Saya Sedang Membaca

Kronikel Etanol oleh Hafizul Osman |Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad | Atlantis: The Lost Continent Finally Found oleh Prof. Arysio Santos | The Mind of The Malay Author oleh Muhammad Haji Salleh | Joseph Anton: A Memoir oleh Salman Rushdie

Tuesday, August 5, 2008

Penulis Muda DiKecam Tidak Patriotik

"Anak muda sekarang dianggap buruk oleh orang tua. Saya malah sebaliknya, mengapresiasi generasi sekarang. Anak muda sekarang dituduh tidak menghargai perjuangan 1957, saya pikir ini bagus. Cukuplah generasi tua saja yang merasakan kesengsaraan masa itu. Mengapa generasi muda dipaksa merasakannya juga? Itu bukan tujuan kemerdekaan. Kalau anak muda melupakan perjuangan, itu bagus." - Yasmin Ahmad

Di dalam artikel Fokus Dewan Sastera Ogos 2008, Malim Ghozali PK membicarakan tentang ketandusan idea penulis muda (termasuk sayalah!) menyelami tema yang besar-besar, dan paling tampak ialah - patriotisme. Secara tersirat, saudara Malim menyindir penulis muda 'kurang patriotik'.


Ada beberapa perkara yang dinyatakan oleh saudara Malim yang menggambarkan fenomena benar persada penulisan sekarang (dan bukan tertakluk atas bahu penulis muda sahaja) iaitu pelambakan novel-novel cinta. Dengan premis ini, Malim menjentik pembaca bahawa golongan penulis muda tidak akan ke mana-mana kerana membawa isu yang relatif terarah kepada hal-hal kecintaan, walaupun dipertonjolkan dalam pelbagai bentuk dan gaya.


Saya cuba mengunyah sepenuhnya kata-kata Malim di dalam artikel majalah itu, yang sememangnya saya tahu, adalah hasil 'sempurna' beliau setelah dilayarkan kertas kerja 'separa siap' kepada peserta penulisan sastera anjuran DBP beberapa bulan yang lepas di Port Dickson. 50 novel yang kononnya di'selidik' turut termasuk dalam artikel yang berkenaan hal penulis muda itu. Di sini saya tertangkap sesuatu -


Penulisan saudara Malim terarah kepada pengkajian deduktif, di mana saudara Malim sendiri sudah membuat keputusan, lalu membandingkannya dengan 50 'senarai novel' yang dipilih dan dibaca. Jika beliau melakukan induktif, mental aliran qualitatifnya tentu mundur kerana mencapai satu 'keputusan' yang tidak boleh pun diambil sebagai satu keputusan yang benar-benar tepat. Ya, Malim tidak berjaya membuat saya bersetuju bahawa penulis muda ketandusan patriotisme.

Senarai 50 novel itu pun seakan tergerak untuk memilih novel-novel cinta yang sepatutnya tidak diambil sebagai semangat sebenar 'sastera' penulis muda. Malah, kebanyakan penulis terdiri daripada penulis bermusim yang sudah mula menulis dari 80-an lagi (yang kini, tidak mungkin penulis muda generasi sekarang, tetapi penulis muda Jalur Pertama) seperti Ahadiat Akashah, Abu Hassan Morad dan Mohd Ghazali Tocheh. Malah paling mengejutkan, Sasterawan Negara Abdullah Hussain turut tersenarai dalam penyelidikan ini oleh sebab novel Konserto Terakhirnya! Apakah tujuan 50 novel yang tersenarai? Adakah kerana jualan laris mereka? Adakah kerana Malim secara rawak 'senang' memilihnya? Dan kenapa pemilihan disengajakan tertumpu kepada novel cinta? Adakah kerana novel-novel itu senang dihabiskan oleh saudara Malim? Perlu diteliti di sini, bahawa karya seperti Mills and Boons tidak mungkin boleh disatukan dengan novel Jane Austen ataupun Amy Tan seumpamanya. Ia sememangnya jauh panggang dari api. jadi kaedah apa Malim memilih novel-novel ini?


