Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |
Showing posts with label Ridhwan Saidi. Show all posts
Showing posts with label Ridhwan Saidi. Show all posts

Monday, July 13, 2015

Stereo Genmai


Tajuk: Stereo Genmai
Oleh: Ridhwan Saidi
Terbitan: Moka Mocha Ink
Tahun: 2012

 
Sinopsis:
Kuala Lumpur. Seorang pemuda (K.M. Raslan) mencari teman wanitanya yang menghilang ketika sedang menonton wayang di Pavi, tanpa menyedari dirinya tersekat di dalam kontinuum idea-mimpi. Mangsa yang tidak mahu namanya dikenali apabila ditanya siapakah nama gadis tersebut, hanya menjawab, "D." 

Rasa:

Novel keempat Ridhwan ini sebuah "imagination gone wild". Liar merupakan kata kunci yang secara naluriah tidak sahaja menghasilkan karya ini secara sedar, tetapi melepaskan rembesan tersebut secara fungsional dan penentuan estetika dalam novel. Keliaran ini menjadi tunjang betapa "ambitious"nya Ridhwan kali ini, menjunjung pelbagai idea dan idealogi (yang mungkin tidak bermaksud apa-apa, hanya cerita dan sketsa, seperti pintu-pintu mimpi Lynch yang tidak dibuka oleh Laura Palmer ataupun Betty ataupun Nikki Grace) yang terbuka dan tertutup, merujuk banyak imejan ikonik penyentuh surreal, khusus Buñuel (mata dan bulan) dan Lynch (idea doopleganger dan dunia sebalik pintu dalam pintu, mimpi dalam mimpi) dan mengiakan karya ini sebagai milik sendiri (atau pembaca, seharusnya, apabila buku itu terbang ke tangan kita, dari terletak di rak kedai buku, setelah terbang daripada pegangan watak penulisnya). Apakah maksud novel surreal? Adakah ia dicipta khas sebagai ketukan (dan kutukan) yang tidak dapat disampaikan dalam keadaan sedar lalu perlu disampaikan dalam lunak prasedar? Apakah kekuatan kritikan sosial surreal? Di manakah titik pencarian satu-satu kefahaman akannya jika ia tidak dirembes secara jelas tetapi mengikuti (dan menghantui, rujuk, kebanyakan karya surreal ada hantu) pembaca secara bayang-bayang yang berlegar, seleri cahaya tembakan projektor filem dari atas kita menayang wayang?

Secara dasar, jelas, Ridhwan tidak lari daripada menjelaskan (berkali-kali) jati dan jiwanya akan sinema dan sastera, disampaikan sekurang-kurangnya oleh watak-watak yang hidup, yang turut terperangkap, dengan ideanya agar (lantak) pembaca terperangkap sama dalam dunia tersebut, atau secara "sombong", mendapat enlightenment setelah memegang dan membaca isi dalam dunia AKA "anak" Ridhwan ini. Beberapa imejan menarik untuk dinyatakan dan berkait dengan hal "liar" tadi, yakni api dan komodo. Api dalam buku ini berkali-kali dipancarkan, mula-mula sebagai petanda tragedi, kemudian menjadi "penggerak seterusnya" plot itu, dengan mengambil maksud, api, menjadi cahaya primordial (primitif, kaitan tadi dengan liar, yakni dunia asalnya, liar, dan menariknya, secara teori, asas ketamadunan manusia apabila berjaya membuat api), sesuatu yang datang "dari purba". Hal ini seakan-akan meminta kita meninggalkan segala keadaan dan pengetahuan kita akan "moden", beragama, berprinsip, dan budaya yang kita tahu dan kenal, dan mencari jalan memahami dan menyentuh hal yang "lepas" yang, seperti dinyatakan, tersimpan jauh dalam-dalam-dalam jiwa kita yang juga secara tidak sengaja, primordial (dalam Islam, kita fahami, ruh kita pun datang daripada sumber yang asal, dari Tuhan). Menariknya, saya juga tersingkap bahawa bukan sahaja sastera/penulisan berasas daripada api (kita bercerita kononnya purba dulu di hadapan unggun api) tetapi karya lain juga, khusus sinema (api memancar, meneruskan jalan untuk cerita terpampang di layar). Watak ciptaan para metafizik dalam novel ini mencari itulah, dan menemui komodo, kononnya asal usul dia/manusia, yang secara mencuit berkait dengan naga (komodo juga dipanggil dragon dan mitos binatang ini mengeluarkan api), yang jika dilihat mempunyai kebenaran dari segi tasawuf (asal manusia, hati-roh-akal-jasad-nafsu). Dalam hal ini, Ridhwan menyatakan pendirian yang mendabik kesempurnaan dan keperluan komodo (nafsu) dalam penerapan imaginatif dan penerusan penghasilan karya (api), lantas D. tercipta, dengan latar sejarahnya (BBGS kemudian Pavi) lalu dengan kesatuan idea dengan penulis, karya (Stereo G.) tercipta. Sikap ini provokatif dan sememangnya "liar", dan akan diherdik oleh moralis sebagai nilai "tidak berasas".

Saya agak terganggu dengan suatu percubaan Ridhwan dalam menghiduplan el-Ghazal (Imam Al-Ghazali), dengan pendirian yang menyerupai tetapi mungkin tidak sesadis Rushdie buat The Satanic Verses. Suatu perbincangan berlaku, yang saya sudah lupa, tetapi sedikit terasa Ridhwan "cuba" melakukan syarah intelektual idea Hujjatul Islam itu, tetapi tidak sampai, ini bukan mainannya (setakat ini). 

Novel ini menarik dalam membuka betapa luas dan liarnya otak Ridhwan boleh jadi, dengan bahasanya yang sudah mula memekar matang, menyampuk humor gelap dan kesakitan mimpi dan prasedar, namun walaupun novel ini mempunyai sentuhan "tentang filem", ini bukan novel kesukaan saya daripada Ridhwan Saidi.

Sunday, August 25, 2013

Mautopia


Tajuk: Mautopia

Oleh: Ridhwan Saidi 
Terbitan: Moka Mocha Ink
Tahun: 2012



Sinopsis:
"Tiada yang betul selain kebetulan". Sharifah, Aminah dan kemudian Farisi melalui suatu advencer untuk "melarikan diri" daripada suatu tempat yang menelan dan tidak pernah memberi ruang, yang juga berkaitan dengan Farisi beberapa tahun dahulu serta Ismail beratus-ratus tahun dahulu berkenaan Pulau Farmosa dan rahsianya tentang Guru Besar, Pemaisuri, kek cawan, dan ikan pari masak asam pedas. 

Rasa:


Novel ketiga Ridhwan ini susah hendak dikategorikan. Atau sememangnya setelah membaca tiga novelnya saya sepatutnya berhenti mengkategorikannya. "Terpulang," seperti kata Eka Kurniawan. 

Namun yang paling terkesan ialah sifat "terganggu"nya (disturbed) saya setelah membaca novel ini. Hal ini tidaklah menyatakan novel ini novel terbaik Ridhwan (yang juga susah hendak dikategorikan) hanya saya tiada kata-kata untuk menampilkan maksud dengan perasaan terkesima yang berada dalam lingkungan jiwa saya sekarang pasca membaca novel ini.

Secara ringkas, sesiapa yang melayan Lynch akan hadam novel ini, dan sesiapa yang pernah kenal dengan filem-filem Alejandro Jodorowsky akan menghadapani sempadan yang saksama. Novel ini membayangkan, jika saya tidak silap, suatu distopia, atau lebih tepat lagi, "mautopia" berkenaan pengakhiran segalanya yang bermaksud. Tidak ada betul selain kebetulan, tidak ada salah selain kesalahan, tidak ada mati selain kematian. 

Sikap fatalis yang tidak pernah saya rasai ini (dan hanya sesuai berlaku dalam filem-filem seram) tersebar luas, dan kadang-kala mengganggu kita dengan keadaan sedar dan separa sedar wataknya. Sehinggakan, ada satu babak panjang naratif Ismail kita seakan-akan mengiyakan kisah itu sebuah "delusi Ismail", namun segalanya tersirat dalam suatu kata-kata yang menafikan kata-kata yang selanjutnya, seakan-akan satu kitaran penipuan (fiksyen = rekaan) lalu menyoal persoalan fiksyen itu sendiri, yakni rekaan yang reka-reka atau bertujuan. Akhirnya, kita "maut" dalam teks dan penjelmaan kata-katanya.

Dengan ini saya sedikit memahami mengapa luaran teks ditulis (sepertimana Lynch dengan gerakan plotnya) dengan kisah dan watak "keanak-anakan" ala Hardy Boys/Nancy Drew melalui "laluan rahsia ke rumah api". Hal ini terikat secara muslihat dengan "reka-rekaan" Ridhwan tentang percubaannya memahami kebobrokan dan kitaran ganas politik-sosial-agama kita yang tiada kesudahannya mempengaruh dan "menipu" dan "menyoal" mereka yang cuba melanggar "ketentuan" yang sudah terbentang. Hal ini sendiri menjadikan novel ini membentuk suatu protes yang bukan protes. Kritik yang bukan kritik. Seram yang bukan seram. Bagi saya, "delusi" yang akhirnya mengikat Sharifah pada akhir novel ini menampilkan maksudnya yang paling kuat berkenaan kecelaruan ini: Sharifah mengalirkan air mata, tetapi air mata Sharifah tidak mengalir. Hujan darah tidak turun. Segala yang kita tahu akhirnya kita tidak tahu. Segalanya yang kita mahukan tentang kebenaran akhirnya "tidak benar". Kita disesakkan dalam keadaan limbo, dan Ridhwan biarkan kita terlambung-lambung di situ. Masa sekarang kita tidak ada jawapan dan kita patut menangis tanpa air mata kerana itu. Hal ini dapat sahaja mengelirukan serta membuat mereka marah (kepada yang tidak pernah kenal dengan percubaan/eksperimentasi baharu ini).

Ridhwan buat saya tampil berani dengan novelnya kali ini dari segi memahami dan menguatkan diri dengan gaya dan bahasa. Beliau kini memahami kuasa bahasa yang dapat memerangkap dan membalut pembaca dalam satu bentuk ekspresi. Walaupun ekspresi itu kadang-kala naif dan mencapai tahap yang melampau-lampau, namun sifat keanak-anakan ini yang digunakan untuk menyoal (tidak pernah menjawab) soalan-soalan besar tentang kewujudan, sistem, pengaruh, kuasa, dakwah, dan penglaziman (conditioning). Amat membantu jika pembaca memahami nuansa dan tanda-tanda yang ditinggalkan seperti era pencerahan dan nama-nama tokoh yang "menyerupai" zaman sastera Barat dunia. Mencuitkan apabila beberapa sikat sai-fai Amerika 50-an turut dipinjam sebagai mempamerkan berapa jauh Ridhwan dapat mempersendakan alam "keterasing" atau "tiada manusia" dalam manusia. Hal inilah yang bagi saya cuba diterokai Ridhwan, yakni manusia yang tidak manusia (rujuk Pol Pol dan rejim Khmer Rogue) yang mana wujud juga dalam "kemanusiaan". Semua ini suatu "sistem" yang sudah tersurat untuk diikuti. Dan tiada siapa dapat menahannya daripada berhenti.

Percubaan Ridhwan membandingkan dua pihak berlawanan ini menarik (lihat dunia Palestin-Israel yang saya syak juga berkaitan kerana percubaan Ridhwan menggunakan beberapa nuansa Ibrani) yang mana dia cuba melihat manusia dalam tanpa kemanusiaan manusia dan tiada manusia dalam kemanusiaan. Suatu persoalan yang selalunya berakhir dengan tragedi-tragedi individu (seperti biasa) dan diam tanpa cerita (perawi), malah "delusional". Suatu novel yang pasti memerangkap dan amat mencabar (malah buat saya, lebih mencabar daripada Panrita Arena Wati), dan sekali lagi menaikkan nama Ridhwan sebagai penulis pascamoden Melayu paling menarik di Malaysia hari ini.

Monday, October 24, 2011

Amerika: Kemungkinan Sebuah Kota


Tajuk: Amerika
Oleh: Ridhwan Saidi
Terbitan: Moka Mocha Ink
Tahun: 2011

Sinopsis:
Murshid Merican, seorang anak muda Kuala Lumpur, mengharungi kota dan riwayatnya secara eksistensialis dan terbuka tanpa ikatan adat lapuk, menjumpai indah dan buruknya, kaya dan miskinnya, cinta dan bencinya, malaikat dan syaitannya, hanya untuk meneladani cita-citanya melihat kotanya berubah secara total suatu hari nanti. Dan suatu hari itu sampai dalam bentuk prasedar yang Murshid sendiri tidak akan sedari.

Rasa:
Saya mengaku, membaca novel ini, pertama kalilah saya ketemu dengan sebuah novel Malaysia yang benar-benar sedar ditulis dan diceritakan tentang "kotanya" (mengambil ideal simbolisme filem Manhattan Woody Allen, yang juga menceritakan kota cintanya, New York, yang turut dinyatakan dalam novel ini), setelanjang dan sejujur yang mungkin. Jika ada, setakat ini, sayembara penulisan tema "Kuala Lumpur" (yang pernah dibuat DBKL dan DBP 20 tahun dahulu), saya akan memenangkan novel ini sebagai juaranya.

Dalam novel ini, tiga kota (mungkin lebih, tetapi yang lain lebih kepada latar, walaupun penting) diutarakan "nafas" dan "sifat"nya; Kuala Lumpur, Miami dan New York. Murshid, protagonis yang menggerakkan "cerita" di dalam nafas tiga kota ini memperlihatkan "hidup nafas" Kuala Lumpur dan isinya - kemudian, impian "utopia" supaya Kuala Lumpur "dekat seperti New York" (dan hal ini disengajakan berkali-kali, dengan membawa pembaca masuk ke tayangan filem lucah dua lesbian berlatar kota New York, ini eskapisme Murshid yang akan mengganggu kontinum ala Jacob's Laddernya di akhir cerita), suatu kota yang "paling cocok dan mengikut hatinurani" buat Murshid (dan bukan seperti Los Angeles), dan akhirnya, Miami, suatu kota yang (sebenarnya) paling dekat dengan Kuala Lumpur dalam lanskap mata Murshid apabila kotanya "wujud" dalam satu impian yang palsu dan ditandai oleh manusia-manusia pendatang asing dan minoriti hitam (yang secara biadab Ridhwan memanggil mereka negro dalam novel ini) yang memberinya nafas setiap hari. Ini ditambah dengan perwatakan Murshid yang persis tajuk utama Utusan Malaysia 24 Oktober 2011, sebagai narator yang menceritakan setiap selirat dan tubuh telanjang Kuala Lumpur dan impian pagi dan malamnya.

Lebih menarik lagi, ia dipecahkan dalam tiga struktur, pertama Murshid dan Kuala Lumpur (dan isinya - buat saya, ini bahagian terbaik novel ini), kemudian plot penerbangan Murshid ke Miami secara terburu-buru ala-ala pengintip merangkap refugi terbela, lantas akhirnya Murshid "terbangun dari mimpi" lantas ketemu dengan sahabatnya Awang yang sudah meninggal dalam plot sebelumnya dan menyedari bagaimana "mimpi" yang dialaminya itu (seperti kata kawannya) adalah "petanda" (sign/prophercy) masa depan yang akan dihadapinya nanti. Pada mulanya, saya ingin menyumpah Ridhwan kerana berani memberi sesuatu yang klise (berkenaan bangun dari mimpi) dalam penceritaan fiksyen. Tetapi dengan penerangan panjang Ridhwan berkenaan persahabatan Murshid, Awang dan Ramlee sewaktu UiTM (kita anggap sebagai Murshid yang muda sebelum bekerja di Kuala Lumpur), dan kemudian, memberi satu lagi kejutan sureal, dengan keberanian, membawa kita lebih jauh daripada itu iaitu memasuki alam "barzakh"(?) atau alam "mati sebelum hidup semua", saya merasakan "kitaran" yang mulanya kelihatan moralis (kerana mematikan suatu utopia yang terlalu bebas dan hedonis buat konsensus tempatan) menjadi kitaran yang mempunyai makna yang "segar" sekali gus radikal: ia memohon pembaca mengitar alam ketidaksedaran ini untuk "mengitar diri" kita bagaimana kita melihat diri kita terhadap ruang dan kontinum yang sudah tersedia di hadapan (di sini, ruangnya, kota, yang boleh dikaitkan dengan negara). Adakah kita masih lagi "tuli" dan "mati" atau kita mahu "hidup" dan "sedar"? Ridhwan memohon kita melakukan "revolusi", bukan lagi "reformasi". Sifat "subversif" Ridhwan kini lebih "refine" dan tidak sekasar Cekik.

