Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |
Showing posts with label Terjemahan. Show all posts
Showing posts with label Terjemahan. Show all posts

Friday, March 16, 2007

Tamparan Terjemahan

Sebuah buku terjemahan "bestseller" dan diungguli ramai pengkritik novel antarabangsa, Kenang-Kenangan Seorang Geisha atau Memoirs of a Geisha oleh Arthur Golden sudah berada di pasaran. Publisiti tentang buku itu sungguh mengujakan. Setiap akhbar tempatan Inggeris dan Melayu ada memperkatakan tentangnya (mungkin juga akhbar tempatan bahasa Cina dan Tamil yang saya tidak baca). Buku itu terdampar bukan sahaja di tepi rak-rak buku terjemahan Inggeris-Melayu dari Indonesia di Kinokuniya KLCC tetapi beratur di setiap ceruk toko-toko majalah dan buku India, senasib novel-novel popular yang lazim tersedia di dalam toko-toko ini.
Persoalan yang tergambar daripada memerhati perkara ini adalah, adakah buku yang diiktiraf "sastera moden" ini boleh laku?

Tetapi persoalan yang lebih membimbangkan adalah, kenapakah pihak yang bertanggungjawab untuk mengedar dan mempublisitikan novel sastera Melayu moden tidak secekap Marshall Cavendish (Malaysia) Sdn. Bhd. (MC) mengeluarkan buku terjemahan Melayu sulung mereka? Apakah buku terjemahan baik keluaran DBP dan beberapa penerbit universiti lain, mengeluarkan novel-novel sastera terjemahan seperti Wira Ladang (Catcher in the Rye), Lorong Midaq (Midaq Alley), Lalu Enggang Ranting Patah (To Kill A Mocking Bird), Bebas (To Be Free), Ermita tidak tersebar luas?

Perkara ini agak membimbangkan apabila Christine Chong, timbalan pengarah syarikat terjemahan MC dalam wawancaranya dalam akhbar theSun ("The Right Read: The Art of Translation", 26 Julai 2006) telah memperkatakan kenapa terjemahan buku Golden ini perlu untuk pasaran pembaca novel Melayu:

"The reason according to Chong, is to bring local literature to the next level in terms of quality. The current crop of mass market Malay novels- though selling well - is not of sufficiently high quality in terms of writing"

Terjemahannya:
"Tujuan terjemahan ini mengikut kata Chong, adalah untuk meningkatkan tahap sastera tempatan kepada tahap yang lebih berkualiti. Pasaran massa kini untuk novel-novel Melayu, walaupun mendapat tempat, adalah kurang baik daripada segi kualiti penulisannya."

Penerangan Chong sedikit-sebanyak mencubit penerbit-penerbit novel sastera tempatan seperti Utusan Publications, Dawama DBP, Rhythm, Creative dan lain-lain untuk menilai usaha mereka. Seakan-akan titik-peluh mereka yang seadanya kini tidak cukup hebat dan cekap dalam mempromosikan novel-novel berkualiti Melayu.

Pemasalahan kedua yang dapat dibaca daripada penerangan Chong adalah bagaimana "novel" dalam erti kata kebanyakan pembaca dan penerbit bukan Melayu ditakrif sebagai 'novel-novel popular dan picisan'. Sastera Melayu bagi mereka adalah novel-novel popular (yang dipanggil novel remaja oleh toko-toko buku) yang berlambak di serata kaunter kedai buku mamak, MPH dan Popular. Mereka tidak nampak lagi novel-novel baik keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka atau sastera-sastera baru keluaran Neohikayat atau beberapa syarikat penerbit persendirian yang makin meningkat.

Kecelaruan ini sedang berlaku dan ia sedang merebak.

Ada sebuah buku antologi di dalam tangan saya, Antologi Karya Sasterawan 2005 keluaran Pena, sebuah buku koleksi karya-karya terbaik oleh penulis-penulis muda yang mapan di Malaysia. Buku ini sangat baik, satu suara yang dikira baru, segar dan membawa perubahan gambaran sastera Melayu di Malaysia. Tetapi buku ini hanya diedar di kedai buku DBP dan beberapa kedai buku Melayu sahaja. Ia tidak tersebar di toko buku besar seperti MPH, Kinokuniya dan Borders. Ramai pembaca tidak sedar dengan kemunculan buku ini. Termasuk juga Wilayah Kutu keluaran Neohikayat yang hanya tersebar di kedai buku 'elitis', Silverfish. Oleh kerana tidak ada publisiti yang meluas, yang berlaku seperti Kenang-kenangan Seorang Geisha, buku ini akan tenggelam dan diketahui hanya pada kalangan yang tersedar akan kewujudannya. Dan selalunya ia adalah golongan penulis dan sahabat-sahabat penulis sahaja.
Persoalannya, kenapa majalah dan akhbar satu-satu syarikat hanya mempromosikan buku-buku terbitan mereka sahaja dan bukan karya-karya sastera baik yang terdampar tanpa dipromosi?

Utusan Malaysia akan hanya mempromosikan buku-buku keluaran anugerah utusannya. Majalah Dewan Sastera, sebuah majalah 'elitis' akan hanya mempromosikan bahan-bahan karya yang sampai pada mereka dan menjadi terbitan mereka. Hanya sesekali sahaja mereka akan mengeluarkan satu ulasan daripada terbitan syarikat lain, seperti Iman karya Abdullah Hussain dan Perempuan Politikus Melayu karya Faisal Tehrani. Adakah kerana tidak ada penulis yang mahu mengulas karya terbitan syarikat lain menjadi persoalannya? Malah, majalah Dewan Sastera bulan Jun telah memaparkan satu sisi diskriminasi apabila Faisal Tehrani mengupas beberapa cerpen keluaran majalah itu dengan ilmu bantu mengikut teori Sastera Islam.

Kebanyakan cerpen dikupas oleh Faisal dikecam sebagai tidak ada kualiti mengikut teori yang digunapakainya. Kesan masa panjang yang akan berlaku adalah, kebanyakan karya yang dipaparkan akan hanya diselusuri karya-karya cerapan "kumpulan sasterawan Islam Melayu" dan cerpen-cerpen lain akan hanya terumbang-ambing tanpa tapak lagi.

Saya membangkitkan isu ini kerana dalam realiti pemasaran dan penerbitan sastera Melayu, tidak berlaku keserasian dan gembleng edaran yang serata. Maka berlakulah tanggapan-tanggapan songsang seperti yang diandaikan oleh Chong terhadap sastera Melayu.

Saya percaya, novel sastera Melayu bukan "susah untuk dibaca" dan "kurang khayalak" tetapi cara peredarannya, promosinya dan pengenalannya tidak serancak Kenang-kenangan Seorang Geisha terbitan MC. Lihat sahaja buku-buku berkualiti Siri Novel Malaysia Pilihan Abad 20 yang berkulit tebal. Oleh kerana tidak ada novel terbitan ini yang berkulit nipis dengan harga yang lebih berpatutan, buku-buku baik ini tidak bergerak laju dalam pasaran dan hanya dilihat sebagai "collector's item" pada pembeli.

Untuk melihat ironik kata-kata Chong, membandingkan karya Golden itu sebagai lebih berkualiti daripada novel-novel "cinta" yang berlambak di pasaran:

"More importantly, the story- about the life of a Japanese girl, Sayuri, who is sold as a slave but ends up being trained as a geisha, and her love for a man known as the Chairman- is both moving and intriguing."

Terjemahannya:
"Yang lebih penting, ceritanya- kisah hidup seorang gadis Jepun bernama Sayuri, yang dijual sebagai hamba tetapi kemudiannya dilatih menjadi seorang geisha, dan cintanya kepada seorang lelaki yang digelar Chairman- amat menguja dan memikat."

Pelik. Sinopsis di atas seperti pernah saya dengar daripada sebuah petikan sinopsis novel Anis Ayuni atau Liana Afira Malik. Hanya ia berlatar di Jepun. Bayangkan, untuk memperomosikan buku yang baik seperti karya Arthur Golden juga, perkataan "cinta" mengubah segala-galanya.