Saya berada dalam sidang media yang akan diumumkan oleh TPM kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Apabila kertas pengumuman rasmi sampai ke tangan saya, saya membelek dan tertera nama "Baharuddin Zainal". Berpanjangan saya menyampaikan kesyukuran, lantas terus menelefon beliau, kolumnis Dewan Sastera itu berkenaan penerimaan tertinggi tersebut.
Beliau seperti biasa, merendahkan diri dan berasa terharu, kecil malah seakan-akan tidak percaya. Saya berseloroh dan menyatakan kepada beliau, "Lepas ni kita perlu letakkan nama SN di sebelah nama Dato' dalam kolum nanti". Beliau terus menjawab, "Isyk, tak usahlah.."
Itulah Baha Zain.
Dan kini, suatu polemik sedang bergerak.
Saya sebenarnya menghormati pandangan Dato' Shahnon Ahmad, tetapi saya mengambil sikap bahawa sesiapa pun, jika mereka punya pandangan dan pengalaman, tentu mahu dan akan melontarkan pemikiran (dan kita punya sebab untuk menolak pandangan itu, begitulah sikap polemik jika benar-benar ia mahu dipanggil polemik: bahaskan dan perkatakan, bukan dengan sandiwara emosional dan retorik ekspersif). Datuk Johan Jaafar juga memaparkan dalam twitternya beberapa sumbangan Baha Zain terhadap dunia persuratan Malaysia, dari segi organisasi hinggalah karyanya. Ayah saya sendiri, menghadiahkan Esei dan Puisi Baha Zain di atas tangan saya sewaktu saya masih di universiti, "Yang ini bakal Sasterawan Negara. Tulislah macam dia."
Dan ramalan ayah menjadi.
Dalam temuduga, saya masih ingat soalan penyoal, kolumnis mana yang saya suka baca dalam Dewan Sastera. Saya terus jawab, "Baha Zain" dengan "kerana ketajamannya dan kebernasannya."
Ya, kolum Baha Zain, saya mengaku membuat majalah itu hidup.
Sastera tidak lagi terikat dengan dunia cantik-cantik huruf, tokoh yang tidak habis-habis disanjung, tetapi erti kata dan pengalaman yang benar-benar sedang berlaku, bernafas, hidup lalu diperkatakan dengan kata akal yang bestari, semacam sastera itu berjalan bersama-sama dengan dunia sekarang yang penuh kepanasan dan ketelanjuran.
Ambil sahaja isu Lahad Datu, yang nanti Baha Zain sudah kemukakan buat April nanti, sebuah warkah yang terus-terusan membuka minda sesiapa yang mahu melihat kerasionalannya.
Dengan hal ini, saya terfikir, mengapakah kisah-kisah gelap yang saya dengar tentang penerima Sastera Negara, tentang mogoknya, merajuknya, tawar hatinya dan bermacam-macam lagi. Saya pernah menyoal diri saya, "Adakah semua penulis memang begitu, cepat terusik hati?" Pendek kata: Diva?
Dan saya sedar sesuatu.
Saya dimaklumkan, seorang artis, karyawan dalam industri kreatif boleh mencapai penghargaan sampai RM600 000. Seorang Sasterawan Negara hanya akan memperoleh RM60 000 daripada kerajaan.
Patutlah sasterawan mengamuk dan minta itu minta ini.
Kita masih dan terpaksa meminta sedekah di negara sendiri.
Kerajaan, badan bertanggungjawab, pihak swasta. Sesuatu harus dilakukan. Sampai anak sekolah kita pun tidak endah dan tidak kenal "siapa" Sasterawan Negara. Sampaikan Abdullah Hussain era Interloknya, sesetengah golongan ingatkan "dia" penulis "buku kanak-kanak"!
Pihak RTM, Astro Awani dan Media Prima, takutkah, segankah memanggil Sasterawan Negara untuk bercakap-cakap pada pagi hari atau petang tentang hal-hal isu semasa yang relevan, saya percaya kumpulan sasterawan peringkat tertinggi ini tidak akan menolak dan mengalu-alukan, mereka bukan raja yang memerlukan karpet merah, hanya soalan.
Kita tak boleh harapkan Dewan Sastera seorang tukang menyampaikan saluran dan maklumat dan butir-butir kata Sasterawan Negara. Takkanlah DBP sahaja yang adakan bicara karya?
Bilakah lagi hendak dilakukan jerayawara sang sasterawan dibawa dari sekolah ke sekolah, universiti ke universiti untuk diperkenalkan (kalau artis boleh berjerayawara di depan panggung wayang, pusat membeli-belah, sesuailah sasterawan dibawa berarak di wadah-wadah ilmu)? Langgar semua jenis sekolah, lagi baik jenis (C) dan (T) yang kukuh perjuangan bahasa ibunda mereka itu. Barulah anak-anak ini boleh melihat, memegang seorang "sasterawan" dan bukan hanya keterasing melihat mereka dalam huruf-huruf buku yang panjang berjela. Sedikit demi sedikit, tentu mereka mahu mengenali dan "membaca" mereka sepenuhnya.
Di sini saya sampaikan beberapa Sasterawan Negara yang masih sihat dan boleh dibawa berbincang:
Noordin Hasan, A. Samad Said, Kemala, Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Shahnon Ahmad (sedikit uzur tapi masih boleh dihubungi), dan terkini, Baha Zain.
Hanya Abdullah Hussain, semoga Allah memberinya kesihatan dan kekuatan, yang agak uzur sekarang.
Percayalah, mereka punya pemikiran, mereka punya sesuatu dan jika tidak kerana itu mereka tidak terpilih. Masyarakat hanya perlu mengenalinya. Mereka sendiri buku-buku yang berjalan dengan coretan tanda tangan sendiri, dan takkanlah kita harus menunggu sampai buku-buku itu dikatup rapat dan tersimpan terus dalam kutubkhanah abadi?
4 comments:
Assalamualaikum,
Saudara,
Entri saudara mendatangkan pencerahan kepada saya tentang polemik terkini dalam bidang kesusasteraan Melayu. Polemik seperti amat merugikan.
Pada pendapat saya, tidak salah menyatakan idea kita tentang sesuatu perkara; samada bersetuju atau tidak. Namun, saya berasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan cara SN Shahnon Ahmad melemparkan pandangannya.
Saudara sendiri faham apakah cara yang dimaksudkan itu. Terdapat sesetengah pihak yang cuba menaikkan 'tokoh lain' yang dirasakan lebih layak. Namun apabila SN Baha Zain yang dinobat, maka pihak-pihak tersebut menyalakkan rasa tidak puas hati mereka. Kenapa? Apakah benar Baha Zain tidak layak? Sedangkan pada hemat saya, beliau sepatutnya sejak dulu lagi dianugerah gelaran SN.
Puisi Baha Zain kaya dengan keindahan bahasa dan pemikiran yang diketengahkannya. Malahan, Baha Zain membawa pembaharuan dari segi gaya dan pemikiran- setanding dengan Muhammad Haji Salleh dan Latiff Mohidin (seorang lagi tokoh yang 'long overdue'. Saya dapat rasakan jika LM dianugerahkan SN, maka ada juga pihak yang menyalak lagi).
Maaf kalau saya katakan, Shahnon tidak wajar mempertikaikan penganugerahan Baha Zain sebagai SN. Seperti sasterawan lain, Baha Zain meneruskan perjuangan dunia kesusasteraan Melayu. Paling tidak pun, Baha Zain tidak menulis karya lucah atau mencarut dalam karyanya.
Sekian. Wassalam.
Salle Sulieman.
Assalamualaikum wr. wbt.
Beberapa kali sejak dua tiga tahun terakhir ini, jika ditanya siapa yang mahu saya nobatkan sebagai Sasterawan Negara, saya akan menyebut dua nama:
Baha Zain dan Latiff Mohidin.
Dihitungan saya, Dato' Baha Zain menulis dengan sifat objektif, namun terselit prinsip2 peribadi yang secara relatif melahirkan identiti "Baha Zain"nya itu. Esei2 beliau di Dewan Sastera mewakili idea dan luahan peribadi, tetapi ia juga seperti menjadi satu harapan dan menampilkan ketidak-puashatian kelompok marginal pencinta sastera dan budaya bangsa.
Bukan semua kita ini dapat berkata-kata, paling tidak di tangan "Baha Zain" suara kita ikut menjadi gema.
Seperti yang disarankan oleh Sdr. Editor Dewan Sastera, kita juga berharap fikiran Dato' Baha dapat didengar dalam ruang yang lebih besar dan melebar, bukan hanya di forum2 sastera atau bahasa semata2(moga-moga turut membawa gema suara kita).
Tentang Latiff Mohidin pula, apakah belum cukup lagi tentang karya2 beliau selama 40 tahun ini? Tidak, saya tidak bercakap tentang karya seni lukisan) beliau, tetapi, belum cukupkah ratusan sajak2 Latiff selama ini?
Kepada Sdr. Editor Dewan Sastera, mohon disampaikanlah salam hormat dan ucap tahniah kepada Dato' Baha di atas pemilihan beliau sebagai Sasterawan Negara.
Sekian, terima kasih.
Wassalam,
ZA
ZA,
saya pun bertanya soalan yg sama berkenaan Latiff Mohidin, sampailah dimaklumkan kpd saya beliau sendiri pernah dicalonkan tetapi beliau menolak anugerah tersebut. Wallahu alam.
Sdr. Fadli,
Terima kasih atas makluman tentang Pak Latiff Mohidin. "Soal penolakan pencalonan" tersebut pernah singgah dalam fikiran saya.
Tidak mengapalah beliau tidak menjadi SN asal sahaja banyak jauhari yang dapat mengenal manikam dari karya-karya beliau.
ZA
Post a Comment