Segala aroma, sakit dan kotornya Kuala Lumpur digambar secara teliti dan menarik, juga beberapa kota yang dijadikan sebagai "perbandingan" dengan "jiwa kosong" Kuala Lumpur. Memang, Ridhwan atau Murshid mengimpikan keAmerikaan (kebaratan, pandang barat, suatu kemunafikan masyarakat kita yang memandang ke barat dan segalanya kebaratan. Rujuk hlm. 169 bila Murshid mengenakan cermin mata hitam lantas penyelubungan keAmerikaannya sempurna bila pekedai itu berkata, "This is you."), tetapi kita menyedari, Kekuala Lumpuran itu juga yang "membaham"nya akhirnya, mahu tidak mahu, palsu atau menjengkelkan, dalam bentuk bendera ataupun kematian dihempap dada bangunannya. Ini membuatkan kisah ini perlu ditelusuri sekali lagi dan sekali lagi untuk membuka setiap ikatan lapisannya. Baik membenci atau menyanjungi tuhan-tuhan barat yang dinyatakan oleh Ridhwan di dalam novel ini.

Ridhwan juga ada "mengenakan" beberapa hal sekeliling, sastera mutakhir dan keengganan elitis sastera kita untuk merubah. Juga beberapa sindiran yang sinikal terhadap Ramlee Awang Murshid yang disengajakan (sebagai wakil utama novel popular tempatan, seperti adanya Jeffery Archer untuk negara Barat). Inilah "pendapat" kulit novel terkini Ridhwan, jika kalian membaca novel popular, kalian hanya nampak lapik baju dan kulitnya. Membaca novel ini, kalian melihat tisu dan urat sarafnya secara telanjang, dan inilah "kebenaran" yang menyakitkan dan cantik buat Ridhwan.

Saya juga menyedari, setiap cerita yang diadakan dalam novel kali ini, juga tidak "lari" daripada cerita-cerita dan watak-watak yang ada dalam Cekik. Ini adalah kerana Ridhwan, sebagai seorang sasterawan, "menulis daripada pengalaman", yang memang, kita ketemu pun "suara biografi"nya dalam tulisan ini yang kelihatan lebih jelas menyerupai kisah hidupnya (kita tahu ini kerana Murshid sendiri menerangkan di dalam teks untuk menulis "jurnal hidup" yang lebih penting daripada kisah yang dibuat-buat, merujuk fiksyen ciptaan Ramlee Awang Murshid). Kita tahu Awang itu "Jimi/Hazimin", Ramlee itu "Ikhwan" dan Murshid itu "BinFilem/Ridhwan" yang menjadi pendukung blog Bin Filem. Maka kebanyakan tulisan dalam Amerika ini adalah "riwayat" hidup tiga mereka yang dari UiTM, yang kemudiannya memusat kepada Ridhwan dan hidupnya yang selalunya keluar dari konteks konvensional anak Melayu (atau kami panggil Melayu dari Pluto, atau dahulunya, Melayu hilang adat, atau semangat Hang Jebat), yang boleh kita jumpa imejannya dalam filpen-filpennya (rujuk filpen-filpen awalnya), nostalgianya terhadap Penjara Pudu dan pengalamannya di Festival Filem Miami. Ridhwan "mencatat" kesemua pengalaman ini secara mata naif, dan ini kelihatan menyinar baik dalam pengalaman-pengalamannya di Miami.

Hanya mungkin, secara keseluruhan, masih ada lagi lompong yang saya sedari adalah kerana, kali ini, Ridhwan tidak "bereditor" (bukan seperti Cekik) yang mana kali ini Ridhwan melakukan segalanya dengan sendiri. Banyak kesalahan pruf yang menyebabkan, jika anda tidak sabar, buku ini boleh sahaja dicampak sejauh 500 meter kerana kemalasan Ridhwan untuk meneliti tanda sengkang yang terlalu banyak dalam satu halaman, yang kadang-kala berpurata 20 lebih. Kemudian saya ingin menyoal jika Ridhwan ini sengaja atau tidak sengaja merosakkan tatabahasa dengan penggunaan ramai orang-orang dan kata ganti nama "aku" dan "saya". Ini terserlah "hilariously silly" bila kita membaca di hlm. 151 sewaktu Murshid di Miami:

Aku makan sandwich Cuba sebenar saya.

Serius, saya tergelak cikai membaca ayat polos ini. Seakan Murshid makan banyak babi semasa di Miami.

Beberapa bahagian juga kelihatan jengkel apabila dialog yang diutarakan (khusus Dahlia dan Murshid) kelihatan seperti dialog-dialog filem Yusof Haslam yang ketinggalan zaman itu, sesuatu yang ironi apabila hal itulah yang ingin dipersendakan oleh Ridhwan (menolah konvensi dan sikap ketinggalan zaman). Dalam bahagian ketiga novel ini, sewaktu perbincangan berkenaan "arkitekstur", penulisan Ridhwan mula memasuki detik "kering", sehingga saya membaca dengan menguap dan membidas "watever" walaupun ianya mempunyai makna terhadap "arkitekstur" kota yang ditelanjangkan. Kemungkinan hal ini yang Ridhwan perlu pelajar daripada sasterawan seperti Umberto Eco dengan karyanya Focoult's Pendulum, sebuah novel yang sarat teori dan perbincangan pesudosains dan falsafah tetapi semuanya berlingkar dan berselirat teguh menunjangi plot dan masih intrig untuk dibaca.

Membaca novel ini akhirnya mengingatkan saya kepada teknik Arena Wati dalam Sanderanya. Amerika yang bercerita pusat tentang kotanya, dengan gerakan "riwayat seorang budak tidak sembahyang" sebagai pembawa ceritanya sama tarfanya seperti Sandera Arena Wati yang bercerita pusat tentang sejarah perjuangan kemerdekaan Malaysia dan pascanya, dengan gerakan "riwayat anak-anak merdeka". Kedua-duanya banyak bercakap-cakap, dipenuhi dengan watak-watak yang asyik bercakap dengan gerakan cerita mendatar ala jurnal kehidupan. Sekurang-kurangnya, Amerika akhirnya memberi kita satu penutupan yang cukup bulat, dan kelihatan mengharukan, membuat kita mahu menelusuri sekali lagi kisah hidup Murshid, mungkin dalam impian kita sendiri tentang bagaimana dia melihat Kuala Lumpur dalam sisi hidup semula selepas mati.

Tuesday, July 5, 2011

Republik Kutu: Anak Buah Wilayah Kutu


Tajuk: Republik Kutu
Oleh: Beberapa Penulis (Editor - Shafiq Halim)
Terbitan: Storm Kitchen dan Dubook Press
Tahun: 2011

Sinopsis:
Kumpulan sembilan penulis menyumbangkan pelbagai cerpen dan esei mutakhir rakaman kota, luar dan dalam, indah dan buruk, batu dan manusianya.

Rasa:
Saya tidaklah boleh begitu terlalu membicarakan buku ini kerana saya juga menyumbang bahan di dalamnya. Projek ini sebenarnya sudah bertahun lama, dikisar dan dieram dengan secukupnya, hasil idea Ruhayat X, antara "peneroka" buku indie (beliau memperkenalkan Wilayah Kutu yang amat terkenal pasca Reformasi) tempatan, dibantu sunting dan susun oleh Shafiq Halim, angkatan muda yang mula menunjukkan belang.

Zatikah, antara pembaca sastera menyatakan kepada saya terhadap sekuel tidak rasmi Wilayah Kutu ini, "Kenapa semuanya, masih LELAKI?" Saya tidak dapat menjawab soalan itu kerana saya tahu, sumbangan terhadapnya adil kepada semua. Malah, saya juga bertanyakan, apakah tema dan "wawasan" yang ingin Ruhayat bawa kali ni. "Tulis je apa-apa janji tulis," kata beliau. Malah ada juga yang "melanggar perintah", dan didapati, sajak dan esei (atau ianya dipertikai sebagai parafiskyen?) turut termuat. Mungkin hanya penulis wanita yang berurban masih kurang, atau hanya seronok bersajak di tepian kaki lima?

Saya tidak mungkin akan menganalisis karya saya sendiri di dalam buku ini. Kerja begitu, HARAM dalam aliran ulasan. Hal itu eloklah diberikan kepada Wan Nor Azriq yang analitikal dan kenal baca teks sastera buat teks sastera. Dan saya sudahpun tahu resensi beliau bahawa karya-karya saya semuanya "poyo" dan tidak mencapai tahap "sastera" (hahahahahaha). Tetapi eloklah kiranya saya nyatakan proses penulisannya walau secer mana ia akan buat Wan Nor Azriq.

Certot Al-Fatihah Mak itu adalah antara tulisan saya dalam nota facebook, ditulis sewaktu masalah maha berat yang menimpa saya sekeluarga, khusus adik saya yang dianiaya dan dizalimi. Keadaan dan ujian itu benar-benar mengganggu jiwa, rohani saya waktu itu. Lantas certot itu ditulis, memandangkan jika harapan "mati" atau pegangan "tiang seri" itu hancur luluh, apakah pula dengan roh dan ekstisansi saya waktu itu? Hal "mati" ini menarik, kerana Ajami Hashim, pengkritik filem yang sama-sama memohon bantuan saya untuk menulis Anak Ikan, menyatakan, penulis mempunyai "tema agung" dan "imej" yang selalu berlegar dan wujud dalam alam karyanya. Imej yang ada dalam karya saya ialah "kematian" atau "selepas mati, timbul hidup, atau nyawa, atau dunia..." Saya kira ini menarik (dan menakutkan saya) apabila saya teliti, walaupun "novel remaja" saya dalam JIAN (turut bermula dengan kematian), Saga Horizon, cerpen dalam Romlah, dan beberapa karya yang lain.

Cerpen Sehelai Sehari pula saya tujukan kepada seorang kawan yang saya kenal, begitu sumpah-sumpah dalam pemahamannya terhadap sosial atau makna anti-sosial. Ianya satu nota peribadi yang sengaja saya kongsikan.

Cerpen Suspuriorium pula adalah lanjutan trilogi "tiga ibu" yang saya pinjam rujuk daripada filem seram Dario Argento (Suspiria-Inferno-Lacrimarum). Inferno merupakan cerpen pertama, yang keluar dalam Elarti2 (protagonis berdepan dengan masalah aqidah pada waktu akhir hayatnya oleh pengganas fundementalis dalam kapal terbang yang ingin menumbangkan bangunan), dan ini adalah susulan "tema besar" tersebut, yang khusus mengharungi jiwa manusia yang mendepani "seram" yang manusia sendiri lakukan. Kali ini, lebih khusus terhadap kemahuan syahwat dan mata di balik dinding (kita semua melihat, hanya kita yang memilih untuk melihat apa).

Alhamdulillah, saya dikelilingi sahabat-sahabat yang menarik. Amaluddin Zhafir adalah seorang penulis yang kian naik, khusus dalam dunia zine DIY, di mana, banyak sajaknya kini didengar-dengarkan dalam kalangan kumpulan indie atas sifatnya yang keras dan tulus, sedari Rahmat Harun. Zhafir memberi kita cerpen Industri Kutu, Untuk Yang Terlepas serta beberapa sajak yang keras. Saya tertarik dengan cerpen Industri Kutunya yang memberi "cerita" biasa-biasa sehari-hari anak kota (kutu) yang hidup dalam "mundaness", yang hilang "realiti" dan "fantasi"nya. Ianya agak "raw", tiada keinginan untuk menunjukkan laras dan gaya dan berlubang-lubang. Zhafir kemungkinan boleh mengembangkannya menjadi sebuah novel.

Azzief Khaliq pula pandai memahami "drama". Apakah signifikan 18 September 2010 apabila si pasangan protagonis memohon dirinya "dibunuh"? Seksual sekali gus gelap. Apa yang penting, Azzief menunjukkan kemahiran dalam penggayaan atau membawa pembaca ke titik tertentu dalam teksnya, selalunya unsur "mengejutkan" sepertimana dalam Anak Bongsu Ayah. Mungkin paranoia itu pilihan Azzief untuk selidiki dan hadam.

Fairul Nizam Ablah, ahhh, mantan si editor Gempak, Komikoo yang elitis, penulis skrip. Fairul mempunyai kekuatan imej, atas sebab ini beliau memang editor komik dan penulis skrip animasi. Beliau juga amat memabukkan Murakami (antara penulis yang sengaja tidak saya endahkan kerana tidak mahu dipengaruhi olehnya). Atas sebab itu kiranya, beliau menulis Peristiwa Kiki dan Aku Sewaktu Mahu Bikin Nescafe Di Pagi Hari. Sememangnya falsafah hidup dan kucing bercakap tampak biasa dalam dunia Fairul. Antara ketiga-tiga cerpennya, saya amat menyukai Memoir. Fairul kemungkinan ada mencedok semangat beberapa cerita komik atau cerpen seram, tetapi cerpen ini begitu menyeronokkan buat saya, seakan pasangan romantik bersama cerpen Anak Merdeka Saharil Hasrin Sanin.

Hafiz Hamzah pula memberi kita beberapa cerpennya yang menyingkap dunia wanita-wanita gelap, dengan suara Jalan Telawinya, menangkap dan menyentuh wanita-wanita tersebut, cuba memberi mereka "suara manusia". Kadang-kadang, Hafiz kelihatan "romantis" terhadap mereka, bukan hanya cuba ber"erotik". Semangat kumpulan "Ayu Utami" kuat di dalamnya, dan ini beliau cuba sampaikan dalam esei Pasar dan Estetika, yang beliau cuba retorikkan kehancuran sastera konvensi dan ketidakmampuannya. Esei ini "berani" tetapi perlu sesuatu untuk membuatnya "terkamit mulut". Mungkin Wan Nor Azriq dapat membantu. Hafiz merupakan antara penulis serius paling berambisi dalam kumpulan ini.

Paranoia Semalam, mungkin mensengajakan judul cerpennya kepada (1), (2) dan (3), semuanya menarik. (1) adalah kegemaran peribadi saya, sebagai sebuah parodi politik mutakhir, khusus bumiputera yang terikat dengan kebenaran "kehendak". (3) juga merupakan sindiran Paranoia terhadap pemahaman liberal yang kita tidak tahu pun kuasa sebenarnya apabila ia dilepaskan melata otak anak muda.

Ah, Ridhwan Saidi, apa lagi yang ingin saya katakan tentang beliau. Suatu fenomena sudah tentunya, khusus dalam karya pascamoden seperti yang dikenal pasti oleh Roslan Jomel. Di dalam buku ini, yang sememangnya karya-karya awal beliau, tampak benar "raw"nya tetapi itulah yang menarik (sebelum beliau menggegar negara dengan Cekik), melihat perkembangan beliau menghadam dan mencerna karya.

Antara kesemua penulis, Roslan Jomel merupakan penulis yang paling saya hormati di dalam kumpulan ini. Kekuatannya melampaui kesemua penulis di dalam buku ini. Khusus dua buah cerpennya yang kompleks, pascamoden dan begitu indah dalam mengulit rasa urban, modenisme dan konsumerisme, Kata Barbie, Dia Bukan Boneka yang bercerita tentang perasaan "denial" dalam "paksaan materi", kemudian Romantika di Tandas yang begitu menyerlah indah memahami keindahan "kebusukan kehendak zaman sekarang".

Stam Mustapha, penulis terakhir yang turut indah mengambangkan sayapnya. Pindah merupakan cerpennya yang paling saya suka, kecil, keterangan-keterangan kecil tentang anak, kawan dan ibu, tetapi sebak secara tidak tersurat, juga menyatakan pengertian "meninggalkan" seperti meninggalkan "kenangan" (ianya suatu pengalaman manusia yang amat susah) dan ini dicerna dan disampaikan dengan baik sekali oleh Stam. Ini merupakan antara cerpen yang terbaik dalam buku ini.

Jika diperbandingkan dengan Wilayah Kutu, saya kira, buku ini mempunyai kekuatannya sendiri, yang mana pelbagai persoalan tema yang cuba ia terokai dan sampaikan, yang mungkin agak "raw", dan ada juga yang kelihatan tidak matang (lebih-lebih lagi tulisan saya), tetapi tetap, ia memberi landasan warna terhadap lamunan kita buat kota dan isinya.

Tuesday, April 19, 2011

Cekik Mencengkam


Tajuk: Cekik
Oleh: Ridhwan Saidi
Terbitan: Buku Fixi
Tahun: 2011

Sinopsis:
Tarikh 2020, di Bandar. Warith, pemuda berusia 16 tahun, menerima berita pembunuhan bapanya di Kampung melalui telefon. Warith, yang melarikan diri pada umur 14 ke Bandar telah menemui dan bersekedudukan dengan Suria. Warith dan Suria, tidak menyedari, pertemuan mereka bukan kebetulan, tetapi pilihan yang membawa kepada tragedi indah bersalut gula-gula pelbagai warna.


Rasa:
Saya agak terganggu dengan novel sulung Ridhwan Saidi ini apabila selesai membacanya. Saya rasa tertekan, secara pelik, kelakar, juga simpati terhadap sesuatu yang indah, tetapi perlu dinoktahkan (hal ini perlu untuk mengikuti perfahaman klimaks dan resolusi sesebuah cerita).

Saya juga merasakan, novel ini berani, dalam beberapa sebab yang cukup dihormati. Pertamanya, pertama kali saya membaca sebuah naratif yang begitu segar (sebelum ini, saya amat-amat menyukai Lina Sepora dan mengakui hasil kerjanya tidak lagi ditandingi sehingga sekarang) dan mencengkam saya dengan ceritanya yang agak membantai segala strata moral yang konsensus masyarakat kita kenali. Secara jujur, saya tidak jumpa hal ini "disensasikan" (walaupun, fiksyen pulpa [pulp fiction] memang bercirikan unsur sensasi) tetapi merupakan satira moden (atau sememangnya pascamoden) yang cukup teliti dan tajam menikam segala yang ada dan bernafas di dasar pelusuk kota dan kampung Malaysia.

Saya merasakan, pemilihan watak Warith sebagai "penanggung" tragedi Oedipus yang diintertekstualkan hanyalah enjin plot (termasuk gaya ala-ala penyiasatannya) kepada latar cerita atau naratif agung Ridhwan untuk memaparkan kematian, atau kebenaran hakiki keberadaan kemanusiaan era ini (terima atau tidak, ia di hadapan kita). Korus tragedi Yunani Oedipus Tyranos oleh Sophocles sendiri mengesahkan ini apabila dinyatakan "Kejahilan membuat kau gembira. Kebenaran membuat kau menderita." Warith, di sini, merupakan watak "utama" (ini adalah kerana, terdapat dua lagi watak, Suria dan Anton yang kita akan masuki arus kesadaran mereka) menggerakkan naratif agung. Kita melihat cerita "setiap hari" yang berlaku dalam novel ini melalui matanya yang "naif" dan telus, tidak memberi gerak dan akibat menurut pemahaman "keagamaan" ataupun "budaya" yang kita kenali, tetapi "wujud" seperti adanya ia, untuk "melihat" dan "memerhati". Di sinilah, seperti watak Oedipus, Warith merakam "pengalaman" tanpa banyak menghukum. Ini merupakan tujuan eksistensialis Warith, baik dalam hidup sehariannya di kampung, pertemuannya dengan Suria dan perjalanannya ke Bandar. Saya nyaris, terhidu sikap Jean Paul Satre dalam tulisan ini. Secara ironi, Warith pula diwujudkan untuk tidak mencari kebenaran. Kebenaran menjumpainya!

Yang lebih penting dari itu ialah "penglihatan" atau "pemerhatian" Warith, atau Suria, atau Anton, tentang mundane atau kebiasaan yang berlaku sehari-hari dalam pengembaraan hidupnya dari Kampung dan Bandar. Di sinilah gaya Ridhwan menyinar. Humor, ironi dan penerangan teks yang lumat indah dipergunakan dengan selambanya oleh beliau dalam bentuk arus kesadaran yang enak. Segalanya seakan ada dan mengujakan wataknya, berkenaan seks terutamanya, ideal machoisme, homoseksualiti, jenayah, politik Melayu, kebobrokan survival orang Melayu, sikap perkauman, jati diri orang Melayu, bahasa, dan khususnya, agama Islam.

Tetapi, lebih besar dari itu ialah bagaimana, dengan sesubliminal mungkin, Ridhwan menjalankan sikap kritis beliau terhadap dunia kapitalis Melayu/Malaysia baru, dengan penerimaan demi penerimaan material, sedikit demi sedikit, mengambil alih kegiatan sosial yang dijalankan oleh "agama" dan "budaya" Melayu. Paling tampak ialah ketelusan Ridhwan melihat "pemergian" agama simbolisme mihrab dan sejadah kepada fesyen dan khusus McDonald's. Dengan mencuitkan, hal ini disengajakan berkait dengan "mi maggi" (kaitannya, kedua-duanya "makanan segera") yang mana membuka kisah novel ini dengan penuh gaya dan "keindahan", malah turut disampaikan melalui satu babak surreal yang panjang.

Ada juga beberapa momen sureal yang saya kira, tersimpan baik dalam kod-kod tertentu (lelaki sawo matang, wanita purdah, leher, cekik, mi maggi) yang saya kira, akan menjadi debat meta-mistikal rancak antara pembaca dan peminat buku ini pada masa hadapan, menjadi dengan disengajakan, misteri besar "alam" novel ini.

Ada yang menyatakan, novel beliau ini porno atau lucah, mungkin. Dengan licik, Ridhwan sendiri, menjawabnya dengan sebuah esei pendek Umberto Eco berkenaan apa itu "porno", menjawab dan sekali gus menyatakan "apa yang anda baca sekarang ni porno, jika anda rasa ia membuang masa anda" (sekali gus membawa persoalan, jika sesuatu teks itu diintepretasi, walaupun sesuatu yang murahan, menjadi 'seni' atau berharga apabila ia diintepretasi atau diwacanakan).

Hanya saya merasakan, pengakhiran novel ini sedikit terburu-buru, walaupun cara dihabiskan amat bernada main-main. Pun begitu, sepenuhnya, novel ini telah mengkagumkan saya. Novel ini berjaya mencengkam saya untuk melihat kejahilan kita melihat persekitaran kita dan dogma yang diterapkan di dalamnya. Sememangnya novel ini suatu pengalaman subversif yang indah sekali gus membahayakan.

Bahasa Melayu itu Pariah Sebenar dalam Cekik


Saya sedang membaca sebuah novel pascamoden Melayu yang mengkagumkan (setakat ini), Cekik, tulisan saudara Ridhwan Saidi (pelopor BinFilem). Beliau mengatakan, novel ini beliau wujudkan apabila beliau menonton sebuah teater Oedipus serta membaca Interlok dan isu yang berlaku berkenaannya. Secara wit, beliau menggunakan pendekatan isu ini, serta rencah pinjaman ruang untuk menyelitkan sesuatu yang fikir saya, berjaya mencuit sedikit-sebanyak realiti yang dihadapi oleh masyarakat cerdik pandai Malaysia yang membenci bahasa kebangsaan mereka sendiri, serta segolongan lagi yang terlalu terperangkap dalam masalah kongkongan budaya (asal) mereka sendiri:

Apa pun, di sini Sue tidak berminat mengemukakan pendapat Sue berkenaan isu ini, tetapi cuba melihat istilah pariah ini dari sudut pandang yang lebih besar. Dalam konteks negara ini - hari ini - yang meraikan mono-budaya konsumer global, Sue merasakan pariah itu sebenarnya secara jamaknya merujuk kepada pengguna Bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa Melayu adalah kasta terendah selepas Bahasa Inggeris dan Mandarin walaupun Bahasa Melayu ini adalah bahasa kebangsaan.

Hendak dijadikan cerita, rumah Sue pernah dilawati oleh seorang anak saudara Melayu Sue yang telah dibesarkan dan terdidik dengan Bahasa Inggeris berumur lima tahun. Dia pernah menyatakan kepada ibunya bahawa semasa di pratadika, kawan-kawannya mengatakan bahawa mereka yang berbahasa Melayu itu loser. Hanya mereka yang lemah dan malas menggunakan Bahasa Melayu. Malah Sue juga pernah terbaca di status Twitter yang mengatakan dengan nada menyindir Bahasa Melayu itu sebagai 'bahasa kerajaan'. Ini kerana media berbahasa Melayu telah disinonimkan dengan agenda-agenda kerajaan. Sifat prejudis ini menular dengan luasnya di luar sana selari dengan mono-budaya konsumer global.

Cekik (hlm. 85-86)

Untuk makluman, "cerita" yang sedang berlaku dalam teks di atas ialah pada 2020. Suatu lagi yang sinikal, tulisan di atas "diceritakan" dalam bahasa Melayu. Persoalan yang dikupas ini menarik, dari segi kerelevan semasanya, cara persembahan dan gayanya, dan perhitungan yang melampaui isu yang diperkatakan.

Saya jadi terpanggil juga, melihat, jika isu tersebut benar-benar boleh membuka mata pembaca rakyat untuk meneliti sastera "Melayu", seperti yang didedahkan oleh novelis ini (hakikat yang beliau ingin katakan, sastera kebangsaan itu pun turut pariah lah!), dan persoalan marhaen atau terpinggirnya entiti bahasa dan entiti 'karya sastera' ini untuk disenangi oleh golongan borjuis (kelas menengah - kelas yang secara tepat disindir oleh novelis) ataupun golongan biasa (kelas menengah rendah - persoalan bahawa mereka tidak membaca). Saya mendapati ini, lebih-lebih lagi terhadap kunjungan bukan Melayu terhadap sastera Melayu, baik sasterawan ataupun pembaca. Contoh, saya meneliti majalah "Bollywood" yang mana saudara Uthaya Sankar "berjaya" ditemuramah, hanya kerana isu perjuangan "pembuangan istilah" dalam Interlok (saya jadi jegil kerana tulisan berkenaan Uthaya itu menyatakan "dia yang tidak kita ketahui umum sebelum ini" (baca: Largely unknown to and unnoticed by the Indian community of Malaysia), sangat menyakitkan, dan ini berlaku dalam sebuah majalah artis semacam URTV buat orang India! Lihatlah kontra yang menyakitkan itu!) Persoalannya, adakah kaum India Malaysia tertarik untuk mengenali Uthaya secara dekat lagi dengan karya-karya bernas beliau dalam sastera kebangsaan (yang mana, kini Uthaya sudah selaku 'artis' kerana di'naikkan' taraf oleh mereka untuk memasuki majalah hiburan Bollywood, ingat, dalam budaya India, bintang boleh disanjung sehingga tahap dewa!), menggunakan bahasa kebangsaan? Saya percaya, penjualan buku-bukunya tetap sama. Rakyat hanya mahukan yang lekas, terpampang, dan kontreversial. Teks itu hambar buat pengisian 'mono-budaya konsumer global' mereka.

Novel ini boleh dibeli di gerai Gerak Budaya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 di PWTC nanti.