Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |
Showing posts with label Sinaganaga. Show all posts
Showing posts with label Sinaganaga. Show all posts

Thursday, April 8, 2010

Stingarden: Kini Semua Boleh Berumah


Tajuk: Stingarden
Oleh: Sinaganaga (sinaganaga.blogspot.com)
Terbitan: PTS
Tahun: 2009

Sinopsis:
fregmen-fregmen cerita yang terbahagi kepada tiga bahagian, kisah penulis sewaktu kecil tinggal di setinggan di Kuala Lumpur, cerpen-cerpen tentang watak setinggan dan fregmen kisah satira tentang isu politik dan ehwal semasa negara.

Rasa:
Antara buku yang saya beli pada pesta buku tempoh minggu yang lepas. Sebuah buku yang licik dan menggelikan kepada mereka yang memahami dunia waktu itu - nostalgia kepada dunia setinggan, yang mana, kita hari ini mungkin kaitkan dengan penempatan PATI, ya, segolongan kita dahulu pun pernah menduduki tempat seperti Distrcit 9 ini (rujuk Mat Som dan lakaran kartun Lat awal 70-an).

Saya percaya, kisah kanak-kanak Sinaganaga merupakan kisah yang unik, yang ditempuhi oleh beliau dengan "suka". Inilah ironi yang dimainkan (di sebalik kemunduran dan kemiskinan yang mengelilinginya) dan merupakan unsur terkuat dalam buku ini, melihat kisah dengan mata anak-anak, tanpa jegil kedewasaan, tanpa menyesal tentang kehidupan.. Kita jumpa pelbagai prosa yang mencuitkan dan jujur tentang kehidupan zaman 70-an itu. Dan ini disampaikan dengan selamba oleh Sinaganaga. Saya perturunkan sebuah petikan sebagai contoh:

"Sungguh! Tivi rumah kami guna bateri! Suatu hari. Emak beli Tivi. Yang jenamanya seperti spesies haiwan pemaging."
(hlm. 29, Stingarden)

"Sense of wonder" kanak-kanaknya menjadi di sini. Kita "dihilangkan" rasa "melarat" penulis kerana penulis mengimbau dengan perasaan dan semangat berkobar anak-anak (melihat TV di ruang tamunya yang juga tempat tidur mereka anak-beranak). Malah ayat disengajakan tersekat-sekat seperti frasa (Suatu hari). Ini sudah tentu "kepala" seorang anak-anak, kita kata.

Inilah bahagian yang paling ampuh, seronok, dan punya cebisan menyentuh (pada sesiapa yang memahami zaman dunia daif buat penduduk setinggan waktu itu) dalam buku ini.

Bahagian keduanya punya sesuatu kelainan, disampaikan dengan cerpen-cerpen pendek tentang mainan kanak-kanak. Cerita-cerita ini mencari psikoseksual kanak-kanak yang bercampur lelaki perempuan (dan masih tidak mahu membesar cepat) di padang main mereka (ruang lorong dan celah-celah rumah setinggan). Mungkin, hal ini, melakarkan untuk pertama kalinya budaya ruang mainan kanak-kanak urban (ini zaman 70-an), yang kemudiannya berevolusi kepada ruang mainan di pangsapuri. Di sini, kemungkinan asasnya. Kita boleh lihat, ada benang halus yang menggariskan perbezaan jantina antara anak lelaki dan perempuan, dan bagaimana mereka mempelajari peranan serta tempat mereka di dalam masyarakat. Ini yang menarik.

Bahagian ketiganya pula satu rembesan kisah "politik" yang disampaikan secara simbolik. Saya kira, tulisan ini ditulis pascareformasi dan mendekati Pilihanraya Umum 2008. Ianya disengajakan berbentuk "acah-acah", satira mungkin (cuba menyatakan pemahaman watak terhadap isu politik semasa). Ini merupakan bahagian paling lemah dalam buku ini.

Apa-apapun, Sinaganaga merupakan seorang penulis humor yang segar, memberi kita kelincahan teks yang mencuit sekali gus menerangkan secara tersirat akan realiti sosiobudayanya. Lihat sahaja pada gambar-gambar yang diambil. Dan sememangnya saya setuju dengan Mamat Khalid yang merasmikan pelancaran buku ini, bahawa antara tiga buku yang dilancarkan, buku Sinaganaga ini sesuai untuk difilemkannya atas sebab pemahaman yang "bijak" berkenaan dunia melaratnya serta mempunyai cerita yang menyeronokkan dan ceria tentang sebuah realiti yang tidak selalu disentuh oleh penulis mapan.

Sebuah buku "dedikasi sebenar" untuk kota Kuala Lumpur.