Saya membicarakan ini kerana agak terdesing dengan pemilihan Malim dalam perenggan 'bangga'nya tentang penjumpaannya terhadap petikan Life of the Mississippi tulisan Mark Twain akan 'gaya memaparkan patriotisme unik', iaitu satu pemerhatian geografi yang cantik akan Amerika! Pertamanya, Mark Twain sudah lama arwah dan tidak boleh dibandingkan sebagai penulis muda angkatan Amerika jika mahu membanding-bandingkan dengan penulis muda negara Malaysia (di mana penulis muda Amerika yang patriotik sekarang?). Kedua, kalau Malim mahu mencari 'gambaran cantik yang membuat kita sendiri tergila-gilakan negara itu', Tash Aw dalam novel 'perjalanan sejarah'nya, The Harmony Silk Factory sudah menggambarkan pelbagai geografi dan kencantikan halus Kinta dan Pulau Pinang, yang tentu membuat pelancong barat terpusu-pusu mencari tapak inspirasinya. Oleh sebab itu, senarai 50 judul itu tidak dapat saya terima kekuatan sampelnya.


Jika Malim menggunakan hal-hal dalam induktif dengan teliti, sudah tentu keputusan hipotesisnya berlainan. Definisi marhaen tentang pengkajian induktif ialah melihat secara tertumpu terhadap satu susunan bentuk, corak atau fenomena hidup (di sini, karya penulisan penulis muda), lalu meneliti satu-satu makna literal dan konsekuensi sosial, serta tujuan satu-satu fenomena itu dicetus (di sini secara umumnya memberi makna apa isi novel itu dan kenapa ia ditulis), dan kemudian, dengan melihat 'perhubungannya' dengan penulis-karya serta karya-karya lain, dapat membentuk sebuah corak atau hipotesis baharu tentang sebuah fenomena atau masalah sosial dalam satu-satu masyarakat.

Dengan pemahaman induktif, apa yang saya jumpa memaparkan yang sebalik dengan apa yang Malim jumpai. Memang, perkara yang Malim jumpa tampak di permukaan, kadang-kadang superfisial, apa yang dijumpai di 'dalam' perhubungan dan isi karya itu, tidak diberitahu oleh Malim.


Pertama, Malim sendiri sudah tersalah bila merujuk secara harfiah akan karya-karya penulis muda. Penulis muda sekarang faham, bahawa kebanyakan penulisan bertema sejarah dan perjuangan sudah banyak dilakukan pada 80-an. Jika mereka mahu menyorti, umpamanya kisah penentangan orang Sarawak terhadap rejim keluarga Brooke (mengambil tema secara dasarnya), mereka akan jumpa Pemberontakan Jong Chian Lai atau Astana(?) HM Tuah Iskandar (serta beberapa yang saya pernah terlintas). Mereka tahu, dalam situasi dan fenomena sekarang, termasuk ilmu bantu serta novel-novel terkini yang sudah dibaca, agak janggal untuk kembali menulis sebuah Salatus Salatin atau Sandera. Mereka perlu, seperti yang ramai melakukannya sekarang, menggunakan beberapa gaya baru seperti yang paling popular sekarang: magik realisme (Menyeberang Sungai Sejarah), reinventasi sejarah dan seperti mengambil aliran pascakolonial secara ekstrem- oksidentalisme. Penggunaan gaya-gaya baharu ini bukan sahaja menampakkan kematangan penulis muda melakukan 'karya baharu' tetapi mengikat setia janji mereka terhadap 'cinta pada negara' yang ranum di dalam diri tetapi membuak peristilahan dan penafsiran segar.


