Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Sunday, March 31, 2013

Reaksi ZA terhadap "Siapakah Penulis Bagi Kalian?"

Nota: Salam, reaksi yang begitu panjang ini disampaikan oleh penulisnya, ZA kepada saya melalui e-mel. Reaksi ini berikutan luahan pendapat saya berkenaan tulisan Meor yang terpaut dalam entri yang terdahulu. Dipersilakan membaca luahan ZA pula:

Sdr. Fadli dan rakan-rakan terhormat,

1. Setiap orang (paling tidak) secara fitrahnya akan ada kecenderungan mencari satu sosok teladan yang paling hampir kepada pemikiran/bidang/gaya hidup masing-masing.

2. Dalam entri ini, yang terkait daripada entri Sdr Meor, saya kira sejauhmana kedudukan soal/isu masyarakat di mata hati seseorang penulis itu, akan kembali merujuk kepada niat si penulis tatkala menulis. Baik beliau itu seorang penulis suka-suka ataupun seorang Sasterawan Negara.

3. Dalam sastera, sebagai peminat mahupun pembaca, dengan kecenderungan masing-masing, setiap satu "dengan asyik" akan mengangkat atau membela sosok teladan mereka. Saat itu, kadang-kala kita mungkin terpanggil untuk membanding-bandingkan kecenderungan kita itu dengan orang lain pula.

4. Perkara ini tidak menjadi satu masalah, malah dapat dirujuk sebagai kepelbagaian pendapat daripada citarasa yang berbeza.

5. Persoalan yang timbul(?) dalam kotak fikir saya daripada entri ini:

i. Adakah setiap SN itu perlu merakyat (turun hidup bersama-sama kelompok marhaen) barulah ia dapat dianggap seniman/sasterawan sejati?

ii. Sejauhmana sesuatu karya (sastera, terutamanya) dan penulis itu dapat dianggap sebagai mewakili jiwa rakyat/masyarakat dan layak diberi gelar karya yang baik?

(Komentar saya tentang ini mungkin ada dalam baris-baris seterusnya...)

6. Pertanyaaan “Untuk apakah itu Sasterawan Negara”? Maka perlu kita tanyakan juga untuk apakah gelar-gelar dalam pelbagai bidang yang lainnya?

7. Pada perhitungan saya, menjadi Sasterawan Negara bukanlah bermaksud ia yang terbaik, tetapi pada saat ini, gagasan fikiran dan hati nurani yang dibawakan sosok tersebut dalam karya-karyanya sedikit lebih baik daripada yang lain dengan ciri-ciri autentik sasterawan tersebut. Fikiran dan perasaanya di dalam karya-karya itu dapat dijadikan rujukan/panduan untuk orang lain/pembaca (walaupun bukan semua. Ya, siapakah yang dapat memuaskan hati semua pihak dalam satu masa?). Kita juga harus ingat, di tahun mendatang, lain pula sosok dunia persuratan yang akan membawa gelaran Sasterawan Negara pada diri dan karya-karyanya. Saat itu (tahun hadapan?), Sasterawan Negara yang baharu itulah pula yang dianggap mempunyai karya-karya yang sedikit lebih baik daripada pengarang lainnya. Akan ada pula perbandingan-perbandingan terhadap Sasterawan Negara baharu itu dengan macam-mcam perkara lain dengan alasan-alasan lainnya.  

8. Tentang justifikasi gelaran Sasterawan Negara, kita balik sahaja kepada gelaran-gelaran lain yang baik-baik bunyinya,  "Ibu Mithali" atau "Tokoh Guru Kebangsaan" misalnya. Dengan gelar tersebut, tidaklah bermaksud ibu kita sendiri kurang baik sifat dan peribadinya dibandingkan dengan sosok penerima gelar "Ibu Mithali". Atau  "Mak Cik Mengaji yang tinggal di belakang rumah Mak Long" sejak kita kecil diajarkan kita “alif ba ta” itu jauh kurang bagus peribadinya daripada “Tokoh Guru Kebangsaan” pada satu-satu masa. Atau paling mudah, adakah penyanyi balada paling popular negara saat ini punya suara yang lebih baik daripada lemak merdu suara Rafeah Buang saat mengalunkan “Gurindam Jiwanya”?

9. Sudah tentu penilaian yang dilakukan dalam memberi gelaran-gelaran itu boleh bersifat objektif, subjektif mahupun relatif dalam penentuan keputusannya. Dan kita dalam  menerima (atau tidak menerima) keputusan itu juga berada dalam sisi objektif, subjektif atau relatif yang sama tatkala menjatuhkan hukum justifikasi kita.

