Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |
Showing posts with label Nazri M. Anuar. Show all posts
Showing posts with label Nazri M. Anuar. Show all posts

Sunday, October 3, 2010

Buku Berpahala, Buku Berdosa

Saya sengaja memberi tajuk buat entri ini sebegitu kerana memandangkan dua buah buku (yang saya habiskan agak cepat) yang saya ulas di sini mempunyai "pengaruh" serta genre pembaca yang berlainan, buku pertama lebih "tersebar" luas sebagai roman picisan Islami yang sedang menggugat dunia sastera kita, sedang buku kedua lebih "tersorok" sebagai suatu protes terhadap norma dan kebiasaan moral (dan budaya) yang kita anuti secara alamiah. Maka dengan itu, sang pahal bertemulah dengan sang berdosa, tetapi tidak semestinya yang berpahala itu maksum dan yang berdosa itu kotor.


Tajuk: Karipap-karipap Cinta
Oleh: Nazri M. Anuar
Terbitan: PTS
Tahun: 2010

Sinopsis:
Ali, seorang jejaka yang bekerja di sebuah penerbitan majalah telah jatuh cinta dengan Sarah, seorang ustazah moden yang bekerja sebagai editor komik. Komplikasi berlaku apabila Ali menipu Sarah dan ibu bapanya apabila dia menyatakan bahawa dia juga seorang graduan Al-Azhar. Komedi screwball bertemu romantik dayu dalam kisah cinta remaja urban ini.

Rasa:
Nazri memang tahu membuat orang ketawa. Kekuatan Nazri, sekurang-kurangnya adalah dalam membina stuasi yang "menjerat" protagonisnya dengan masalah moral tanpa benar-benar "bersyarah" tentang kita jika "moral" yang dipilih oleh protagonisnya salah atau betul. Ini merupakan kekuatan Nazri dalam novel ini.

Kita mengikuti dengan tawa dan sabar kisah persahabatan (cinta) Ali dan Sarah yang dikelilingi oleh kawan-kawan dan keluarga. Pemasalahan "cinta itu buta" dan "cinta pandang pertama" serta "kenal sebelum kahwin" yang tipikal dalam budaya Melayu dimainkan di sini dengan latar urban dan kondisi anak muda Melayu sekarang yang melayan dunia budaya popular underground dan lebih bersikap liberal terhadap sekelilingnya.

Suka dinyatakan di sini, Nazri juga mempunyai agenda "if u can't beat it, join it" yang mana, Nazri secara licik, menspoofkan tulisan bernas Habiburahman Shirazy (Ayat-ayat Cinta) itu kepada suatu persoalan yang menjentik "komersialisme dalam produk Islami zaman sekarang". Ini tampak disengajakan dengan memaparkan simbol "karipap" (hal ini tampak lebih seksual jika pembaca dapat menangkap petanda ini yang dikaitkan dengan Sarah), yang mana saya mula-mula melihat jika Nazri benar-benar menyelar secara "liberal" sebuah novel Islami yang begitu baik ditulis Shirazy. Tetapi tidak. Wujud juga sifat "mengelamun" terhadap sesuatu yang "suci" dan "baik" yang susah dimiliki (oleh orang seperti Nazri), meromantiskan Sarah sebagai simbol "sempurna". Kita faham di sini, kesempurnaan Sarah yang dilihat Nazri merupakan kesempurnaan Islam dalam mata penulisnya; tetapi kesempurnaan ini tetap mempunyai agenda yang tertentu buat penulisnya, Islam yang bagaimana? Islam yang proaktif dan dinamis (malah feminis!) terhadap tuntutan zaman serta permintaan anak mudanya. Di sinilah yang "dikejar-kejar" oleh Ali untuk memiliki petanda "Sarah" yang "sempurna serba-serbi" itu.

