Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |
Showing posts with label Amir Muhammad. Show all posts
Showing posts with label Amir Muhammad. Show all posts

Wednesday, December 9, 2009

Yasmin Ahmad's Films


Tajuk: Yasmin Ahmad's Films
Oleh: Amir Muhammad
Terbitan: Matahari
Tahun: 2009

Sinopsis:
Untuk mendepani kemurungannya, Amir Muhammad menonton keenam-enam filem arwah Yasmin berserta dengan beberapa filem iklan dan pendeknya di Internet, lalu melapor, membedah dan menghimpunkan apa yang pedas, gula dan mengujakan tentang Yasmin Ahmad dan filem-filemnya.

Rasa:
Ini merupakan buku pertama yang Amir Muhammad tulis sebagai sebuah buku yang menyelidik dan mengulas filem. Amir Muhammad yang saya kenali daripada penelitiannya terhadap filem-filem Malaysia yang tidak ditonton oleh orang Malaysia (contohnya seperti ulasan seimbang beliau tentang Perempuan Melayu Terakhir di NST) adalah seorang pengulas filem baharu yang amat segar dan faham indikasi sesebuah filem dari pengamatan estetika juga makna budaya popularnya. Dan hal inilah yang beliau bawa dan sepadankan di dalam buku kecil warna putih ini (putih merupakan warna kegemaran arwah, katanya).

Pada hari pelancaran buku ini di Sunway University-College, saya ditemu ramah oleh pihak Astro Awani berkenaan buku ini, dan saya mengatakan ia amat bertetapan buat masa sekarang oleh sebab buku sebegini mewujudkan pengapresian filem, juga timbul percambahan ilmu dalam filem yang selalu kita ibaratkan sebagai bahan popular. Malah, saya banyak kali mengulangi perkataan "ilmu", bahawa apa yang Amir tulis ini memang pernuh dengan ilmu.

Betapa silapnya saya.

Amir tidak menitik beratkan ilmu. Yang beliau lebih titik-beratkan adalah perasaan dan hal-hal peribadi yang membuat buku ini sekali gus berintimasi, dan ini yang menyebabkan buku ini sebuah terbitan yang "menawan hati".

Ya, ada pelbagai kesudahan, kesimpulan dan cetusan yang dibawa oleh Amir di dalam buku ini, sekali gus mewarnai apa yang beliau faham tentang arwah dan filem-filem arwah (kadang-kadang ia amat bermanfaat, kadang-kadang ia tergantung, seperti mana ulasan Amir tentang Muallaf yang samar-samar dan lebih merujuk pelbagai berita dan sensasi yang terjerumus dengan filem itu). Apa yang penting di sini merupakan sikap objektif dan tiada pura-pura Amir dalam menyingkap filem arwah serta keperibadian arwah (sampaikan mencuit seorang blogger yang menganggap arwah seorang malaikat, di mana blogger itu tidak sedar pun sampai sekarang beliau disindir oleh Amir). Tetapi, seperti yang Amir nyatakan, hal ini tentu akan buat arwah ketawa dengan celoteh Amir, atau membuat arwah geram, tetapi hal-hal ini memang biasa dan Amir tahu arwah tentu meredainya (kalau tidak pun, buku ini sudah pun diterbitkan).

Cara Amir bukan sahaja mencuit cerita-cerita arwah, juga mencuit isu-isu semasa (termasuk mengkarikatur Datin Sri Rosma!) amat menyegarkan. Saya terpaksa menyatakan, buku ini mungkin separuhnya boleh digunakan sebagai bahan ilmu filem, tetapi separuhnya lagi adalah bertujuan untuk menghibur. Dalam hal ini, buku ini menjadi "one of its kind" yang tentu boleh dinikmati oleh sesiapa baik peminat filem Yasmin atau yang tidak menyukai filem Yasmin. Paling penting, Amir berjaya mengaitkan hal semasa dengan filem-filem Yasmin, menyatakan bahawa filem-filem Yasmin, baik yang pendek atau perdana merupakan filem-filem yang tidak rapuh dimamah usia, oleh sebab hal kesemasaan dan hal provokasinya akan senantiasa dibperbincangkan dan dirujuk oleh masyarakat sekarang dan masa depan.

Friday, October 9, 2009

Buku Untuk Filem: ESTET


Tajuk: Buku untuk Filem: ESTET
Penyelenggara oleh: Ajami Hashim
Lakon layar oleh: Mamat Khalid
Terbitan: Matahari
Tahun: 2009

Sinopsis:
Sebuah "buku untuk filem" yang mengutarakan idea, pemikiran dan skrip asal filem Estet, filem terbaharu Mamat Khalid yang akan ditayangkan pada akhir tahun ini.

Rasa:
Saya mendapati kesediaan Matahari untuk mengeluarkan siri "buku untuk filem" haruslah dipuji (yang sedang giat dibuat walaupun tidak sepopular mana di Indonesia). Dengan siri pertama, Kami, buku ini dapatlah dijadikan bahan rujukan serta cenderamata yang baik sekali buat peminat filem Malaysia.

Ajami telah menyusun dan memberi kita beberapa kata pra, sedang dan pasca produksi filem, ditelusuri dengan beberapa pandangan dan "pendedahan" panas dan pentin tentang hal pembikinan filem ini. Memberi pandangan kepada kita para penonton bahawa bajet merupakan masalah pertama dalam mana-mana pembikinan filem kita, serta kreativti pembikin kita memang ampuh tetapi oleh sebab hal-hal tapisan atau kesuntukan kos dan masa, ia agak susah dilancarkan. Pun begitu, buku ini juga memberi perayaan sepenuhnya mengapa pembikin filem kita masih membikin filem, walaupun membikin drama televisyen lebih lumayan atau popular buat massa Malaysia.

Hanya ada beberapa hal yang agak merunsingkan saya, yang terletak hanya pada ruangan Dari Meja Penyelenggara yang agak lemah bahasanya, malah lagi pelik, bahagian-bahagian lain tidaklah menghadapi kesalahan bahasa seteruk bahagian ini. Beberapa bahasa juga sengaja dirojakkan atas mengambil kesan nyata perbualan Mamat Khalid yang sememangnya pencampur bahasa (hal yang biasa dalam budaya sekarang). Semua wawancara amat menarik kerana dibuat santai, disoal dengan soalan-soalan agak sensasi dengan jawapan-jawapan bernas oleh yang diwawancara.

Bahagian paling penting merupakan skrip asal (yang mana dimaklumkan dalam wawancara, beberapa bahagian terpaksa ditiadakan dalam filem) di mana kita dapat menyelami idea asal Mamat Khalid buat filemnya, dan sememangnya beliau ingin menyahut 1 Malaysia yang memang bukan senang untuk dikecapi.

Wednesday, October 3, 2007

Politikus Malaysia Bertutur Perkara-perkara Yang Paling Gila


Tajuk: Malaysian Politicians Say the Darndest Things
Oleh: Ahli politik Malaysia (dipilih dan himpun oleh Amir Muhammad)
Terbitan: Mata Hari
Tahun: 2007

Sinopsis:
Buku yang menghimpunkan pelbagai 100 kata-kata pelik, kelakar dan biadab, datang terus daripada mulut-mulut politikus yang kita undi/tak undi.

Rasa:
Saya masih teringat sebuah buku simpanan ayah saya, sebuah buku himpunan kata-kata oleh para politik seluruh dunia (dari abad awal masihi sehinnga 80-an, ya Dr. Mahathir pun masuk) kelolaan K. Das. Buku itu agak menarik, kelakar dan kadang kala membuat satu berfirasat akan kata-katanya. Sebagai satu 'kelengkapan' terhadap buku itu, buku baru ini sudah keluar di pasaran (ya, Dr. Mahathir pun masuk), dan seperti yang sudah kita kenal apa yang akan berlaku jika ia tersembul dari otak Amir Muhammad, buku ini sekali gus pedas (ya, Dr. Mahathir pun terkena), kelakar, panas, menampar dan lebih menghiburkan daripada duduk menonton sebuah filem komedi Prof. Razak Mohaiden.

Ada beberapa tempat dalam buku ini membuat saya ketawa terbahak-bahak dengan kata-kata menteri kita. Ada juga yang membuat saya mempersoal kredibiliti pengundi kita (saya tidak pernah salahkan menteri-menteri itu yang diundi rakyat) mengundi makhluk-makhluk yang pelik untuk mewakili kita dalam sidang politik dan pentadbiran negara kita. Apa yang berjaya buku ini lakukan, tanpa diskriminasi (baik politikus kerajaan dan penentang kerajaan) ialah, menelanjangkan kewalian/ pak pandir/ penipu/ pelawak/ ahli nujum/ alim kucing/ panglima salah zaman/ penggemar filem aksi-romantik-epik para politikus kita yang berlakon dan bergerak persis bintang Hollywood dan Bollywood. Ya, merekalah bintang sebenar Malaysia, kehadiran mereka membuat paparazzi kita tidak duduk (seperti Amir) diam, dan mereka lebih menarik untuk dirakamkan daripada artis-artis kita yang hanya tahu bercerita tentang 'karya', 'kahwin', 'keluarga', 'untung', 'peminat', dan 'Mekkah'.

Apakah perlu saya katakan, politikus juga manusia, mereka juga ada membuat kesilapan dan turut jahil dalam pelbagai perkara? Perkara-perkara sebeginilah yang dapat dikemukakan apabila anda membaca buku ini. Ia mempersoal, berapa jauh kita perlu merasa penerimaan kita sudah selesa terhadap aktiviti dan arus politik tempatan sekarang.

Untuk mengatakan kerja ini 'subversif' adalah satu penghinaan, kerana sejujur-jujurnya, buku ini hanya 'memberi' tanpa mempersoal dan menambah (walaupun cara susunan oleh Amir, dan cara ia dipersembahkan dengan fon, ilustrasi dan nota Amir membuatkan ia memberi 'mesej mencubit' Amir) apa-apa yang dipersembahkan oleh para politik Malaysia (kecuali mungkin Lagu IT yang sememangnya semua orang akan bersetuju kejanggalannya tetapi malas mahu menegur si menteri yang dengan bangga mencipta lirik lagu itu). Saya hanya terfikir, bagaimana perasaan orang asing apabila membaca buku ini dan membuat tanggapan terhadap pelakon industri politik kita dengan kebanggan darah Aryan mereka (Aryan dimengertikan kerana ia tidak tertakluk pada bangsa Melayu). Ilustrasi oleh Shahril Nizam Ahmad yang 'cute' dan mempersenda tanpa terlalu biadap (malah kita terasa akan seorang mak cik yang berseloroh sinis dengan tangan tersipu-sipu menutup mulutnya) turut memperindahkan hasil himpunan Amir Muhammad yang sangat menggelikan hati ini.

Pembacaan buku ini memang laju dan tidak membosankan (walaupun dalam tangan saya, ada beberapa halaman yang tidak ada), dengan cetakannya yang cantik, menggunakan kertas pudar yang berkualiti. Kepada anda yang sayang dengan ahli politik kampung anda, sila beli dua buku ini, satu untuk simpanan anda dan satu lagi untuk simpanan menteri kesayangan anda. Gerenti, menteri itu akan sayang betul pada anda.