Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |
Showing posts with label Konspirasi. Show all posts
Showing posts with label Konspirasi. Show all posts

Monday, May 7, 2012

Seram Rothschild



Tajuk: Rothschild Yahudi Kepercayaan Dajjal
Oleh: Ibnuyaacob
Terbitan: Moon Media
Tahun: 2012

Sinopsis:
Buku teori konspirasi ini membawa wacana perkaitan sebuah dinasti keluarga paling bahaya dalam umat dunia sekarang, Rothschild, dari permulaan hidup yang sederhana menjadi keluarga jutawan paling kaya dan terpengaruh sarwa dunia, memberi tekanan kepada setiap pemimpin berkuasa dunia. Hal ini tidak sahaja terikat kerana wang dan kuasa keluarga berkuasa tetapi "di bawah radar" ini tetapi atas perjanjian yang lebih purba dari tawarikh, Dajal Laknatullah sendiri. 

Rasa:
Saya membeli buku ini "saja-saja seronok", mahu juga cuba "ubah selera", malah saya juga menyukai teori-teori konspirasi ini yang pernah saya ikuti sewaktu remaja dahulu, khusus teori Dajal Laknatullah (Amerika itu Dajal, contohnya) dan adegan akhir zaman. 

Buku ini menjadi lebih menarik jika penulis dan editor buku ini lebih berjaga-jaga dengan bahasanya, yang kelihatan betul-betul "terburu-buru" hendak menyiapkannya mengikut "masa" sehingga terdapat terlalu banyak kesalahan ejaan yang merimaskan pembacaan.

Selain itu, ini sebuah buku yang menarik, seorang skeptik, boleh separa "percaya" dengan telahan dan kupasan yang diberikan penulis (saya anggap sekumpulan pengkaji), lebih-lebih lagi, saya, dengan buku di kanan dan Internet di kiri, saya akan taipkan setiap nama tokoh yang dinyatakan dan judul buku, agak menarik apabila hal-hal yang dinyatakan adalah fakta yang betul-betul wujud, "diselubungi" atas desakan sesuatu yang "menahan" maklumat itu "sahih". Ah, kerja yang seronok, lebih-lebih lagi dalam mengaitkan satu peristiwa/tokoh/badan dengan suatu entiti lain. Saya sendiri mencuba nama "Najib" dan "Anwar Ibrahim" dengan Rothschild, dan kedua-duanya "tidak boleh dipercayai kewibawaannya", ha ha, seorang memberi   peluang membukaan bank "Yahudi", yang satu lagi menjadi ahli panel forum dunia bersama-sama golongan "yang disyak" itu, ha ha. Contohnya, penulis menyatakan dengan jelas bagaimana siri-siri demonstrasi, revolusi adalah kerja dan proses yang digerakkan oleh tali-tali halus untuk penentangan kuasa (bukan kerana contohnya kerajaan itu suci, tetapi kerajaan itu sudah tidak dimahukan oleh kumpulan keluarga Yahudi Rothschild itu, walaupun mereka bersekutu dengan mereka!), dan ianya berlaku di setiap negara atas arahan keluarga ini yang kemudiannya datang daripada "Dajjal" itu sendiri, nauzubillah (hmm, saya bertanya juga bagaimana halnya dikaitkan dengan adegan Bersih baru-baru ini).

Tetapi lebih lama saya menelaah buku ini, lebih menakutkan jadinya, benar, saya tak pernah jadi takut bila membaca buku Stephen King mahupun Tok Awang, tetapi membaca buku ini, pada suatu malam saya seorang, bulu roma saya naik semacam, lagi-lagi apabila memasuki bab ritual syaitan yang dianggap dilakukan oleh keluarga Yahudi berpengaruh ini. Menghabiskan buku ini seakan satu "kengerian" yang tidak pernah saya rasai, seakan merasa pesimis terhadap hidup dan hanya Allah yang dapat memberi jalan penyelesaian terhadap cengkaman Dajjal laknatullah terhadap kita.

Antara bab yang "menakutkan" dan sangat kontroversial adalah bab berkenaan perkaitan perintis Salafi Muhammad bin Abdul Wahhab-Ibn Saud dengan Illuminati/Freemason(!) serta penggerak kaum muda, Syed Jamaludin Afgani sebagai antara Ketua Lodge Freemason(!) yang memaparkan bagaimana bertahun-tahun di Malaysia, orang kaum tua masih bertahan menolak perjuangan "kaum muda" atas sebab-sebab yang mereka sedari bahayanya, termasuk Tok Kenali. 

Ada beberapa hal yang masih saya "skeptik", tetapi fakta berkenaan pembinaan Israel dan didalangi Rothschild itu tidak dapatlah saya tolak, walaupun para penulis buku ini selalu menggunakan retorik "kerana ini digerakkan oleh Rothschild" tanpa menunjukkan bukti pada beberapa bab, malah ada petikan teks yang diambil sebagai "fakta hujah" kelihatan "samar", walaupun ada beberapa tempat yang membuat saya takut akan "kebenaran"nya.

Buku yang menarik sebagai persuratan teori konspirasi ala Islam yang berkaitan kuasa Yahudi-Zionis merancang peristiwa mendatang pada akhir zaman. 

Friday, April 20, 2007

Gerakan Freemason Sedunia

Tajuk: Gerakan Freemason Sedunia: Falsafah Freemason Yang Telah Didedahkan dan Ditolak
Oleh: Harun Yahya
Terbitan: Saba Islamic Media
Tahun: 2005

Sinopsis:
Buku ini memuatkan pendedahan tentang pergerakan Freemason, dan falsafah disebalik persatuan rahsianya yang penuh berahsia daripada pandangan seorang sarjana Islam.

Rasa:
Buku ini bukan sambungan ‘Da Vinci Code’. Bukan. Tetapi mempunyai gaya ‘konspirasi’ yang agak dekat, dan langsung tiada semangat cereka (oh ya, kedengaran Dan Brown menang sedang menulis sebuah buku baru tentang persatuan Freemason, iaitu ‘The Soloman Key’).

Pada mulanya, buku ini semacam sebuah lagi buku dakwah, dengan retoriknya yang panjang-panjang membidas Freemason, Yahudi, Kurafat dan Munafiq. Tetapi semua ini berubah (dan bagi saya, berjaya mencapai objektif buku ini, iaitu memaparkan falsafah sebenar Freemason dan keinginan falsafah mereka ini disebar luaskan) pada dua bab akhir buku ini, memaparkan dengan terang-terang (walaupun para skeptik akan masih mempersolakannya) apakah roh sebenar persatuan ini, apa yang mereka mahu ubah, dan bagaimana mereka mahu melakukannya.

Beberapa perkara dalam buku ini menarik, malah memaparkan bagaimana dengan senyap, pihak Freemason ini berjaya menumpaskan satu per satu negara supaya ‘tunduk’ di bawah falsafahnya. Paling menarik adalah bagaimana Harun Yahya mengaitkan teori Humanisme dengan ajaran aqidah ahli sihir Mesir dan Kabbalah, dan bagaimana ajaran ini disalurkan secara ‘senyap’ dalam pengajaran Darwinisme. Seakan-akan memang, kesemua ‘ajaran sains moden’ ini satu konspirasi yang terancang dan sangat cerdik.

Perkara yang saya belajar (ya, saya pun belajar sesuatu daripada buku ini) ialah, JANGAN jatuhkan sistem kesultanan Melayu kita, kerana golongan ini sebenarnya ialah sistem khalifah yang dibawa oleh Nabi (bukan sahaja Rasulullah) yang mempercayai satu ‘karomah’ itu hanya turun pada satu-satu keluarga yang tertentu dan keluarga ini memang bertanggungjawab terhadap masyarakat yang diperintahinya. Harun Yahya memaparkan, bagaimana, sebelum puak Freemason ini menjalari ajaran ‘humanisme’ (maknanya, pengkajian terhadap manusia yang sudah sempurna, iaitu kesemua manusia itu sempurna, dan mereka hidup tanpa dicipta oleh sesiapa, mereka berjaya kerana mereka menumpaskan makhluk lain), mereka menjatuhkan dahulu raja-raja mereka, kerana raja-raja ini dibawah naungan Pope Catholic, dan kedua, tanpa raja, sesiapa pun boleh menerajui negara (konsep humanisme).

Sebuah buku yang menarik, walaupun tetap didaktik pengolahannya.