Tetapi keajaiban novel ini sedikit terencat kerana bahasa Nazri yang begitu tidak konsisten walaupun kelihatan hal ini disengajakan untuk membawa "teks humor" ke kertas. Begitu juga dengan peleraian demi peleraian yang sedikit formulaik serta senang, setelah memberi kita beberapa motivasi yang ampuh untuk kita selidiki jalan cerita novel ini. Paling penting, Nazri cuba "menyuntik" suatu dunia "spiritual" yang menarik (bahawa kadang-kadang kemahuan manusia di bawah keredaan dan pemerhatian Allah sesungguhnya) dengan mengambil inti bodoh lurus Abu Nawas dalam peta tunggang-terbalik Ali memikat Sarah dengan penipuannya. Kebanyakan penipuannya diselamatkan dengan "situasi-situasi" tertentu yang menunjukkan sejauh mana keikhlasan Ali terhadap Sarah. Saya mempunyai cita-cita bahawa kupasan menarik ini (bagaiamana dalam satu situasi, Ali terselamat dengan "pertolongan ajaib") diperluaskan lagi sehingga "menyedarkan" Ali betapa "agungnya" cinta Allah itu terhadap makhluknya. Tetapi hal ini tidak berlaku. Ali tetap jahil dalam "kaedah"nya untuk memiliki Sarah. Banyak hal yang ingin dirasakan "puas" tidak memuaskan kerana Nazri tidak sanggup untuk pergi jauh. Mungkin kerana Nazri memahami "kecil"nya dunia pemikiran manusia serta batas-batasnya. Banyak persoalan yang tidak terlerai dan tidak terjawab. Kenapa ada yang memerhatikan Ali, dan apa yang mereka dapat daripada membantu Ali? Semua ini disengajakan wujud tanpa motif, hanya untuk memuaskan kecuitan situasinya dalam cerita. Mungkin ini utopia Nazri terhadap 1Malaysia mungkin?

Novel ini masih sederhana sifatnya dalam kumpulan novel humor Islami. Yang jelas, ia berjaya memaut hati Othman Hafsham untuk membikinnya dalam bentuk layar. Zaman ini zaman kegemilangan roman picisan dan karya popular.


Tajuk: Orang Macam Kita
Diselenggara Oleh: Azwan Ismail, Diana Drani
Terbitan: Matahari Books
Tahun: 2010

Sinopsis:
Antologi ini memuatkan 25 judul cerpen dan esei yang berlingkar tentang dunia yang selalu tidak kita dengar dalam sastera dan masyarakat kita, homoseks.

Rasa:
Di dalam sejarah sastera Malaysia, Matahari Books bolehlah dikatakan sebagai pelopor sastera alternatif apabila memperkenalkan kepada kita pada tahun lepas sebuah antologi tulisan kreatif dan bukan kreatif tentang gay tempatan dengan kemunculan Body2Body. Sebenarnya, dalam sejarah sastera (atau sastera picisan?), sudah wujud beberapa judul novel yang mempunyai genre sebegitu, sedari awal 80-an hingga sekarang, tetapi novel-novel ini jarang diperkatakan dan kita tidak tahu bagaimana sambutannya terhadap pembaca.

Oleh sebab itu, kemunculan antologi ini, dengan "berani"nya menyatakan "untuk apa buku ini wujud" merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu, dibanggakan oleh golongan tertentu dan sudah tentu akan menghangatkan punggung beberapa golongan yang lain. Secara pendek, buku ini merupakan suatu buku bersejarah dalam entri sastera Malaysia.

Malah koleksi yang dipilih secara teliti oleh dua orang editornya mempunyai rencah dan keluasan genre yang mengkagumkan. Kita dapat merasakan, pelbagai "isu" yang diluahkan, daripada yang "menghentam" realiti dunia tersebut dengan realistik (ketidakmahuan masyarakat menerimanya), kepada teori seks dan politik yang berkait dengannya (peliknya, kurangnya isu AIDS dibicarakan oleh kumpulan penulis ini walaupun ada sebuah esei yang menyentuhnya), kepada kesedaran individual untuk berterus-terang dengan kemahuan dan kewujudannya. Malah, yang mengkagumkan saya, seperti mana tulisan Tiada Sesalan Azwan Ismail dalam antologi ini, tanpa selindung-selindung, Azwan menyatakan, dengan grafik dan meyakinkan bahawa dunia dan segala pengalamannya "tidak ada sesalan", suatu yang amat jelas terpampang dan lebih berani daripada mana-mana karya yang ada dalam antologi Inggeris Matahari Books tahun lepas. Malah, ini merupakan cerpen "anthem" yang menjadi tonggak kepada cerpen-cerpen yang termuat dalam antologi ini.

