Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Tuesday, August 28, 2012

'Salem's Lot

Tajuk: 'Salem's Lot
Oleh: Stephen King
Terbitan: Heinemann
Tahun: 1977


Sinopsis:
Novel yang terus mengangkat nama Stephen King (yang juga memerangkapnya) sebagai penulis genre seram. Vampire datang ke sebuah pekan kecil di Utara Amerika, 'Salem's Lot di mana penduduknya mengenali antara satu sama lain, serta menyimpan rahsia dan mimpi hitam. Segalanya akan terbongkar apabila ada yang tiba-tiba hilang, sakit dan mati. 

Rasa:

Novel King yang paling puas saya baca setakat ini, ya, sudah ada beberapa tetapi ini yang paling memuaskan, metaforanya jelas, senang dan menggigit, serta babak-babak seramnya benar-benar seram dan kini menjadi klasiknya yang tersendiri. Memanglah, jika dilihat dari tahun ia ditulis lalu diterbitkan, ianya sebuah karya kreatif "taking its craft really seriously" yang sezaman dengan era Peter Blatty menghasilkan The Exorcist. Maka percubaan King menyampaikan bagaimana sinikal manusia moden (waktu itu) terhadap hal-hal "tahyul" menarik (zaman ini di Malaysia pula, berlaku kebangkitan penulis kita menghasilkan karya menolak tahyul dan menerima rasional sains dan pembangunan moden sosial) dengan menyampaikan watak seorang cikgu dan watak utama, Ben Mears "mengkaji" hal vampire ini dengan metodologi sains (yang sebenarnya mengikuti gaya yang dilakukan oleh Bram Stoker dalam Dracula yang turut bersandarkan pengkajian sains melanggar hal ghaib, dengan watak penyiasatnya, Dr. Van Helsing). Lebih menarik dalam cara dan susunan King terhadap kisah-kisah manusia di pekan kecil ini, rahsia mereka, sakit mereka, dosa mereka, dibuka sedikit demi sedikit, sepertimana "mati"nya pekan kecil tersebut, sedikit demi sedikit. Metafora besar ini merupakan kritikan sosial King yang besar terhadap sikap "tidak apa" dan "buat-buat tak tahu" masyarakat pada masa itu (yang amat berkaitan dengan sikap sosio urban kita sekarang). Walaupun mungkin tidak kompleks, dan sememangnya lebih kelihatan tersusun jika dibandingkan dengan kisah penduduk "orang kecil" dalam It,  setiap karikaturnya menjadi dan dirasai, seperti mana-mana watak dalam novel Charles Dickens. Ada beberapa babak seram masih diingati dan menyerap masuk dalam kulit. Saya masih tidak melupai kegerunan seorang watak menghantar keranda ke dalam rumah agam Marsten yang unsur ketakutannya amat dirasai. Juga babak Mark terikat dalam rumah sebelum Straker mendapatkannya untuk dijamu kepada si vampire  Barlow. Buku ini sudah klasik buat saya, dan amat menghiburkan sebagai novel seram terulung 70-an.

Words from the Myths

Tajuk: Words from the Myths
Oleh: Isaac Asimov
Terbitan: Signet Book
Tahun: 1969


Sinopsis:
Buku rujukan kecil, atau lebih dekat sebagai pengenalan ini membicarakan pelbagai etimilogi mitos dan dewa yang wujud dalam budaya dan agama Yunani dan perkaitannya dalam hidup manusia sekarang, khususnya dalam penamaan beberapa perkara dan fenomena dalam sains dan ilmu Barat. 

Rasa:

Buku kecil ini membuat saya sedikit malu. Malu, kerana menyedari kita telah mempersendakan bahasa dan tunas bahasa kita sendiri (juga asas bahasa kita yang kita tidak pernah pelajari) dalam penulisan dan kesusasteraan, khususnya dalam penulisan fiksyen sains. Rata-rata penulis fiksyen sains Malaysia akan cuba membesarkan karyanya dengan meminjam perkataan-perkataan "pelik" dan tampak "unik" dari bahasa Inggeris. Di sini, Isaac Asimov memaparkan, bagaimana epistimologi pendidikan dan falsafah Barat itu memang asasnya datang dari Era Yunani Klasik, khusus mitos dan legendanya, dan bagaimana para saintis pasca Pencerahan telah menggunapakai istilah Latin dan Yunani (dua budaya Barat yang berbeza!) dalam setiap penemuan mereka, baik yang berkaitan dengan planet, fenomena alam, binatang seni mahupun kaedah kimia. Di sini, memadailah dan berpatutan apabila para penulis fiksyen sains Barat menggunapai dan mempopularkan istilah Yunani, Latin dan pelbagai lagi dalam mencipta pelbagai istilah "fiksyen sains" atau nama unik yang baharu, berkaitan dengan bangsa, kaum humanoid mahupun nama planet. Saya menyedari, penulis kita, ada melakukan hal ini (meminjam istilah Inggeris, Latin dan Yunani) atas nama "sedap dipakai" tanpa menyedari sejarah dan akar nama tersebut yang sebenar, menolak kekuatan bahasa sendiri dalam menyampaikan maksud ilmu dan pengkajian sains. Inilah yang memalukan. Oleh sebab itu, buat saya, percubaan Rahmat Haroun dalam menampilkan beberapa istilah seperti "manuklon" adalah suatu hal yang revolusioner, walaupun mungkin belum boleh dikelasifikasikan dalam tingakatan agung (dan hal ini lagi dicuba olehnya dalam satu karya fiksyen sains yang lebih mencabar, Hikayat Neogenesis). Hal ini membuka mata kita dengan penggunaan kata dan istilah yang teliti, juga menyedari kekuatan bahasa Arab yang jauh mengiluminasi alam yang sudah meniti dunia sains, jauh lebih lama daripada Barat, yang sepatutnya menjadi pegangan saintis dan penulis fiksyen sains kita, yang saya rasa, diperjuangkan oleh Firdaus Ariff dan Azrul Jaini, serta pernah cuba dibuat oleh Faisal Tehrani dalam bidang kreatif bergenre lain. Kita masih tercari-cari akan jati diri, sedangkan sebenarnya kita kaya dengan kisah dan riwayat sendiri.