Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, April 29, 2011

Tentang Saharil Hasrin Sanin



Tajuk: Tentang
Oleh: Saharil Hasrin Sanin
Terbitan: Sindiket Sol-Jah
Tahun: 2011

Sinopsis:
Antologi memuatkan entri blog, rencana dan karya kreatif penulis muda tersohor ini sejak 1997.

Rasa:
Saya rasa, agak jangkal untuk memperkenalkan beliau di lautan maya ini. Saya kira, beliau, penulis buku ini sudah cukup dikenali dalam kalangan peminat maya serta sastera Malaysia. Buku beliaulah, buku yang saya ulas ini, yang dimukadimahkan di dalam entri ini sebelum ini.

Ya, Saharil (rujuk filem The Fisher King, nama "Saharil" ini saya suka panggil satu nama iaitu Saharil saja, seperti dialog Robin Williams dalam filem tersebut, "Like Moses") merupakan sebuah fenomena, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mengikutinya di blog, dan tulisan-tulisannya seawal majalah Dewan Siswa, Eh! dan seterusnya. Apa yang ada di dalam penulisan penulis segak ini yang jarang ada dalam sanubari penulis lain sehingga saya terpaut dengannya? Lihat sahaja pembukaan bab serta "entri" buku ini:

Ini adalah entri blog pertama aku (sebelum ini, laman web aku bukan dalam bentuk blog), dan nampaknya, kita akan mati hari ini!
(Tentang, hlm. 5)

Saharil mencuit. Memang, Saharil kemungkinan tidak mencuit seberani Ridhwan di dalam Cekiknya, tetapi cara Saharil "mencuit" lebih terkesan dalam wit, seakan kacau-kacau manja seekor kucing dan diksi hiperbolanya yang "mengejutkan" pembaca dalam keadaan mereka tidak menyedarinya.

Inilah kekuatan Saharil dan inilah yang telah membuatkan penulis ini, tidak habis-habis diikuti sehingga sekarang. Saya tidak bohong. Buku yang saya biarkan atas meja, sudah berapa kali tangan yang membeleknya dan sudah berapa ramai yang rela cari dosa percuma kerana berniat "mencuri" buku ini dari meja saya. Itulah magnetik bahasa yang ada dalam tulisan-tulisan Saharil.

Apa yang membuatkan, baik rencana, catatan peribadi, serta catatan kreatif Saharil indah ialah pembikinan beliau dalam mencipta sebuah dunia peribadi, yang berjalur-jalur, baik fakta atau kreatif yang bersilang indah dan tenang mengikat antara satu sama lain, seakan menyatakan sarwajagat-sarwajagat begini memang dibuat melilit antara satu sama lain (walaupun Saharil sengaja, dengan sindirannya, menyatakan dalam satu bab berkenaan kebencian seorang saintis terhadap Shakespeare), mencipta teks yang mempesona, menarik, sekali gus segar dalam pembahasaan Melayu kreatif dan non-kreatif.

Saharil juga mengetahui cara untuk "memanipulasi" emosi pembacanya. Beberapa pembacaan dalam teks buku ini akan membuat kita terjerat, dalam penggambaran grafik ganas yang tersilang indah dengan humor, atau memerangkap kita di dalam emosi hiba. Kadang-kadang, kita terasa jenaka dan sedih sekali gus (dan hal ini amat susah untuk dibuat oleh mana-mana penulis). Saharil mempunyai kekuatan ini untuk memahami dan bermain dengan emosi pembacanya, yang saya kira, Saharil juga secara tidak langsung merupakan seorang "tok selampit" yang mengenali keinginan pembacanya.

Malah entri atau bab yang sedia disusun elok di dalam buku kemas ini amat pendek, laju dan santai untuk pembacaan yang tidak mengambil masa atau pemahaman. Saya tidaklah menuduh bahawa buku ini "ringan", jauh sekali, tetapi persembahan yang disediakan oleh Saharil tidak akan mengikat kita seperti jika kita pertama kali menerjah Hujan Pagi. Membaca buku ini seakan-akan kita bersiar di dalam sebuah taman bunga yang tenang dan menyeronokkan.

Falsafah, semangat kendiri, psikologi, sejarah, geografi, seksualiti, dan pemerhatian peribadi merupakan antara unsur-unsur bantu yang mewujudkan teks di dalam buku ini, mencuit, mengejutkan, serta menyayat hati, baik intim atau umum, pembaca tentu akan tersentuh. Perayaan hidup dalam dunia Saharil terhidang separa surreal, sai-fai, realis, dan arus kesedaran, tentu membawa kita memahami pengalaman kemanusiaan, khusus masyarakat Malaysia dalam melihat diri mereka masing-masing dalam cerminan yang baharu dan segar, tanpa rasa bahaya dan berdosa.

Ini merupakan buku wajib dimiliki untuk tahun ini.

4 comments:

Anonymous said...

Mana nak dapatkan buku ni?

fadz said...

melalui blog sindiket sol-jah.. cuba google!

_aiza_ said...

sy dah bace buku ni(dipinjamkan oleh kawan) n sy sokong pendapat en fadz..sy rase sy patot beli buku ni.

Anonymous said...

Kau tak nak jual Tentang yang kau beli tu dekat aku, Fadz?