Malah cerpen seperti Sembang Ratu tulisan Nizam Zakaria merupakan suatu perkongsian "cerita dalaman" yang segar berkenaan hipokrisi dan satira yang wujud dalam dunia subkultur gay tempatan itu sendiri. Kita bertemu dengan hal yang tradisional, yang urban, yang moden, yang feminis, yang politikal, media, kotemporari, agama berbaur dengan persoalan moral, malah moral merupakan tema yang jelas diperkatakan (berkenaan ketentuannya terhadap masyarakat dan penyebab yang menjerut golongan ini). Begitu juga dengan kisah yang amat gelap serta melangkau ke alam surreal. Pembauran yang pelbagai ini amat mengkagumkan. Kod-kod tertentu, imej dan paparan jelas dan terselindung diaplikasi dengan semahu-mahunya dalam antologi ini. Beberapa cerpen dalam antologi ini membuak persoalan-persoalan yang susah, dan bukan biasa dalam sastera kotemporari kita, walaupun ada yang hebat secara dramatis, serta ada juga cerpen yang jelas lemah dari segi isu dan bahasanya. Malah bahasa merupakan antara "masalah" antologi ini apabila tidak ada keseragaman istilah dan frasa yang ampuh dalam beberapa perenggan dan teks. Tetapi hal ini merupakan hal yang kecil jika dilihat betapa ke hadapannya cerita-cerita dan tema-tema yang dipersembahkan dalam teks antologi ini.

Esei Dina Zaman dalam mendalami wanita bertudung yang keliru dengan seksualitinya, esei Farish berkenaan pengisian jati diri Timur (walaupun dari segi penerimaan seksualiti) yang seharusnya dipandang timur merupakan antara esei-esei yang ditunggu-tunggu. Kewujudan pencarian "ketimuran" perlu dicernakan lagi oleh para penulis dalam mencari identifikasi mereka sendiri, walaupun tidak menolak sepenuhnya teori dan pengaruh Barat. Begitu pun, jelas dalam 3/4 karya dalam antologi ini bersumber dan mengetengahkan kekuatan teks Barat daripada teks yang jelas tempatan. Ini boleh dilihat daripada nama watak, rujukan budaya popular, nama tokoh, teori dan gaya penceritaan yang agak kebaratan. Ini tidak menjadi hal kerana antologi ini merupakan antologi pertama dalam sejarah. Kemungkinan, kita dapat melihat antologi serupa ini lagi pada masa hadapan?

Sunday, April 20, 2008

Opera Angkasa


Tajuk: Opera Angkasa
Oleh: Nazri M. Anuar
Terbitan: PTS
Tahun: 2007

Sinopsis:
Arman dan krew kapal angkasa Rajawali menjalankan khidmat pengangkutan kargo antara planet. Polisi mereka mudah: anda bayar, kami angkut. Tiada sebarang soalan ditanya. Suatu hari, mereka menerima tugasan yang disangka mudah. Tugas mereka: membawa pulang Faridah Hanum, anak saudara seorang senator yang pulang bercuti.

Namun ketika menjalankan tugas itu, mereka dikejar oleh pelbagai pihak termasuk lanun angkasa, pemburu upahan dan anggota kerajaan yang korup. Rupa-rupanya Faridah Hanum bukan gadis biasa. Gadis itu menjadi buruan kerana mewarisi kalung Raja Bersiung, salah satu daripada ‘empat Pusaka Kemusnahan’. Kalung itu adalah kunci yang mengaktifkan tujuh armada di tujuh galaksi. Sesiapa yang memilikinya dapat menguasai alam semesta.

Rasa:
Tahun ini merupakan tahun kebangkitan novel fiksyen sains dan fantasi. Antara yang mendahului adalah novel ini (sebenarnya novel Nuriazam Ismail, Sindrom VX mendahului buat terbitan PTS, selepas dua novel anugerah Dr. Zaki, novel Rahmat Haroun Fitrah Kimiawi dan novel kontreversi Kombat Faisal Tehrani) yang terbit hujung tahun lepas.

Opera Angkasa baik dijadikan novel 'suam-suam kuku' para pembaca yang baharu mula mengenal novel fiksyen sains, kerana elemen Opera Angkasa lebih sai-fai (walaupun beberapa perkara dalam novel ini menghunus kepada sains, latar luasnya bersignifikan pada advencer, bermakna, jika dibuang elemen-elemen sejarah dan fungsi teknologi angkasa, cerita advencer ini boleh sahaja dimuatkan dalam mana-mana latar alam, baik fantasi atau realiti. Pun begitu, pembaca akan terkejut dengan 'sejarah alternatif' masa hadapan serta budaya dan bahasa yang dicipta dalam novel ini, yang merupakan kekuatan 'tambahan' dalam menghidupkan latar dan ruang mileu cerita, geh!) dan menggunakan bahasa yang senang difahami. Paling penting, novel ini sangat menghiburkan, dari awal hingga ke akhir. Selepas habis sahaja membaca novel ini, saya memberi satu kredit pengalaman terhadap novel ini: "It's a joyride!"

Novel kedua Nazri ini sememangnya penuh dengan keseronokan, sangat sesuai dibaca oleh pelbagai usia. Ya, Nazri menunjukkan satu cara bagaimana novel yang kebiasaannya diiktiraf khas buat kanak-kanak juga akan 'menghiburkan' para dewasa yang mahu mencari bulan-bulan dan planet-planet. Beginilah novel kanak-kanak/remaja yang sepatutnya ditulis, boleh dibaca oleh kedua-dua golongan, seperti novel Harry Potter. Apa yang menjadi resepi berjaya Nazri ialah menjalinkan mekanisme keterujaan menggerak cerita dan daya tarikan pada setiap pergerakan aksi dan wataknya, suatu kebiasaan yang dibuat oleh penulis kanak-kanak Inggeris dalam 'menggerakkan' keseronokan pembaca muda.

Kuasa kedua Nazri terletak dalam melakarkan watak-watak yang warna-warni, walaupun karikatur tetapi memberi pendapat bahawa pembaca harus merasa 'terikat' akan watak-watak ini. Membuat kita 'sayang' dan senang mengiktiraf keberadaan watak. Kuasa sebegini ada dalam tulisan Charles Dickens dalam menggambarkan perwatakan, sifat, dan aksi sebuah watak dalam novelnya. Kita sedar, Nazri di sini lebih mengeksplotasi plot dan watak yang (nyaris saduran) dekat menghomaj Firefly, drama siri advencer koboi Joss Whedon. Tetapi dengan dialog-dialog mencuit hati (walaupun buat pembaca yang serius) yang diguna oleh Nazri, budaya dalam lingkungan cerita (lebih-lebih lagi Bumi Baharu dan madrasah Tuan Guru, Faridah Hanom) serta ketentuan Nazri yang pasti terhadap lukisan watak-wataknya yang terjaga teliti kesinambungan psikologi, sejarah dan pilihan mereka, novel ini sememangnya patut dijadikan filem sahaja kerana keberkesannya dalam setiap konflik dan aksi.

Walaupun tampak menghiburkan, novel ini tetap mempunyai semangat yang sarwajagat, lebih-lebih lagi tentang manusianya. Nazri mementingkan kemanusiaan dan sifat optimisme dalam moral manusia (secara moral, manusia akan memilih jalan yang baik walaupun ketidaksedarannya mengatakan yang sebaliknya). Nazri melakar satu semangat biasa yang perlu dipupuk buat kanak-kanak, bahawa kemanusiaan dan kasih-sayang sesama manusia sentiasa wujud dan bergerak dalam pelbagai zaman, ia tidak pernah berubah. Dari seorang individu sehinggalah sebuah kumpulan. Watak-watak Nazri pasti dengan ketentuan hidup, bersemangat menghadapinya, walaupun pada masa-masa susah. Memaparkan romantisme Nazri kuat, sekuat mana-mana idealis yang positif terhadap kewujudan dan ketentuan manusia. Ini dipaparkan secara tersirat dalam hati Arman yang menghafal sajak Siti Zaleha Hashim tentang bulan, menggambarkan 'bulan' itu dekat di dalam hati dan fikirannya (kita boleh pergi ke mana-mana jika kita mempunyai imaginasi, iman dan tekad yang kuat) walaupun ia jauh di mata. Kuasa romantisme ini kuat dalam novel ini, tetapi tidak digambarkan dengan terlalu atau merosakkan jalan cerita.

Nazri juga permainkan elemen yang biasa dibikin oleh para sasterawan sekarang iaitu Occidentalisme serta intertekstualiti (atau homaj) terhadap karya 'klasik'. Mungkin garapan yang dibuat oleh Nazri lebih dianggap main-main, tetapi ia wajar dan kena terhadap fungsi cerita. Persoalan 'Melaka mengalahkan Portugis', Bahasa Melayu menjadi lingua franca sarwajagat, matawang RM dalam urusan jual beli angkasa raya dan pelbagai perkara lain lagi, secara tersiratnya mempunyai sindiran pasca kolonial yang lembut, meletakkan sepatu para dijajah kepada sepatu si penjajah (adakah dengan kita menjajah, merubah persepsi kita terhadap yang dijajah?). Tetapi elemen ini pun (dengan logiknya) dibohongi dengan lapisan yang kuat dengan kemunculan 'kuasa penjajah' dari luar yang lebih kuat daripada orang bumi, menjadikan pernyataan sindir ini kepada satu yang melangkau 'mockery' tetapi pembuakan perjalanan sejarah yang bergerak dengan ketidakketentuan yang lebih nyata (bahawa sejarah ini tidak nyata sifatnya, kitarannya tidak sama, elemen kegemilangannya berubah; walaupun secara saintifik, teori kuasa itu masih sama). Misteri kompleks ini tentang alam kosmo ciptaan Nazri dicipta dengan teliti dan empati.

Opera Angkasa sebuah karya yang tidak akan merugikan, baik kepada pembaca yang hanya mahu membaca suatu hasil hiburan kerana gaya "page turner"nya, juga kepada pembaca yang ingin mencari satu kelainan dalam sastera. Ia sebuah "joyride" buat kedua-duanya.

Friday, March 16, 2007

Mainan kuasa Tuhan dalam "Aliya Elyana"



Tajuk: Aliya Elyana
Oleh: Nazri M. Annuar
Terbitan: Gala Unggul Resources (Gempak Starz)
Tahun: 2004

Sinopsis:

Aliya dan Eliyana adalah kembar kepada sepasang suami isteri yang sudah bercerai. Mereka berdua mempunyai kuasa psikik, kuasa luar biasa yang dapat menggerakkan benda atau membaca fikiran orang. Tetapi bukan itu sahaja, kuasa mereka lebih daripada itu.


Mereka masih di bangku sekolah menengah, penuh dengan rutin kebimbangan dan keseronokan remaja di samping membantu pihak polis menyelesaikan kes-kes pembunuhan yang sukar.


Dan semua rutin ini bergegar tiba-tiba dengan kedatangan Irene, seorang nenek berkuasa psikik tinggi dari Amerika, yang datang untuk mencungkil bakat istimewa Aliya dan Eliyana. Tetapi kedatangnnya turut bersama sebuah misi rahsia yang menggoncang Aliya dan Eliyana sebagai kembar dan keluarga.


Rasa:

persoalan keluarga, kebimbangan dan perasaan suka duka remaja mungkin menjadi latar Aliya Elyana, novel sulung fantasi Nazri M. Annuar ini.


Tapi jangan tertipu oleh olahan yang orang ramai mungkin prejudiskan sebagai stereotaip ini, kerana dalam Nazri bermain dengan psikologi watak 'baik tapi tak baik ala Rebel Without A Cause versi gadis yang agak dekat dengan Carrie tetapi tidak dikutuk oleh rakan-rakan seumurnya' Aliya dan Elyananya yang mengharungi detik keremajaan yang penuh warna.


Terdapat satu lagi struktur yang gelap dan agak setaraf dengan keinginan 'separa sedar' emosi remaja yang mencetus amuk tentang sekeliling mereka yang menekan mereka, sama seperti yang kita lihat dalam Akira ciptaan Katsuhiro Otomo (berkenaan kuasa yang perlu dibendung kerana kalau ia dipergunakan tanpa had, ia memusnahkan sesiapa sahaja walaupun diri sendiri).
Dan ini dibuat dengan teliti sekali oleh Nazri, walaupun ia tampak 'sebuah drama remaja-keluarga', ia amat berkait dengan Elyana yang memendam 'id'nya daripada membuas keluar dek pepecahan ibu bapanya. Dan ini yang dimainkan oleh Nazri dengan baik sekali untuk dikaitkan pula dengan satu lagi tema tersembunyi iaitu mainan 'campur tangan dewa' dalam mitos-mitos dewa Yunani, yang di simbolkan oleh pertarungan Irene, Kauffman dengan Aliya dan Elyana.


Dalam mitos Yunani (dan kebanyakan mitos klasik, termasuk hikayat-hikayat lama kita yang berkait dengan alam bunian), selalunya dewa-dewa mempunyai peranan penukaran takdir dan politik terhadap para manusia (sebagai simbol bidak). Manusia, seperti dalam kitab klasik Hindu Mahabrata adalah manusia-manusia yang diperlakukan (diperguna) dalam padang mainan dewa-dewa. Ini dapat dilihat jelas dalam Illiad karya Homer.


Dalam situasi ini, kadang-kala manusia, yang selalunya diwakilkan oleh separa-dewa (demigods, kerana pencampuran benih dewa dan manusia) dapat melakukan perkara-perkara luarbiasa yang boleh (seperti Hercules) melangkaui taruhan dewa-dewi.


Dan ini yang dimainkan oleh Nazri dalam Aliya Elyana. Aliya dan Elyana adalah separa-dewa dalam cerita ini, dipermainkan sebagai bidak oleh dua pihak kuasa besar (secara sindir, Nazri memilih antara seorang daripadanya sebagai simbol Amerika) yang ingin memiliki dan mempergunakan mereka. Ia adalah dalam kuasa Aliya dan Elyanan sendiri untuk sedar perkara ini (seperti teori paling laris detik ini selepas pos 9/11 untuk negara-negara Islam secara tidak sengaja- oksidentalisme serta berkait dengan nasionalisme) lalu memecahkan diri mereka daripada dibelenggu oleh kuasa-kuasa kuat luar ini (simbol anasir luar) yang hanya mahu menggunakan mereka untuk 'sebuah permainan'. Satu satira yang amat kena dengan realiti dan tanggapan kebanyakan orang tempatan kini tentang kuasa-kuasa barat terhadap rakyat tempatan dan jiran kita.


Itulah 'subtle'nya Aliya Eliyana, yang mungkin di luarnya adalah sebuah cerita bertemakan kebimbangan (teen angst) keremajaan yang punya kuasa psikik, tetapi di lapisan yang lebih dalam, mengharungi persoalan memiliki kuasa dan apa yang kuasa boleh buat (dan persoalan tanggungjawabnya) bila ada di dalam tangan seseorang.