10. Kepada mereka yang mengatakan bahawa gelaran Sasterawan Negara itu tidak relevan dalam kedudukan masyarakat kita hari ini,  dan membariskan nilai gelaran tersebut sama dengan gelaran-gelaran komersil  (dan penuh nilai material) lainnya, maka dengan sendiri kitalah yang menghumban nilai gelaran Sasterawan Negara itu ke daerah yang lebih rendah  kedudukannya.

11. Menjadi elit dan marhaen itu apa sebenarnya? Definisi asal golongan elit/elitis itu sebenarnya merujuk kepada golongan dengan pemikiran yang tinggi (superior intellectual), mereka yang berilmu dan mempunyai kefahaman-kefahaman dan penguasaan ilmu. Oleh kerana masyarakat kita ini cepat benar merasa rendah diri dan tidak berani/yakin untuk bersaing, maka kita pun dengan mudah memberi gelar elit kepada satu-satu kelompok tertentu yang berkuasa (bukan atas dasar pengetahuan/nilai intelektual) supaya kita ini terlihat sebagai orang bawahan yang baik-baik sahaja.

12. Siapa pula yang memberi  garis jelas kelas marhaen kepada gerombolan tertentu? Berapakah tangga gaji untuk berada dalam kategori marhaen itu? Adakah dengan naik teksi, lrt atau mempunyai pas naik turun bas kota menjadikan kita lebih marhaen daripada orang lainnya?

13. Dengan meletakkan diri dalam kelas atau kelompok berikut, kita dengan lekasnya cenderung membuat perbandingan-perbandingan yang tidak terlihat memihak kepada kita, yang akhirnya tidak lain akan menimbulkan segala konflik dan rasa tidak puas hati di hati kita sendiri.

14. Jika saya bukan di kelompok elitis mahupun marhaen, kalau saya bukan penulis atau pembaca, maka saya ini di kelas yang apa/mana? Atau, kerana saya ini bukan seorang penulis, maka saya tidak perlu berada dalam kelompok apa-apa/mana-mana. Ya, saya ini memang  tidak ada di mana-mana dan di (si)apa-(si)apa.

15. Apakah “Pak Utih” Pak Usman Awang lebih meruntun jiwa daripada “Padamu Jua”nya Amir Hamzah? Atau adakah novel Salina Pak Samad itu lebih dominan  watak utamanya daripada karektor perempuan dalam novel Chingiz Aitmatov berjudul Djamila? Apa beza bagus tidaknya antara “Mana Setangginya” Cikgu Nordin Hassan dengan “Kereta Kencana”nya Mas Rendra?  Atau sedalam mana kegilaan manusia-manusia Srengenge Cikgu Shahnon dibanding kewarasan orang kampung Lu Xun dalam Kampung Halamannya? 
  
16. Bagaimanakah nilai sesuatu karya atau pengarang yang baik itu di mata kita? Secara peribadi kepada saya, jika kisah-kisah yang dipaparkan seseorang pengarang itu dapat membangkitkan hati saya jadi terharu dan ingin bermuhasabah, atau satu perenggan ayat membuatkan saya membaca berulang kali dan berusaha mahu menghafalnya, atau satu sajak terjemahan dapat membuatkan jiwa dan rohani menggelitik tiap urat sarafnya, atau satu pantun kecil mampu membikin darah panas meruap naik ke muka, atau apa sahaja baris kalimat yang berkuasa menguntumkan rasa dan kata “wah!”, maka itulah yang saya anggap sebagai karya yang bagus. Baik karya-karya itu datang daripada seorang penulis handalan, mahupun dari mulut anak kecil yang melontarkan kalimat-kalimat spontan.

17. Kembali ke persoalan utama: Untuk apa orang menulis? Macam-macam sebab. Untuk apa/Kenapa jadi penulis? Macam-macam sebab.

Mungkin juga ada contoh sebab yang sedikit trajik nadanya, "Jika saya tidak menulis, saya boleh menjadi gila". Atau menurut sebab yang lebih popular, “Jadi penulis boleh cepat kaya!”

Ya! Semua yang menulis itu ada macam-macam sebabnya. Jangan lupa juga, ada orang menulis kerana itulah yang harus dilakukannya. Menulis.

Dan saya menulis reaksi ini kerana setelah membaca catatan Sdr Fadli dan Sdr. Meor, ada sesuatu yang ingin saya nyatakan. Saya boleh saja meluahkan komentar ini ke dinding, atau pada jendela yang terbuka, atau pada rakan di sebelah meja. Tetapi pada hitungan lain, adalah lebih baik fikiran dan perasaan saya itu ditaruh di sini saja. Dan kenapa saya menulis entri ini, sepanjang ini? Saya juga tidak tahu kenapa jadi begini panjang catatannya. Entahlah. Atau memang. Memang mungkin orang menulisa ada macam-macam sebab- musababnya.

Salam hormat dan terima kasih kepada Sdr. Fadli untuk ruang ini.

Wassalam,
ZA  

Thursday, March 28, 2013

Siapakah Penulis Bagi Kalian?


"Ahli muzik?! Pantang datuk nenek aku bermenantu dengan ahli muzik!" - Nyonya Mansor

Siapakah dia penulis bagi kalian?

Adakah dia: Seorang individu yang digunakan (dan dipergunakan) untuk menulis ucapan-ucapan para tokoh dan politikus agar tidaklah terjemu telinga rakyat diusap angin-angin perubahan dan detak retorik si pengucap? Atau: Penulis - barang mainan untuk masyarakat (mungkin dunia) untuk pertunjukan bahawa, eh, oh, dunia kita masih siuman, lihat, di depan itu, ada penulis berkata-kata, mungkin membaca "puisi"nya yang entah ke-453 kali lalu kita raikan bahawa negara dan masyarakat kita "sudah bertamadun". Oh tak, penulis ialah kawan yang sepatutnya memahami kita, tengok ni, aku bipolar, aku perlukan sang penulis membisikkan kata-kata mukjizat dalam buku motivasinya yang entah di mana dia belajar untuk membuat aku bangun melihat matahari dan tersenyum menunggu sapaannya.

Saya terdetik hal ini kerana terganggu dengan luahan Meor baru-baru ini berkenaan "untuk apakah itu Sasterawan Negara"?

Saya tidak menyedari pun bahawa sasterawan itu pun ada golongan "elitis" kemudian "marhaen" bilamana, sedar tak sedar, kerana muncul tak munculnya di hadapan masyarakat menjadikannya "lovable as your next Disney mascot" mahupun "oh, that dying breed in those Poe's fiction."

Penulis adalah penulis, antara kalian sedar atau tidak.

Tujuan utama penulis, bukan berlegar-legar di hadapan manusia-manusia yang tidak peduli lalu kita petikkan gitar memanggil. Penulis juga bukanlah si bohemia yang kita boleh jumpa di mana-mana baik tepi restoran mamak kemudian dalam bas ke Chow Kit lalu tiba-tiba di Kinokuniya membelek buku. Itu "hidup" si penulis itu memilih hidupnya untuk berjalan-jalan dalam ruang masyarakat kerana itu ideal dan jiwanya.

Tujuan penulis ialah untuk menulis. Titik.

Ya, jika penulis yang tidak menulis sekarang (walaupun jurnal peribadi menghentam si anu dan si ani kerana membenci karyanya atau melanggar kucingnya) maka si penulis itu haruslah malu. Dalam budaya dunia luar, penulis sebegini sudah melontarkan diri dari bangunan 40 tingkat kerana baru menyedari hakikat makna diri yang salah dengan jasadinya.

Ketidakrelevan Sasterawan Negara adalah kerana kita, masyarakat yang tidak mahu mempedulikannya.

Hal ini bukan sahaja berlaku dalam sfera tempatan, tetapi serata dunia. Sastera sedang dan terus dipinggirkan seperti bajingan kotor yang tidak perlu dikenali.

Lihat dunia Amerika yang entah berapa kedai buku francais besar yang sudah lingkup menjunam bumi. Hanya Barnes & Nobles yang masih berdiri, dan beberapa kedai buku "bebas" yang punya "sentuhan peribadi manja" dengan penggunanya, lima sepuluh blok yang mengelilinginya. Itu di Amerika.



Sasterawan Negara menghasilkan buku. Itu tujuan utama mereka. Buku-buku itu dijual (kini sudah ada alam maya membeli seperti Ujana Ilmu, MPH online, ITBM dalam talian, dawama.com, Fixi.com, PTS, dan entah apa-apa lagi - Kini sudah tidak ada alasan lagi bagi masyarakat tidak mengenali mereka. Tidak ada alasan lagi.) di kedai buku. Lalu si rakyat akan membacalah (dan sepatutnya menghayati mahupun menghentam). OK, kadang-kadang ada Sasterawan Negara yang bernasib baik, seperti Anwar Ridhwan yang berkolum dalam Berita Harian, suatu bentuk media massa yang amat luas (dan pelik jika Meor tidak mahu membacanya, atau mungkin kita sekarang terlalu anti dengan segalanya yang perdana?). Perlukah Anwar Ridhwan, seperti Pak Samad, berjalan-jalan menggunakan elarti kemudian bas dan menyiku diri dalam sesak jalanan untuk menyatakan kepada massanya, "Hey lihat, aku Sasterawan Negara!"

 Pak Samad memilih berjalan di tengah-tengah kawanan manusia kerana itu pendirian dan nafasnya.

Anwar Ridhwan biasa berucap dalam seminar dan bersama-sama kawan sewaktu majlis wacana atau anugerah, itu kemahuan dan caranya.

Baha Zain akan mahu turun melepak di Rumah PENA acara baca puisi, itu keinginan dan adatnya.

Shahnon Ahmad hanya mahu bersurau dan masjid, tinggal di rumah melihat mata isteri, anak dan cucu, dan kadang-kadang sahaja apabila terdetik (sudah tentu yang membuatnya panas, yakni "hidup" untuk melakukan sesuatu) menelefon kawan untuk menyampaikan suaranya.

Abdullah Hussain kini sedang sakit, tetapi beliau gembira jika ada kawan atau peminat yang mau berkunjung melawatnya.

Muhammad Haji Salleh terus-menerus berucap, mengkaji dan menyibukkan diri dalam dunia kesarjanaan meneliti budaya, bahasa dan kesusasteraan (dna kadang-kadang pendidikan), dalam dan luar, sentiasa berpergian tanpa henti, dirinya jet terbang yang meluncur ke mana-mana, apabila perlu, apabila merasai perlu meluahkan, sang pejuang pantun ini.

Kemala tetap dalam dunia Numeranya yang (sedang dan sepatutnya) menyatukan suara sasterawan Nusantara dalam pusat yang satu dengan wacana ilmu dan bacaan puisinya. Kemala dan gerakan Numera itu satu, bergerak dalam ruang-ruang IPT dan cendekiawan, dan sampai juga di celah-celah bandar dan ruang awam. Acaranya percuma. Ini hal biasa acara sastera di mana-mana dalam dunia. 

Salahkah Noordin Hassan mau diam di dalam rumah dan merehatkan badan tuanya di atas kerusi malasnya
membelek majalah sastera dan menonton TV?


Sebenarnya, Sasterawan Negara mahupun penulis sudah penat menghasilkan karya (bacalah autobiografi Shahnon Ahmad). Mereka menyedari, hanya segelintir anak awam yang sanggup mengeluarkan duit gaji untuk disuapkan kepada jurujual untuk sebuah buku yang entah dia akan baca atau belum baca atau terasa mau membacanya. Biarlah kita diam saja, beruzlah, biarlah, kata Shahnon Ahmad. Atau Yasmin dalam Gubra, "Buat apa aku di sini jika mereka tidak mahu mencintai aku lagi?"

Dr. Banks dalam Side Effect (filem terakhir Sodenbergh, kononnya) menyatakan kenapa beliau berpindah dari UK ke Amerika: "Di UK, apabila saya merawat pesakit dan memberinya ubat, orang akan kata 'mereka tu sakit'. Di US, apabila saya merawat pesakit dan memberinya ubat, orang akan kata 'mereka akan baik'."

Sasterawan tidaklah mempunyai beg penuh ubat yang mana bilamana dia menghulurkan karyanya, akan berubah dan menyinarlah si pembaca itu, "Oh aku mendapat sinar baharu!" Karya-karya Sasterawan Negara seperti karya penulis lain, luar dan dalam negara, untuk dibaca, hadam dan kemudian diperkatakan (kalau mau). Hanya terdapat karyanya yang sudah diperuji zaman dan keadaan punya kekuatan dan pemikiran yang perlu ditelusuri masyarakat. Itu sahaja. 

Ya, kini ada dengar-dengar dan saya setuju apabila perlu digerakkan Sasterawan Negara itu memperkatakan hal-hal di luar bidang sastera (sebenarnya, ada segolongan mereka sudahpun berlegar dalam ruang-ruang lain, seperti yang kita lihat berlaku dengan Pak Samad atau Muhammad Haji Salleh sewaktu kerangka pelan pembangunan pendidikan hendak dibuat, hanya mau tak mau ceritakan saja), mungkin perlulah Sasterawan Negara itu berlegar pula dalam majlis Anugerah Bintang Popular bersalam-salaman dengan artis dan Jins Shamsuddin, menjadi juri Raja Lawak dengan kupasan sarkastik dan sekurang-kurangnya tentu intelektual terhadap para pelawak bertanding, dijemput pada malam gala tayangan perdana sesebuah filem dengan pakaian tuksedo lalu ditangkap gambarnya masuk URTV atau Media Hiburan dengan sarikata: "Gentleman Paling Hot: Wow, Noordin Hassan hensem u!", atau dibawa bertandang menemui "peminat" bersama-sama Nabil dan Zizan pada acara Jom Heboh di bawah panas terik matahari dengan sua tangan "peace y'all!"

Atau, ya, menjadi Pak Samad dan berdemonstasi di tengah-tengah jalanan.

Oh, begitulah kot barulah Sasterawan Negara relevan terhadap masyarakatnya. Oh begitu.

Sedarilah, di mana-mana pun di dunia, penulis dipinggirkan (segolongan sahaja diraikan), mau tidak mau diwacanakan itu tugas media massa yang melihat "ada orang nak baca tentang mereka". JD Salinger, contohnya, seorang penulis yang lebih senang mengurung dirinya dalam menara besi tanpa mau dikacau mana-mana kawan, orang, peminat dan wartawan, lalu bolehkah massa memanggilnya "elitis"?

Tidak. Kita yang mencipta "ruang" elitis itu dalam minda kita sendiri. Kita sendiri yang melihat rumah PENA itu jauh dan susah hendak pergi (ya, memang susah hendak ke situ, berliku dan tersorok) lalu kita labelkan, Oh, elitisnya tempat tu (ini samalah dengan KL Pac yang tersorok itu). Serius, dunia sastera kita tak lah seeletis mana jika saya mau samakan dengan makan-makan kaviar dan minum todi dunia sastera-penulis-penerbitan Barat (tonton sahaja dalam Cloud Atlas, ya bukan senang-senang anda mau masuk ke acara pelancaran buku yang dibikin di dewan hotel lima bintang lalu dijemput untuk berdiri dengan gelas wain bercakap-cakap dengan seorang pengkritik mahupun editor ataupun penulis). Malah dunia sastera kita amatlah terbuka, malah amat melarat seperti peminta sedekah yang memohon bantuan badan (kerana masyarakatnya endah tidak endah pun) dan pelbagai penjana dana (ya, ahli politik pun). Lihat sahaja acara Borak Buku yang amat bermanfaat itu, dah lah di tengah-tengah kota, acara itu PERCUMA malah diberi makan (bayangkan dengan filem Cloud Atlas tadi yang mana ada yang sanggup keluar duit untuk masuk ke acara sebegitu) tapi golongan masyarakat masih tidak ambil peduli dan menyeluk kocek menunggu harga petrol turun 10 sen lagi.

Masalahnya serius tidak pernah tentang Sasterawan Negara ini, tetapi masyarakatnya yang masih buta mengenal diri sendiri. 

Ya, saya fahm juga jika ada yang bertindak kasar menyatakan: dalam tradisi dunia budaya Melayu, sang seniman itu mendekati masyarakatnya dengan bersembahan: penglipur lara, tok selampit dan tok dalang. Dengan itu si sasterawan "mendekati" lalu menyatu dengan masyarakat.

Pertamanya, sebenarnya sudah ada pun hal-hal itu dilakukan (mau tidak mau masyarakat mencarinya) seperti malam Maskara dan acara baca karya di tempat entah macam-macam. Penulis kita pun ada saja yang pergi berpesta-pestaan ke Ubud, Singapura, Jakarta, dan Pulau Pinang. Kalau mau yang awam lagi, nah, tunggu sahaja Pesta Buku Antarabangsa KL ataupun alternatifnya, KLAB dan Arts for Grabs. Serius tidak ada tahanan. Oh, dan kemudian, dunia blog dan terkini Facebook. Eh, kalian tahu kan, Anwar Ridhwan berfacebook, termasuk Kemala? Siapa yang tak mahu menegur siapa sekarang? Takkanlah saya, contohnya, perlu terhegeh-hegeh di tengah KL Sentral lalu membuka pentas dan mempromosi buku saya JIAN yang susah benar mahu terjual itu, "Oh, bayangkan bahan asing berbentuk virus dari angkasa memasuki liang darahmu!" Begitu?

Saya pun punya pendirian seperti kalian. Saya pun punya keluarga dan keperibadian saya sendiri.

Baru-baru ini, Anwar Ridhwan ada menghasilkan karya, Satu Tiga Sifar Lima yang begitu penting, relevan, menyuarakan dunia 13 Mei kita dan ini amat mendekati ura-ura ke arah pilihan raya dengan gentar, khuatir, syak dan perasaan apa-apa boleh berlaku sekarang. Pernahkah kita peduli?

Baha Zain juga, buat April nanti untuk Dewan Sastera akan berbicara berkenaan terjahan konflik Lahad Datu dan sebagai insan mengapa hal ini perlu direnungi. Haruskah kita peduli?

Bagi saya, buku, tulisan dan kata-kata penulis itulah, dalam zaman kini dengan kedatangan tradisi persuratan (dan ini belum masuk lagi tradisi yang sepatutnya kita lakukan, yakni kelab buku [yang lebih bersifat santai dan kini sebenarnya sudah diganti dengan ruang maya Goodreads, Shelfari dan Facebook] yang meniti kembali kefahaman zaman dahulu apabila sesebuah kitab kuning diperkenalkan) yang mana seakan-akan merefleksi "diri" penulis itu berdiri di tengah-tengah masyarakat. Mahu tidak mahu, tepuk dada tanya selera jika anda mahu atau tidak membelinya, merenunginya dan mewacanakannya.

Serius, melihat pada penyakit dunia ini sekarang, dengan perspektif dan kefahamannya yang entah-berantah tentang apa tujuan saya menulis ini pun, saya merasakan tidak lama lagi, saya juga harus berhenti menulis. Mungkin dengan itu, dunia kita akan lebih tenteram.

Tuesday, March 26, 2013

Sungai Mengalir Lesu


Tajuk: Lazy River (Sungai Mengalir Lesu)
Oleh: A. Samad Said
Terbitan: ITBN
Tahun: 2010

Sinopsis:
Novel kedua Sasterawan Negara terkenal ini membawa kisah orang-orang kecil pada penghujung pendudukan Jepun di Singapura, dalam kegelisahan menunggu dentuman bom dalam shelter dan mencari sesuap makanan mengalas perut kontang kering. Lumpur dan sungai yang menemukan watak-wataknya turut berkata-kata, melesu dan menunggu mangsa seterusnya. 

Rasa:

Naturalisme merupakan keunggulan pujangga Malaysia ini.

Ramai daripada kawan yang kritikal membaca karyanya menyatakan kepada saya bahawa novel ini jauh lebih cemerlang daripada Salina. Setelah membaca novel ini (sudah lama), saya tetap mempunyai pendirian peribadi bahawa Salina tetap menjadi sesuatu yang klasik, yang mana pengalaman membacanya sendiri membawa rasa dan getir yang tidak akan dan tidak pernah bolah mana-mana novel Malaysia memberikannya. Titik.

Namun saya memberi peluang kepada novel ini dan sesungguhnya, novel ini mempunyai sesuatu, khusus dalam "alam seram peperangan".

Sungai yang menghimpunkan anak-anak tanah air (yang pada masa itu sudah pun muhibah) dilambangkan sebagai watak terbesar novel ini, sang pemberi rezeki yang di"gelap"kan secara sinikal dan natural terhadap kewajaran peperangan yang menderitakan. Semua penduduk (selain ruang berlindung saat bom) tertumpu di situ, bukan sahaja "menunggu" rezeki atau memerikan penjelasan citra dunia gelap mereka, tetapi menjadi ruang mata dan telinga, saksi yang paling "dekat" kepada segala tangis dan tragedi mereka. Lumpur itu sendiri semacam "tidak mahu menjernih", terus sahaja menyakiti hari demi hari dengan persoalan: adakah mereka boleh keluar daripada kesusahan amat mencengkam ini, lalu terus sahaja menampakkan gigi pesimisnya terhadap hidup dan masa depan.

Tujuan ini tentu sahaja terkait dengan sikap Pak Samad waktu itu yang berkemungkinan humanis sosialis, tentang bagaimana manusia yang terpandu dengan kuku besi tanpa suara mereka didengari menjadi sisa-sisa "sungai". Namun yang lebih terkesankan adalah bagaimana Pak Samad menyusun watak-watak hidup, yang terlakar sebagai mangsa yang jauh lebih malang daripada sungai yang "lesu", yang hanya terpana terhadap ketinggian "harapan" juga "kezaliman" tinggi menara yang "tersimpan makanan", juga simbolisme tetuan Jepun terhadap anak tempatan, yang secara mengejutkan, saya terbaca anasir dan kejahatan "materialisme"  melakukan tunduk patuhnya kepada manusia (dan bagaimana ada manusia seperti Basir yang bertungkus-lumus berakal untuk "menguasainya").

Segala ini disusun dengan overture tragedi yang amat menyakitkan pada akhir naratif. Ya, Pak Samad menyusun watak dan cerita wataknya dengan susunan lirikal, sebuah garapan yang memasang perangkap tragedi yang mengikat dunia gelap yang tentu akan melahirkan perasaan "menghantui". Saya mengaku terganggu membacanya pada akhir ayat, dengan suara fatalis yang tidak mahu memberi apa-apa lagi peluang untuk merasakan udara yang sedikit pun menyegarkan.

Terdapat beberapa watak-babak didaktik yang sengaja dan seharusnya kritikal terhadap keadaan sosiorealiti masyarakat era itu, khusus dalam keturunan nana kaya terhadap isterinya. Saya paling tertarik dengan watak Tuminah yang cukup berselirat dan berwarna, wajar dengan sifat "survival" yang ditemakan dalam alur cerita, juga Tompang yang menjadi satu-satu watak optimis terhadap segalanya (yang dia tidak nampak), menguatkan lagi sikap pesimis novel ini melihat dunianya. Jika novel ini difilemkan, kedua-dua watak ini harus diberi justifikasi yang sewajarnya.

Terjemahan Harry Aveling membantu, memudahkan pembacaan pembaca tetapi saya akur ia tidak berjaya menangkap kekuatan prosa lirikal dalam bahasa Melayu yang ditulis Pak Samad. Ini mungkin membawa persoalan, kita memerlukan penterjemah fiksyen yang dapat, bukan sahaja menangkap makna utama sesebuah teks, tetapi alur gaya dan bentuknya agar estetika yang dicermati terhadap teks dapatlah dikekalkan sekurang-kurangnya dalam beberapa bahagian.

Sesungguhnya sebuah novel antiperang yang penting dalam sejarah Singapura-Malaysia, dan antara yang memagut suara menakutkan tentang peperangan tanpa jalan keluar yang terang.

Saturday, March 23, 2013

MERPATI JINGGA DESAK PERTUDUHAN DIGUGURKAN

Syarikat penerbitan buku MERPATI JINGGA (didaftarkan sebagai Orange Dove Sdn Bhd) mendesak agar pertuduhan yang dibuat ke atas Pengarah Urusan syarikat itu digugurkan.

Ini ekoran daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat 22 Mei 2013 memutuskan bahawa rampasan buku yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 23 Mei 2012 lalu terhadap Borders Mid Valley adalah tidak sah.

Faisal Mustaffa dituduh enggan memberi kerjasama kepada pegawai bertugas yang menjalankan soalsiasat terhadap beliau pada 29 Ogos 2012 di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hanya kerana beliau menyatakan kepada pegawai tersebut bahawa beliau mahu menjawab soalan siasatan di mahkamah.

Merpati Jingga juga merasakan kekecewaan atas sikap JAIS yang telah berjanji untuk memulangkan buku rampasan yang mereka lakukan pada 12 Jun 2012 yang lalu bersama pihak polis dan pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) seramai lebih kurang 30 orang yang menyerbu premis syarikat berkaitan dan merampas buku-buku terbitan syarikat mereka.

Pada awalnya, pihak JAIS enggan memulangkan buku-buku rampasan tetapi setelah Merpati Jingga mengeluarkan surat tuntutan bertarikh 30 Januari 2013 yang lalu melalui Tetuan Daim Gamany, JAIS pada awalnya bersetuju memulangkan buku syarikat itu pada 6 Februari 2013.

Tetapi, sehingga hari ini, buku-buku tersebut tidak dipulangkan lagi.

Antara buku-buku rampasan yang dibuat JAIS adalah seperti berikut:

1.       Bogel Menuju Tuhan tulisan Zahiril Adzim (3 naskah)
2.      Syurga Yang Hilang tulisan Meor Yusof Aziddin (3 naskah)
3.       Memoir Bukan Memoir tulisan Pekin Ibrahim (3 naskah)
4.       Aku Manusia Berdosa- Koleksi Skrip Teater dan Filem Pendek tulisan Nur Ahmad (3 naskah)

Merpati Jingga turut menuntut agar JAIS membayar buku Who Needs An Islamic State edisi kedua tulisan Abdelwahab El-Affendi yang berada dalam koleksinya sebanyak 3 naskah.

Merpati Jingga tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan surat saman kepada pihak JAIS sekiranya mereka enggan menepati janji mereka (untuk memulangkan buku rampasan).

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Pengarah Urusan Merpati Jingga, Faial Mustaffa.

Tuesday, March 19, 2013

Memasyarakatkan Sasterawan Negara

Dalam kalangan yang gembira Dato' Baha Zain mendapat Anugerah Sastera Negara ialah saya.

Saya berada dalam sidang media yang akan diumumkan oleh TPM kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Apabila kertas pengumuman rasmi sampai ke tangan saya, saya membelek dan tertera nama "Baharuddin Zainal". Berpanjangan saya menyampaikan kesyukuran, lantas terus menelefon beliau, kolumnis Dewan Sastera itu berkenaan penerimaan tertinggi tersebut.
 
Beliau seperti biasa, merendahkan diri dan berasa terharu, kecil malah seakan-akan tidak percaya. Saya berseloroh dan menyatakan kepada beliau, "Lepas ni kita perlu letakkan nama SN di sebelah nama Dato' dalam kolum nanti". Beliau terus menjawab, "Isyk, tak usahlah.."
 
Itulah Baha Zain.
 
Dan kini, suatu polemik sedang bergerak.
 
Saya sebenarnya menghormati pandangan Dato' Shahnon Ahmad, tetapi saya mengambil sikap bahawa sesiapa pun, jika mereka punya pandangan dan pengalaman, tentu mahu dan akan melontarkan pemikiran (dan kita punya sebab untuk menolak pandangan itu, begitulah sikap polemik jika benar-benar ia mahu dipanggil polemik: bahaskan dan perkatakan, bukan dengan sandiwara emosional dan retorik ekspersif). Datuk Johan Jaafar juga memaparkan dalam twitternya beberapa sumbangan Baha Zain terhadap dunia persuratan Malaysia, dari segi organisasi hinggalah karyanya. Ayah saya sendiri, menghadiahkan Esei dan Puisi Baha Zain di atas tangan saya sewaktu saya masih di universiti, "Yang ini bakal Sasterawan Negara. Tulislah macam dia."
 
Dan ramalan ayah menjadi.
 
Dalam temuduga, saya masih ingat soalan penyoal, kolumnis mana yang saya suka baca dalam Dewan Sastera. Saya terus jawab, "Baha Zain" dengan "kerana ketajamannya dan kebernasannya."
 
Ya, kolum Baha Zain, saya mengaku membuat majalah itu hidup.
 
Sastera tidak lagi terikat dengan dunia cantik-cantik huruf, tokoh yang tidak habis-habis disanjung, tetapi erti kata dan pengalaman yang benar-benar sedang berlaku, bernafas, hidup lalu diperkatakan dengan kata akal yang bestari, semacam sastera itu berjalan bersama-sama dengan dunia sekarang yang penuh kepanasan dan ketelanjuran.
 
Ambil sahaja isu Lahad Datu, yang nanti Baha Zain sudah kemukakan buat April nanti, sebuah warkah yang terus-terusan membuka minda sesiapa yang mahu melihat kerasionalannya.
 
Dengan hal ini, saya terfikir, mengapakah kisah-kisah gelap yang saya dengar tentang penerima Sastera Negara, tentang mogoknya, merajuknya, tawar hatinya dan bermacam-macam lagi. Saya pernah menyoal diri saya, "Adakah semua penulis memang begitu, cepat terusik hati?" Pendek kata: Diva?
 
Dan saya sedar sesuatu.
 
Saya dimaklumkan, seorang artis, karyawan dalam industri kreatif boleh mencapai penghargaan sampai RM600 000. Seorang Sasterawan Negara hanya akan memperoleh RM60 000 daripada kerajaan.
 
Patutlah sasterawan mengamuk dan minta itu minta ini.
 
Kita masih dan terpaksa meminta sedekah di negara sendiri.
 
Kerajaan, badan bertanggungjawab, pihak swasta. Sesuatu harus dilakukan. Sampai anak sekolah kita pun tidak endah dan tidak kenal "siapa" Sasterawan Negara. Sampaikan Abdullah Hussain era Interloknya, sesetengah golongan ingatkan "dia" penulis "buku kanak-kanak"!
 
Pihak RTM, Astro Awani dan Media Prima, takutkah, segankah memanggil Sasterawan Negara untuk bercakap-cakap pada pagi hari atau petang tentang hal-hal isu semasa yang relevan, saya percaya kumpulan sasterawan peringkat tertinggi ini tidak akan menolak dan mengalu-alukan, mereka bukan raja yang memerlukan karpet merah, hanya soalan.
 
Kita tak boleh harapkan Dewan Sastera seorang tukang menyampaikan saluran dan maklumat dan butir-butir kata Sasterawan Negara. Takkanlah DBP sahaja yang adakan bicara karya?
 
Bilakah lagi hendak dilakukan jerayawara sang sasterawan dibawa dari sekolah ke sekolah, universiti ke universiti untuk diperkenalkan (kalau artis boleh berjerayawara di depan panggung wayang, pusat membeli-belah, sesuailah sasterawan dibawa berarak di wadah-wadah ilmu)? Langgar semua jenis sekolah, lagi baik jenis (C) dan (T) yang kukuh perjuangan bahasa ibunda mereka itu. Barulah anak-anak ini boleh melihat, memegang seorang "sasterawan" dan bukan hanya keterasing melihat mereka dalam huruf-huruf buku yang panjang berjela. Sedikit demi sedikit, tentu mereka mahu mengenali dan "membaca" mereka sepenuhnya.
 
Di sini saya sampaikan beberapa Sasterawan Negara yang masih sihat dan boleh dibawa berbincang:
Noordin Hasan, A. Samad Said, Kemala, Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Shahnon Ahmad (sedikit uzur tapi masih boleh dihubungi), dan terkini, Baha Zain.
 
Hanya Abdullah Hussain, semoga Allah memberinya kesihatan dan kekuatan, yang agak uzur sekarang.
 
Percayalah, mereka punya pemikiran, mereka punya sesuatu dan jika tidak kerana itu mereka tidak terpilih. Masyarakat hanya perlu mengenalinya. Mereka sendiri buku-buku yang berjalan dengan coretan tanda tangan sendiri, dan takkanlah kita harus menunggu sampai buku-buku itu dikatup rapat dan tersimpan terus dalam kutubkhanah abadi?