Apa yang saya sedari, kebanyakan novel sekarang memang melalui satu penafsiran semula sejarah yang total oleh pada penulis muda tempatan. Seperti hasil baik Nisah Haron yang terbaru, Tawarikh Cinta. Novel itu sendiri sebuah novel yang cuba menyelami kembali hal-hal 'hikayat' dan 'sejarah' yang berlaku pada zaman dahulu, dengan intepretasi baharu akan 'apa sebenarnya yang berlaku' terhadap episod-episod sejarah Melayu. Idea Nisah ialah, juga penulis yang seangkatan semangat ini ialah untuk membuat pembaca muda 'melihat kembali sejarah silam' dan 'menyoal kembali intipatinya'. Menyoal dan menganalisa dengan kritis (Nisah tidak mahu dirinya sahaja yang mencari, tetapi mengajak pembaca juga menggali dan tidak terikut dengan generasi lama yang 'mengikut' sahaja) ini membentuk satu estetika 'memahami' yang lebih kukuh tentang nilai bangsa dan sejarah, dan bukankah dengan kemantapan pemahaman baharu ini membentuk satu kultural nasionalisme yang baharu yang lebih ampuh di kalangan pembaca?


Inilah simbol-simbol 'kenegaraan' yang selalu disengajakan oleh penulis muda tetapi mungkin tidak terlihat oleh pengkaji tua. Ya, tanda-tanda pencarian semula sejarah, jati diri, segala kemungkinan dan elemen yang menghala kepada 'patriotisme - cintakan negara' ini dicari, baik kepada yang membawa pemahaman yang radikal dan kiri (seperti beberapa karya filem Amir Muhammad atau tulisan politik Farish Noor), juga kepada pengisian semula akan sejarah bangsa seperti yang dibuat dengan halus oleh Nisah. Beberapa judul seperti novel futuristik fiksyen sains, Wira Pesona Avatari memaparkan nilai patriotisme cara lain pula. Bayangkan sebuah permainan realiti maya yang menyatukan bangsa Malaysia, dengan kecekapan mereka tentang hal sejarah Malaysia (mereka perlu tahu serba-serbi dan bukan sahaja sejarah!) membentuk satu ide iaitu perpaduan dalam bergerak ke arah masa hadapan.

Saya juga percaya novel kemasyarakatan seperti Julia atau Cinta Hari-hari Rusuhan juga mempunyai intepretasi tersendiri akan patriotisme. Bayangkan sahaja ini - walaupun sekecil mana (mikro) atau sebesar mana (makro) sengsara masyarakat selepas merdeka, mereka tentu mempunyai reaksi tersendiri terhadapnya. Paling penting, ada rasa 'kesyukuran' yang tersimpan dalam novel-novel ini lalu watak-watak novel selalunya TIDAK meninggalkan Malaysia, dan bukankah itu sudah cukup buat golongan berhati sekecil itu untuk memahami apa negara itu buat mereka? Jika kita bandingkan dengan novel-novel moden Filipina, terutamanya F. Sionil Jose, kita tersedar bahawa acapkali watak-watak kecilnya yang menyintai negaranya akan menganjur perasaan negatif terhadap bobrok politik orang atasan lalu 'membawa pergi' diri mereka keluar dari duduk kelana di Filipina daripada sanggup ke titik terakhir. Perubahan yang mereka bawa (sekecil atau sebesar mana) tidak membawa ke mana-mana, mereka manusia pesimistik terhadap negara, mengambil jalan penghijarahan untuk menemukan identiti baharu yang lebih sesuai buat roh mereka. Sedang novel-novel moden kita acapkali memaparkan watak bekas pelajar balik ke Malaysia dan mahu membuat perubahan, dan akan duduk tetap walaupun ide kontreversi mereka diancam. Bukankah ini optimistik dan memaparkan rasa kesyukuran terhadap sistem 'stabil' negara, walaupun kita faham, ini ialah suara sekata yang daif mengikut dominan permintaan Kerajaan.


Oleh sebab itu, saya dapati, ada beberapa elemen yang berkait secara tidak sengaja dengan patriotisme dalam penulisan karya muda dalam pebagai genre:


- Pencarian sejarah: berunsur akan hal-hal mencari titik kegemilangan asal-usul tanah Malaysia, perbicaraan semula kegemilangan-kemusnahan tamadun lama, dan pencarian Melayu atau Malaysia seperti Lagukan Senandung Itu, Manikam Kalbu, 1515, Tawarikh Cinta, Siri Saga Artakusiad - ya, ini diperakui sendiri oleh penulisnya, Menyeberang Laut Sejarah, Cowrie Emas, Opera Angkasa, dll.)

- Pencarian/paparan sosio budaya dalam acuan novel kemasyarakatan iaitu memaparkan yang baik tentang Malaysia terhadap individu, juga yang buruk tentang Malaysia terhadap individu tanpa diskriminasi. Ini sendiri menjadi mesin bebas yang mengkritik kerajaan lalu berperanan menjadi mesin politik yang tersendiri, antara ciri patriotisme, satu semangat mahu pengubahan yang lebih baik buat negara. Cinta YB, Julia, Karina, Tunggu Teduh Dahulu, Cinta Hari-hari Rusuhan dan kebanyakan novel cinta sudah tentu mempunyai acuan ini.


Memang, ada pelbagai genre dan genre novel cinta yang terserlah selalunya diambil selidik (dan dikecam). Langsung, novel-novel baik yang dihasilkan oleh penulis-penulis muda selalunya tidak dikaji dengan mendalam. Malah, genre baharu dalam fiksyen spekulasi seperti fiksyen sains, ngeri dan fantasi, jika diselidik dengan betul, kita akan memahami, lapisan patriotismenya seangkatan patriotik yang diingini Malim (lihat novel Dendam Siber, Cinta Sang Ratu, A.D.A.M., siri saga Tombiruo). Malah, jika kita sedikit rajin dan kritis lagi, kita akan menjumpai pelbagai lagi tema-tema besar yang sengaja diisi dengan tersirat oleh penulis muda mutakhir dalam penghasilan novel.

21 comments:

fssf said...

Yah itu dia fadz dan tombak saktinya!

lutfi said...

Fadz, aku cuma mahu mengulas tentang pendapat Yasmin Ahmad saja. Aku tidak fikir, meluapakan perjuangan dan kesengsaraan generasi sebelum merdeka dan para pejuang adalah bagus. Aku rasa, itu merupakan satu pendapat Yasmin yang paling, maaf kalau aku katakan, 'bodoh'.
Sehingga ke hari ini, tidak ada bangsa yang besar menyuruh generasi selepasnya melupakan sahaja perjuangan yang berlalu dahulu kala. Semangat sekularisme sendiri, sebenarnya terus diapi-apikan dengan menaikkan kembali poelbagai peristiwa yang mewarnainya, khasnya pada zaman kecerahan.
Aku tidak bersetuju dengan pendapat Yasmin. Dari perspektif YAsmin, kita akan lihat sejarah ada ruang yang tidak bermakna. Idea tidak ada dalam sejarah.
Aku rasa pandangan itu sangat sophist bunyinya. Dan aku rasa, sehingga ke hari ini, eblum ada seorang ulama pun, menyuruh kita melupakan apa yang berlaku suatu ketika dahulu.
KAlau begitu, mengapa tidak sahaja kita lupakan kesengsaraan Nabi Muhammad, segala kesengsaraan baginda dalam menyebarkan dakwah?

fadli akiti said...

sf, trimo kaceh..

lutfi, jgn terkejut kalau ini jawapan saya: itulah bagaimana Yasmin Ahmad menunjukkan patriotismanya. Patriotismanya ialah dengan mengambil suara praktikal bahawa Malaysia berubah (seperti generasinya berubah), dan perubahan ini yang disayanginya, ORANGNYA, dan bukan catatannya. Ia mengherdik (saya faham) para konvensi kerana radikalnya menentang sejarah yang ditulis konvensi dengan total. Dia percaya, ada lebih dari itu dari sejarah. Melupakan buatnya bukan tidak akan melihat balik, tetapi jangan terkejut, akan menjumpai perkara yang lain dijumpai oleh orang dahulu (melihat dengan mata yang bukan terikat dengan sistem sedia ada). Itu kemahuannya bila melihat hal-hal silam (di sini, terbuka intepretasi kiri seperti yang dibikin Amir dan Fahmi Reza, tapi ya, itu hak mereka kerana saya masih berpegang dengan apa yang saya percaya). Buat saya itu tidak salah kalau dari segi kenegaraan.

Rasulullah s.a.w.? Entahlah, saya tak nampak boleh diikat dengan konteksual sirah (bolehkah kita menentang sirah atau riwayat yang tertulis tentang Rasul kita sendiri?), dan mmg saya langsung tidak berani mengaitkannya.

IdzaRis said...

patriotisme org kan mcm2 cara...
biarlah org muda dgn misinya..
dengar dan lihat dulu,mana tahu bisa menggoncang dunia!!

lutfi said...

Fadz, aku tahu itu. Tetapi, kalau kita mahu melihat falsafah penulisan sejarah, ialah pengajaran apa yang boleh kita pelajari daripada sejarah. Kerana itu, aku mengaitkannya dengan sirah rasul. Aku tahu, susuk dalam sejarah negara kita, dan susuk dalam sirah nabi, berbeza. Tetapi, fenomena dalam sejarah berlaku adalah, hampir selari.
Kerana itu, aku yakin, sejarah yang murni ditulis, dan harus dibaca, dengan tujuan untuk mendapatkan pengajaran. Sebab itu juga, aku tidak bersetuju dengan pendapat Yasmin. Aku tahu, sejarah sering kali diputar belitkan, didominasi oleh orang yang berkuasa, dan seirng kali dicipta untuk mencipta wira-wira. Aku tidak menafikan hal itu, termasuklah dalam konteks sejarah di negara kita.
Yang aku tentang adalah jelas, bahawa menolak sejarah, sama sahaja dengan menolak pengajaran-pengajaran yang boleh kita kutip daripadanya. Dan siapa kita kalau tanpa sejarah? Sebab itu aku katakan, pendapat itu sangat sophist, maknanya, dimaknai oleh relativitisme. O.k, kalau kita tidak mahu mengambil sirah nabi dan mengaitkannya, apa kata jika kita ambil sejarah dalam tamadun Islam? Apakah umat Islam hari ini tidak pelru membaca sejarah dalam peradaban-peradaban Islam pasca kematian Nabi Muhammad. Adakah sejarah tamadun Monghul di India tidak penting? Adakah kematian dan penyembelihan umat Islam di Andalusia tidak penting?
Cuba kita bayangkan, siapakah kita jika tanpa melihat kepada sejarah?
Jadi, di sini, sepatutnya kita lebih kritis. Kita tidak sepatutnya menolak sejarah, tetapi bersifat selektif dalam melihat sejarah.

Nazri said...

Maaf menyampuk,

aku suka perbincangan antara Lutfi dan Fadz. Harap dapat diteruskan dalam suasana sihat.

Tapi aku mohon agar dapat diadakan perbincangan ini dalam entri khusus.

Kerana aku berpendapat topik utama yang ditulis oleh Fadz juga agak besar untuk kita perhalusi.Soal beberapa orang generasi dulu semacam tidak nampak (mungkin?) semangat ramai penulis muda masa kini (mungkin?).

Kerana aku, sebagai seorang penulis muda (walaupun ya, tidak terkenal, atau punya pengaruh) sedikit terasa bila dipanggil "tidak patriotik".

Mohon maaf kalau mencelah kepada kedua-duanya, Lutfi dan Fadz.

:P

fadli akiti said...

slm nazri, mungkin penulis generasi lama, hanya segelintir (daripada pemerhatian secara rawak, seperti yang dilakukan oleh en. Malim) yang melihat sebegini (kerana saya tahu beberapa yang amat gembira dengan pelbagai aliran dan semangat penulis muda sekarang). Tetapi yang saya tidak faham, maaf, ialah bagaimana EDITOR DS boleh melepaskan artikel ini yang semenangnya perlu disemak dan diteliti terlebih dahulu sebelum melemparkan satu retorik yang sungguh, maaf cakap lagi, tidak bertanggung jawab. Klise yang dipermainkan oleh 'orang tua' selalunya ialah, "Anak2 kita tak kenal erti kemerdekaan" (point saya meletakkan ayat Kak Min itu ialah, satu pemikiran 'out of the box' yang betul2 menggegar norma masyarakat konservatif, kerana saya tahu Kak Min tidak betul2 berniat begitu, hanya mahu 'tackle' point yang terlalu 'obvious' dibuat oleh kaum muda menuduh para remaja tidak faham perjuangan mereka dan bukan mengajak mereka bersama2 memahaminya, satu klise orang Melayu dalam MENGAJAR, jadi ide Kak Min ialah, kalau retorik mereka nak, nah, saya bagi satu biar tergolek mereka dengar - tujuan seni ialah untuk mengejutkan manusia, dan sains ialah untuk merasionalisasikan kejutan, saya bersyukur, Lutfi separa merasionalisasikan kupasan seni Kak Min), saya dah penat dengar benda ni, dari saya kecik dalam tadika, sampailah saya dah besar panjang sekarang. Dan INI BERLAKU, tiba-tiba dalam sebuah majalah dihormati seperti DS. Kenapa isu begini yang begitu remeh? Sebenarnya POINT yang ingin Malim buat ialah, kebanyakan hasil novel penulis muda terarah kepada CINTA, tetapi jika tajuk ini dimainkan lagi, tampak DS sudah tidak ada isu baru yg mahu ditekankan. Ada pelbagai lagi isu menarik yang perlu dibawa, hanya kerana Merdeka 'is around the corner', DS dengan tanpa berfikir mengeluarkan artikel Malim ini yg maaf, separuh masak. Ini sebenarnya yg berlaku dalam pemilihan tajuk yang janggal itu dlm DS. dan POINT yg saya mahu buat ialah, para penulis muda tidak perlu khuatir pun kerana daripada hasil komik mereka, fantasi, pasca moden, kerja protes, penstrukturan semula hikayat, sastera Islamik, risalah, surreal, sai fai, erotik, cinta dna entah apa2 lagi, kesemuanya masih berpegang pada elemen cintakan negara itu dalam bentuk dan pemahaman masing-masing, jadi apa lagi yang perlu dihentak dengan tema separa fasis seperti DS itu?

mardhiah said...

Lutfi, ko ini apa masalah eh

Kau tak setuju dengan Kak Min ko pi cakap dengan dialah. Yang ko cakap dengan Fadhli wat pe?

Aku katurunan dari Pattani, personally aku tak suka ingat-kenang peristiwa Karbala. Aku juga tak suka tingok orang meraung-raung, membelasah diri sendiri sampai berbilai-bilai, berdarah sempena hari tersebut.

Tapi ada orang pula dia suka hanyut dalam kenangan. Kenanganlah yang bikin dia bersemangat, dia mau berusaha keras, tak mau pisang berbuah dua kali.

Itu peribadi masing-masinglah. Adakah kerana aku tak suka kenang dan baca peristiwa Karbala bermakna aku ini less Islamik, tak cinta Nabi? Sesat, ahli Neraka yang patut mati dalam nahas kapal terbang, kena sambar petir, ketimpa hujan batu? Mati esok mayat aku jadi ikan, monyet, babi? Begitu?

yasmin said...

salaam.

struggle rasulullah s.a.w nak disamakan dengan struggle 1957? chisss! marang kerapu kepunden parang sekeperrr!

lutfi said...

Salam Mardiah. Aku menyatakan keyakinan aku. Dan di sini, aku berdiri atas asas yang jelas, bahawa - sejarah menjadi bermakna kerana pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya. Dan tidak kisahlah sama ada ia karbala, sirah nabiwwayah, atau tamadun dari barat dan Islam. Seperti kata voltaire - kita harus memilih sejarah, kalau tidak ia jadi macam keretapi, hanya membawa beban sahaja. Terpulanglah kepada hang untuk mentafsirkannya. Dan, soal aku menyatakan dalam ruangan ini, itu pilihan yang aku buat kerana fadz ialah kawan aku, dan kalaupun kami tidak bersetuju dalam banyak pendapat, namun aku ada batas-batas tertentu agar tujuan perbincangan dan wacana kami tidak terbawa ke dalam masalah peribadi.

Sdr Yasmin - sila baca kembali ulasan saya. Tidak ada satu frasa pun dalam ulasan saya itu yang menyatakan 1957 itu sejarah agung. Apalagi menyamakan sejarah 1957 dengan sirah nabiwwayah. Anda jangan keliru. Yang saya serang gesaan sdr yang menyuruh orang lain melupakan peristiwa tersebut, kerana, gesaan itu tidak menunjukkan sikap yang kritikal. Seperti yang saya tegaskan, kita harus bersikap selektif, dan sejarah menjadi bermakna, kerana terdapat idea di dalamnya. Dan idea itu, sama ada disuluh melalui falsafah sejarah spekulatif atau analitikal - ialah pengajaran iaitu apa yang boleh kita pelajari. Malah, saya rasa adalah lebih baik saudara menyarankan orang muda sekarang meneliti sejarah masa lalu, termasuk sejarah gerakan kemerdekaan awal, seperti yang dilakukan oleh ulama, kemudian tokoh nasionalis seperti Bostaman, Burhanuddin Helmy, Khadijah Sidek, kerana dengan melihat dari sana - kita akan dapat pengertian yang lebih bermakna.

lutfi said...

Fadz, daripada pembacaan aku terhadap artikel Malim Ghozali PK itu, aku rasa dia terlalu cepat membuat tesis. Aku rasa, hal ini tidak akan keliru jika beliau menggunakan kesimpulan yang lebih spesifik, iaitu daripada 50 karya yang dikaji, ternyata isu patriotik tidak menjadi bumbu karya mereka. Lagipun, aku lihat, novel2 yang dipilih oleh beliau, hanya beberapa karya sahaja yang dianggap penting. Kerana itu, berdasarkan novel yang dpilihnya, kesimpulan yang dibuat oleh beliau menjadi bertentangan.
salam

Wan Nor Azriq said...

Salam saudara fadz,

Nampaknya artikel Pak Malim telah menimbulkan perbincangan panas antara saudara dengan sdr Lutfi.Saya sendiri tidak bersetuju dengan artikel yang ditulis oleh Pak Malim kerana bahan-bahan yang dikajinya tidak menyokong tesis yang mengatakan penulis muda sekarang tidak patriotik.

Satu persoalan penting yang belum disentuh ialah apakah ciri-ciri sebuah karya sastera yang dikatakan patriotik? Adakah kita hanya merujuk kepada karya-karya yang memaparkan perjuangan generasi sebelum meredeka,peristiwa 1957,peperangan dengan komunis atau jepun,atau mungkin kesengsaraan masyarakat seperti yang sering kita temui dalam novel-novel terawal A.Samad Said? Atau kita merujuk kepada karya-karya yang kita sering baca di musim merdeka (seperti sekarang)yang gemar memaparkan konflik generasi muda dengan generasi lama yang semakin dilupakan perjuangan mereka? Adakah kemerdekaan itu suatu perasaan bermusim yang hanya muncul pada bulan Ogos? Barangkali persoalan terakhir yang difikirkan oleh kebanyakkan generasi muda.

Penulis muda sekarang tidak hidup di zaman Pak Malim atau Pak Samad.Masa juga telah mengubah senario budaya masyarakat kita.Maka,makna kemerdekaan bagi generasi muda turur berubah.Saya bukan ingin mengajak pembaca menafikan perjuangan generasi sebelum kita,tapi yang lebih penting ialah kita harus melihat di mana kita sekarang.Apakah makna kemerdekaan yang masih tinggal dalam masyarkat kita? Masih merdekakah kita sebagai sebuah bangsa individu di mata dunia? Oleh itu,karya sastera pada masa kini harus lebih mengutamakan makna kemerdekaan bagi generasi muda dan juga tua yang mungkin sedang menilai kembali kesan perjuangan mereka.Kita tidak boleh sempitkan pemahaman kita bahawa karya-karya "patriotik" hanya terhad kepada cerita zaman dahulu atau cerita bermusim yang sering kita baca pada bulan Ogos.Makna kemerdekaan adalah milik setiap individu di negara ini dan cara seseorang penulis memberikan tafsiran adalah sesuatu yang kita harus hormati dan merenung bersama.

