekatan menarik (baca: melodrama mengkagumkan). Dayang Noor cuba membawa gaya ini dan kiranya secara sederhana, boleh ditelusuri. Tetapi "melodrama" yang berlaku dalam novel ini, dengan entah apa-apa cemburu, busuk hati, gila, sawan, lidah bercabang, iri hati, sakit menyakiti, cakar-mencakar, tampar menampar (fasal teknologi dan bukan berebut lelaki!) menggunakan pendekatan "everything into the kitchen sink" yang benar-benar membuat saya nak muntah. Sila perhatikan petikan ini sahaja yang mana penulis cuba masukkan pelbagai benda yang dia mahu tanpa memahami keseriusan naratif, fakta mahupun daya logik penelitiannya:
"Tapi Siti Rahmah tidak menafikan yang dia gila. Rela dan reda pula untuk dibawa ke hospital menjalani pemeriksaan ..." Puan Juana berjeda. membayangkan pelbagai kemungkinan. "Entah-entah dia mempunyai daya telepati yang unik," ujarnya. "Biasanya telepati adalah perbualan atau komunikasi otak seseorang dengan otak telepati orang lain atau beberapa orang," jelasnya.
"Kemungkinan," setuju Dr. Ikmal Alam.
"Tapi orang gila dirasuk iblis mempunyai kemahiran tertentu. Barangkali dia tu bomoh agaknya," Istiqah membuat andaian sendiri. "Yang bercakap dan berlakon pada masa tu ialah kembar jin yang dibelanya," katanya lagi.
(Jali Kenoi, hlm. 59)
Lihat, ada dua tiga "perkara" yang dibualkan secara pelbagai sudut "luar waras" - gila (mental) - telepati - lalu kemudiannya hal khurafat. Baik. Saya faham perbualan ini menimbulkan sikap orang Malaysia yang suka memfitnah (dan itu sahajalah yang mereka tahu, bukan?) orang lain tanpa usul periksa, baik, saya faham tu. Tetapi lihatlah hal-hal yang diperkatakan, tanpa pemahaman teliti (ini cakap-cakap seorang profesor dengan isteri dan pembantu makmalnya!) dan mana kerelevan dan pemahaman rasional akal tentang "getting beserk". Lagi kelakar, apabila si isteri perlu pula mengeja satu satu "teletapi ialah bla bla bla" macam guru tadika mengajar murid, dan ini kEPADA SUAMInya sendiri (dan orang-orang sains), seorang profesor!!!
Jadi usahlah kita marah sangat dengan penulis skrip drama TV dan filem kita jika para penulis kita sendiri melakukan kesalahan sebegini.
Ya, ini satu kesalahan yang saya tak dapat maafkan.
Kemudian, suatu adegan seakan keluar dari filem Tamil berlaku, seakan semi Kafka apabila Puan Juana "meroyan gila" atau "berahi" dengan lintah(!) di hlm. 145-147. Hal ini jadi tidak menentu, tanpa kawalan dan kekuatan perwatakan (mengapa perlu seorang yang waras membayangkan hal-hal sebegitu?) dan lagi gila apabila sang suami si profesor turut jadi cemburu:
Hati Prof. Dr. Ahmad Silbi naik cemburu pada Bob. Cemburu kerana isterinya sentiasa menyebut-nyebut nama lintah itu. Lintah itu Bob. Bob itu lintah.
(Jali Kenoi, hlm. 153)
Ya, nama lintah itu Bob! (ingat Twin Peaks?)
Saya faham dengan percubaan penulis membawa ke hadapan sifat absurd untuk menyuntik "komedi" terhadap "moral" si wanita bernama Puan Juana yang mula-mula menolak makhluk Allah (lintah) yang berguna (mempersenda dan menghinanya) malah geli, tetapi yang "geli" itulah pula yang disukainya lama-lama, sehingga naik ghairah, menyatakan sifat psikologi Juana yang "kemaruk mahu kepuasan seks" yang tidak dia dapat sebenarnya daripada suaminya. Saya faham itu, tetapi bagaimanakah penulis menyusun dan membawa lalu membina "keyakinan" kita dengan "penjelmaan lintah" itu supaya kita faham sebenar-benarnya psikologi Juana? Inilah sikap "tangkap muat" yang amat perlu dielakkan oleh penulis kita.
Novel ini juga boleh digunakan sebagai analogi keberadaan perpecahan politik Melayu sekarang dan difahami semangat positif penulis agar perbezaan ini disatukan dalam pengakhiran novel. Tetapi itulah, sifat dan nuansa tersirat sedemikian jadi hilang dan tidak menentu apabila segala masalah dan kelemahan yang dinyatakan tidak diperhalusi, dengan bahasa yang juga tidak enak, menjadikan novel ini "sekeret belut, sekeret ular".
Oh, kulit novel ni cantik. Tahniah buat pereka.
1 comment:
Terima kasih Fad, sekali lagi.
Post a Comment