Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Sunday, July 17, 2016

Klon


Tajuk: Klon
Oleh: Idris Boi
Terbitan: Penerbit UTM & Utusan Publications
Tahun: 2015


Sinopsis:
Washington DC, konspirasi peringkat tertinggi sedang berlangsung dan Amerika Syarikat dikuasai tangan-tangan di belakang tabir. Dr. Fakiruddin, saintis dari Malaysia dan Dr. Susan Lancester, dua orang saintis yang berada di tengah-tengah percaturan konspirasi tiba-tiba dikambinghitamkan. Mereka bekerja di suatu pusat pengklonan terkemuka di Amerika Syarikat, Genetic Corporation Inchape Company. Tanpa mereka sedari, bentuk fizikal dan identiti mereka sendiri sudah mula diklonkan. 

Rasa:

Antara kesemua novel pemenang yang diterbitkan bagi Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi, inilah novel yang paling moronic pernah keluar, tidak terjustifikasi dengan harga mahalnya dan kulit setebal 392 halamannya. Hal ini sedikit menyedihkan kerana pengarang yang berasal dari Sarawak ini perlu tahu bahawa negeri Sarawak mempunyai tradisi fiksyen sains yang ranum dan baik; Cecilia Chin merupakan pengarang Sarawak fiksyen sains dan spekulatif yang ampuh dalam memulakan gerak naratif, kemudian terdapat beberapa nama, termasuk Azrul Jani, Lokman Hakim, Abang Bohari, Waris Jagat, dan beberapa lagi yang jelas-jelas menyumbangkan sesuatu untuk genre ini, namun setakat ini, nama-nama dari Sarawak yang masuk dan menang, hambar, tidak setaraf kewibawaan yang terbina daripada status sebenarnya. 

Novel ini, contohnya, suatu oksimoron yang menyakitkan, suatu percubaan mengenalkan kembali filem aksi The 6th Day dengan gaya talking heads filem Yusof Haslam dan eksposisi plot yang hanya berusaha menelaah dokumen lapuk konspirasi Freemason New World Order era 70-an dengan Presiden Amerika Jimmy Carter sebagai Dajal (penulis ini jelas-jelas pembenci Parti Demokrat) dengan rujukan sejarawan tua abad ke-20, Tony Bee. Kenapa terperangkap dengan kisah lama 70-an? Apa fungsinya dengan cerita, sedangkan isu klon dan pengklonan dan segala mak datuk konspirasi pasca 11-9 sudah mempunyai pelbagai sudut dan rencah? Mengapa tidak bermula di situ (baca sahaja novel-novel pop Dan Brown kita sudah tahu betapa ketinggalannya rujukan sumber pengarang novel ini)?

Masalah utama novel ini ialah logik dan kegoncangan asbab, sebab-akibat. Persoalan besar seperti "merancang mengancam keselamatan dunia" dan "pemerintahan baharu" tampak jadi main-main apabila beberapa sebab-akibat dan susunan peristiwa dan plot dimunculkan dalam cerita secara tiba-tiba. Paling buruk ialah meletakkan seorang watak dari dunia luar ruang-identiti Amerika, Dr. Fakiruddin, dari Malaysia, sebagai PENGURUS MAKMAL sebuah syarikat yang sah-sah mempunyai agenda yang berbeza dengan syarikat buat ubat panadol. Baik, jika hal itu tidak mengejutkan, bayangkan, dengan kredibiliti Fakiruddin dan kemahiran yang dia ada dalam bioteknologi dan genetik, dia bertanya soalan-soalan polos sebegini: "Tetapi mengklonkan manusia apa tujuannya? Apa perlunya mengklonkan manusia? Apa faedahnya kepada manusia sejagat?" (hlm.187) Benar, waktu itu saya sendiri mula tertanya-tanya dengan dungu: "Apa faedahnya saya membaca sehingga akhir?" Apatah lagi terdapat isu etika dan rahsia syarikat yang kelihatan tidak jelas terhadap watak Dr. Fakiruddin, yang lebih-lebih lagi bertanggungjawab atas makmal di tempat kerjanya. Membaca novel ini seperti membaca suatu "kemasukan rencah" demi "kemasukan rencah" oleh Idris, as he goes along, tanpa betuk-betul memikirkan konsekuennya.

Novel ini juga mempunyai masalah "simplifikasi Islamifikasi" apabila dengan klise, dan kebiasaan mana-mana novel alaf ini, untuk cuba mendakyahkan watak bukan Islamnya untuk mencintai Islam (lantas masuk Islam pun) dengan hanya sebutan demi sebutan dan cuplikan beberapa ayat dari Al-Quran, dan blink-blink, lima bab seterusnya, setelah watak bukan MUslim dibanjirkan dengan kubah masjid dan makanan Halal, tiba-tiba terasa ingin masuk Islam dan berkahwin dengan orang Melayu!

Hal ini ditambah pula dengan beberapa kejadian tidak mungkin. Ada satu babak apabila Harry Lucas, pak cik Dr. Susan ketemu klon Dr. Fakiruddin, dia tidak menunjukkan apa-apa reaksi (kerana ini pertama kali dia melihat klon) dan hanya membiarkan klon itu baring lalu mati! 

Terdapat pula ayat polos yang jelas-jelas bias dan bodoh dan mempertikai kepintaran pembacanya:

"Tapi dia Muslim!" ujar John Kerry. Baginya orang Muslim semuanya pengganas. Contohnya, mereka telah mengebom World Trade Center. Ia disahkan oleh agensi FBI dan CIA.
(hlm.221)

Ayat ini seakan-akan benar-benar meramalkan kehadiran Donald Trump di bawah payung Republican (John Kerry juga Republican) untuk menggegar pemerintahan Amerka abad ini, tetapi lebih mendugukan, "contoh: orang Islam mengebom WTC". Dan, watak Fakiruddin hanya terdiam, tersenyum apabila dihina-hina sebegitu oleh Kerry (dan di depan Susan bukan main berdakwah bukan-bukan, sah-sah seorang misoginis yang pengecut). 

Kemudian, kita juga dapat mengecam bagaimana terdapat kesalahan fakta yang jelas, dikhabarkan oleh watak utama kita:

Dr. Fakiruddin bersuara lagi. "Dapat dibuktikan Islam ketika kecemerlangan tamadun sehingga menguasai sepertiga dunia. Ramai ahli sains seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, Imam al-Ghazali, Ibnu Qayyim, Ibnu Tamiyyah menguasai ilmu dunia." (hlm.329)

Bila pula Imam Ghazali, Ibnu Qayyim dan Ibnu Tamiyah ahli sains? (Jika ditulis pemikir atau peneroka sains, saya boleh maafkan)

Sikap "main petik" ini ialah suatu penyakit dan seeloknya dibuang, dan seperti yang dipaparkan, memburukkan lagi perjalanan novel ini.

Klise. Lemau. Lemah. Inilah antara kesimpulan selesai membaca novel ini.

No comments: