Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Friday, March 16, 2007

Susuk Nizam Zakaria- Bolehla

Judul: Susuk- Sebuah Tayangan Gambar Utama
Oleh: Nizam Zakaria (Diadaptasi daripada lakon layar Rajesh Nair)
Terbitan: Marshall Cavendish
Tahun: 2006

Sinopsis:
Sebuah novel adaptasi filem seram yang diarah oleh Amir Muhammad menceritakan tentang seorang gadis bernama Soraya yang berhijrah ke bandar untuk mengubah nasibnya. Di sana, dia tinggal bersama kakaknya dan bekerja di sebuah hospital sebagai seorang jururawat.

Soraya berkeinginan menjadi seorang bintang suatu hari nanti. Dan seorang dukun bernama Dewangga memaparkan kepada Soaraya sebuah rahsia yang lebih menakutkan daripada Akademi Fantasia, dan Soraya tidak pun perlu melalui apa-apa latihan untuk memilikinya.

Rasa:
Menilai sebuah novel yang diadaptasi daripada sebuah skrip filem bukanlah satu ulasan yang murni. Ini adalah kerana, novel itu bukan seratus-peratusnya khayalan imaginasi penulis tetapi penulis skrip. Penulis novel hanya menggarapnya dalam bentuk teks, memberi ruang dan tokok-tambah untuk memberi 'makna' dan 'sejarah' terhadap beberapa perkara di mana filem itu lepas pandang atau tidak dapat bercerita dalam masa yang begitu singkat untuk penontonnya. Maka, untuk mengukur kehebatan seorang penulis menghasilkan karya, penglibatan mereka di dalam menulis novel adaptasi filem adalah yang paling tidak kritikal untuk dilihat, walaupun yang paling popular (kerana mengikut arus publisitinya) daripada segi penerimaannya.

Azwan, seorang kawan saya apabila membaca separuh daripada novel ini telah putus asa, mengatakan, "Kalau benarlah novel ini lebih baik daripada filemnya, filemnya sudah tentu sangat teruk (If it's true the novel is better than the movie, the movie must be worst!)."

Saya agak merasakan, adanya kehambaran itu di dalam novel ini. Ini saya termaklum, bahawa hasil novel daripada filem mungkin diperlakukan begitu (ditulis dalam gaya popular ala Ahadiat) kerana novel-novel begini dihasilkan cepat, diterbitkan cepat lalu sampai kepada pembaca dan pembaca seharusnya 'cepat' membacanya.

Novel-novel daripada filem Malaysia seperti Cicak-Man, Janji Diana, Hingga Hujung Nyawa dan Main-main Cinta memaparkan gaya yang serupa, begitu juga dengan novel-novel filem Hook, The Omen (yang sangat laris di pasaran), Close Encounter of The Thrid Kind, Star Wars: Episode 4 dan beberapa lagi yang memang dibikin laju dan 'ringan' sebagai santapan 'membina publisti' sebelum sebuah filem itu keluar. Hanya novel Independence Day daripada judul filem sama yang agak memberi huraian yang lebih menarik tentang sejarah dan saga filem itu.

Saya juga sedar, Nizam Zakaria sebenarnya tidak sepenuhnya mengambil plot cerita Susuk tulisan Rajesh Nair. Plot yang melibatkan Suzanna tidak ada dipaparkan di dalam filem ini sedangkan Nizam telah menitik beratkan sejarah Dewangga, sebuah watak misterius yang saya kira sengaja di'gelap'kan di dalam filemnya. Sejarah Dewangga inilah yang memberi sedikit nafas terhadap novel ini, yang bukan saja memberi rasa keseronokan pembaca melalui zaman kegemilangan Majapahit (gaya ini biasa dalam novel Anne Rice yang lebih kompleks dan menyeluruh garapannya) tetapi memberi interepretasi baru tentang filem ini.

