Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Sunday, August 4, 2019

Desa Pingitan: Benar Pak Samad Ini Sebuah Karya Klasik Moden


Saya merasakan masalah kebanyakan buku kita (dalam hal ini, novel) kurang terjual dan kurang  kumpulan pembacanya dalam kalangan masyarakat kita yang berjumlah 32 juta itu adalah kerana cara pemakaian "cerdik" para pengkritik-pengkritik lama dan konvensional itu memperkenal dan menggambarkan sesebuah buku itu kepada khayalak dalam tulisan mereka. Bukan hendak dikatakan penggunaan itu salah atau lari daripada kebijaksanaan para pengkritik dalam dunia penteorian (yang sebenarnya hal ini sudah mula menjemukan, apatah jika pengkritik tetap-tetap juga menulis sedingin ais beku untuk berbicara), tetapi kertas kerja yang sekali-sekala tumpah ke majalah dan akhbar itu memaparkan sesuatu yang tidak pun dicari oleh masyarakat biasa, apatah lagi yang tidak mengunyah sastera Melayu sebagai nadi hidup.

Contoh terjelas adalah dengan novel Desa Pingitan yang tersimpan lama di rak saya (selain kulitnya yang tidak bermaya - tapi saya tidak salahkan kerana selalunya buku sastera seharusnya dihakimi kandungannya bukan sangat kulit luaran), tidak dibuka-buka kerana saya meneliti tulisan-tulisan pengkritik lama (saya terima daripada ayah dalam 1996, edisi cetakan semula) yang membicarakan novel sulung Allahyarham (semoga mendapat berkat dan rahmat) Ibrahim Omar sebagai "sebuah novel yang merakamkan gejala sosial" atau "jurang kehidupan sosial selepas Kemerdekaan antara desa dan bandar" atau "berlaku gejala sosial kerana kurang didikan agama". Desa Pingitan, malah, mampu pergi lebih jauh dari itu.

Saya jadi teringin membacanya, kerana Sasterawan DAP A. Samad Said yang tiba-tiba hadir di DBP telah menyatakan, novel yang sesuai dibaca pada masa ini (atas kerelevan Malaysia Baharu dan mutunya) ialah Desa Pingitan. Lalu saya mengutipnya dari rak, menyabu debunya, dan membaca.

Ya, benar. Desa Pingitan, mempunyai sesuatu. Saya ada menulis sedikit di Facebook bagaimana dengan sudut pandangan sinema, novel ini boleh dibaca dari sisi mainan cahaya; cara pengarangnya ingin, bukan sahaja memaparkan, secara sinematik, akan realiti dan pengrakaman realiti, tetapi pengrakaman kebenaran. Menarik lagi, penggunaan cahaya ini tekal sehingga akhir, malah digunakan pada bahagian-bahagian dramatik tertentu, khususnya sewaktu protagonis novel ini, Brahim kembali dari pesta di sekolah melihat Bibah, saudaranya berada di hadapan rumahnya, dalam gelap.

Pada awalnya saya rasakan, penggunaan ini mungkin hanya petanda dan cara garap pengarang untuk menonjolkan kiasan simbolisme yang hendak disampaikan, namun rupanya ada tujuan lebih besar, yakni menyingkap rahsia besar antara Brahim dengan Bibah.

Pada pertengahan bahagian novel ini, apabila Brahim dengan tiba-tiba bergerak ke kota (Kuala Lumpur) mencari saudaranya Dollah untuk pekerjaan, terasa abrupt, terburu-buru. Semacam ada bahagian yang dibuang pada awalnya (kerana tidak ada makna untuk Brahim meninggalkan kampung halamannya, apatah bercanggah dengan perwatakan yang sudah dibina oleh pengarang). Terdapat juga bahagian yang saya kurang suka seperti Minah, Bakar dan Brahim sama-sama tinggal sebumbung bersama Dollah di rumah banglonya dalam masa yang agak panjang (hal ini mungkin terjadi pada zaman pasca merdeka itu, alasannya adalah untuk mencari pekerjaan) dan kematian Bakar dan isteri muda Dollah yang terlalu tiba-tiba (dengan memberikan latar bahawa Bakar mengikut sindiket penjenayah).

Bahagian awal Brahim di kampung yang begitu idealistik menjadi berbeza pada Brahim yang mencari kerja di Kuala Lumpur. Ini ditambah dengan seakan-akan memaparkan Brahim semacam seorang teruna yang alim, yang sentiasa terngiang-ngiang akan ajaran dan nasihat guru agamanya (Brahim beberapa kali digoda untuk perlakuan zina) pada setiap detiknya di kota. Namun rupanya, sedikit demi sedikit, keadaan beza Brahim awal dan kemudian disingkap, yang awalnya kita faham adalah simpanan gelora batin Brahim terhadap Bibah, dan yang kedua, ialah batin Brahim yang mencari keinsafan setelah meniduri Bibah.

Pilihan Brahim meniduri Bibah, lalu meninggalkannya secepat mungkin untuk mencari pekerjaan  di kota amat mengejutkan, mengejutkan kerana ia "memperakui" kata nista orang kampung terhadapnya (namun fitnah yang dikenakan adalah pada wanita lain). Brahim sekali gus romantis dan rasionalis dalam sikapnya, ya, dia menabur benih cinta dan berderas mencari impian di kota agar dapat dia tambat kembali Bibah dalam hidupnya yang sekali gus melakukan hal ini untuk "meletakkan tanda"nya terhadap Bibah (kerana dia tahu ibunya tidak mungkin berkenan dia bersama Bibah, sebelum dia bekerja pun atas kedekatan ikatan keluarga). Jadi imbauan-imbauan tuk guru dalam kepalanya hanya siluet yang menipu, atau menenangkan jiwa "bersalah"nya, yang dirasainya sebagai terpaksa atau "jalan paling betul" buatnya. Kita diberikan berita ini apabila akhirnya, Bibah "menulis surat" (ini tujuan Brahim perlu menemui Dollah, kerana perlunya akan satu tempat beralamat, untuk dia di kota berutus kiriman dengan dia di desa) dan menyatakan bahawa dia bercerai dan kini mengandungkan anaknya.

Jadi, apabila Brahim sudah bekerja, dan kembali ke desa, dan tidur pula di rumah Bibah, dan pertama kali melihat anak Bibah (kita andaikan anak Brahim juga), ia menjalinkan sebuah penemuan yang katarsis sekali gus sayu dan erotis sekali, tersampai melalui ciuman antara tubuh budak kecil itu antara Bibah dengan Brahim:

"Yatim, nah!" aku memanggil Yatim. Cepat budak itu datang merangkak kepada aku dan cepat juga aku menangkap dia lalu aku peluk dia dan aku cium. Bibah ketika itu makin kuat mengesak dalam tangisannya. Kini suaranya keluar tersedu-sedu. Sudah puas aku mencium Yatim aku lepaskan dia. Dia riang. Bibah memegang tubuh anaknya itu sambil tersedu-sedu. Aku memerhatikannya dengan mata yang tidak berkelip.

Selain sikap yang lebih terbuka pada pelbagai kaum (novel ini memaparkan sikap inklusif yang ideal tetapi realistik, malah menawarkan rumusan bahawa pertemuan yang muhibah antara kaum boleh berlaku di kota, di pusat tumpuan apabila semua syak wasangka dibuang dan semua latar manusia menjadi sifar semula - ambil maklum novel ini ditulis pada mileu pascamerdeka 1950-an dan awal 1960-an, bebrapa tahun sebelum 1969) novel ini jelas mewajarkan iltizam anak muda mendepani kekolotan cara lama dengan penuh adab dan ilmu (walaupun perlu membunting dara untuk menyampaikan hajat). Selain itu, terselit pandangan pengarang tentang perkembangan bahasa, sejarah, sosial, politik, falsafah, jati diri dan rangka minda dunia muda yang baru mendapat kemerdekaan untuk berdiri dan berlari dengan negara-negara yang sudah membangun. Novel ini sangat jelas mewajarkan individu dan sifat kemanusiaan untuk mempercayai diri sendiri dan dengan semangat begitu sahaja cabaran dan harapan mampu dilangkahi, malah secara optimis, tercapai.

No comments: