Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |
Showing posts with label Clive Barker. Show all posts
Showing posts with label Clive Barker. Show all posts

Monday, May 26, 2008

Sajak & Seram

Tajuk: Sajak Sajak Suci
Oleh: Abdullah Jones
Terbitan: Sindiket Sol-Jah
Tahun: 2007

Sinopsis:
Kumpulan puisi coretan Abdullah Jones, seorang penyair terkemuka di dalam dunia laman e-sastera. Kebanyakan puisi yang tersiar di dalam buku ini adalah hasil beliau sewaktu di perantauan Eropah.

Rasa:
Saya tak selalu mengulas buku sajak, kalian perasan atau tidak? Ini adalah kerana saya tidak pandai membaca sajak, malah subjek sajak ialah subjek paling lemah dalam kertas Bahasa Melayu saya sewaktu SPM. Azwan, kawan baik saya senantiasa menekan saya bahawa sajak itu penting dalam sastera dan saya perlu kenal sajak. Oleh sebab itu, saya cuba membaca buku sajak ini.

Secara seloroh, saya senang memahami sajak-sajak Abdullah Jones. Secara terus-terang, sajak-sajak Abdullah Jones ialah sajak-sajak untuk semua, ia mempunyai alunan dan bahasa yang sederhana, tidak terlampau absurd dan kadang-kadang realis. Malah Abdullah ialah kesinambungan penyair-penyair romantis yang terbit pada zaman Usman Awang. Garis-garis barisnya yang senang dengan nada berpantun disambung-sambung membentuk makna, kadang-kadang ia menyentak fikiran sebaik sahaja kita membacanya, kadang-kadang ia menyentak setelah kita membacanya pada kali ketiga.

Paling tampak dalam Abdullah ialah, dia tidak pernah hilang akan jati dirinya. Malah kadang-kadang Abdullah (yang kebiasaan buat penyair romantis) saling mengimbau perkara-perkara yang hilang, dari konteks beliau 'merantau' dalam dunia terasing (luar negara) kepada pemerhatian seorang 'manusia silam' yang dikelilingi keterasingan dunia moden. Malah keterasingan dan rasa imbau ini yang menyebabkan kadang-kadang Abdullah bertindak apologetik dan moralis terhadap dunia moden yang mengelilinginya. Kadang-kala, suara ini 'kena' seperti semangat 'suara muda' Abdullah dalam sajak "Baliklah Linda", dan kadang-kadang ternampak unsur dakwahnya yang cuba memahami konteks dunia baru dan moden yang mengelilinginya dan tampak sangat dia benar-benar 'sedih' atas kehilangan 'dirinya' sendiri di balik setiap kemodenan ini.

Sajak Abdullah Jones ialah sajak-sajak muda ditulis oleh seorang penyair muda yang mengerti hati orang lama. Mungkin ini yang ingin disampaikan dalam konteks 'suci' dalam sajak-sajak Abdullah Jones.


Tajuk: The Great and Secret Show
Oleh: Clive Barker
Terbitan: Fontana
Tahun: 1989

Sinopsis:
Sebuah cerita fantasi moden berbaur seram berlanskap epikal, membentuk plot kompleks yang diwakili oleh tiga generasi Amerika. Jaffe dan Fletcher ialah 'nabi' baru Amerika apabila mereka terjumpa dengan suatu kuasa luar biasa- nuncio, yang membuka kebolehan mereka seakan dewa-dewa. Dan dari kuasa ini, mereka mencipta manusia dan hantu yang meneruskan pekerjaan mereka meruntuh dunia.

Rasa:
Novel terawal Clive Barker ini mempunyai kuasa mencipta mitos baharu dalam kuasa 'dewa-dewa' ciptaannya sepertimana American Gods dilakukan oleh Niel Gaiman. Kelainannya hanya Clive Barker bermain dengan 'dewa-dewa' yang lebih primitif unsurnya tanpa benar-benar mewakili legenda Amerika atau barat (Fletcher dan Jaffe ialah simbol nabi dan syaitan yang biasa dalam kitab Talmud) sehingga kepada yang moden dan khusus kebaratan (dewa-dewa simbolisme para pelakon Hollywood, menjadi wakil psyche Amerika pada zaman itu sebagai wakil 'penyelamat'). Kod kriptik ini menjadi mainan Barker dalam membentuk sebuah satira tentang Amerikana dalam mencapai cita-cita 'impian Amerika', baik buat hati yang luhur sehingga kepada hati yang memberontak, tanpa benar-benar meletakkan hitam putih di antaranya.

Suara Barker sentiasa telus, bahawa baik yang berbudi atau yang berhati busuk, apa yang menggerakkan mereka semuanya ialah sifat emosi yang asas, iaitu kemahuan (mencapai impian) kerana secara relatifnya, impian ini tidak dapat dicapai sewaktu kita merangkak sedar di atas bumi. Barker seakan mahu menulis suatu kajian manusiawi agung tentang kesatuan semua agama, apa yang menyebabkan agama itu mempunyai kepercayaan, kenapa agama itu perlu 'perwakilan', perlu 'penyelamat' dan perlu 'pendakwahan'- semuanya diwakili dengan sifat manusia yang ingin 'menyampaikan' sesuatu, baik yang kenal akan kondisi dan batasannya (seperti Fletcher) sehingga yang jahil akan kebatasannya akan pemahaman ke arahnya (seperti Jaffe).
Dalam dunia Barker (waktu ini, Barker seorang ateis, dan kini, seperti Anne Rice, beliau mula kembali kepada agama Krisitian) Tuhan itu tidak ada. Hanya adanya kuasa-kuasa luar dugaan di mana manusia, dengan kepandaian dan pilihannya boleh menjadi 'tuhan' apabila masuk campur dalam mengubah arah kuasa-kuasa luar dugaan ini. Barker menunjukkan bagaimana, dengan 'masuk campur' ini yang sememangnya akan diperhatikan oleh manusia biasa, mencipta 'ajaran' yang secara lembut di dalam cerita ini dipanggil 'mitos' atau 'lagenda'. Inilah penggerak utama novel ini.

Sebuah novel yang berani mempersendakan dogma dan asal ajaran Kristian, sebuah novel yang juga mempunyai latar yang luas dan panjang, antara novel seronok Clive Barker dalam penciptaan dunia fantastikal dan raksasanya.

Thursday, October 18, 2007

Coldheart Canyon

Tajuk: Coldheart Canyon
Oleh: Clive Barker
Terbitan: Harper Collins
Tahun: 2001

Sinopsis:
Todd, seorang bintang besar Hollywood sedar bahawa dia sedang mengalami zaman kejatuhan. Mengikut nasihat seorang produser kanan Paramount, dia mengambil keputusan menjalani pembedahan plastik. Tetapi, pembedahan itu tidak berjalan baik dan wajah sempurna Todd berkecai selama-lamanya. Todd dibawa oleh agennya 'menyendiri' di sebuah rumah agam di tepi bukit Hollywood. Rumah yang besar itu menerima Todd dengan tangan terbuka, dan bukan rumah itu sahaja.

Rasa:
Saya selesai membaca novel ini selepas hari raya ketiga. Sempena kedatangan Haloween, novel ini akan saya bicarakan.

Apa yang boleh saya katakan jika ianya sebuah kerja Clive Barker? Syaitan dan malaikat (sememangnya, tulisan sebegini melanggar aqidah Islam, dan saya agak geli hati bagaimana pihak KDN terlepas mengharamkan buku ini, memperkuatkan tanggapan saya bahawa pihak penilai buku untuk diharamkan di KDN tidak membaca) bergomol sama, sedang si lelaki dan wanita memaparkan diri mereka tanpa seulit benang dan melakukan perkara yang gerenti membuat mak anda pucat lesi. Tetapi ini semua Hollywood bukan?

Sebenarnya, inilah novel yang paling senang dibaca dalam kebanyakan novel-novel Barker. Ia dibiarkan 'senang' dan 'pop' kerana sindiran Barker terhadap filem Hollywood dan falsafah yang dibawa oleh artis-artisnya. Malah novel ini sebenarnya ciptaan 'fantasi' Barker apabila beliau menelaah Hollywood Babylon tulisan Kenneth Anger (menceritakan kehidupan gelap artis Hollywood yang penuh seks, pembunuhan dan kelakuan luar batasan tanpa simpan-simpan, Babylon di sini bermakna kota Babylon yang memaparkan keburukan umat manusia dalam lapisan martabat yang paling bawah, memaparkan bahawa ia akan jatuh 'the falling Babylon' dan kedatangan kiamat yang dekat kerana 'excessive sin' manusia di kotanya).

Terdapat tiga buah cerita yang kita dapat baca, masing-masing mewakili 'nyawa' Hollywood yang sebenar. Todd ialah si bintang yang sedang jatuh (mewakili para karyawan, pendukung dan pemain filem), Tammy si peminat Todd (mewakili manusia yang menyembah dewa-dewa ciptaan manusia ini) yang mencari Todd yang di dalam buangan, serta Katya si pelakon awal 20-an yang masih hidup dan cantik (mewakili segala cantik dan buruknya Hollywood, segala harapan dan nafsu Hollywood dan segala kemewahan dan ketidakmanusiaannya Hollywood) yang meminati Todd.

Ceritanya nampak senang, malah setengah 'fairy tale' (kita jumpa dengan plot Cinderella, Ice Queen dan Beauty and the Beast di dalam cerita ini, di mana, sekali lagi menjadi sindiran Barker terhadap filem-filem formulaik Hollywood yang mengitar semula cerita lama menjadi sesuatu yang segar dan baru, menipu para penontonnya) dan setengah lagi, hanya tuhan saja yang tahu betapa lazat dan menakutkan dunia yang berjaya Barker cipta ini. Sememangnya novel ini boleh saja jadi sebuah satira terhadap pembikinan filem di Hollywood, atau lukisan Bosch yang hidup dan melawat manusia angkuh, atau sebuah cerita hantu di mana hantu-hantunya tidak mahu 'hilang ditelan zaman' (sekali lagi kiasan sindiran terhadap artis Hollywood yang mencari 'immortality').

Beberapa babak memang mencemaskan, tetapi tidak pernah menakutkan (terserah, kerana saya tidak termuntah dengan adegan erotik yang kadang-kala agak berani, serta adegan ganas yang agak susah dihadam). Lebih dari itu, ia mencipta 'fantastikal' terhadap jalur cerita dan watak-wataknya, sepertimana filem seadanya (membawa keinginan fantastik terhadap penonton). Jika anda senang dengan hantu dan menembusi 'lust' dalam keseraman, novel ini memang sesuai untuk anda. Contohnya seperti watak anak Permaisuri Syaitan yang berbentuk seperti setengah kambing dan setengah manusia, bertanduk dan mempunyai anu yang panjang dan anunya akan sentiasa 'hidup' setiap kali berlakunya kekejaman atau pembunuhan. Kesadisme cerita ini memang melebihi kebiasaan Shahnon Ahmad, malah falsafah S & Mnya boleh membikin pembaca konservatif membuang buku ini dan membakarnya kerana 'terlalu'.

Beberapa tempat di dalam novel ini agak panjang, malah di akhir-akhir cerita, novel ini, seperti buku Arena Wati, mengambil masa untuk menghabiskan ceritanya. Tetapi untuk pembaca yang senang dengan dunia 'sacred and profane' Barker, kesemua ini adalah satu 'delight', seakan menonton sebuah filem bajet rendah dengan produksi tinggi dan falsafah yang nakal. Sebuah novel yang menghiburkan oleh maharaja 'macarbe' moden.
ps: Salam, entri kali ini memang disengajakan kerana saya mahu melihat, berapa ramai pembaca yang menghukum saya 'kebaratan', 'liberalis', 'pluralis', 'jahil', 'jumud', 'anti-Islam', 'kafir' dan 'anti moral' selepas isu emosional mereka terhadap pendapat peribadi (saya mengaku pun, tanpa ilmu, hehehe) saya tentang sebuah cerpen suci lagi tidak boleh dijentik (kelakar, sebab yang menjetik itu saya, seorang pembaca yang kerdil). Saya tidak suka menasihat kerana saya faham, diri saya sendiri yang kecil lagi daif ini yang perlu dinasihatkan. Tetapi saya perlu memberitahu akan tingkah laku biasa yang rata-rata sudah menyelami kebiasaan umat Islam Malaysia sekarang dan termasuk kawan-kawan dekat saya sendiri, seakan mengikut gaya Salafi ekstrem yang abang saya di UK tentang habis-habisan (secara lembut). Saya dapati, ramai antara kita yang suka 'menghukum' (meletakkan hukum terus-menerus), ini boleh dilihat dalam beberapa blog teman-teman kalian. Saya ingin memberitahu, bahawa menghukum itu sebenarnya suatu perkara halus yang patut dikurangkan, kerana ia seburuk-buruk perangai Syaitan. Maafkan saya. Bila Iblis dipinta sujud kepada Adam, Iblis sudah 'menghukum' Adam 'rendah' daripada martabatnya. Menghukum, nauzubillah, ialah perbuatan yang biasa dalam orang kita sekarang dan dibuat tanpa rasa bersalah, kita seakan bermain peranan sebagai Tuhan. Faisal Tehrani melakarkan perkara ini dengan baik sekali di dalam Bila Tuhan Berbicara (saya sedang baca)- "Sahlan: Mereka selalunya sesat. Orang yang suka mengulang-ulang cakap. Macam kau nilah". Dialog sebegitu memang sudah biasa dalam konsensus masyarakat kita. Me'label' dan men'generelisasi' memang makanan umat kita sekarang (sikap menunding ini biasa kita lihat di jalan-jalan raya kita, tetapi itu yang saya pelik umat kita, begitu kuat menunding dan menghukum orang, tetapi bila mengucap "laillahaillAllah" dalam majlis tahlil, aduh, lembut dan tak bermaya). Saya tidak kata kita perlu menjadi malaikat, tetapi, saya faham dengan 'authority' penulis Islam yang diberikan ijazah untuk berbicara dan yang tidak diberi ijazah untuk berbicara (semua bentuk ilmu dalam Islam perlu diberikan Ijazah dan punya salasilah. Maka itu, saya masih persoalkan relevannya sastera Islam jika ia berpaut kepada ilmu, siapakah mursyid/guru/penyambung ilmu di dalam 'sastera Islam' dan punyakah ia turutan salasilah sehingga Rasulullah s.a.w.? Semua ini perlu diteliti dengan betul. Malah kebanyakan pengkaji dan pengeluar teori sastera Islam adalah 'secular scholars based in western Literature'. Oleh kerana itu bagi saya, saya tidak jenguk dan tidak iktiraf penulis sekular kita sebagai sastera Islam tetapi tulisan seperti Lore of Lights, Maknavi, Silatul Anbiya dan termasuk falsafah Ibn Sina sebagai 'sastera Islam'). Oleh itu, saya terang-terang menolak beberapa penulis Islam yang tidak betul-betul berguru dan duduk belajar 'balaghah' (sastera) beberapa tahun dengan seorang guru yang ahli. Saya langsung tidak memanggilnya sastera Islam, tetapi mungkin sastera Murni atau sastera Nasihat, yang bagi saya lebih betul dan kena. Saya lebih akur dengan kata-kata mufti kita atau ulamak yang saya sudah kenal akan latar belakang ilmu Islam mereka. Kerana mereka adalah 'ahli', dan mereka punya tanggungjawab melaksanakan 'hukum', dan bukan saya yang kecil ini. Wallahualam.