Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |
Showing posts with label Ruhaini Matdarin. Show all posts
Showing posts with label Ruhaini Matdarin. Show all posts

Monday, April 27, 2015

Ajal


Tajuk: Ajal
Oleh: Ruhaini Matdarin
Terbitan: Penerbit UTM & Utusan Publications
Tahun: 2015


Sinopsis:
Abad ke-21. Seorang suami berikhtiar menyelamatkan isterinya yang menghidap barah, lalu kisah mereka menjadi klasik pada abad akan datang. Abad ke-22, terciptanya teknologi Huda, membolehkan minda manusia mengawal komputer 100 peratus dan memerangi penyakit dan mungkin, kematian. 

Rasa:

Saya berani katakan, Ruhaini, jika diberi peluang untuk masa yang panjang, mungkin akan mengalahkan mana-mana pemenang utama untuk sayembara musim ketiga ini. Dalam penceritaan Ruhaini kali ini, permainan realiti maya bercampur-baur kepintaran buatan dan sifat teknologi nano yang mencapai kesenian tinggi, yang mana, pada abad ke-22 sudah bercaya tercapai. Dua peristiwa dibawa, pertama abad "dahulu", dalam episod Dr. Ajal hendak menyelamatkan kekasih yang kemudian isterinya, seorang pakar neurologi juga, Dr. Layla. Pada abad seterusnya, seorang anak "muda", Ajal, diambil namanya sempena Dr. Ajal yang dahulu, menghadapi teknologi yang pernah diusahakan bersama oleh Dr. Ajal dan para sahabatnya. Seakan-akan, suatu persoalan impian yang terlaksana (proses ke arah penciptaan ini sangat menarik dalam mengertikan ideal dan kefahaman maksud futuristik). Di episod ini, timbul satu paradoks yang sungguh nikmat. Sebelum, para saintis cuba melawan kebiasaan untuk melahirkan teknologi nano berkeupayaan kepintaran komputer tinggi untuk menyelesaikan masalah barah dan penyakit manusia, once and for all. Sakit dan perihnya didokumentasikan dengan menjelmakan kisah derita dan kekosongan menghadapi mati Dr. Nayla. Keadaan penuh cinta, sakit, derita, dan kemanusiaan (manusia akan melakukan apa-apa sahaja untuk menyelamatkan orang yang tersayang) itu dijukstaposisikan dengan keadaan, yang mengejutkan, keinginan material tinggi, individualistik, dan kering sejuk dunia abad hadapan. Apakah yang telah terjadi dengan manusia setelah mendapat segala-galanya dengan mudah? Adakah mudah dan kemudahan itu menghilangkan kemanusiaan dalam manusia?

Hal ini dimainkan oleh Ruhaini dengan baik sekali, berjungkar balik, dengan debar dan kekerasan zaman hadapan. Saya sebenarnya lebih meminati era Ajal pada zaman hadapan, apabila menghadapi gajetnya seperti seorang manusia, tanpa manusia di sekeliling (di mana ibu bapanya, kawannya, kekasihnya, saudaranya, musuhnya? kita bertanya). Begitu ironi dan kuat paradoksnya (teknologi yang dicipta untuk menyatukan manusia kembali dnegan kekasih akhirnya membuat manusia hidup menyendiri tanpa bantuan manusia lain). Malah, terdapat babak jual-beli yang sungguh klasik, berlaku antara Ajal dengan pekedai, di mana berlakunya tawar-menawar maklumat (tentang versi terbaharu dan kredit sudah habis) yang menampakkan betapa mendesaknya manusia era itu terhadap hal material, malah sudah diperhambakan dengan material (walaupun mereka masih beragama!), dan hal ini menjadi tema utama biasa dalam novel Phillip K. Dick (segala-galanya jual beli pada zaman hadapan, dunia korperat besar menjadi Tuhan adalah kebiasaan dunia Phillip, dan manusia hanya bidak catur yang ditentukan oleh pasaran). Hal ini menjadikan Ruhaini pengarang fiksyen sains kita yang pertama menyelongkar dunia korperat zaman hadapan Phillip dengan bersahaja sekali.

Ruhaini menambahkan lagi ironi ini dengan menampilkan Ajal zaman hadapan menjadi pencinta (bukan sahaja biografinya) imej realiti maya Dr. Nayla. Wajah dan susuk Nayla dipuja-puja, dirindu-rindu, ditatap-tapa, tapi semua ini berlaku dalam sentuhan maya dan elektronik, tidak pernah dapat dirasa dengan fizikal, seakan-akan Ajal mencintai bayang-bayang! Menarik lagi: Ajal lebih senang bercinta dengan "hantu" atau kekosongan (yang sudah tentu kelihatan real dan seperti manusia) daripada manusia sebenar. Betapa indahnya gambaran ini dihuarikan oleh Ruhaini.

Novel ini tidak mendapat keadilan yang sewajarnya. Babak Dr. Ajal dahulu walaupun penuh fakta sains menarik, timbul suasana romantik dan cinta yang sedikit populis, malah memang disengajakan, kelihatan Hindustan (walaupun kisah cinta tiga segi itu sedikit menarik). Akhir Ajal tergantung (adakah ini kebiasaan Ruhaini?) malah, seperit biasa, saya juga menghidu keadaan terburu-buru Ruhaini untuk menghabiskan novel ini (sekali lagi, kerana masa), namun sebagai novel fiksyen sains yang benar-benar memahami implikasi manusia dan sosiobudayanya, dengan perwatakan dan latar yang begitu hidup, ini antara fiksyen sains Melayu baik yang pernah saya baca tahun ini.

Tuesday, March 3, 2015

Dalam Getar Waktu


Tajuk: Dalam Getar Waktu
Oleh: Ruhaini Matdarin
Terbitan: Utusan Publications
Tahun: 2014

Sinopsis:
Tanah Nusantara di ambang kolonisasi, masuk campur orang Barat. Di Sabah, orang Inggeris sedang menjalankan kerja membelek kain mempelainya. Cady Junior mengikut ayahnya ke tanah baharu itu, dengan debar dan kebosanan, yang kemudian terpana dengan Puteh, anak gadis seorang pembantu Inggeris yang boleh bertutur dalam bahasanya. Puteh dipohon untuk mengajar Cady akan budaya dan identiti tanah tempatan bekas Brunei itu, juga menyelak manuskrip lama warisan peradabannya. Dalam masa yang sama, pemberontakan anak tempatan sedang berlaku, diketuai oleh Mat Salleh, bapa saudara Puteh. 

Rasa:

Saya menemui suatu keajaiban apabila membaca Ruhaini buat pertama kali. Bahasa, aduh. Terdapat dua novelis wanita yang dikirai, membawa suatu bahasa yang indah setakat ini buat saya, dan Ruhaini antara seorang itu.

Memang agenda Ruhaini murni. Suatu yang boleh dikatakan pascakolonial, yakni terhadap bagaimana mata luar sang penjajah era itu, yang diwajarkan kepada Cady Junior, menjadi suatu mata baharu, pengalaman baharu "yang dipadam oleh sejarah" atas, sedikit semi sedikit, Cady terpesona dan tergamam dengan ketelitian, lembut, tajam, dan kaya ilmu dan budaya tamadun Melayu/Nusantara yang diperkenalkan oleh Puteh dan manusia tempatan yang dikelilinginya. 

Dalam masa sama, Puteh pula, dengan berani menampilkan seorang wanita (hal ini melanggar kefahaman klise bahawa wanita era itu hanya duduk dirumah, belajar masak, menunggu bakal suami melamar, dsb) tempatan sebagai suara penyampaian "ilmu" kepada Cady, yang apabila dilihat, juga mempunyai sis konflik diri yang menarik, antara pengaruh ayahnya yang pro-Inggeis, dengan pengaruh bapa saudaranya yang pro-anak tempatan. Terdapat suatu suara pesona yang dijalin baik dalam menampilkan kekuatan/kegelisahan watak Puteh menghadapi dunia yang berubah. Malah, dalam persahabatannya yang mula melunjur erat dengan Cady, ditampilkan pula suatu pandangan baharu (yang mungkin agak radikal tetapi jelas logik, atas dasar memahami kalangan Melayu dan Bumiputera era itu yang terpesona dan mengikuti tamadun Barat) yakni penghormatan "beradab" yang diberikan oleh Puteh terhadap bangsa Cady. Persoalan ini sekali gus membawa suatu perbincangan liberal yang murni, yang mana Puteh mencari "jalan tengah" agar kedua-dua budaya yang bertembung ini mungkin dapat dijalinkan (dalam pandangannya).

Ada beberapa bahagain akhir novel ini terasa hendak dihabiskan cepat, dan pengarang sengaja semacam membiarkan ia berakhir antiklimaks, malah dengan persoalan. Malah konflik diri Puteh mula bertambah pada akhir, tanpa benar-benar memberikan penyeleraian yang memuaskan. Namun, secara keseluruhan, perjalanan rasa dan pertukaran maksud budaya dan kemanusiaan antara dua anak muda berlainan bangsa ini menampilkan suatu kekuatan yang menarik daripada Ruhaini. Fiksyen sejarah tidak pernah seseronok ini.