Adakah sejarah penting? Ya, tentu sahaja.Tapi sejarah itu hanya fakta yang kita boleh lihat dan teliti dari jauh seperti barang-barang dalam muzium.Ia tidak akan mengubah masa depan sekiranya kita hanya mengenang sejarah sebagai benda-benda nostalgik.Sejarah akan hanya dapat berfungsi apabila ia diberikan tafsiran yang berterusan mengikut zaman.Dan kita amat beruntung kerana ada penulis genrasi muda yang sudah melakukannya seperti Faisal Tehrani,dan Nisah Haron.

Kenangan masa lalu perlu dikenang tapi kenangan hanyalah bunga yang perlu sentiasa dijaga sekiranya kita ingin keharumannya dirasai oleh generasi akan datang.

Faisal Tehrani said...

Salam,
Hujahan yang menarik. Saya masih ingat seorang sarjana senior yang ditugaskan membaca 1515 untuk satu diskusi, dia mengaku dalam pembentangan: inilah satu-satunya novel generasi muda yang saya baca. novel terakhir yang saya baca ialah Zaman Gerhana.
Dan wow, dia seorang profesor!
Wassalam.

Faisal Tehrani said...

Salam,
Hujahan yang menarik. Saya masih ingat seorang sarjana senior yang ditugaskan membaca 1515 untuk satu diskusi, dia mengaku dalam pembentangan: inilah satu-satunya novel generasi muda yang saya baca. novel terakhir yang saya baca ialah Zaman Gerhana.
Dan wow, dia seorang profesor!
Wassalam.

Faisal Tehrani said...

Salam,
Hujahan yang menarik. Saya masih ingat seorang sarjana senior yang ditugaskan membaca 1515 untuk satu diskusi, dia mengaku dalam pembentangan: inilah satu-satunya novel generasi muda yang saya baca. novel terakhir yang saya baca ialah Zaman Gerhana.
Dan wow, dia seorang profesor!
Wassalam.

yasmin said...

salaam, saudari lutfi.

i don't have a problem with the examining of history. who in their right mind would? i just don't like the way people of my generation try to make young people feel bad about themselves. i really think, wahai saudari lutfi, that the problems in our country are mostly caused by the older generation, and not the younger one.

Jelir said...

semua,

patriotisme
sudah mati
sama waktunya ketika
orang-orang membungkam sejarah
memutar belit cerita
dan membebel tanpa kesahan dan kegagalan memasyaraktkan dokumentasi sejarah yang sahih

zaman ini, kau akan lebih patriotik jika kau membeli kereta Proton dan tidak menyanggah slogan 'Malaysia Boleh'.

Dan, ya...
orang muda banyak terbeban dengan dosa-dosa sejarah bangsa mereka sendiri
kerana patriotisme tidak lagi boleh difahami dengan makna yang dulu!

fadli akiti said...

wah jelir, provokatif ...

fadli akiti said...

lutfi, ya, itu yang saya sedar.

azriq, saya terkemab.. terima kasih atas pandangan.

faisal, bertuah awak..

kak min, tq:)

Zaid@Zaidel said...

Mungkin agak terlewat untuk saya memberi komen disini. Saya cadangkan saudara menulis dan hantar artikel berlawanan dengan prinsip malim berhubung apa-apa jua kajian yang telah malim tulis dan siarkan di majalah Dewan Sastera. Sbbnya jika hanya polimik di dalam blog, tidak akan ke mana.

fadz said...

slm Zaidel, saya pernah cuba hantar bahan yg sudah disimpan dalam blog ke DS dan ditolak oleh sebab ia sudah tersiar dlm blog.. jadi saya pesimis mau menghantar ke DS sekali lagi. salam.