Pada awal pembacaan, novel ini agak linear, dan kadangkala membosankan. Kita boleh membaca dengan laju kerana tidak banyak perkara yang berlaku. Apabila Soraya mula mahu cuba memiliki susuk, ceritanya sudah mula menjadi menarik. Tetapi apa yang saya tidak begitu suka adalah ketiadaan rasa 'seram' di dalam novel ini. Pada mulanya, saya ingat novel ini hanya sebuah 'triller fantasi' yang bercampur dengan drama masyarakat. Hanya pada akhir babak novel ini, baru keseraman itu muncul, malah, secara peribadi buat saya, agak menggegar hati saya (saya baca lewat tengah malam). Akhirnya juga sekurang-kurangnya telah ditutup kemas oleh Nizam, memberi 'makna' terhadap sejarah Dewangga dan kemahuannya (watak Dewangga, ganjilnya pernah dirasai kemunculannya dalam beberapa buah novel Nizam sebelum ini, yang suka benar mencipta sebuah watak yang sedar akan masa lampau, sekarang dan masa hadapannya dengan tegar).

Novel ini secara dalamnya, jika kita sanggup menelitinya adalah sebuah sindiran dan sekaligus paparan realiti wanita Melayu atau wanita nusantara dan tingkat taraf mereka di dalam kongkongan sistem patriach dunia Melayu-Nusantara. Kita dipaparkan dengan bentuk-bentuk perempuan, atas kecantikannya (dan bukan kepandaiannya) dimanipulasi oleh lelaki-lelaki yang berkuasa. Isu feminti mutakhir yang cuba dipaparkan pada zaman sekarang adalah, ada wanita yang mahu keluar dari kepompong patriakal ini, tetapi ada juga yang memilih untuk tinggal di dalamnya (seperti kakak Soraya).

Malah, Soraya, yang jelas memiliki jiwa feminiti timur mutakhir akhirnya tunduk juga dengan keinginan seorang lelaki yang lebih 'kuat' daripadanya. Kitaran ganas ini semacam mahu dikatakan oleh Nizam, ia tidak boleh dibendung jika perempuan itu sendiri mahu sedar dan faham kekuatan diri mereka dan menolak segala 'pertolongan' (subsidi) orang lain, terutamanya daripada lelaki. Jika mereka tidak sedar akan kekuatan mereka, mereka terus-menerus akan diperhambakan oleh kecenderungan korupsi di dalam sistem patriakh lelaki.

Idea-idea yang dikupas ini sangat menarik tetapi mungkin, iyalah. Mungkin caranya saja yang menyebabkan novel ini agak tersasar untuk dipanggil sebuah 'masterpiece'. Mungkin apa yang diperlukan Nizam adalah meniliti dengan lebih mendalam psikologi dan semangat watak-wataknya, pergi dengan mendalam babak-babak lampau Dewangga dengan lebih mendalam, malah mungkin memberi sisi Suzanna yang dibuang daripada novel ini. Mungkin dengan penambahan cerita di setiap bab dapat membuat novel ini lebih menarik dan 'dunia' susuk lebih menakutkan.

Di sini saya paparkan dialog Farzana dengan adiknya di halaman 286 novel ini:
"Saya tak suka bila kakak berbohong macam ni-"
"Aku dah bagikau duit... Dah tanggung makan minum kau, ini yang aku dapat?"
"Bukan Li nak sakitkan hati kakak. Li cuma nak tahu apa yang kakak buat di KL ni. Lagipun, kakak sajalah orang yang paling rapat dengan Li kat sini."
"Li... Kau tak perlu tahu apa yang kakak buat. Yang penting kau belajar."
"Tapi kak-"
"Kakak akan jadi pelakon terkenal tak lama lagi. Percayalah."
"Saya tak kisah kalau kakak tak jadi pelakon. Yang penting, saya nak kakak bahagia dunia akhirat."
"Kakak tahu Li sayangkan Kakak. Tapi percayalah Li, kakak tahu macam mana untuk jaga diri kakak ni."
Sangat Yusof Haslam bukan? Malah ia semacam satu 'tribute' buatnya. Apa-apa pun, bacalah Susuk kalau rasa mahu tahu sedikit sebanyak tentang filem yang akan keluar awal tahun ini, kalau mahukan sesuatu yang 'sastera seram', baik cari Rahsia Agenda Alam Hitam oleh Zehann Ur Rakhi, sebuah novel yang jauh lebih baik daripada novel ini.

No comments: